Kahwin Mut’ah Dalam Ajaran Syiah

Muqaddimah

Sebelum kita membincangkan tentang mut’ah yang merupakan salah satu ajaran Syiah, terlebih dahulu kita perlu menyedari bahawa ajaran Syiah itu pada keseluruhannya berpunca daripada tiga sumber iaitu Yahudi, Kristian dan Majusi.

Sebenarnya Syiah merupakan saluran kepada tiga agama tersebut yang tidak mempunyai daya lagi untuk menghadapi Islam secara bersemuka. Kerana itu mereka mengambil satu jalan untuk memesongkan Islam sebagai mana mereka telah memesongkan ajaran Nabi Musa dan Nabi Isa a.s sebelumnya.

Jika Nabi Isa umpamanya mengajarkan bahawa Tuhan hanya satu dan dia sendiri bersama ibunya adalah hamba Tuhan, maka pengkhianat-pengkhiant dari golongan yang mendakwa sebagai pengikut-pengikut Nabi Isa sendiri telah menyelewengkan ajarannya dengan mengatakan bahawa “Isa adalah anak Tuhan dan ia salah satu dari tiga Tuhan”. Maka demikianlah juga jika Rasulullah s.a.w. mengharamkan sesuatu dan melarang umatnya daripada melakukannya maka ada pula pengkhianat-pengkhianat dari umat-nya yang memesongkan ajaran Baginda s.a.w. Dengan mengatakan halal apa yang dikatakan haram oleh Rasulullah saw. Dan membenarkan apa yang dilarang oleh Baginda s.a.w.

Apa  yang berlaku ini telahpun diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam satu hadisnya yang bermaksud  :

“Pasti kamu akan mengikuti jalan-jalan orang yang sebelummu  sejengkal demi  sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga   jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun pasti kamu  akan menurutinya juga”.  Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan dengan orang sebelum kamu itu, adakah Yahudi dan Nasrani?”. Rasulullah saw. Menjawab,  “Siapa lagi jika tidak mereka”. -hadis riwayat Bukhari.

Bagaimanapun mut’ah dalam Syiah lebih banyak berpunca dari ajaran Majusi yang mengajarkan fahaman “Free Sex”. di kalangan penganut-penganutnya.

Perbicangan yang lebih terperinci akan menyusul kemudian, Insyaallah.

Semua manusia yang masih memiliki fitrah yang suci di dalam jiwanya akan menolak konsep mut’ah ini kerana ia menyentuh soal kemanusiaan namun umat yang paling terhina di kalangan manusia dengan konsep ini ialah umat Islam kerana ajaran ini dikaitkan dengan Islam yang selama ini diketahui dan diakui oleh seluruh manusia di dunia sebagai umat yang memberi penghormatan yang begitu tinggi kepada wanita. Umat inilah juga yang memiliki ajaran yang penuh bertanggungjawab dalam persoalan rumahtangga dan kehidupan berkeluarga.

Dari kalangan manusia maka jenis perempuanlah yang akan lebih tersinggung dengan konsep mut’ah ini kerana ia menjadikan mereka sebagai matabenda yang boleh dilonggok-longgokkan dan disewakan, juga mereka dilayani sebagai hamba sahaya di dalam segala hukum hakamnya.

Syeikhul Azhar, Al Marhum Syeikh Mahmud Syaltut pernah berkata, “Bahawa syariat  yang mengharuskan perempuan berkahwin dalam satu tahun dengan 11 orang lelaki dan mengharuskan pula lelaki berkahwin setiap hari dengan beberapa ramai perempuan tanpa membebankannya dengan bebanan dan tanggungjawab perkahwinan tidak mungkin datangnya dari Allah swt, Tuhan sekelian alam dan tidak juga ia syariat yang memelihara kesucian dan kehormatan manusia.” (Syeikh Mahmud Syaltut, Al Fatana, hal 272-275)

