Imam Ibnul Qayyim : Membaca Al-Quran di atas kubur

Membaca Al-Quran di atas kubur.

Pernah disebutkan daripada setengah para salaf, bahwa mereka mewasiatkan supaya dibacakan di atas kubur mereka di waktu penguburannya. Telah berkata Abdul Haq, diriwayatkan bahwa Abdullah bin Umar pernah menyuruh supaya dibacakan di atas kuburnya surah Al-Baqarah. Pendapat ini dikuatkan oleh Mu’alla bin Abdul Rahman. Ada riwayat mengatakan bahwa Imam Ahmad bin Hanbal, pada mulanya mengingkari pendapat ini kerana dia masih belum menemui sesuatu dalil mengenainya, kemudian menarik balik pengingkarannya itu setelah jelas kepadanya bahwa pendapat itu betul.

Berkata Khallal di dalam kitabnya ‘Al-Jami’: Telah berkata kepadaku Al-Abbas bin Muhammad Ad-Dauri, berbicara kepadaku Abdul Rahman bin Al-Ala’ bin Lajlaj, daripada ayahnya, katanya: Ayahku telah berpesan kepadaku, kalau dia mati, maka kuburkanlah dia di dalam lahad, kemudian sebutkan: Dengan nama Allah, dan atas agama Rasulullah! Kemudian ratakanlah kubur itu dengan tanah, kemudian bacakan di kepalaku dengan pembukaan Ayat Surah Al-Baqarah, kerana aku telah mendengar Abdullah bin Umar r.a. menyuruh membuar demikian. Berkata Al-Abbas Ad-Dauri kemudian: Aku pergi bertanya Ahmad bin Hanbal, kalau dia ada menghafal sesuatu ten tang membaca di atas kubur. Мака katanya: Tidak ada! Kemudian aku bertanya pula Yahya bin Mu’in, maka dia telah menerangkan kepadaku bicara yang menganjurkan yang demikian.

Berkata Khallal, telah memberitahuku Al-Hasan bin Ahmad Al- Warraq, berbicara kepadaku Ali bin Muwaffa AUHaddad, dan dia adalah seorang yang berkata benar, katanya: Sekali peristiwa saya bersama-sama dengan Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah Al-Jauhari menghadiri suatu jenazah. Setelah selesai mayit itu dikuburkan, maka telah duduk seorang buta membaca sesuatu di atas kubur itu. Maka ia disangkal oleh Imam Ahmad, katanya: Wahai fulan! Membaca sesuatu di atas kubur adalah bid’ah! Apabila kita keluar dari perkuburan itu, berkata Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdullah! Ара pendapatmu pada si Mubasysyir Al-Halabi? Jawab Imam Ahmad: Dia seorang yang dipercayai. Berkata Muhammad bin Qudamah seterusnya: Aku menghafal sesuatu daripadanya! Sangkal Ahmad bin Hanbal: Yakah, ара dia? Berkata Muhammad bin Qudamah: Telah memberitahuku Mubasysyir, daripada Abdul Rahman bin Al-Ala* bin Lajlaj, daripada ayahnya, bahwasanya dia telah berpesan, kalau dia dikuburkan nanti, hendaklah dibacakan di kepalanya ayat-ayat permulaan surah Al-Baqarah, dan ayat-ayat penghabisannya, sambil kata­nya: Aku mendengar Abdullah bin Umar (Ibnu Umar) mewasiatkan orang membaca yang demikian itu.

Mendengar itu, maka Imam Ahmad bin Hanbal berkata kepada Muhammad bin Qudamah: Kalau begitu, aku tarik balik tegahanku itu. Dan suruhlah orang buta itu membacakannya.

Berkata Al-Hasan bin As-Sabbah Az-Za’farani pula: Saya pernah menanyakan hal itu kepada Imam Syafi’i, kalau boleh dibacakan sesuatu di atas kubur orang, maka jawabnya: Boleh, tidak mengapa!

Khallal pula telah menyebutkan lagi daripada As-Sya’bi, katanya: Adalah kaum Anshar, apabila mati seseorang di antara mereka, sentiasalah mereka mendatangi kuburnya untuk membacakan sesuatu daripada al Quran.

As-Sya’bi berkata, telah memberitahuku Abu Yahya An-Naqid, katanya aku telah mendengar Al-Hasan bin AI’Haruri berkata: Saya telah mendatangi kubur saudara perempuanku, lalu aku membacakan di situ Surat Tabarak (Al-Mulk), sebagaimana yang dianjurkan. Kemudian datang kepadaku seorang lelaki dan memberitahuku, katanya: Aku mimpikan saudara perempuanmu, dia berkata: Moga-moga Allah memberi balasan kepada Abu Ali (yakni si pembaca itu) dengan segala yang baik. Sungguh aku mendapat manfaat yang banyak dari bacaannya itu.

Telah memberitahuku Al-Hasan bin Haitsam, katanya aku telah mendengar Abu Bakar bin Atrusy berkata: Ada seorang lelaki datang ke kubur ibunya pada hari Jum’at, kemudian dia membaca Surat Yasin di situ. Bercerita Abu Bakar seterusnya: Мака aku pun datang ke kubur ibuku dan membaca Surah Yasin, kemudian aku mengangkat tangan: Ya Allah! Ya Tuhanku! Kalau memang Engkau memberi pahala bagi orang yang membaca surat ini, maka jadikanlah pahala itu bagi sekaiian ahli kuburan ini!

Apabila tiba hari Jum’at yang berikutnya, dia telah ditemui oleh seorang wanita. Wanita itu bertanya: Apakah kau fulan anak si fulanah itu? Jawab Abu Bakar: Ya! Berkata wanita itu lagi: Puteriku telah meninggal dunia, lalu aku bermimpikan dia sedang duduk di atas kubur- nya. Maka aku bertanya: Mengapa kau duduk di sini? Jawabnya: Si fulan anak fulanah itu telah datang ke kubur ibunya seraya membacakan Surat Yasin» dan dijadikan pahalanya untuk ahli kuburan sekaliannya. Maka aku pun telah mendapat bahagian daripadanya, dan dosaku pun telah diampunkan kerananya.

Di petik dari kitab Roh oleh Ibnul Qayyim

Galakan baca al-Quran di kubur

Galakan baca al-Quran di kubur
Oleh Hasliza Hassan

AMALAN membaca al-Quran di atas kubur adalah permasalahan ranting agama yang bersifat elektif untuk seseorang mukmin, bukan permasalahan tunjang yang mendasari iman dan Islam. Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan, manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan.

Perkara itu dijelaskan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain al-Ghari, supaya masyarakat tidak memberi tafsiran songsang hanya kerana mereka gagal menemui nas bahawa perbuatan itu dilakukan Rasulullah SAW.

Justeru, katanya, permasalahan furu’ atau cabang perlu difahami secara menyeluruh berserta dalil dan kaedah syariah yang jelas supaya sesuatu isu dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak, selain mengelak daripada sikap fanatik serta melampau.

“Hukum syarak amat fleksibel dalam apa juga permasalahan. Maknanya, jika tidak ada hadis yang menunjukkan amalan itu dilakukan Rasulullah SAW, itu tidak bermakna ia menyalahi hukum kerana kita ada dalil lain.

“Tinjauan kita kepada isu membaca al-Quran di atas kubur menemukan beberapa dalil berkaitan yang dapat difahami serta dihayati dengan baik,” katanya.

Dalam masalah membaca al-Quran di atas kubur, katanya, ada banyak ayat al-Quran yang bersifat umum, tetapi boleh dijadikan panduan bagi menjawab persoalan apabila mafhum ayat itu dibincangkan serta diberi tafsiran lebih mendalam.

Contohnya, firman Allah bermaksud: “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah al-Tur, ayat 21)

Zamihan berkata, ayat itu bersifat umum, tetapi menjelaskan bahawa amalan mereka yang masih hidup dapat memberi manfaat kepada yang sudah mati seperti amalan puasa, wakaf, haji dan membaca al-Quran yang termasuk dalam sedekah.

Katanya, jika pahala amalan puasa dan haji yang dilaksanakan untuk orang meninggal dunia sampai, begitu juga pahala membaca al-Quran yang disedekahkan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia juga akan sampai kepada mereka.

“Ia bermakna diharuskan kita membaca al-Quran tidak kira di mana sama ada di rumah, pejabat, dalam kapal terbang atau di atas kubur sekalipun. Membaca di atas kubur suasananya lain sikit kerana ini akan membuatkan kita insaf, ingat kepada mati dan mensyukuri nikmat Allah,” katanya.

Katanya, amalan membaca al-Quran di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai, ada kalanya berstatus sahih, hasan, daif dan amat daif.

Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperoleh melalui dua rakaat solat pada waktu duha.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Berdasarkan dalil inilah ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Quran itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.”

Sementara Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan: “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Quran juga termasuk dalam erti kata sedekah berdasar syarak.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya, berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid: “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.”

Imam al-Haitsami dalam Majma al-Zawaid mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri daripada kalangan perawi yang siqah (dipercayai), manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini dalam kitabnya al-Mustadrak.

Zamihan berkata, membaca al-Quran di atas kubur ternyata bukan bid’ah yang sesat kerana ada nas yang membuktikan bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan daripada Nabi SAW supaya dibacakan ayat suci al-Quran di tanah perkuburan.

Beliau berkata, sebenarnya hadis yang bertali arus dengan amalan membaca al-Quran di atas kubur masih banyak dan perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah perkara biasa terutama dalam permasalahan cabang agama.

Oleh itu, katanya, apabila Rasulullah SAW tidak melakukan sesuatu perkara itu tidak bermakna ia salah dan tidak wajar ada pihak yang memberi hukuman melampau kerana Baginda juga tidak melakukan semua amalan yang diharuskan syarak.

“Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan keadaan ini. Hal ini penting supaya aktiviti kehidupan kita menepati tuntutan syarak dan merapatkan kita kepada takwa.

“Ia sekali gus mengelakkan kita daripada bersikap keras kepala terhadap amalan yang sudah sebati dalam masyarakat dan diperakui pihak yang mempunyai kuasa dalam bidang berkenaan. Sebenarnya isu klasik ini sudah ditangani ulama, tetapi masih ada pihak sengaja membangkitkannya,” katanya.

Katanya, perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan generasi salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/ … index_html

Nabi s.a.w Membaca Fatihah Di Perkuburan Melalui Solat Jenazah

Abu Syu’aib, Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latif,  dalam sangahan terhadap Artikel Zamihan Mat Zin Al-Ghari  menulis:

“Dari sudut yang lain kita perhatikan masyarakat kita yang pergi untuk menziarahi kubur terutamanya pada hari raya mereka telah melakukan satu kesalahan yang jelas di larang oleh agama untuk membaca al-Quran. Iaitulah dengan duduk di atas kuburan untuk membaca yasin dan sebagainya. Mengapakah perkara ini tidak diambil berat oleh masyarakat kita? Jawapannya disebabkan kerana kejahilan. Tidakkan kita mendengar hadis nabi s.a.w. “Adalah lebih baik bagi seseorang di kalangan kamu duduk di atas bara api sehinga terbakar pakaiannya dan melecur kulitnya daripada dia duduk di atas kubur”. hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam bab “Larangan duduk di atas kubur dan bersolat di atasnya” Maka sekiranya masih berdegil juga untuk melakukannya maka silalah membaca al-Quran di atas kubur secara berdiri, kerana diharamkan untuk duduk di atas kubur.” Rujuk : http://aburedza.wordpress.com/2009/10/22/membaca-al-quran-di-atas-kubur-jawapan-kepada-artikel-zamihan-mat-zin-al-ghari/

Kubur boleh saja dalam kubur, atas kubur, tepi kubur, antara beberapa kubur atau kawasan perkuburan. Jangan duduk boleh juga jangan bertinggung, jangan berjalan, jangan bercangkung, jangan berdiri jika betul-betul di atas jenazah ( di antara 2 batu nisan ). Kalau di tepi , di antara beberapa kubur , di kawasan perkuburan, silakan ……. bacalah quran dan berdoa. Yang tidak dibaca al Quran adalah di dalam kubur.

Demikian saya dan sahabat-sahabat sebagai orang awam memahami duduk di atas kubur. Kami apabila bergotong royong membersih kubur, apabila berehat akan mencari ruang-ruang kosong yang tidak ada batu nisan untuk duduk atau berdiri. Apabila berjalan  atau membersihkan kubur kami akan mengelak melintasi dua batu nisan bagi satu kubur, kami akan berjalan di celah-celah kubur – itu yang saya yang daif ini faham – jika fahaman ini silap , ustaz-ustaz yang membaca tulisan ini , sila betulkan melalui ruang komen. Bagaimanapun tidak di nafikan – bagi kubur yang sesak dan rapat , kami tidak akan duduk di situ kerana takut terduduk di atas kubur/jenazah.

Nabi saw  dan sahabat pernah sembahyang jenazah di kawasan perkuburan ,  tentunya bukan betul-betul di atas jenazah di dalam kubur ( ia itu di antara 2 batu nisan ):

  • Hadis riwayat Abdullah bin Abbas ra.: Bahwa Rasulullah saw. menyalati mayit di atas kubur, sesudah mayit dikubur. Beliau bertakbir empat kali. (Shahih Muslim No.1586)
  • Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:
    Bahwa seorang wanita hitam yang biasa menyapu mesjid, suatu hari Rasulullah saw. merasa kehilangannya (tidak melihatnya). Lalu beliau bertanya kabarnya, para sahabat menjawab: Dia sudah meninggal dunia. Rasulullah saw. menegur: Kenapa kalian tidak memberitahukan kepadaku? Seakan-akan para sahabat menganggap kecil urusannya atau urusan kematian. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: Tunjukkan aku kuburnya. Setelah ditunjukkan, beliau menyalatinya kemudian bersabda: Sungguh pekuburan ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya dan sesungguhnya Allah meneranginya sebab salatku atas mereka. (Shahih Muslim No.1588)
  • Sayyid Sabiq, dlm Fiqh Sunnah jld 4 pada tajuk Solat di Makam, menukilkan sebuah hadith dari Yazid bin Tsabit di mana Nabi saw dan sekumpulan sahabat menziarahi perkuburan Baqi’, baginda terpandang sebuah kubur yg baru. Lalu beliau bertanyakan kubur siapakah itu. Bila diberitahu, Nabi dgn nada marah mempersoalkan kenapa beginda tidak diberitahu. para sahabat menjelaskan ketika pemakaman itu mereka mendapati beliau sedang tidur. Tapi Nabi kemudian melarang perbuatan itu dan hendaklah memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu kerana solat baginda ke atas mayyit adalah rahmat. Lantas baginda membuat saf dan solat di kuburan itu. [HR Ahmad, Nasa'iy, alBaihaqi, al-Hakim dan disahkan oleh Ibn Hibban]

Dan tentunya nabi saw membaca Fatihah didalam sembahyang tersebut. Hadis “Larangan duduk di atas kubur dan bersolat di atasnya” sudah tentu solat selain solat jenazah.

Tambahan Tulisan Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy dan Syed Sabiq

Sebagai tambahan suka saya memetik pandangan Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy di dalam Pedoman Shalat  ms 496 :

Para ulama menyukai kita shalat jenazah di perkuburan dengan berdiri di antara kubur-kubur. Begitulah pendapat Atha’ , Asy Syafi’y, Ahmad, Ishaq dan Ibnul Mundzir.

Beliau juga mengatakan:

Pernah hal ini dilakukan oleh Abu Hurairah dan Umar Ibn Abdul Aziz.

Hadis yang di rujuk :

Ibnu Abbas r.a berkata: “ Pada suatu hari Rasullah s.a.w sampai kekubur yang masih basah, maka beliau bersalat baginya dan bersaf-saflah para sahabat di belakang beliau. Rasullah s.a.w. bertakbir 4 kali. ( H.R. Bukhary, Muslim, An-Nail 4:89)

Sa’ied ibn Al-Musayyab berkata: “Bahawasanya Ummu Sa’din meninggal sedang Nabi s.a.w  tidak ada di kampung. Manakala kembali, beliau bersalat bagi jenazahnya, padahal telah berlalu sebulan lamanya (H.R At-Turmudzy, An-Nail 4:90)

Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy juga menyatakan :

Sebahagian Ulama tidak membolehkan. Di antara mereka ialah An-Nakha’y, Malik dan Abu Hanifah.

Sebagai tambahan juga Syed Sabiq sekali lagi menulis pada tajuk Solat Jenazah di Tengah Perkuburan:

Mensolatkan jenazah di suatu kubur yang terletak di tengah-tengah perkuburan, dianggap makruh oleh jumhur. Pendapat ini diriwayatkan dari Ali, Abdullah bin Amar dan Ibnu Abbas. Juga menjadi mazhab bagi ‘Atha, Nakhi, Syafii, Ishak dan Ibnul Mundzir, berdasarkan sabda Rasullah s.a.w bermaksud:

” Bumi ini semuanya menjadi mesjid, kecuali perkuburan dan tempat pemandian”

Syed Sabiq menambah,  menurut satu pendapat dari Ahmad, hal ini tidak ada salahnya, kerana Nabi s.a.w. melakukan solat di suatu kubur yang berada di tengah perkuburan. Begitupun Abu Hurairah mensolatkan Aisyah di tengah perkuburan Al Baqi dengan disaksikan oleh Ibnu Umar. Dan Umar Abdul Aziz melakukan pula.

( Tulisan merah nampak macam ada perbedzaan fakta – saya tidak pasti- ini lah kelemahan orang awan seperti saya yang tidak mampu merujuk sumber asal….. )

Kesimpulan:

1. Nabi S.A.W  dan sahabat pernah membaca al Quran dan beribadat di perkuburan.

2. Terdapat perbedzaan pendapat ulama mengenai hal ini , kerana itu saya berlapang dada mengenainya.


Lagi hujah menyokong sampainya sedekah bacaan al Quran kepada si Mati oleh  Sheikh Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghummari dalam e book  98 halaman boleh baca atau download di sini :

http://www.scribd.com/doc/22154271/4665625-Hukum-Sedekah-Fatihah-Kepada-Si-Mati

Sayyid Sabiq, dlm Fiqh Sunnah jld 4/120-122 menukilkan sebuah hadith dari Yazid bin Tsabit di mana Nabi saw dan sekumpulan sahabat menziarahi perkuburan Baqi’, baginda terpandang sebuah kubur yg baru. Lalu beliau bertanyakan kubur siapakah itu. Bila diberitahu, Nabi dgn nada marah mempersoalkan kenapa beginda tidak diberitahu. para sahabat menjelaskan ketika pemakaman itu mereka mendapati beliau sedang tidur. Tapi Nabi kemudian melarang perbuatan itu dan hendaklah memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu kerana solat baginda ke atas mayyit adalah rahmat. Lantas baginda membuat saf dan solat di kuburan itu. [HR Ahmad, Nasa'iy, alBaihaqi, al-Hakim dan disahkan oleh Ibn Hibban]

Membaca al-Quran di kubur tidak bidaah

Oleh MUHAMMAD RAMZI OMAR

____________________

( CATITAN : RENCANA INI TELAH DI BUAT PEMBETULAN/PENJELASAN OLEH PENULIS MUHAMMMAD RAMZI OMAR  PADA PARA 8 , PADA KOMENTAR DIBAWAH – SILA BACA JUGA KOMENTAR BELIAU – TERIMA KASIH:

Maksud sebenar yang hendak disampaikan oleh penulis ialah kenyataan seperti berikut:

