Syiah yang aku kenal

Sekitar 1980 , Syiah mula di kenali. Aku mengenalinya lanjutan dari kejayaan revolusi di Iran. Kerana ingin mengenali lebih lanjut aku membaca sebuah buku terjemahan Dialog Sunnah Syiah oleh  A. Syarafuddin al Musawi – iaitu dialog penulis dengan Syaikh Salim al Bisyari al Maliki , Rektor al Azhar. Sungguh , mulanya aku kagum dengan buku tersebut.

Di sekitar hujung 1980an aku kembali bertemu dengan seorang sahabat lama semasa belajar dulu, malahan tinggal pula sebilik di asrama . Abu Hassan  namanya. Dia seorang Syiah. Mengenali orang Syiah yang paling mudah , sembahyangnya semasa iktidal, tangannya lurus ke bawah , tidak kiam.

Abu Hassan memang seorang Syiah. Dia  malahan ia mempermosikan Syiahnya. Kecintaannya kepada Ahlul Bait nabi saw  digambarkan melalui nama anak-anaknya yang sama dengan nama nama  Ahlul Bait nabi saw. Dia tidak mungkin memberi nama anaknya seperti Abu Bakar , Umar atau Usman.

Dia berhujah kelebihan Syiahnya. Aku tahu dia ingin mempengaruhi aku supaya menerima Syiah atau sekurang-kurangnya berharap aku bersimpati dengan Syiah. Malah ia pernah mengajak aku mengikuti pengajian di Pendang . Apakah ada Hauzah Syiah  di Pendang seperti di Gombak ? Aku Tidak pasti.

Satu soalan baru timbul. Apakah kelebihan Syiah sehingga sahabatku itu menjadi pengikutnya ? Soalan itu menuntut aku menekuni Syiah. Aku membaca semula Dialog Suni Syiah yang di tutup sekian lama. Aku mencari pula apakah hujah Suni  mengenai buku tersebut. Alhamdulilah  aku ketemu buku yang bagus  ia itu buku “Sunni yang Sunni — Tinjauan Dialog Sunnah-Syi’ahnya al-Musawi” oleh Mahmud az-Zaby, merupakan sanggahan kepada  buku  Dailog Sunah Syiah ” oleh al-Musawi. Saudara pembaca boleh membaca buku ini di alamat http://media.isnet.org/islam/ss/toc.html .

Aku juga membaca buku-buku rujukan Syiah seperti Raudah Al Kafi, Asas-asas Ilmu Hadith Syiah, Himpunan Fatwa Al Khui, , Konsep Keadilan Allah Dalam Islam, Najhul Balagah , Kitab al Haft, Usul al-Kafi- Kitab al-Hujjah , Saqifah Pepecahan Umat ( O Hashim ),Konsep Imamah Dalam Islam, Al-Ikhtisas  , Amali As Saduq dan lain-lain.

Anehnya apabila membaca buku-buku tersebut ,apa yang ditemui ialah kepelekan Syiah. Contohnya :

Para Imam memiliki kedudukan mulia dan kekuasaan atas makhluk, seluruh atom di alam ini tunduk pada mereka. Keadaan  ini tidak dicapai oleh malaikat maupun para Nabi. (Kitab Al Hukumah Al Islamiyah karangan Khomeini halaman 52).

 Abu Jafar berkata : “ciri-ciri Imam ada 10: ( antaranya ) – Dilahirkan sudah dalam keadaan berkhitan – Begitu menginjakkan kaki di bumi ia mengumandangkan dua kalimat syahadat –  Tidak pernah junub –  Matanya tidur hatinya terbangun –  Tidak pernah menguap –  Melihat apa yang di belakangnya seperti melihat apa yang di depannya -Bau kentut dan kotorannya bagaikan misik.” …….. (Al Kaafi 1/319) Kitabul Hujjah Bab Maulidul Aimmah)

Aku menjadi hairan , tidak ada istimewanya pun , jauh sekali nak terikut. Kalau di buat perumpamaan seperti membaca Bible ( Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru ) tak mungkin  akan terikut, malahan akan tambah  jauh ….

 Bagaimanapun jika pembaca membaca buku-buku Syiah , bacalah sama hujah-hujah Suni. Kerana  anda mungkin terpesona dengan senarai panjang hujah dan rujukan mereka.  Misalnya jika saudara membaca tulisan at Tijani “ Akhirnya Ku Temui Kebenaran”  , bacalah sama hujah balas Oleh: Syeikh Khalid Al-‘Asqalani. Atau bacalah juga Mengapa Aku Tinggalkan Syiah karangan Al-Syeikh Al-Allamah Dr. Sayid Husain Al-Musawi Al-Husaini.  Jika saudara membaca hujah Syiah mengenai sejarah , saudara perlu hati-hati. Carilah hujah balas dari pandangan Suni. Saudara boleh membaca Al Bidayah Wannihayah oleh Ibn Katsir, atau pandangan kritis oleh Marzuki Hj Mahmood Dalam buku Isu-isu Kontrovesi Dalam Sejarah Pemerintahan Khulafa ar Rasyidin.

Jika Syiah memebri hujah sejarah tentang sesuatu peristiwa , rujuk kembali kepada Quran. Contohnya jika Syiah membenci Aishah ra atau Hafsah ra , kembali kita rujuk Al Ahzab ayat 6 : Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan istri-istrinya adalah ibu-ibu mereka  Apakah Allah silap mengangkat darjat isteri-isteri nabi sebagai Ibu Orang-orang Beriman , yang pasti kita muliakan ?

Tahukah anda , Syiah sangat membenci Abu Bakar ra. , Umar ra.  dan Usman ra ?  Ya,  kerana  mereka percaya Ali ra juga membenci ketiga-tiga sahabat tersebut. Kata mereka hak kekalifahan Ali ra telah di rampas oleh ketiga sahabat tersebut. Tetapi tahukah anda Ali juga mempunyai anak yang bernama Abu Bakar, Umar dan Usman. Mungkin kah anda akan memberi nama anak anda sama seperti nama musuh anda. Atau adakah anda , apabila musuh ketat anda meninggal akan berkahwin pula dengan jandanya , dan menjadikan anak musuh saudara dari janda itu , anak angkat yang di sayangi ? Tidak mungkin !

 Jika saudara pembaca ingin mengetahui secara sepintas lalu mengenai Syiah, saudara boleh lawati laman ini : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html dan juga laman ini  http://id.wikipedia.org/wiki/Syi%27ah

About these ads