Sementara bekas Mufti Besar Pakistan, Mufti Wali Hasan dalam satu tulisannya pernah menyatakan ; “Syiahlah satu-satunya ajaran di atas muka bumi ini yang menganggap jenayah berbohong dan berzina sebagai sesuatu yang mendatangkan pahala dan menaikkan darjat seseorang.  Sesuatu aliran fahaman biar bagaimana hina  sekalipun seperti Atheisme tetap menganggap bohong dan zina sebagai tingkahlaku yang salah dan tidak berakhlak tetapi Syiah menganggapnya sebagai sebahagian daripada tuntutan Iman dengan menukar nama bohong kepada ‘Taqiyyah’ dan zina kepada “mut’ah”.(Khomeini Aur Syi’iyyat Kia He, hal 5)

Islam mengadakan institusi perkahwinan untuk menjaga keturunan manusia dan kemurnian hidup berkeluarga dalam satu ikatan tanggungjawab tetapi Syiah sebaliknya mahu menghidupkan amalan jahiliyah atas nama Islam dengan mengemukakan syariat mut’ah. Kedudukan mut’ah ini begitu penting dalam ajaran Syiah kerana tidak dikira seseorang itu sebagai Syiah selagi ia tidak menganggap halal amalan mut’ah.

Di sini kita akan mengemukakan riwayat-riwayat dan ajaran-ajaran Syiah berhubung dengan mut’ah dari sumber-sumber rujukannya sendiri.

 

Kedudukan Muta’ah Dalam Ajaran Syiah:

  1. Al Kulaini meriwayatkan dari Jaafar bin Muhammad Al Baqir bahawa beliau berkata, “ Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mempercayai raj’ah (kebangkitan semula para Imam sebelum qiamat untuk menghukum orang-orang yang menentang dan memusuhi Ahlul Bait) dan tidak menganggap halal mut’ah kita” (Man Laa Yahdhruhul Faqih jilid  3 hal. 458, Syeikh Abbas Al Qummi-Muntaha Al Amal jilid  2 hal. 34 )
  2. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sinan dari Jaafar As Shadiq katanya, “Sesungguhnya Allah Tabarakawataala telah mengharamkan bentuk minuman yang memabukkan ke atas Syiah kita dan menggantikannya dengan mut’ah.” (Ibn Bahwaih Al Qummi- Man Laa Yahdhuruhul Faqih j . 3 hal. 467, Al Muurru Almili-Wasaailu As Syiah j. 14 hal. 438 )

 

Keutamaan Dan Fadilat Mut’ah Menurut Syiah:

Untuk menggalakkan amalan mut’ah ini mereka mengadakan sekian banyak hadis-hadis palsu atas nama para Imam mereka yang Duabelas dan atas nama Nabi s.a.w.