“Jika ada yang memberikan alasan bahawa Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab yang lain bahawa pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie tidak sampai pahala al-Quran kepada si mati, maka kita mengatakan berdasarkan nas al-Syafie adalah sebaliknya, di mana masyhur dan nas adalah istilah yang dipakai dalam fiqh mazhab al-Syafie dan nas juga adalah pendapat yang dinilai kuat dan dinisbahkan kepada Imam al-Syafie.” )

___________________

Dewasa ini umat Islam berada dalam persimpangan dan kekeliruan ekoran timbulnya dakwaan bahawa beberapa amalan yang mereka lakukan adalah satu kesalahan dan bidaah yang menyesatkan. Timbulnya dakwaan oleh pihak tertentu yang mengemukakan hujah dan bukti melalui kajian ilmiah dan akademik (seperti yang didakwakan) boleh menyebabkan kesan negatif di kalangan sesetengah masyarakat awam, iaitu merasa bersalah atas amalan yang selama ini dianggap baik, rupa-rupanya ia adalah sesat seperti yang didakwakan. Jauh lebih buruk daripada itu, bibit-bibit sangkaan buruk kepada ahli-ahli agama mula menular. Tidak jauh kemungkinan timbulnya tanggapan bahawa selama ini sesetengah ahli agama menipu mereka dengan ajaran-ajaran palsu ekoran dakwaan yang ditimbulkan itu. Apatah lagi dakwaan itu pula ditimbulkan oleh kalangan cerdik pandai yang terbabit membuat penyelidikan dan pembacaan dalam bidang-bidang yang mereka perkatakan.

Salah satu daripada isu yang semakin kerap dibincangkan dewasa ini ialah hukum membaca al-Quran di atas kubur dengan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Adakah amalan ini diharuskan atau sebaliknya? Benarkah jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah? Memang tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat tentang keharusan amalan ini, tetapi secara umumnya ramai di kalangan ulama yang berpendapat harus membaca al-Quran di atas kubur dengan tujuan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, dan ia bukannya amalan yang bidaah serta amat tersasar untuk dikatakan sebagai sesat.

Salah seorang tokoh salafi yang terkenal iaitu Imam Ibn Taimiyah menyebutkan: “Sesiapa yang membaca al-Quran kerana mengharapkan ganjaran pahala dan menghadiahkannya kepada si mati, maka yang demikian itu ada manfaatnya.” (Majmu’ Fatawa, juzuk 24, hlm. 30). Tidak dinafikan bahawa dalam soal membaca al-Quran di kubur, Imam Ibn Taimiah berpandangan tentang larangannya, tetapi beliau tidaklah menghukum sebagai sesat atau mengatakan jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah. Ini kerana beliau turut menukilkan pertikaian pendapat di kalangan imam-imam mazhab antara yang mengharuskan dan yang tidak menyukainya (makruh). Walaupun begitu terdapat sesetengah buku semasa berbahasa Arab yang memerangi bidaah, mengharamkan membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati sama ada di kubur atau di tempat lain melebihi pandangan yang diutarakan oleh Ibn Taimiyah.

Berkata Ibn al-Qayyim dalam kitab ar-Roh: “Sebaik-baik yang dihadiahkan kepada mayat ialah sedekah dan istighfar, berdoa untuknya dan menunaikan haji bagi pihaknya. Manakala membaca al-Quran dan menghadiahkan pahala kepadanya secara sukarela tanpa dibayar upah, maka amalan ini (yakni pahalanya) sampai kepadanya (mayat) sebagaimana sampainya pahala puasa dan haji kepadanya.” Dalam tempat yang lain beliau (Ibn al-Qayyim) menyebutkan: “Yang lebih utama adalah berniat ketika melakukannya (membaca al-Quran) bahawa ia (pahalanya) adalah untuk si mati, dan tidaklah disyaratkan berlafaz dengan niat itu.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi. hlm. 143)

Ibn al-Qayyim melaporkan berita yang bersumber daripada ‘Ali bin Musa al-Haddad seorang yang benar (dipercayai), katanya: “Pernah aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari mengiringi satu jenazah. Setelah mayat itu dikebumikan, maka duduklah seorang lelaki buta membaca al-Quran di sisi kubur. Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Hai kamu, membaca al-Quran di sisi kubur adalah bidaah.” Maka tatkala kami keluar dari kawasan kubur, berkatalah Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal: “Wahai Abdullah, apa pandangan tuan tentang Mubasysyir al-Halabi?” Jawabnya: “Dia seorang yang dipercayai.” Tanya Imam Ahmad: “Adakah anda menulis sesuatu daripadanya?” Kata Muhammad bin Qudamah: “Ya, Mubasysyir telah memberitahuku daripada Abdul Rahman bin al-‘Alla’ al-Lajlaj daripada bapanya yang berwasiat kepadanya apabila dia dikebumikan supaya dibaca di sisi kepalanya permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya, dan dia berkata: “Aku mendengar Ibn Umar berwasiat seperti yang demikian.” Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Kembalilah kamu dan suruhlah lelaki itu membaca al-Quran.”

Ibn al-Qayyim menyebutkan lagi: “Berkata al-Hasan bin al-Sabah al-Za’farani: Aku bertanya al-Syafie tentang membaca al-Quran di sisi kubur, lalu dia menjawab: “Tidak mengapa.” (Ibid, hlm. 10-11). Sayugia diingatkan bahawa laporan oleh Ibn al-Qayyim ini bukan bertujuan menyanggahi amalan tersebut, malah beliau menyetujuinya.

Berdasarkan kenyataan ini dapatlah difahami pandangan imam al-Syafie bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati bukanlah bererti beliau mengatakannya sebagai salah atau haram seperti yang didakwakan sesetengah pihak. Apatah lagi fuqaha’ mutaakhir dalam mazhab al-Syafie seperti Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa nas al-Syafie dan disepakati oleh para ashab (ulama al-Syafie) menyebutkan dimustahabkan (sunat) membaca al-Quran di sisi kubur. (Al-Majmu’ 5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah).

Apabila Imam an-Nawawi menyebutkan hukum ini disepakati di kalangan ashab maka ia menunjukkan galakan membaca al-Quran di kubur itu adalah pendapat jumhur ulama dalam mazhab al-Syafie. Dan apabila beliau menyebutkan nas al-Syafie menyatakan demikian, maka ini menunjukkan bahawa beliau sendiri menemui sumber tersebut yang berasal daripada pandangan al-Syafie, apatah lagi beliau merupakan salah seorang ulama al-Syafie yang menjadi tonggak sandaran dalam menukilkan pandangan-pandangan dalam mazhab al-Syafie. Jika ada yang memberikan alasan bahawa Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab yang lain bahawa pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie tidak sampai pahala al-Quran kepada si mati, maka secara langsung ini bererti pendapat yang azhar adalah sebaliknya, di mana masyhur dan azhar adalah istilah yang dipakai dalam fiqh mazhab al-Syafie dan azhar adalah pendapat yang dinilai lebih kuat.

Pada tempat yang lain dalam kitab yang sama beliau (Ibn Qayyim) menyebutkan: “Al-Khallal menyebutkan daripada al-Sya’bie, katanya: “Adalah orang-orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka, maka mereka berulang alik ke kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi hlm 143). Kenyataan ini dinukilkan oleh beliau (Ibn al-Qayyim) bukannya untuk membantah kesahihan berita tersebut, malah untuk menyokong pandangan tentang sampainya pahala al-Quran kepada si mati. Beliau juga menyebutkan bahawa pada mulanya Imam Ahmad mengingkari bacaan al-Quran di kubur kerana tidak sampai athar kepadanya, kemudian beliau menarik balik pandangannya itu. Yang pastinya kenyataan tersebut bukannya bertujuan untuk menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur.

Sebaliknya. beliau menjadikan kenyataan ini untuk menguatkan pandangannya tentang sampainya pahala al-Quran jika dibaca dan dihadiahkan kepada si mati. Justeru dalam perengggan selepas kenyataan ini beliau menyebutkan lagi: “Jika dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi petunjuk kepada mereka tentang (sampainya pahala) puasa, sedekah, dan haji, tetapi tidak memberitahu mereka tentang bacaan al-Quran, maka sebagai jawapannya dikatakan: “Bukannya Rasulullah s.a.w yang memulakan pemberitahuan itu kepada mereka, malah anjuran Baginda itu terbit sebagai memberikan jawapan kepada mereka. Orang ini bertanyakan kepada Nabi s.a.w tentang melakukan haji bagi pihak si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanya tentang berpuasa untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanyakannya tentang bersedekah untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya, dan Baginda tidak pun melarang mereka selain daripada itu.” (Ibid, hlm. 143). Dengan kata lain Rasulullah menjawab apa yang mereka tanya, bukannya Rasulullah yang memulakan pemberitahuan hukum berpuasa bagi pihak si mati, bersedekah dan sebagainya adalah sekian sekian, dan selain daripada itu adalah sekian sekian.

