Kenali Syiah – Siapa al Kulani Apa Kitabnya

Al Kulani adalah Abu Ja‘far Muhammad bin Ya‘qub bin Ishaq al-Kulaini al-Razi. Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Kulain atau al-Kulin di Iran. Beliau adalah di kalangan ulama yang masyhur di Ray, Iran. Kemudian beliau telah berpindah ke Baghdad kerana menjadi ketua ulama kepada pengikut Syi‘ah Imam Dua Belas di sana semasa pemerintahan al-Muqtadir. Beliau telah hidup di zaman sufaraa’ (wakil-wakil Imam al-Mahdi a.s) dan mati di Kufah pada tahun 328/329 hijrah bersamaan 939/940 masihi. 

Beliau telah menulis beberapa buah buku di antaranya Usul al-Kafi (Asas asas yang mencukupi), Kitab al-Rijaal, al-Radd ‘ala al-Qaramitah dan lain-lain. Buku beliau yang paling masyhur adalah al-Kafi.  Beliau  telah menulis buku ini selama dua puluh tahun. Buku al-Kafi boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama al-Kafi membincangkan mengenai Usul yang mengandungi lapan bab (kutub) seperti kitab akal dan kejahilan, kitab kelebihan ilmu, kitab tauhid, kitab al-Hujjah (kitab ini), kitab iman dan lain-lain, dinamakan al-Usul min al-Kafi atau Usul al-Kafi.

 Bahagian kedua al-Kafi atau Furu‘ membincangkan tentang Furu‘ yang mengandungi dua puluh enam (26) bab (kutub) seperti kitab kebersihan, kitab sembahyang, kitab haid, kitab jenazah, kitab puasa, kitab haji dan lain-lain,  maka ia dinamakan al-Furu‘ min al-Kafi.

Bahagian ketiga Raudhat al-Kafi membincangkan mengenai Furu’, Usul secara ringkas, alam semesta, rawatan penyakit dan lain-lain mengandungi lima ratus sembilan puluh tujuh (597) hadis, maka ia dinamakan Raudhat al-Kafi. Adapun Kitab al-Hujjah  mengandungi 1015 hadis para imam Ahlul Bait a.s.  Ia mengandungi 130 bab yang membincangkan tentang keperluan kepada seorang imam, dunia tidak  sunyi daripada seorang imam, imam dua belas, wasiat Rasulullah s.a.w tentang imamah, keghaiban imam a.s, sejarah para imam a.s, keilmuan mereka a.s dan lain-lain. Kitab al-Hujjah adalah kitab penghujahan para imam a.s tentang imamah  untuk mereka a.s daripada Rasulullah s.a.w.

Dikatakan oleh orang Syiah  Usul al-Kafi-kitab al-Hujjah karangan al-Kulaini ini  sanad dan matannya yang masih tidak terputus dengan para Imam Ahlu l-Bait a.s meskipun terdapat beberapa hadis yang diriwayatkannya secara marfuu’.      Bagaimanapun perlu diambil perhatian bahawa kaedah ilmu hadis Syiah adalah berbedza dengan Sunni kerana SEMUA KATA-KATA IMAM  mereka adalah hadis, kerana Imam adalah maksum seperti rasul, malah lebih daripada rasul.

Maklumat tulisan ini daripada: Parakata Terjemahan Usul al-Kafi-kitab al-Hujjah

Advertisements