  1. Mereka meriwatkan dari Nabi s.a.w. bahawa Baginda saw bersabda, “  Sesiapa yang keluar dari dunia (mati ) dalam keadaan tidak pernah melakukan mut’ah ia akan datang pada hari qiamat dalam keadaan rompong . “ Mulla Fathullah Ka-Syaani – Tafsir Manhaj As Shadiqin  j 2 hal. 489
  2. Ketika Nabi s.a.w. mikraj  ke langit Baginda s.a.w. telah ditemui oleh Jibrail lalu berkata, “ Wahai Muhammad, Allah Tabarakawaataala berkata : Sesungguhnya Aku telah mengampunkan orang yang telah melakukan mut’ah dengan perempuan dari kalangan umatmu . “ (Man Laa Yahdhuruhul Faqih  j . 3 hal. 463. Wasaailu As Syiah j . 14 hal. 442. Biharu Al Anwar  j 100 hal 306.
  3. Bakr bin Muhammad meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya Jaafar as Shadiq tentang mut’ah. Beliau ( Jaafar As Shadiq ) menjawab , “ Sesungguhnya aku benar-benar tidak suka seseorang Muslim itu keluar dari dunia ( mati ) dalam keadaan masih belum dilakukannya sesuatu perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.  “ ( Man Laa Yahdhuduruhul Faqih j . 3 hal. 463,  Wassailu As Syiah j. 14 hal 442, Qurbul Isnad hal. 21 )
  4. Diriwayatkan dari Soleh bin Uqbah dari ayahnya dari Muhammad Al Baqir katanya , “ Aku berkata kepada Muhammad Al Baqir ; Adakah orang yang melakukan mut’ah itu mendapat pahala? “ Muhammad Al Baqir berkata , “ Ya. Kalau ia melakukan mut’ah dengan niat kerana Allah dan sebagai bantahan terhadap orang yang tidak menerimanya, maka tiada sepatah perkataan pun yang diucapkannya kepada perempuan yang dilakukan mut’ah dengannya melainkan Allah Tabarakawataala menuliskan untuknya satu kebajikan dan tiada dihulurkannya tangannya kepada perempuan itu melainkan ditulis Allah satu kebajikan untuknya. Apabila ia menghampiri perempuan itu  nescaya Allah ampunkan satu dosanya. Apabila ia mandi Allah mengampunkan dosa-dosanya sebanyak bilangan bulu yang dilalui air di atas tubuhnya. “ Maka aku pun berkata (kata ayah Soleh) Sebanyak bulu di tubuh ? “ Muhammad Al Baqir berkata, “ Ya. Sebanyak bilangan bulu di tubuh orang itu.” ( Man Laa Yah dhuruhul Faqih J . 3 hal. 463, Wasaailu As Syiah j . 14, hal. 442, Biharu  Al Anwar j. 100 hal. 306)

 

Bagaimana Mut’ah Boleh Terjadi :

Mut’ah boleh terjadi;