Seterusnya beliau menyebutkan lagi: “Orang yang mengatakan tidak seorang pun daripada salaf yang melakukan demikian (membaca al-Quran di kubur) adalah orang yang bercakap apa yang tidak diketahuinya, kerana kenyataan ini menunjukkan dia menafikan apa yang dia tidak tahu. Mana dia tahu, entahkan para salaf melakukan demikian tetapi tidak menzahirkan kepada orang yang datang kepada mereka.” (Ibid)

Tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada nukilan yang disebutkan ini telah dikoreksi oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam kitabnya Ahkam al-Jana’iz wa Bida’uha. Kesimpulan daripada penilaian yang dibuat oleh Syeikh al-Albani ialah sama ada hadith atau athar yang dilaporkan oleh Ibn al-Qayyim itu tidak dikenali perawinya, atau mauquf setakat Ibn Umar dan lain-lain lagi justifikasi yang diberikan olehnya. Terserahlah kepada sesiapa yang hendak berpegang dengan pandangan Syeikh al-Albani. Namun sesuatu yang tidak diragui bahawa sebelum kemunculan Syeikh al-Albani umat Islam zaman berzaman telah berpegang dengan pandangan keharusan membaca al-Quran di kubur berdasarkan pandangan ulama-ulama mazhab seperti yang akan disebutkan nanti. Apakah dalam jarak masa yang sejauh itu selama ini umat Islam rupanya berada dalam kesesatan sehinggalah datang Syeikh al-Albani pada abad ini untuk memperbetulkan kesesatan itu? Bagaimana pula dengan para ulama yang sezaman dengan Syeikh al-Albani yang berpandangan sebaliknya. Lihat sahaja fatwa oleh Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada 14/2/2006, fatwa bil 4294:

“Para ulama telah ijmak bahawa mustahab (sunat atau digalakkan) membaca al-Quran di atas kubur sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syeikh al-Uthmani dalam kitab “Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah”. Ungkapan kitab itu menyebukan: “Para ulama berijmak bahawa bacaan istighfar, doa, sedekah, haji dan pemerdekaan hamba (untuk si mati) dapat memanfaatkan si mati, dan pahalanya sampai kepadanya. Dan membaca al-Quran di sisi kubur adalah mustahab (sunat atau digalakkan).”

Tulisan ini bukan bermaksud mempertikaikan fatwa Syeikh al-Albani dalam hal tersebut. Tetapi apabila berlaku pertembungan antara fatwa yang menolak dengan yang mengharuskan maka apakah kita perlu berkeras untuk mengharam dan membidaahkan umat yang berpegang dengan fatwa yang sebaliknya? Apatah lagi fatwa Syeikh Ali Jum’ah adalah berautoriti kerana ia mewakili institusi fatwa secara resmi.Terserahlah pada sesiapa yang hendak berpegang dengan fatwa Syeikh al-Albani, tetapi jangan diheret umat ini kepada kancah kemelut yang membawa salah menyalah antara satu sama lain.

Seperkara lagi para ulama dahulu yang tidak mengharuskan bacaan al-Quran di sisi kubur, mereka hanya mengungkapkan dengan perkataan “saya tidak suka’, atau dimakruhkan, atau “tidak disyariatkan”, dan mereka tidak lancang lidah untuk mengatakan haram, bidaah, sesat dan yang seumpamanya. Syeikh al-Albani sendiri dalam fatwanya berkaitan hal ini tidak menyebut perkataan bidaah, haram, sesat dan sebagainya. Sebaliknya, beliau menyebutkan: “Adapun membaca al-Quran ketika ziarah kubur tidak ada asalnya dalam sunnah, malah hadis-hadis yang disebutkan dalam masalah yang lepas membayangkan ia tidak disyariatkan.” Saya gunakan perkataan “membayangkan” sebagai terjemahan daripada perkataan “tusy’iru” yang boleh diterjemahkan “seakan merasakan”, “seakan memberitahu” atau seumpamanya. Maknanya, beliau sendiri tidak menyebutkan hadis-hadis yang disebutkan menyatakan dengan pasti tidak disyariatkan membaca al-Quran di kubur.

Seperkara lagi bahawa hadiis-hadis yang dihukum sahih atau daif mahupun dihukum palsu oleh Syeikh al-Albani bukannya mutlak. Dengan kata lain ada kemungkinan penilaiannya betul atau sebaliknya. Begitu juga dengan penilaian oleh ulama-ulama lain yang tidak boleh dikatakan sebagai muktamad dan seratus peratus betul. Lihat apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi berkaitan hal ini:

“Syeikh al-Albani pada pandangan saya adalah ulama hadith yang terkenal pada zaman kita khususnya dalam ilmu takhrij, tauthiq dan tad’if hadis. Di samping itu pandangannya bukanlah muktamad dalam semua hadith yang disahih dan dida’ifkannya. Ada kalanya dia disanggahi oleh ulama lain yang sezaman dengannya seperti Syeikh al-Allamah Habib al-Rahman al-A’zami, Syeikh Syua’ib al-Arna’ut, dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah serta selainnya. Tidaklah pelik mereka itu menyanggahinya sebagaimana dia sendiri menyanggahi ulama-ulama besar sebelumnya dalam sesetengah hadis. Sebahagian mereka mengambil pendekatan yang tidak sama dengan pendekatannya dalam mentashih sebagaimana yang dilakukan oleh al-Allamah al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah. Justeru, apabila Syeikh (al-Albani) menghukum da’if sesuatu hadith maka ia bukannya hujah yang muktamad dan keputusan pemisah. Malah saya (al-Qardawi) mengatakan: Syeikh al-Albani hafizahullah adakalanya menghukum da’if sesuatu hadis dalam sebuah kitab, dan dalam kitab yang lain diputuskannya sebagai sahih”. (Fatawa Mu’asarah 2/103).

Maka, sebagai lanjutan daripada itu, mari kita perhatikan pula apa yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh ulama pelbagai mazhab berkaitan hal terbabit.

Al-Aini rahimahullah dari kalangan ulama Hanafi menyebutkan dalam kitab al-Binayah Syarh al-Hidayah (3/306, Dar al-Fikr): “Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur.” Dalam kitab Hasyiah Raddul Muhtar (2/246), Ibn Abidin rahimahullah menyebutkan: “Tidak dimakruhkan duduk di atas kubur untuk membaca al-Quran menurut pendapat yang dipilih.”

Dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘Ala al-Syarh al-Kabir (Fiqh mazhab Maliki) (1/423, Maktabah az-Zahran, Kaherah) menyebutkan: “Makruh membaca al-Quran selepasnya yakni selepas kematiannya, dan di atas kuburnya, kerana ia bukan dari amalan salaf, akan tetapi ulama mutaakhir berpandangan tidak mengapa membaca al-Quran dan zikir, dan dijadikan pahalanya untuk si mati. Si mati memperoleh pahalanya insya-Allah.”

Dalam kitab al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir li Ibn Qudamah (Fiqh mazhab Hanbali) menyebutkan: “Tidak mengapa membaca al-Quran di kubur. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata: “Apabila kamu masuk ke kubur bacalah ayat al-Kursi dan tiga kali Qulhuallah (surah al-Ikhlas), kemudian katalah: “Ya Allah sesungguhnya kelebihannya untuk ahli kubur ini.” (2/426)

Para ulama al-Syafie seperti Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah) dengan katanya: “Dimustahabkan (sunat) membaca sebahagian daripada al-Quran apa yang termudah -yakni di sisi kubur- dan berdoa supaya dijadikan pahalanya untuk mereka (penghuni kubur) selepas membacanya. Hukum ini dinaskan oleh al-Syafie dan disepakati oleh ashab (para ulama al-Syafie).” Jika ada yang mengatakan imam al-Syafie berpandangan tidak sampai pahala membaca al-Quran kepada si mati, maka sebagai orang kebanyakan ini cukuplah bagi kita meletakkan kepercayaan kepada Imam an-Nawawi bahawa kenyataan oleh beliau menunjukkan beliau sendiri menemui teks imam al-Syafie tersebut. Sementara teks yang dijadikan hujah oleh sesetengah pihak konon imam al-Syafie melarang berbuat demikian, sebenarnya adalah berpunca daripada kekeliruan memahaminya seperti yang dihuraikan oleh para ulama dalam mazhabnya.

Yang menjadi pokok persoalan sehingga menimbulkan permasalahan ini ialah apabila ada pihak yang mahu supaya apa yang diamalkan itu benar-benar 100% menunjukkan Nabi s.a.w berbuat demikian. Mereka tidak menerima jika amalan itu berdasarkan hukum yang diistinbatkan oleh para ulama tertentu berdasarkan kefahaman terhadap nas syarak yang pelbagai serta teknik mengistinbatkan hukum seperti yang digariskan dalam ilmu Usul Fiqh. Lantaran itu oleh kerana tidak sabit bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka perkara itu dianggap sebagai bidaah. Lebih memilukan lagi, umat ini disesatkan dengan alasan semua yang bidaah itu sebagai sesat berdasarkan kefahaman mereka terhadap hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “setiap yang bid’ah adalah sesat”, tanpa mengambil kira di kalangan ulama yang lain juga mempunyai kefahaman tersendiri, dan mereka (ulama) sedikit pun tidak alpa dan mengabaikan peringatan dalam hadith ini. Kalau kita hendak menentukan sesuatu hukum hanya boleh dilakukan dengan berdasarkan 100% perbuatan Nabi s.a.w, maka kita juga perlu meletakkan hukum larangan berbuat demikian berdasarkan 100% Nabi s.a.w melarang berbuat demikian.

Maka, dalam hal membaca al-Quran di atas kubur jika tidak ditemui dengan jelas dan terang bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka apakah ditemui dengan jelas dan terang (tanpa perlu ditakwil dan dihuraikan) bahawa Nabi s.a.w melarang berbuat demikian? Sebagai contoh, mengemukakan hadith: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad)”, untuk membuktikan bahawa kubur bukan tempat membaca al-Quran adalah dalil yang tidak terang, kerana ia merupakan kefahaman sesetengah ulama seperti Syeikh al-Albani.

Tentunya kita menghormati pandangan beliau. Pada masa yang sama di kalangan ulama yang lain memahami hadith itu dengan kefahaman yang lain, iaitu orang yang berada dalam rumah yang tidak dibacakan al-Quran bagaikan orang mati yang berada dalam kubur. Ini kerana rumah adalah tempat kediaman orang hidup, dan kubur adalah tempat orang mati. Maka, hadis tersebut (menurut kefahaman ini) menyifatkan orang yang tidak membaca al-Quran di dalam rumahnya bagaikan orang mati yang tidak ada kebaikan lagi untuk dilakukan. Kefahaman ini disokong dengan hadith riwayat Muslim yang bermaksud: “Bandingan rumah yang disebutkan Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebutkan Allah di dalamnya seperti bandingan orang yang hidup dengan orang yang mati”. Kedua-dua kefahaman ini ada kemungkinan betul dan salah, tetapi apabila kita mendakwa kefahaman yang pertama menunjukkan nas yang sahih menafikan keharusan membaca al-Quran di atas kubur maka ia masih boleh dipertikaikan.

