PENGERTIAN SYAHADAH

PENGERTIAN SYAHADAH

(Teks Khutbah Jumaat 4 Febuari 2011 – Masjid As Syakirin, Oran)

Sidang JumaatYang Dirahmati Allah,

Manusia dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Pengabdian yang tulus murni lagi benar menjadi tuntutan bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Untuk itu, setiap hamba Allah perlu mempunyai akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih dan akhlak yang terpuji. Aspek akidah adalah teras kepada semua itu. Manakala teras kepada perbahasan akidah pula ialah pengertian dan tuntutan syahadah. Syahadah yang dimaksudkan ialah pengakuan dan penyaksian seorang hamba bahawa ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah’. Kalimah yang diungkapkan ialah:

Ungkapan syahadah ini sering dilaungkan oleh muazzin setiap kali azan dan dilafazkan oleh setiap orang yang solat. Ia sangat penting dalam hidup setiap manusia yang beriman. Selain itu, kepentingan syahadah dilihat dalam 2 keadaan:

Pertama : Islam dibina di atas beberapa rukun dan salah satu rukunnya ialah kalimah syahadah ini. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al- Bukhari dan Muslim, yang bermaksud :

“Agama Islam dibina di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullahilharam dan puasa pada bulan Ramadan.”

Kedua : Setiap orang yang ingin memeluk Islam hendaklah mengucapkan kalimah syahadah ini. Inilah yang dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW, cantohnya ketika Islamnya Abdullah Bin Salam yang asalnya seorang pendeta Yahudi. (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah SAW telah menjanjikan banyak kelebihan yang terdapat pada penyaksian agung ini. Sabda baginda SAW dalam hadis riwayat Muslim, yang bermaksud :

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah. Tidaklah seorang hamba yang bertemu Allah dengan dua kalimah ini tanpa sebarang syak melainkan akan masuk syurga.”

Sabda baginda lagi dalam hadis riwayat Muslim, yang bermasud:

“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan ba­hawa Muhammad adalah utusan Allah, nescaya Allah haramkan ke atasnya neraka.”

Ramai manusia telah menuturkan kalimah syahadah ini; namun ia tidak memberi apa-apa makna dan manfaat. Ini kerana, ia sekadar diucap den­gan pengucapan kosong tanpa kesedaran dan penghayatan pada makna serta tuntutannya. Justeru, Rasulullah SAW telah meletakkan syarat bagi mencapal kelebihan kalimah mulia ini mestilah dengan ilmu. Sabda rasul SAW dalam hadis riwayat Muslim, yang bermaksud :

“Barangsiapa mati dalam keadaan dia mengetahui bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, nescaya dia masuk syurga.”

Syahadah atau penyaksian

لا إله إلا الله محمد رسول الله

membawa maksud: suatu iktikad yang kukuh bahawa tiada tuhan yang berhak dan layak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahawa nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruh Allah.

Sidang Jumaat Yang Dihormati sekalian,

Tuntutan dan cara menghayati syahadah yang pertama iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Allah” adalah seperti berikut:

1.     Menuturkan kalimah dalam keadaan mengetahui dan memahami maksudnya sebagaimana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 19 :

Maksudnya:

“Ketahuilah bahawasanya Tiada Tuhan melainkan Allah…”

2.    Beramal dengan maksud kandungan kalimah itu. la adalah asas pengutusan para rasul, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Anbiya’, ayat 25, yang bermaksud :

“Dan tidak Kami utuskan seorang rasul pun sebelum kamu melainkan kami wahyukan kepadanya, bahawa tiada Tuhan me­lainkan Aku, maka abdikaniah diri kepada-Ku”

3.    Menyerah diri kepada Allah SWT, sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 128, yang bermaksud:

“Tuhan kami! Jadikanlah kami ber- dua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) menyerah diri kepada-Mu dan juga dari zuriat kami satu umatyang menyerah diri kepada-Mu…”

4.     Membenarkan segala yang datang daripada Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nisa’, ayat 87, yang bermaksud :

“…dan siapakah yang lebih benar percakapannya daripada Allah?”

5.  Ikhlas dalam melakukan pengabdian dan berlepas diri daripada sebarang bentuk syirik dan khurafat. Firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 11, yang bermaksud :

“Katakanlah wahai Muhammad! Sesungguhnya aku diper- intahkan untuk mengabdikan diri kepada Allah dalam keadaan ikhlas beragama kepada-Nya…”

6.     Mengasihi Allah melebihi segala yang lain, sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 165, yang bermaksud :

“…dan orang-orang yang beriman sangat cintakan Allah.”

Tuntutan dan cara menghayati syahadah yang kedua iaitu “Nabi Muham­mad hamba dan pesuruh Allah” adalah seperti berikut:

1.   Meyakini bahawa Rasulullah adalah manusia pilihan Allah. Baginda juga bukan sekutu bagi Allah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi, ayat 110, yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad)! bahawasanya aku ini adalah manusia biasa seperti kamu yang diwahyukan kepadaku. Bahawa­sanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang satu”.

2.    Meyakini bahawa baginda Rasulullah dipelihara oleh Allah daripada terjebak dalam sebarang bentuk dosa. Baginda juga dipelihara daripada tersalah dalam menyampaikan risalah Allah.

3.   Mentaati segala perintah Rasulullah dan menjauhi segala larangarinya. Firman Allah dalam surah Al-Hasyr, ayat 7, yang bermaksud :

“Dan ара yang dibawa datang kepada kamu oleh Rasulullah hendaklah kamu ambil dan ара yang baginda larang, maka hendaklah kamu tinggalkan.”

4.   Membenarkan setiap yang baginda sampaikan. Ini kerana baginda tidak berkata-kata sebarangan, sebaliknya ia adalah panduan daripada Allah. Firman Allah dalam surah An-Najmi, ayat 3 dan 4, yang bermaksud :

“Dan dia yakni Nabi Muhammad tidak bertutur dengan hawa nafsu, sebaliknya ia adalah wahyu yang diutuskan oleh Allah.”

5. Mencintai Nabi melebihi makhluk yang lain. Sabda rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari:

Maksudnya:

“Tidak beriman seorang daripada kamu hinggalah dia menjadikan aku yang paling dicintai melebihi bapanya dan anaknya serta semua manusia.”

Kesimpulannya, mimbar menyeru semua jemaah sekalian agar melaksanakan segala tuntutan dua kalimah syahadah ini. Semoga ia dapat membebaskan jiwa raga daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah SWT serta mengelakkan diri daripada mengikut petunjuk selain petunjuk Rasulullah SAW.

Tek khutbah di sediakaan oleh:

Jabatan Mufti Perlis

Imam Bertugas: Ustaz Ustaz Mohd. Sahir Bin Hj. Bakar

Imam 3 Masjid As Syakirin

 

Sumber : http://masjidassyakirin.wordpress.com/

About these ads

2 thoughts on “PENGERTIAN SYAHADAH

  1. Salam,tuan bagaimana kepada mereka yang telah sangat memahami rukun islam, tetapi masih meninggalkan solat.Solat mereka dilakukan pada waktu malam yang membolehkan solat itu didirikan dengan khusyuk.

    t.q

    • Salam,
      Maksud firman Allah s.w.t;
      Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki ; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.
      -Al Muminun 1-11

      Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
      -al Baqarah 277

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s