  1. Tanpa wali , saksi dan perisytiharan. ( At Thusi- Tahzibu Al Ahkam jil. 7 hal. 248,   249 , 254 , An Nihayah hal. 489 )
  2. Di mana-mana sahaja di antara seorang lelaki dan seorang perempuan.
  3. Dengan perempuan  Yahudi , Nasrani dan perempuan pelacur sekalipun. (Khomeini-Tahriru Al Wasilah jil. 2 hal. 292 )
  4. Walaupun tidak mengetahui  sama ada perempuan itu bersuami atau tidak. (Tahzibu Al Ahkam jil. 7 hal. 253, An Nihayah hal. 489 )
  5. Dengan perempuan dalam lingkungan umur yang tidak tertipu iaitu 10 tahun.  (Al Istibshar j. 3 hal. 461, Al Furu’ Min Al Kafi jil . 5 hal. 463)
  6. Dengan bayaran mas kahwin yang tidak terlalu besar, hanya memadai dengan segenggam gandum atau segenggam makanan atau buah tamar atau satu dirham bahkan kurang lagi dari satu dirham. ( Al Furu’ Min Al Kafi  jil. 5 hal 457 , Tahzibu Al Ahkam jil. 7 hal. 260 )
  7. Dengan perempuan  tanpa had. Ia tidak terbatas kepada empat orang sahaja tetapi mengikut apa yang mereka riwayatkan dari Jaafar As Shadiq bahawa beliau ada berkata , “ Berkahwinlah dengan mereka secara mut’ah walaupun sampai 1000 orang kerana mereka itu termasuk di antara perempuan sewaan” . ( Al Istibshar j. 3 hal. 461, Tahzibu Al Ahkam j. 7 hal. 259, Wasaailu As Syiah jil, 14 hal, 446, Al Furu ‘ Min Al .Kafi jil. 5 hal. 452 )
  8. Untuk jangkamasa tertentu seperti 2 tahun, 2 bulan, sebulan, seminggu atau  sehari. Sekurang-kurang tempoh bagi  mut’ah itu boleh dilakukan mengikut sebagaimana yang tersebut di dalam riwayat ( Syiah ) dari Ali bin Muhammad Al Jawad ( Imam yang ke -10 di sisi Syiah ) bahawa beliau  pernah ditanya, “ Berapa lamakah sekurang-kurangnya tempoh bagi mut’ah itu boleh dilakukan ?, Adakah harus seseorang melakukan mut’ah dengan syarat sekali persetubuhan ?, “ Ya, tidak mengapa. Tetapi bila selesai (daripada persetubuhan itu) hendaklah ia memalingkan mukanya dan tidak memandang lagi kepada perempuan itu. ( Al Furu’ Min Al Kafi j. 5 hal 460. Tahzibu Al Ahkam jil. 7 hal. 267 )
  9. Dengan seseorang perempuan beberapa kali. Perempuan itu tidak haram kepadaa lelaki yang telah melakukan melakukan mut’ah dengannya walaupun beberapa pada kali yang ke-3 bahkan pada kali yang ke-1000 sekalipun ; Ini tersebut di dalam riwayat Syiah dari Aban bahawa ada orang bertanya Jaafar  As Shadiq tentang bolehkah seseorang melakukan mut’ah dengan sesorang perempuan beberapa  kali ?. Jaafar Al Shadiq menjawab, “ Tidak mengapa, ia boleh melakukan mut’ah dengannya seberapa kerap yang dikehendakinya “. ( Al Furu ‘ Min Al Kafi jil . 5 hal. 460, Wasaailu As Syiah jil. 14 hal. 480 ). Satu lagi riwayat dari Jaafar  As Shadiq bahawa beliau ditanya tentang seorang yang berkahwin dengan seorang perempuan secara mut’ah berapa kalikah ia boleh melakukan mut’ah dengannya ?. Jaafar As Shadiq menjawab. “ Sebanyak yang disukainya.” (Qurbu Isnad hal. 109, Wasaalu As Syiah  jil. 14. hal 480. Al Firu Min Al-Kafi jil .5 hal. 460).
  10. Dengan bayaran maskahwin secara ansuran dan tidak memberi sebahagian daripada maskahwin mengikut keadaan hari atau masa keengganan perempuan bergaul dengan lelaki yang mengadakan aqad mut’ah dengannya. Misalnya mereka mengadakan aqad mut’ah untuk 10 hari dan menentukan maskahwinnya sebanyak RM 100.00 tetapi si laki-laki bimbang perempuan yang ia lakukan mut’ah dengannya itu tidak akan memenuhi tempoh yang dipersetujui itu maka bolehlah ia mengaqad mut’ah dengan bayaran maskahwinnya secara beransur-ansur!.Jadi jika perempuan itu hanya memenuhi kepuasan lelaki tersebut selama 5 hari sahaja, maka lelaki itu perlu membayar RM 50.00 sahaja. Ini berdasarkan riwayat mereka (Syiah) daripada Umar bin Hanzalah katanya,”Aku bertanya Jaafar As Shadiq; Bolehkah aku mengadakan aqad mut’ah dengan seorang perempuan selama sebulan dengan tidak memberikan kepada perempuan itu sebahagian daripada maskahwinya? Jaafar As Shafiq menjawab, ”Ya,boleh.Ambillah daripadanya sekadar masa keengganannya (untuk bergaul denganmu). Jika setengah bulan ambillah separuh, jika sepertiga bulan ambillah satu pertiga.”(Al Furu’ Min Al Kafi j.5 hal.461, Wasaailu As Syiah jil.14 hal.481,Biharu Al Anwar jil.100 hal.310)

 

Siapakah Yang Dibenarkan Mengamalkan Mut’ah

Syiah meriwayatkan bahawa Imam Ar Ridha ( Imam yang ke-8 di sisi Syiah ) berkata, “Mut’ah itu tidak halal kecuali kepada orang yang mengertinya. Ia haram kepada orang yang jahil tentangnya.” ( Man Laa Yahdhuruhul Faqih j . 3. hal.459 )

 

Syarat-Syarat Yang Dimestikan Dalam Aqad Mut’ah:

Terdapat hanya dua syarat sahaja yang mesti disebutkan di dalam aqad, untuk menjadi aqad itu sebagai aqad mut’ah iaitu;