Renunglah maksud firman Allah: “dan apa jua yang dibawa datang oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang kamu dilarang olehnya maka patuhilah larangannya” (Surah al-Hasyr, ayat 7). Dalam hal beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka Allah perintahkan kita mengambilnya dengan menggunakan perkataan “apa yang dibawa datang”, sedangkan dalam hal mengharam atau melarang sesuatu maka Allah sebutkan dengan perkataan “apa yang kamu dilarang”, padahal lawan kepada perkataan apa yang dibawa datang ialah apa yang tidak dibawa datang, atau apa yang ditinggalkan, atau apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Allah tidak menyebutkan “tinggallah apa yang tidak dilakukan atau tidak dibawa datang oleh Rasulullah, sebaliknya Allah menyebutkan “tinggallah apa yang dilarang…”.

Berdasarkan ini al-Allamah al-Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan satu kaedah Usul, iaitu “meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya” (Itqan as-Sun’ah fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah, hlm 9, Maktabah al-Kaherah). Kaedah usul ini bagi menetapkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w meninggalkan daripada melakukan sesuatu atau tidak sabit adanya perbuatan Nabi s.a.w, maka tidaklah semestinya perkara itu haram dilakukan. Jangan pula kita tersasar dengan kenyataan ini bahawa semua yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah boleh belaka. Apa yang hendak disampaikan ialah bukan semua yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dilarang, tetapi apa yang dilarang oleh baginda dengan terang, jelaslah larangannya. Untuk mengenal pasti hal-hal yang tidak dilakukan atau dilarang secara terang dan nyata oleh Rasulullah s.a.w maka para ulama adalah sandaran kita kerana mereka lebih mengetahui tentang bidang pengkhususan mereka. Jadi kalau di kalangan ulama berbeza pendapat antara memboleh dan menidakkan sesuatu perkara, maka secara langsung yang mengikuti ulama juga akan berbeza pendapat. Selagi perbezaan pendapat itu diraikan dengan harmoni sebagaimana para ulama dahulu meraikannya maka tidaklah timbul soal sesat dan menyesatkan sesuatu amalan selagi ia masih dalam ruang lingkup perbezaan di kalangan ulama yang dikenali sebagai masalah khilafiyah.

Antara dalil yang dikemukakan oleh ulama berkaitan masalah ini ialah hadith berkaitan dua orang yang diseksa di dalam kubur, yang mana salah seorangnya diseksa kerana tidak membersihkan kencingnya. Dalam hadis terbabit menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w memacak pelepah tamar di atas kubur itu dan bersabda (yang kira-kira maksudnya): “Mudah-mudahan ia dapat meringankan kepada mereka berdua selagi mana ia tidak kering” (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Berkata Imam an-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim (3/260): “Para ulama memandang sunat hukumnya membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini, kerana jika dapat diharapkan keringanan dengan tasbih oleh pelepah tamar, maka lebih utama lagi membaca al-Quran.” Jika ada yang berpendapat bahawa hadith ini khusus untuk menunjukkan keberkatan Nabi s.a.w berdasarkan sesetengah pendapat yang menyatakan demikian, maka silalah berpegang dengan pendapat itu, tetapi jangan sampai menyalahkan pendapat yang lain.

Kita sedia berlapang dada kepada sesiapa jua yang tidak mahu membaca al-Quran di kubur, bertalqin, bertahlil dan sebagainya. Siapa mahu dia boleh buat, dan siapa mahu dia boleh meninggalkannya, tetapi tidak sepatutnya sampai membawa kepada pencelaan dan penuduhan sesat yang amat berat untuk ditanggung oleh umat ini.

At-Tabarani meriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir (19/220, Maktabah Ibn Taimiah, Kaherah) daripada hadis Abdul-Rahman bin al-‘Ala’ bin al-Lajlaj, katanya: Bapaku berkata kepadaku: “Duhai anakku, bila aku mati nanti, galilah liang untukku. Apabila engkau letakkan aku dalam liang lahadku, maka bacalah: Bismillah wa ‘ala millati Rasulillah s.a.w (dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah s.a.w), kemudian timbuskan tanah ke atasku, kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penamatnya, kerana aku mendengar Rasulullah s.a.w menyebutkan demikian”. Berkata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (3/44, Dar al-Kitab al-‘Arabi): “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab Mu’jam al-Kabir, dan rijalnya (senarai perawinya) dipercayai.” Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Azkar (hlm 219, Dar al-Rayyan li al-Turath): “Berkata al-Syafie dan para ashab: “Disunatkan membaca al-Quran di sisinya (kubur) sesuatu daripada al-Quran. Mereka (ashab) mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, maka itu adalah baik. Dan telah diriwayatkan kepada kami (seperti) dalam Sunan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan bahawa Ibn Umar menggalakkan dibaca di atas kubur setelah pengkebumian permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya.”

Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu tentang pandangan ulama pelbagai mazhab hukum berkaitan membaca al-Quran untuk si mati. Beliau menyebutkan:

“Ulama berbeza pendapat tentang sampainya pahala ibadat badani semata-mata seperti solat dan bacaan al-Quran kepada orang yang tidak melakukannya. Ada dua pendapat dalam hal ini: Pandangan ulama Hanafi dan Hanbali serta ulama mutaakhir dalam kalangan mazhab al-Syafie dan Maliki mengatakan pahala al-Quran sampai kepada si mati jika dibaca di di sisinya, atau didoakan supaya disampaikan pahala itu selepas membaca al-Quran, walaupun mayat itu ghaib (jauh dari pembacanya). Ini kerana tempat al-Quran dibaca akan turun rahmat dan keberkatan, dan berdoa selepasnya lebih diharapkan untuk diterima.

Golongan terdahulu dari kalangan Maliki dan pendapat yang masyhur dari kalangan ulama al-Syafie yang terdahulu mengatakan tidak sampai pahala ibadat mutlak (yakni tidak berkaitan dengan harta) kepada bukan si pelakunya.

Berkata ulama Hanafi: Menurut pendapat yang dipilih tidak makruh mendudukkan beberapa orang pembaca al-Quran untuk membacanya di sisi kubur. Mereka menyebutkan dalam bab mengerjakan haji bagi pihak orang lain: Manusia berhak untuk menjadikan pahala amalannya untuk orang lain, sama ada amalan itu berupa solat atau puasa atau sedekah atau selainnya, sedangkan yang demikian itu tidak mengurangi sedikitpun pahalanya.

Berkata ulama Hanbali: Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadith (yang bermaksud): “Sesiapa yang masuk ke perkuburan lalu membaca surah Yasin, maka diringankan daripada mereka (penghuni kubur) pada hari itu, dan dia memperolehi kebaikan sebanyak bilangan mereka yang ada di situ (kubur).” Mereka juga menyebutkan hadith: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya, lalu membaca al-Quran di sisinya atau membaca Yasin di sisi kedua-duanya, maka diampunkan untuknya.” Di bahagian nota kaki, beliau (Dr. Wahbah az-Zuhaili) menyatakan kedua-dua hadith ini adalah da’if dan hadith yang pertama lebih da’if daripada yang kedua seperti yang diisyaratkan oleh as-Suyuti dalam kitab al-Jami’.

Golongan mutaakhir dari kalangan ulama al-Syafie mentahkikkan bahawa pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati, seperti membaca al-Fatihah dan selainnya, dan berdasarkan pandangan inilah menjadi amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Apa yang dipandang baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah. Apabila ternyata bahawa membaca al-Fatihah memberikan manfaat kepada orang hidup yang disengat binatang dan diperakui oleh Nabi s.a.w melalui sabdanya: “Bagaimana engkau tahu bahawa ia (al-Fatihah) boleh dijadikan jampi?, maka kemanfaatannya kepada mayat adalah lebih utama.” (selesai nukilan al-Fiqh al-Islami 2/1579).

Kemungkinan hadis yang disebutkan oleh ulama Hanbali ini disenaraikan sebagai hadis palsu oleh sesetengah pihak, walaupun Dr. Wahbah az-Zuhaili menukillkannya sebagai hadis daif. Moga dilindungi Allah daripada kita melabelkan ulama Hanbali sebagai tidak bertanggunjawab kerana menyebarkan hadith ini. Sama ada hadis tersebut palsu atau daif tidaklah menjejaskan pandangan para ulama yang berpandangan membaca al-Quran di kubur bukannya bidaah kerana bukan hadis terbabit yang menjadi tonggak pendalilan semua ulama yang mengharuskannya. Ekoran perbincangan di atas timbul satu kemusykilan, jumhur ulama yang manakah menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur? Jika dikatakan segelintir ulama berpandangan demikian tentulah tidak disangsikan.

Saya tidak mengharapkan daripada tulisan ini agar pembaca mengambil ketetapan bahawa apa yang dikemukakan adalah pandangan yang tidak boleh dipertikaikan. Cuma, apabila dikemukakan perbincangan di atas, harapan untuk orang awam janganlah sampai anda menyalahkan ahli agama atau ustaz-ustaz yang dianggap tidak pakar kerana mengajarkan kepada anda ajaran yang selama ini kononnya bidaah (seperti yang didakwakan). Berbaik sangkalah bahawa mereka yang diamanahkan menyampaikan ilmu berusaha menyampaikan sekadar yang terdaya olehnya, dan jauh sekali mereka berniat menyebarkan bidaah sama ada secara sedar atau tidak. Bagi mereka yang pakar, mudah-mudahan kepakaran itu dapat dimanfaatkan untuk umat sejagat.

