Mengapa Syiah Terus Berkembang Biak dan Semakin Subur Di Malaysia:

Mengapa Syiah Terus Berkembang Biak dan Semakin Subur Di Malaysia:

Umum mengetahi pengaruh Syiah semakin menular dalam masyarakat Malaysia. Banyak hauzah (markas pengajian) mereka diujudkan, salah satu yang terkenal ialah di Gombak. Paparan di dalam You Tube membuktikan banyak Siah Melayu di Malaysia. Kita biasa dengar tindakan keraajaan dalam menghalang ajaran sesat , tetapi kita tidak pula dengar tindakan keraajaan keatas Syiah. Sedangkan JAKIM menghukum Syiah sebagai SESAT, rujuk di  http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html

Berikut adalah pandangan Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah Mengapa Syiah Terus Berkembang Biak dan Semakin Subur Di Malaysia yang di sampaikan pada kursus Ta’lim Sunnah (Siri 2) yang dianjurkan oleh Intis Consultant & Training, bertempat di Surah al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur, pada 20 September 2008.

Imam Ali Pada Gambaran Syiah

Beliau memberi 5 faktor :

1. Kejahilan umat Islam terhadap aliran Syi‘ah.

Mereka menganggap Syi‘ah adalah salah satu dari mazhab Islam seumpama Mazhab al-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hambali. Maka perlu diterangkan bahawa Syi‘ah ialah satu aliran yang menyangkut dasar-dasar agama manakala mazhab yang empat hanyalah berkaitan hukum fiqh, di mana dasar-dasar agama bagi keempat-empat mazhab tersebut adalah tetap sama.

2. Sikap manusia apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru.

Apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru, manusia terbahagi kepada tiga sikap.

Pertama ialah mereka yang terus menolaknya, menutup pintu hati serta fikiran mereka darinya.

Kedua ialah mereka yang terus menerimanya, membuka seluas-luas hati serta fikiran mereka kepadanya.

Ketiga ialah mereka yang menganalisa perkara yang baru itu sama ada ia bertepatan dan al-Qur’an, al-Sunnah dan ilmu yang sahih. Jika bertepatan ia diterima, jika bertentangan ia ditolak.

Sikap pertama dan kedua adalah tercela manakala sikap yang ketiga adalah terpuji. Kebanyakan yang terikut dengan aliran Syi‘ah terdiri dari mereka yang memiliki sikap kedua.

3. Kelekaan pihak berwajib.

Fokus pihak berwajib kelihatan hanya tertumpu kepada membasmi aliran yang mereka sebut-sebut sebagai “Wahhabi”. Ada pun aliran lain yang jelas menyeleweng seperti Syi‘ah, Anti-Hadis, Islam Liberal dan sebagainya, ia dibiarkan sahaja atau hanya diberi fokus yang minimum. Di sini pihak berwajib perlu menyusun semula keutamaan fokus mereka (Fiqh al-Awlawiyat) agar bertindak ke atas aliran yang jelas menyeleweng bak matahari, bukan aliran yang hanya wujud secara bayang-bayangan… entah wujud atau tidak.

4. Kecuaian ahli ilmu.

Hakikat pertama, Syi‘ah menyampaikan dakyah mereka dengan dalil dan hujah. Hakikat kedua, kebanyakan ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah enggan berusaha menjawab dalil dan hujah tersebut. Paling-paling yang dijawab hanyalah dengan slogan murah: “Syi‘ah sesat, abaikan mereka.” Padahal dalam suasana tahap keilmuan umat Islam yang semakin meningkat sekarang ini, yang diambil kira bukanlah slogan murahan tetapi dalil dan hujah. Justeru ahli ilmu perlu beralih dari kemalasan kepada kecergasan, dari sijil kelulusan kepada aksi ilmiah, dari semakan kertas tesis kepada semakan aqidah umat, agar dalil dan hujah dipatahkan dengan dalil dan hujah juga.

5. Pencarian wira dan pasukannya.

Umat Islam sekarang ini dalam dilema mencari seorang wira dan pasukan pejuang yang berani bangkit menentang kezaliman zionis dan polis dunia. Dalam pencarian tersebut, yang ditemui ialah wira yang beraliran Syi‘ah dan pasukan pejuang yang beraliran Syi‘ah. Secara bawah sedar, ia memberi kesan bahawa aliran yang benar ialah Syi‘ah. Kecelaruan ini dijawab, bahawa kebenaran agama tidak ditentukan oleh agama sang wira dan pasukan pejuangnya. Seandainya itulah ukuran kebenaran, nescaya agama pasukan pejuang Vietnam yang menghancurkan pasukan tentera Amerika Syarikat pada tahun 70an yang lalu adalah jauh lebih benar dari agama Syi‘ah. Ketahuilah, kebenaran terletak pada agama Islam manakala kelemahan terletak pada orang Muslim kerana tidak menghayati Islam dengan cara yang benar, iaitu cara Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.