  1. Tempoh atau jangkamasa mut’ah dan
  2. Mas kahwinnya.

Ini berdasarkan kepada jawaban Jaafar As Shadiq kepada orang yang bertanya tentang apa yang mesti disebutkan dalam aqad mut’ah. Kata beliau, “ Maskahwin yang maklum untuk jangkamasa yang maklum.” ( Tahzibu Al Ahkam j, 7 hal. 262, Wasaailu As Syiah j. 14 hal. 465 )

 

Hak Menerima Pesaka Hasil Perkahwinan Secara Mut’ah:

Tidak ada hak menerima pesaka daripada masing-masing lelaki atau perempuan yang mengamalkan mut’ah. Hukum ini adalah berdasarkan riwayat dari Said bin Yasar bahawa ia bertanya Jaafar As Shadiq tentang lelaki yang mengahwini seseorang perempuan secara mut’ah dan ia tidak mensyaratkan hak merima pesaka di antara satu sama lain. Jaafar As Shadiq menjawab, “ Tiada hak menerima pesaka bagi mereka berdua sama ada lelaki itu mensyaratkan atau tidak mensyaratkan ( di dalam aqad ) “.( Tahzibu Al Ahkam jil. 7 hal. 265, Al Furu Min Al Kafi jil. 5 hal 465 ).

 

Sebaik-Baik Perempuan Untuk Dimut’ahkan:

Syiah mengajarkan apabila seseorang mahu melakukan mut’ah dengan seseorang perempuan, maka hendaklah ia mencari seorang perempuan mukminah, terpelihara kesucian dirinya, terhormat, pintar dan beraqidah dengan aqidah yang benar tetapi jika perempuan dengan sifat-sifat ini tidak ditemui, boleh juga dilakukan aqad mut’ah dengan perempuan-perempuan yang lain.  (Syeikh At Thusi- An Nihayah hal. 490, Tahzibu Al Ahkam j.7 hal. 252 )

 

Perbezaan Di Antara  Perkahwinan Menurut Islam Dengan Perkahwinan Cara Mut’ah

Di sini kita senaraikan beberapa perbezaan penting di antara perkahwinan yang sah menurut Islam dengan perkahwinan cara mut’ah yang diharamkan oleh Islam tetapi digalakkan oleh Syiah

 

Perkahwinan Menurut Umat Islam Selain Syiah.

Perkahwinan ini terjadi dengan sighah atau lafaz aqad nikah di hadapan wali dan 2 orang saksi.

  1. Si  suami bertanggungjawab menanggung nafkah isteri termasuk tempat tinggal dan sebagainya.
  2. Seseorang lelaki tidak harus menghimpunkan lebih daripada 4 orang isteri dalam satu masa dengan syarat-syarat yang tertentu.
  3. Perempuan mewarisi suami apabila  suaminya mati.
  4. Persetujuan bapa merupakan satu syarat bagi sahnya perkahwinan anak dara.
  5. Tempoh perkahwinan berterusan selagi suami isteri itu hidup jika tidak berlaku perceraian .

 

Perkahwinan Secara Mut’ah Menurut Syiah

  1. Perkahwinan terjadi dengan aqad mut’ah walaupun tanpa wali dan saksi.
  2. Lelaki bebas dari menanggung sebarang nafkah terhadap isteri.
  3. Seorang lelaki harus menghimpun seramai mana perempuan yang diingininya tanpa syarat.
  4. Isteri tidak berhak mendapat pesaka dari suami.
  5. Persetujuan bapa tidak merupakan syarat dalam semua keadaan.
  6. Tempoh perkahwinan mut’ah mungkin ¼ jam, mungkin sehari, mungkin juga seminggu mengikut apa yang dilafazkan oleh seorang lelaki.

 

Keadaan Thalaq Menurut Islam

  1. Perceraian berlaku apabila lelaki melafazkan thalaq dengan sedar dan pilihan sendiri, bukan dengan terpaksa ( cara paksa ).
  2. Edah thalaq bagi perempuan ialah 3 kali suci atau 3 kali haid .
  3. Wajib atas suami menanggung nafkah isteri semasa edahnya.