Sumber : http://islamhadhari.net/?p=936

Lagi hujah menyokong sampainya sedekah bacaan al Quran kepada si Mati oleh  Sheikh Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghummari dalam e book  98 halaman boleh baca atau download di sini :

http://www.scribd.com/doc/22154271/4665625-Hukum-Sedekah-Fatihah-Kepada-Si-Mati

Membaca Al Quran Semasa Ziarah Kubur

Jumaat sebelum menjelang Hari Raya Puasa baru-baru ini , khatib menyebut dalam kutbahnya ziarah kubur bukan sunah Rasullah s.a.w. Maka penulis memahami itu adalah pandangan kerajaan negeri, sekaligus semacam melarang ziarah kubur pada kedua hariraya ( Raya Puasa dan Raya Haji ). Sebaliknya menjadi kelaziman penulis setiap selepas solat hari raya akan melakukan ziarah kubur bapa.

Selepas solat sunat hari raya, kelihatan sekitar perkuburan ditepi masjid dipenuhi penziarah. Apakah amalan ini perlu dihapuskan? Bagi penulis, selagi ia bukan tegahan Allah dan Rasulnya teruskanlah bila-bila saja , termasuk pada kedua hari raya. Kerana hanya hari itu yang ada kelapangan , hari tu saja dapat balik kampung , maka silakan ziarah kubur orang tersayang. Takut-takut kalau tidak ziarah pada hari raya , terus tidak ziarah langsung.

Apakah boleh agaknya kita meminta jangan makan ketupat pada hari raya? Makan lah pada hari yang lain? Kalau analogi ini tidak sesuai, bagaimana kalau dibuat arahan , mengadakan kenduri kahwin jangan pada musim cuti sekolah , buatlah pada masa yang lain, kerana ini bukan sunah Rasullah s.a.w. !

Penulis apabila menziarahi kubur bapa akan membaca al Quran dan berdoa. Seorang teman mempersoalkan penulis  kerana membaca al Quran dan berkata ia bukan sunah Rasullah s.a.w. Beberapa hari kemudian teman tersebut menghulurkan buku kecil diterbitkan Jabatan Mufti Perlis bertajuk Membaca Al Quran Di Kubur.

Di dalam buku kecil tersebut mengandungi  dua tulisan. Pertama bertajuk Hadis Palsu Menyesatkan Umat oleh Dr Azwira Abdul Aziz . Tulisan kedua bertajuk Membaca Al Quran di Kubur oleh Mohd Khairil Anwar Abdul latif.

Penulis apabila membaca kedua-dua tulisan tersebut tidak mendapati pun tegahan Allah dan Rasulnya mengatakan tidak boleh membaca Al Quran di kubur. Hanya  penulis mendapati terdapat perbedzaan pendapat dan tafsiran mengenai hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Ahmad dari pada Abu Hurairah maksudnya:

“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesunggunhnya syaitan akan lari  daripada rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah”

Bagi penulis, hujah dari hadis tersebut tidak cukup kuat untuk mempengaruhi minda penulis untuk  merubah amalan penulis. Sehingga penulis mendapat hujah yang kuat penulis akan berpandukan penulisan Imam Nawawi didalam  Al-Azkar ,Im am Ibn Qayyim didalam Ar Ruh dan Imam al Ghazali didalam  Ihya Ulumiddin.  Untuk makluman penulis juga telah membaca hujah balas Membaca Al-Quran di atas Kubur: Jawapan kepada Artikel Zamihan Mat Zin Al-Ghari.

Pendapat Imam Nawawi

Dalam Kitab Az-Azkar , Pada Bab Apa yang dibacakan sesudah pengebumian beliau menulis:

Dianjurkan duduk sebentar di kuburan itu setelah selesai pengebumiannya sekadar waktu menyembelih seekor unta serta membahagi-bahagikan dagingnya. Orang yang duduk di situ hendaklah membaca AI-Quran, berdoa bagi si mayit, memberikan nasihat kepada yang duduk di situ dan membawakan cerita-cerita orang yang baik dan berita-berita para salihin.

Berkata Imam Syafi’i dan para sahabat: Ketika itu dianjurkan membaca sedikit daripada AI-Quran di tepi kubur itu, dan jika dapat mengkhatamkan AI-Quran semua sekali di situ memanglah sangat baik sekali.

Kami meriwayatkan dengan isnad hasan bahwa Ibnu Umar menganjurkan membaca di tepi kubur setelah selesai penguburan pertama dari surah AI-Baqarah dan akhirnya

Pendapat Imam Ibn Qayyim

Dalam Kitab ar-Ruh, Pada Tajuk Membaca Al Quran di atas kubur, Imam ibn Qayyim menulis:

Pernah disebutkan daripada setengah para salaf, bahwa mereka mewasiatkan supaya dibacakan di at as kubur mereka di waktu penguburannya. Telah berkata Abdul Haq, diriwayatkan bahwa Abdullah bin Umar pernah menyuruh supaya dibacakan di atas kuburnya surah AI-Baqarah. Pendapat ini dikuatkan oleh Mu’alla bin Abdul Rahman. Ada riwayat mengatakan bahwa Imam Ahmad bin Hanbal, pada mula­nya mengingkari pendapat ini kerana dia masih belum menemui sesuatu dalil mengenainya, kemudian menarik balik pengingkarannya itu setelah jelas kepadanya bahwa pendapat itu betul.

Berkata Khallal di dalam kitabnya ‘AI-]ami’:

Telah berkata kepada­ku Al-Abbas bin Muhammad Ad-Dauri, berbicara kepadaku Abdul Rahman bin AI-Ala’ bin Lajlaj, daripada ayahnya, katanya: Ayahku telah berpesan kepadaku, kalau dia mati, maka kuburkanlah dia di dalarm lahad,  kemudian ratakan kubur itu dengan tanah , kemudian bacakan dikepalaku dengan pembukaan Ayat Surah AI-Baqarah, kerana aku telah mendengar Abdullah bin Umar r. a. menyuruh membuat demikian.

Berkata AI-Abbas Ad-Dauri kemudian:

Aku pergi bertanya Ahmad bin Hanbal, kalau dia ada menghafal sesuatu ten tang membaca di atas kubur. Maka katanya: Tidak ada! Kemudian aku bertanya pula Yahya bin Mu’in, maka dia telah menerangkan kepadaku bicara yang menganjurkan yang demikian.

Berkata Khallal, telah memberitahuku AI-Hasan bin Ahmad AI­Warraq, berbicara kepadaku Ali bin Muwaffa AI-Haddad, dan dia adalah seorang yang berkata benar, katanya:

Sekali peristiwa saya bersama-sama dengan Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah AI-Jauhari menghadiri suatu jenazah. Setelah selesai mayit itu dikuburkan, maka telah duduk seorang buta membaca sesuatu di atas kubur itu. Maka ia disangkal oleh Imam Ahmad, katanya: Wahai fulan! Membaca sesuatu di atas kubur adalah bid’ah!  Apabila kita keluar dari perkuburan itu, berkata Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal:

Wahai Abu Abdullah! Apa pendapatmu pada si Mubasysyir AI-Halabi?

Jawab Imam Ahmad:

Dia seorang yang dipercayai.

Berkata Muhammad bin Qudamah seterusnya:

Aku menghafal sesuatu daripadanya!

Sangkal Ahmad bin Hanbal:

Yakah, apa dia?

Berkata Muhammad bin Qudamah:

Telah memberitahuku Mubasysyir, daripada Abdul Rahman bin AI-Ala’ bin Lajlaj, daripada ayahnya, bahwasanya dia telah berpesan, kalau dia dikuburkan nanti, hendaklah dibacakan di kepalanya ayat-ayat per­mulaan surah AI-Baqarah, dan ayat-ayat penghabisannya, sambil kata­nya: Aku mendengar Abdullah bin Umar (lbnu Umar) mewasiatkan orang membaca yang demikian itu.

Mendengar itu, maka Imam Ahmad bin Hanbal berkata kepada Muhammad bin Qudamah:

Kalau begitu, aku tarik balik tegahanku itu. Dan suruhlah orang buta itu membacakannya.

Berkata AI-Hasan bin As-Sabbah Az-Za’farani pula:

Saya pernah menanyakan hal itu kepada Imam Syafi’i, kalau boleh dibacakan sesuatu di atas kubur orang, maka jawabnya: Boleh, tidak mengapa!

Khallal pula telah menyebutkan lagi daripada As-Sya’bi, katanya:

Adalah kaum Anshar, apabila mati seseorang di antara mereka, sentiasa­lah mereka mendatangi kuburnya untuk membacakan sesuatu daripada AI-Quran.

Pendapat Imam Al Ghazali

Dalam Kitab Ihya Ulumiddin pada tajuk ziarah kubur, Imam Al Ghazali menulis:

Tidak mengapa membaca Quran di atas kubur. Kemudian beliau membawa cerita Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah AI-Jauhari seperti kisah dibawa Ibn Qayyim di atas.

Al Ghazali menambah lagi : Muhammad bin Ahmad al Maruzi  berkata , ” Aku menndengar Ahmad bin Hambal  mengatakan : Apabila kamu masuk ke perkuburan  maka bacalah surah al Fatihah, Surah al Mu’awwaadzatain ( Surah Qul a audzu bi rabbil falaq, Qul a audzu bi rabbil nas ) dan Qul huwallah hu ahad, jadikanlah pahalanya untuk yang dalam kuburan itu, maka  pahala itu akan sampai kepada mereka.

