Kaedah Membaca Sejarah Pertelingkahan Sahabat

Oleh Abu Umair

http://abuumair1.wordpress.com/

Buku Tulisan Dr Asri Mantan Mufti Perlis - Di antara bahan bacaan yang mengupas fakta sejarah perterlingkahan para sahabat.

Beberapa kaedah dan asas penting yang wajar diambil perhatian sebelum seseorang Muslim membaca, mendengar, mengkaji, bercakap atau menulis mengenai pertelingkahan yang berlaku antara sahabat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

1- Wajib mengetahui bahawa seluruh sahabat r.a. bersifat adil. Kepercayaan ini termasuk dalam permasalahan yang disepakati oleh ummah, dan fakta agama yang dimaklumi secara pasti.

Maka, bacalah sejarah para sahabat sambil anda berpegang dengan kepercayaan ini.

2- Al-Quran dan Sunnah menjadi saksi bahawa para sahabat r.a. mempunyai kelebihan yang tinggi di sisi Allah. Apakah di sana ada kelebihan yang setaraf dengan penyaksian bahawa Allah redha terhadap mereka, yang tersebut dalam surah Al-Taubah ayat: 100, dan surah Al-Fath ayat: 18.

Oleh itu, apapun isu perbalahan sahabat yang anda temui dalam tulisan sejarah, ia langsung tidak menjejaskan redha Allah terhadap para sahabat. Kerana Allah memperakui bahawa Dia meredhai sahabat walhal Dia tahu bahawa sebahagian mereka akan bertelingkah malah berperang.

3- Hendaklah diketahui bahawa menghina sahabat adalah sebesar-besar jenayah dalam agama. Ia adalah maksiat yang sangat keji lagi jijik, dan tersenarai dalam kategori dosa-dosa besar.

Jika anda bertemu dengan isu yang pada pandangan anda, bahawa sahabat melakukan kesilapan, jangan cepat menghamburkan cercaan secara melulu. Ketahuilah penghinaan terhadap sahabat adalah tanda kejahilan terhadap fakta dan kemunafikan dalam agama.

4- Pendirian Ahli Sunnah dalam mendepani isu pertelingkahan dan perbalahan para sahabat ialah diam, dan tidak memperincikan hingga membawa fitnah kepada orang lain.

Isu-isu sensitif antara para sahabat, tidak seharusnya disebarkan kepada orang awam, lebih-lebih lagi mereka yang jahil agama. Ia boleh membawa fitnah besar kepada mereka.

5- Jika terpaksa membaca tentang pertelingkahan para sahabat, bacalah dari sumber rujukan yang berfakta, dan menyaring riwayat-riwayat secara akademik mengikut metod ahli hadis dalam meriwayatkan hadis.

Kerana ayat ke-6 surah Al-Hujurat menyuruh supaya meneliti perkhabaran yang datang dari orang-orang fasiq, dan jangan menerimanya bulat-bulat. Maka, cerita yang berkait dengan sahabat r.a selaku golongan manusia paling mulia, lebih aula untuk diteliti kesahihan dan kepalsuannya.

6- Andai kata ada riwayat yang sahih dari sudut penilaian jarh dan ta’dil, yang zahirnya menggambarkan keaiban seseorang sahabat, pendirian kita ialah mencari keuzuran dan bersangka baik terhadapnya.

Kata Ibn Daqiq al-Eid, “Apa yang dinukilkan tentang perbalahan dan pertelingkahan antara mereka, ada yang batil lagi dusta, maka tidak perlu ditoleh kepadanya. Apa yang sahih pula, kita takwilkan ia dengan takwilan yang baik”.

7- Pertelingkahan yang berlaku antara mereka bukan lahir dari hawa nafsu. Ia adalah perbezaan dalam ijtihad. Sesiapa yang tepat ijtihadnya mendapat dua pahala, dan yang silap pula mendapat satu pahala.

8- Hendaklah diketahui bahawa para sahabat yang terlibat dalam fitnah perbalahan, merasa sangat sedih dan menyesal dengan apa yang berlaku.

Aisyah r.a. berkata, “Aku tidak menyangka akan berlaku peperangan antara manusia. Jika aku tahu, aku tidak akan mengambil pendirian tersebut selama-lamanya”.

Ali r.a. berkata selepas melihat Talhah r.a. terbunuh, “Alangkah baiknya kalau aku mati sejak dua puluh tahun yang lalu”.

Begitu juga Muawiyah r.a. apabila mendapat khabar tentang terbunuhnya Ali r.a, beliau terus menangis kesal dan sedih.

9- Ahli Sunnah tidak menganggap bahawa para sahabat bersifat maksum. Boleh jadi mereka melakukan maksiat dan dosa. Namun kesilapan-kesilapan mereka sudah pasti terhapus dan diampuni Allah Taala. Kerana ia hanya secebis jika dibandingkan dengan segala amal soleh, kebaikan, dan kemuliaan yang ada pada mereka.

10- Beristighfar untuk para sahabat adalah satu tuntutan. Maksud firman Allah Taala:

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman”. (Al-Hasyr: 10)

Aisyah r.a. berkata, “Mereka diperintahkan beristighfar kepada sahabat Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam, lalu mereka mencerca sahabat”. (Sahih Muslim no: 3022).

Mudah-mudahan, dengan memahami kaedah dan asas ini, lidah dan tangan kita terselamat daripada tindakan yang membawa kepada keaiban di dunia dan kebinasaan di akhirat. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.