 

Keadaan Thalaq Bagi Kahwin Mut’ah

  1. Perceraian berlaku apabila habis tempuh yang disebutkan di dalam aqad.
  2. Edah perceraian ialah seperti edah hamba iaitu ½ daripada edah orang merdeka.
  3. Seseorang bebas daripada sebarang nafkah terhadap isteri semasa edahnya.

 

Penutup:

‘Sebagai mengakhiri rencana ini elok rasanya kita sudahi dengan pandangan cendekiawan Syiah sendiri yang berusaha sedaya upaya untuk memperbetul dan memurnikan ajaran Syiah termasuk nikah mut’ah ini. Beliau ialah Dr. Musa Al Musavi. Di dalam bukunya As Syiah Wa At Tashih beliau menulis, “ Bahawa Islam datang untuk memuliakan manusia sebagai yang tertera di dalam firman Allah yang bermaksud, “ Sesungguhnya Kami telah memuliakan manusia” ( Al Isra’ –ayat 70 ) dan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “ Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Adakah Islam menentukan peraturan-peraturan yang mengharuskan kebebasan seks yang menjatuhkan maruah perempuan dengan meletakkannya di satu tempat yang tidak dapat kita temui walaupun di dalam masyarakat yang mengamalkan “Liberinism” di sepanjang sejarah?. Tidak dapat kita jumpai juga di dalam istana Louis ke 14 di Versailles, Perancis ataupun di dalam mahligai-mahligai Sultan-Sultan Turki dan Maharaja-Maharaja Parsi.

Manusia yang disebutkan di dalam ayat Al Quran yang mulia itu merangkumi lelaki dan perempuan dan akhlak yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. itu pula adalah untuk menyempurnakan kedua-dua jenis manusia lelaki dan perempuan.

Bagaimana mungkin seseorang itu dapat menjaga kehormatannya dan terpelihara akhlaknya dengan adanya undang-undang mut’ah ini?. Apa yang dinikmati oleh perempuan dari peraturan dan undang-undang mut’ah itu hanyalah kehinaan dan kehilangan maruahnya apabila ia dianggap sebagai matabenda yang boleh ditimbunkan oleh lelaki tanpa had.

Perempuan yang telah dimuliakan oleh Allah sebagai ibu yang melahirkan lelaki-lelaki dan wanita-wanita agung dengan memberikan darjat yang tidak diberikan kepada orang lain. Justeru ia meletakkan syurga di bawah tapak kakinya sebagaimana sabda Nabi saw. “ Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu.”\

Layakkah ia menghabiskan waktunya di dalam pangkuan lelaki, seorang demi seorang, di atas nama syariat Muhammad?? ( As Syiah Wa At Tashih hal. 109 dan 111 )

Demikianlah pandangan seorang cendikiawan Syiah tentang mut’ah yang saya kira fitrah kemanusiaanya yang suci belum ternoda lagi. Tetapi apakan daya, usaha-usahanya itu akan hilang dengan sia-sia dan akan menjadi debu yang berhamburan kerana konsep mut’ah itu sudah sebati dan menjadi darah daging ajaran Syiah yang tidak mungkin dipisahkan lagi.

Di hadapan kita sekarang hanya ada satu jalan sahaja yang dapat menyelamatkan kehormatan wanita khususnya dan kemanusiaan secara amnya iaitulah jalan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Perhatikanlah kepada cirri-ciri manusia yang berjaya dan berbahagia kerana berada di atas jalan yang lurus menurut ajaran Islam yang sebenarnya di dalam firman Allah yang bermaksud:

“ Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ di dalam sembahyangnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya ( dengan menunaikan zakat harta itu ) dan mereka yang menjaga kemaluan-kemaluannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian maka merekalah orang-orang yang melampaui batas”    ( Al Mukminun- ayat 1-7 )

 

sumber : darulkautsar

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s