Kesimpulan

  1. Penulis berkeyakinan tiada tegahan melakukan ziarah kubur pada hari raya
  2. Penulis berkeyakinan tiada larangan membaca al Quran di atas Kubur. Jika ada larangan sudah tentu Imam Nawawi , Imam Ibn Qayyim , Imam al Ghazali dan Imam Syafie menyebutnya.
  3. Nabi s.a.w pernah bersembahyang jenazah di perkuburan , bermakna Nabi s.a.w pernah membaca Fatihah di perkuburan.

BACAAN AL QURAN DI TANAH PERKUBURAN

Bacaan al- Quran Di Tanah Perkuburan – Menjawab Tulisan Dr Azwira

BACAAN AL QURAN DI TANAH PERKUBURAN
Oleh : Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari


Izinkan saya merujuk artikel dari UKM yang disiarkan HADIS PALSU MENYESATKAN MASYARAKAT oleh Dr Azwira Abd Aziz dari UKM yang disiarkan Utusan Malaysia, ruangan Agama-Mega, 5 November 2007. Saya pasti pandangan tersebut adalah pandangan peribadi. Ia bukannya satu pandangan rasmi Fakulti Pengajian Islam, UKM mahupun JAKIM. Sayangnya, pandangan beliau tidak cukup fakta, amat keras dan melampau. Para pembaca yang jujur diminta meneliti dahulu bait2 penghujahan Dr Azwira. Kemudian baru disusuli dengan hujjah saya. Jangan jadi penonton separuh masa kedua. Nanti tak tahu hujung pangkalnya. Terlebih dahulu, Minta ampun dan minta maaf..jika saya terikut-ikut dengan rentak Dr Azwira dalam penulisan ini.

REALITI PERMASALAHAN

Perlu disedari bahawa amalan membaca al-Qur’an di atas kubur merupakan permasalahan ranting agama. Ia bukannya permasalahan tunjang mendasari Iman dan Islam. Amalan ranting biasanya bersifat elektif bukannya subjek teras untuk seseorang mukmin. Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan. Demikian betapa fleksibelnya hukum syarak dalam permasalahan ini.

SUSUNAN DALIL

Tinjauan permasalahan ini menemukan kita dengan beberapa dalil. Samada dari kitab Suci al-Qur’an mahupun al-Sunnah. Kekadang dalil berkaitan dapat difahami dan di hayati dengan baik. Kekadang ia gagal ditemui dan difahami. Lalu memanifestasi pelbagai tafsiran sonsang. Oleh itu, kita perlu memahami dalil secara jelas dengan sebaik-baiknya.

Dr Azwira jelas didapati gagal memahami hirarki dalil perundangan Islam. Sikit-sikit hadis, hadis, hadis…Macam dia tu perawi hadis, ulamak hadis, mahaguru hadis. Kenapa anda tidak merujuk al-Qur’an sebagai sumber utama.

Apabila kita membuka lembaran suci al-Qur’an didapati banyak ayat yang boleh dijadikan panduan bagi menjustifikasikan permasalahan ini. Antaranya :

  1. Surah alThur ayat 21 : Dan orang-oranng yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.
  2. Surah al-najm ayat 38 dan 39 : 38. (yaitu) bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, 39. dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,
  3. Surah al-Baqarah ayat 261: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
  4. Surah al-Kahf ayat 82 : Adapun dinding rumah adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang saleh, maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemauanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”
  5. Surah al-A’raf ayat 204 : Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat
  6. Surah Surah al-Hasy ayat 10 DLL. ; Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”

STATUS DALIL

Dalil syarak adakala bersifat qath’ie. Dan ada kalanya bersifat dzanni. Dalil Qath’ie adalah dalil yang jelas ketetapannya. Manakala dalil yang bersifat dzanni membuka ruang kepada ulamak untuk berijtihad. Justeru, perbezaan pendapat dikalangan ulamak adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam permasalahan ranting agama. Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan situasi ini. Hal ini penting supaya aktiviti kehidupan kita menepati tuntutan syarak. Bahkan lebih akrab kepada taqwa. Sekaligus mengelakkan diri dari bersikap keras kepala terhadap amalan yang telah ‘diestablish’ para ulamak dan diperakui pihak berautoriti agama.

ANALISA FAKTA

Perlu diketahui secara insaf bahawa amalan membaca al-Qur’an di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai. Adakalanya berstatus sahih, hasan, dhaif dan amat dhaif. (Selain itu, kita juga yakin untuk menolak dari menggunakan hadis-hadis palsu.) Antaranya ialah :

  1. Imam Muslim meriwayatkan : “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperolehi melalui dua rakaat solat di waktu dhuha.” (Muslim bin Hajjaj al-Neisaburi, Sahih Muslim, ed : Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, t.th, Dar Ihya’ Thurath al-Arabi : Beirut, hlm 498 juz 1). Imam al-Qurtubi mengatakan : “Berdasarkan dalil inilah para ulamak menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Qur’an itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.”(al-Qurtubi, al-Tazkirah, Maktabah al-Iman : Mansurah, Mesir, hlm 74). Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan : “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Qur’an juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.” (Abdullah bin al-Siddiq, Itqan al-Sun’ah fi Tahkik Makna al-Bid’ah, 1997, Maktabah al-Qaherah : Mesir, hlm 8)
  2. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis tatkala Baginda SAW ditanyakan tentang solat qasar dalam suasana aman. Baginda SAW bersabda : “ Ia adalah sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekahnya.” (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, hlm 478 juz 1). Al-Qurtubi mengatakan : “Asal kepada bab ini ialah sedekah yang tidak ada pertikaian pendapat dikalangan ulamak. Sebagaimana pahala sedekah sampai kepada si mati maka begitu jugalah pahala membaca al-Qur’an sampai kepada si mati. Ini kerana semua itu termasuk dalam erti kata sedekah. Sedekah bukan terbatas kepada harta benda sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW ketika Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam keadaan aman.”
  3. Imam al-Thabrani meriwayatkan : “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah : “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19). Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id hlm 44 juz 3 mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri dari kalangan perawi yang ditsiqahi (dipercayai). Manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini di dalam kitabnya al-Mustadrak hlm 512 juz 3 (al-Hakim, al-Mustadrak ‘Ala Sahihain, 1990, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah). Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhis al-Habir turut memperakui hadis ini. (al-Asqalani, Talkhis al-Habir, 1964, ed : Abdullah Hasyim al-Yamani, al-Madinah al-Munawwarah, hlm 130 juz 2). Juga tiada sebarang komentar dari Imam al-Zaila’ie di dalam Nusb al-Rayah hlm 302 juz 2. Senario kesaksian ini juga turut dipersetujui oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Makki di dalam kitabnya Hadaya al-Ahya’ Lil Amwaat (Hadiah Si Hidup Kepada Si Mati) hlm 57. Pemerincian sanad hadis ini dibuat berdasarkan kepada beberapa pandangan para pengkritik hadis. Jika para pengkritik hadis bertauliah menerimanya..kenapa tidak dengan kita? Hadis di atas secara jelas menaskan kepada kita bahawa Abu al-Lajlaj Abu Khalid (Seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Qur’an di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian. Ternyata amalan membaca ayat suci al-Qur’an di atas kubur bukanlah sesuatu bid’ah yang sesat. Bahkan ia diwarisi daripada Nabi SAW sendiri. Justeru, amalan ini merupakan satu sunnah yang terpuji.
  4. Imam al-Baihaqi, al-Thabrani dan al-Hakim meriwayatkan dari Ibn Umar r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW : “Apabila salah seorang kamu meninggal dunia, jangan kamu menahan jenazahnya dan segeralah membawanya ke kubur. Bacalah disisi kepalanya Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah)-lafaz al-Baihaqi bunyi : “..permulaan surah al-Baqarah dan di sisi kakinya penutup surah al-Baqarah di kuburnya.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir m/s 44 juz 12, al-Baihaqi, Syuab al-Iman m/s 16 juz 7). Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawaid m/s 44 juz 3 mengatakan : “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir. Padanya terdapat Yahya bin Abdullah al-Bablati. Dia merupakan seorang perawi yang lemah.” Seterusnya al-Haitsami mengintegrasikan sanad yang lemah ini dengan riwayat al-Baihaqi. Riwayat itu bersumberkan Abd Rahman bin al’-‘Ala bin al-Lajlaj yang diperakui kesahihannya. Kedua-dua hadis ini secara jelas membuktikan kepada kita bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan dari Nabi SAW agar dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an di tanah perkuburan. Walaupun riwayat dari Thabrani ini bertaraf dhaif, namun ia dibantu dengan beberapa riwayat yang sahih dari Imam Muslim dan al-Baihaqi sebagaimana di atas. Tambahan pula, Imam Ibn Hajr al-Asqalani mendakwa bahawa ia berstatus hasan (baik). (al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379H, Dar al-Makrifah : Beirut, hlm 184 juz 3). Manakala Imam al-Ajlouni ketika membentangkan hadis ini menyatakan bahawa hadis yang diriwayat al-Thabrani ini adalah marfuk. (al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’, 1405H, Muassasah al-Risalah : Beirut, cet 4, hlm 192 juz 1). Al-Zurqani mengatakan : “Bahawa hadis : “Apabila seseorang kamu telah meninggal dunia jangan kamu menahannya..adalah diriwayatkan al-Thabrani dengan sanad-sanadnya yang hasan.” ( al-Zurqani, Syarh al-Zurqani, 1411H, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, hlm 127 juz 2). Kehasanan hadis ini juga turut diperakui oleh al-Syaukani di dalam Subul al-Salam. (al-Syaukani, Subul al-Salam, 1379H, Dar Ihya’ Thurats al-Arabi : Beirut, Cet 4, hlm 106 juz 2). Justeru, kedhaifan sanad pada riwayat al-Thabrani secara automatik ditampung dengan riwayat yang sahih dan dhaif yang lain. Himpunan jaluran sanad yang dhaif menjadikan ia bertaraf hasan sebagaimana diperakui ulamak. Justeru, situasi ini sedikitpun tidak mencacatkan penghujahan terhadap amalan membaca al-Qur’an di tanah perkuburan. Bahkan hujahnya kekal dalam kelasnya yang tersendiri.
  5. Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasai’ie, al-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar bahawa Nabi SAW bersabda: “Hati al-Qur’an adalah Yaasin. Tidaklah dibaca surah itu oleh seseorang yang mengkehendaki Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan dosanya. Bacalah Yaasin kepada orang mati kamu.”Hadis ini dipandang sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim. Ibn Hibban m enyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan orang mati di dalam hadis ini ialah orang yang hampir mati.. pendapat ini ditarjih oleh Ibn Qayyim dengan beberapa alasan yang diberikannya. Akan tetapi Ibn Rif’ah berpegang kepada zahir hadis di atas. Lantaran itu, beliau mengesahkan bahawa surah Yaasin boleh dibacakan kepada orang yang telah mati. Al-Syaukani pula berpendapat bahawa lafaz al-Mauta pada hakikatnya bermaksud orang yang telah mati. Dan maksud hakikat tidak boleh dipesongkan melainkan ada qarenahnya.Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang hampir mati supaya dia dapat mentadabbur bacaan itu. Manakala tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang telah mati supaya seseorang itu mendapat manfaat pahalanya.” (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah, hlm 87 )
  6. Imam al-Baihaqi meriwayatkan : “Menceritakan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz dari Abu al-Abbas bin Ya’qub dari al-Abbas bin Muhammad katanya : “Aku bertanya Yahya bin Ma’in tetang membaca al-Qur’an di atas kubur? Lalu beliau menjawab berdasarkan kepada riwayat Abd Rahman bin al-‘Ala bin al-Lajlaj daripada ayahnya dari Ibn Umar yang menggalakkan amalan sedemikian.” Imam Ibn Hajr al-Asqalani di dalam Amali al-Azkar mengesahkan bahawa hadis ini bertaraf mauquf dan hasan. Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Imam Yahya bin Ma’in (sarjana hadis yang mashyur) sendiri turut membenarkan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur.
  7. Imam Muslim meriwayatkan : “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah(Muslim, Sahih Muslim, no: 870, hlm 539 juz 1). Imam al-Tirmidzi mengatakan : “Perkara yang dimaksudkan ‘Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan’ bermaksud jangan jadikan ia (rumah) sunyi dari berzikir dan melakukan ketaatan (kebaikan) sepertimana tanah perkuburan dan orang mati..” (al-Tirmidzi, Tuhfah al-Ahwazi, t.th, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, hlm 146 juz 8) . Perintah hadis ini bersifat umum. Iaitu menggalakkan kita untuk membaca al-Qur’an di rumah atau di mana-mana sahaja kita berada. Asalkan bertunjangkan kepada niat, cara, tempat yang baik dan munasabah. Kandungan hadis ini sama sekali tidak menjustifikasikan larangan membaca Al-Quran ditanah perkuburan. Ini kerana kebenaran membaca al-Qur’an di tanah perkuburan tsabit dengan pemerincian hadis-hadis di atas. Oleh yang demikian, hadis yang bersifat umum tidak boleh digunakan hujjah untuk membatalkan galakkan yang bersifat khusus. Hal ini penting bagi mengelak percanggahan hadis.Tambahan pula, galakkan Rasulullah SAW supaya kita membaca al-Qur’an khususnya surah al-Baqarah ternyata ada kelebihan tersendiri. Bacaan surah ini dapat menghalau syaitan dari bermastautin kerana penghuninya telah menghidupkan suasana rumah dengan ibadat. Mafhum sebaliknya, jika kita tidak membaca al-Qur’an di tempat kediaman, maka jadilah tempat kediaman itu sunyi sepi bagaikan tanah perkuburan. Walaupun kediaman dihuni makhluk hidup tetapi suasana kediaman itu bagaikan dihuni orang mati apabila tidak diserikan dengan ibadat. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Jangan jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan.’

Berdasarkan keterangan ini bolehlah diandaikan bahawa hujjah Dr Azwira yang mendakwa ‘kekerapan mereka membaca al-Qur’an di kubur daripada rumah menyebabkan segala syaitan yang ada di kawasan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam” amat kelakar. Dan layak diketawakan sahaja kerana ucapan seperti ini tidak sepatutnya dijadikan kiasan oleh seorang yang bergelar Doktor Falsafah dari Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini adalah contoh seni analogi yang fasid dan menyimpang dari kebenaran serta tidak diluahkan oleh orang-orang yang berakal.

Pembongkaran ilmiah ini juga menemukan hakikat bahawa Dr Azwira sendiri sebenarnya yang cuba memandai-mandai melarang umat Islam dari membaca al-Qur’an di tanah perkuburan. Secara tak langsung, Beliau memanifestasikan rekaan hadisnya: “Jangan membaca al-Qur’an di atas kubur, nanti Syaitan yang ada disitu akan datang ke kawasan perumahan kamu.” Renunglah wahai mereka yang mempunyai akal fikiran!

Sebenarnya, hadis-hadis yang bertali arus dengan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur masih banyak, tetapi sengaja didatangkan beberapa hadis untuk disesuaikan dengan fokus perbincangan. Jika seseorang itu benar-benar celik hatinya dia pasti akan menerima hujjah dan kebenaran ini. Jika hatinya buta dan keras..hanya Allah sahaja yang mampu memberi hidayah.

PENDAPAT PARA ULAMAK

Sebenarnya isu klasik ini telah diselesaikan para ulamak dengan jayanya. Antaranya :

  1. Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata : Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata : “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”
  2. Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk : Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan : “Al-Syafi’ie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan : “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Qur’an. Mereka mengatakan : Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah : Beirut, 1996, hlm 142 )
  3. Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan : “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Qur’an di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”
  4. Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata : “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Qur’an di kubur. Lalu beliau menjawab : “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya : “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Qur’an di sisinya.”
  5. Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan : “Menjadi Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”
  6. Al-Qurtubi mengatakan : “Sebahagian ulamak kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Qur’an ke pada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi SAW. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda : “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain : Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)


Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah dikubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati.? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa dari pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu dari kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.

  1. Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepad si mati beserta dalilnya) mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm 152-159)
  2. Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan : “ Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau menadapat balasan melainkan apa yang diusahakannya. Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Qur’an dan berdoa…”
  3. Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan : “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…” Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau;”Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran dari keluarganya, Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324)
  4. Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan : “Tidak dilarang untuk membaca al-Qur’an di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulamak dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm 304 juz 2)

KESIMPULAN

  1. Amalan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an di atas kubur merupakan salah satu dari permasalahan ranting agama. Galakkan ini bersumberkan dalil-dalil yang sahih, hasan dan dhaif.
  2. Al-Qur’an al-Karim sepatutnya dijadikan dalil utama. Manakala sumber hadis dijadikan dalil sekunder dalam apa jua permasalahan umat Islam.
  3. Himpunan dalil yang ada menjustifikasikan amalan ini sebagai amalan sunat. Ia dilihat sebagai amalan aksesori sahaja.
  4. Kita perlu memahami permasalahan usul dan furu’ secara menyeluruh beserta dalil-dalil dan kaedah syariah yang jelas. Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak. Di samping boleh mengelakkan diri dari bersikap fanatik dan melampau.
  5. Dr Azwira gagal membuktikan bahawa amalan membaca al-Qur’an di tanah perkuburan sebagi bidah yang sesat. Pendapat seperti ini sebenarnya tidak diperkatakan oleh ahli ilmu. Amat malang bagi seseorang yang mempunyai Doktor Falsafah menduduki kerusi pensyarah Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah tetapi jahil tentang kedua-dua. Bahkan terus keras kepala bila hujjah ini dilihat menandasi pandangannya. Beliau hanya bijak memanjangkan ketaksuban terhadap al-Albaani semata-mata. Sehinggakan membutakan mata hati beliau bahawa dari menilai kebenaran jumhur ulamak. Justeru, pandangan kontroversi ala Wahhabi ini perlu di tolak.


SYOR DAN CADANGAN

  1. Fakulti Pengajian Islam, sepatutnya tidak membenarkan pensyarahnya mempergunakan jenama UKM untuk melariskan idea individu tertentu. Terutama dalam mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan arus perdana.
  2. JAKIM perlu membuat penyelarasan dengan pihak media agar isu-isu kontroversi agama tidak dibincangkan secara meluas dan emosional. Situasi ini dikhuatiri menyemarakkan perpecahan dikalangan umat Islam di Malaysia.
  3. Perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan generasi Salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.
  4. Para cendikiawan, profesional, pendakwah, pelajar Universiti sewajarnya sedar tentang aliran-aliran pemikiran yang tumbuh dalam persekitaran mereka. Jika anda mempunyai kekuatan, buatlah analisa secara sedar. Jika tidak, awasi dan jauhi diri anda dari pelbagai makhluk perosak zaman kini. Wallahu’lam.

Sumber :

http://al-fanshuri.blogspot.com/2007/11/bacaan-al-quran-di-tanah-perkuburan.html

http://salafytobat.wordpress.com/2009/07/03/bacaan-al-quran-di-tanah-perkuburan-menjawab-tulisan-dr-azwira-abdul-aziz-ukm/

Catitan Hujung Aburedza : 1. Tulisan merah maksud al Quran adalah tambahan Aburedza. 2. Tuliasan Dr Azwira  juga dicetak dalam buku kecil bertajuk Membaca Al Quran Di Kubur oleh Jabatan Mufti Perlis

Lagi hujah menyokong sampainya sedekah bacaan al Quran kepada si Mati oleh  Sheikh Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghummari dalam e book  98 halaman boleh baca atau download di sini :

http://www.scribd.com/doc/22154271/4665625-Hukum-Sedekah-Fatihah-Kepada-Si-Mati