TAQWIM QAMARIY

Allahyarham Tuan Guru Haji Ab. Rahaman b. Hussain

Membaca  TAQWIM QAMARIY dari laman   http://iiumastronomy.com/ mengingatkan aku kepada  Allahyarham Tuan Guru  Haji Ab. Rahaman b. Hussain . Nota-nota dari kuliah beliau mempunyai istilah istilah falak  seperti pada artikal di bawah ini.  Saya biasa mengikuti kelas falak beliau beberapa tahun di Langkawi  dan juga beberapa tahun di Bukit Temiang, Perlis. Alfatihah untuk Tuan Guru.  Ikuti tulisan yang dipetik dari  http://iiumastronomy.com/ :

TAQWIM QAMARIY

Dasar perhitungan taqwim ini ialah peredaran bulan mengelilingi bumi. Setiap pusingan mengambil masa selama 29.53059 hari.

Jika dihitung maka 12 bulan qamariy yang bersamaan dengan satu tahun mempunyai 354 hari, 11 hari kurang dari tahun syamsiy. Oleh kerana itu maka tahun qamariy adalah lebih laju dari tahun syamsiy. Sebagai contoh 300 tahun syamsiy bersamaan dengan 309 tahun qamariy. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Kahfi, ayat 25 :

Dan mereka tinggal di dalam gua mereka selama 300 tahun dan (sebahagian) manusia menambah sembilan (tahun kepadanya).

Perbezaan selama sebelas hari menyebabkan tahun qamariy tidak dapat selari dengan perubahan musim kerana musim mengikut tahun syamsiy. Akan tetapi sistem tahun qamariy ini menjadi pilihan bagi hampir kesemua tamadun awal bagi jenis taqwim mereka. Ini adalah kerana sistem kitarannya yang mudah di atur dengan tepat.

1. Taqwim Babilon

Babilon adalah tamadun yang pertama yang menggunakan taqwim qamariy. Mereka memulakan bulan baru apabila kelihatan anak bulan di ufuk. Asas taqwim mereka mengikut pusingan setiap 19 tahun syamsiy, bersamaan dengan 235 bulan qamariy. Setiap pusingan 19 tahun ini terdapat 12 tahun yang mempunyai 12 bulan dan 7 tahun yang mempunyai 13 bulan. Setiap penghujung pusingan ini tahun qamariy dan syamsiy akan bermula serentak. Iaitu akan dapat dilihat anak bulan baru di awal tahun syamsiy.

2. Taqwim Hijriy

Taqwim hijriy dimulakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a. pada tahun 17 Hijrah. Taqwim ini bermula pada tahun Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Oleh kerana Rasulullah mula bertolak dari Mekkah pada 2 Rabiul Awwal bertepatan dengan 14 September 622 Masihi. Dengan ini 1 Muharam jatuh pada hari Jumaat 16 Julai 622 Masihi.

Jenis-jenis taqwim hijriy :

2.1 Taqwim Istilahi

Taqwim ini berdasarkan satu bulan qamariy selama 29 atau 30 hari. Dalam satu tahun terdapat 12 bulan qamariy dengan panjang setiap satu seperti berikut :

Muharram 30 hari
Safar 29 hari
Rabiul Awal 30 hari
Rabiul Akhir 29 hari
Jumadil Awal 30 hari
Jumadil Akhir 29 hari
Rejab 30 hari
Sya’ban 29 hari
Ramadhan 30 hari
Syawal 29 hari
Zulkaedah 30 hari
Zulhijjah 29 hari

Asas taqwim ini mengikut satu pusingan (siklus) selama 30 tahun qamariy yang mempunyai jumlah hari sebanyak 354 x 30 = 10 620 hari. Akan tetapi satu pusingan bulan mengelilingi bumi mengambil masa selama 29.53059 hari. Jika dihitung selama 30 tahun maka jumlah hari sebenarnya adalah 29.53059 x 12 x 30 = 10 631 hari. Dengan ini maka setiap satu siklus taqwim istilahi ketinggalan 11 hari. Dengan lain perkataan selepas 30 tahun maka manusia akan hanya dapat melihat anak bulan baru pada hari ke 11 pada bulan tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini maka ahli falak Islam Fakhruddin Ar-Razi dan Abu Raihan telah menambahkan 11 hari kepada bilangan hari 10 620 bagi satu siklus (30 tahun). Ini agar tiada perbezaan hari bagi satu siklus istilahi dan pergerakan bulan hakiki. Tambahan tersebut dibuat pada akhir bulan Zulhijjah dan dinamakan tahun tersebut tahun lompat qamariy. Dengan ini dalam satu siklus terdapat 11 tahun lompat dan 19 tahun biasa. Tahun lompat terjadi memngikut urutan berikut : tahun ke 2, 5, 7, 10, 13, 16, 18, 21, 24, 26 dan 29. Untuk memudahakan mengingat maka di buat satu ayat dimana huruf saksi adalah tahun lompat :

W A K T U S E M B A H Y A N G I K U T T A Q W I M I S L A M

Kekuatan Taqwim Istilahi ini terletak kepada perkiraannya yang mudah . Ia digunakan untuk menentukan sesuatu tarikh di masa lampau dengan cepat. Akan tetapi kejituannya tidaklah

begitu tepat kerana kemungkinan ia tercepat atau terlambat satu hari dari tarikh sebenar yang berpandukan rukyah.

2.2 Taqwim Konjungsi (Conjuction)

Asas taqwim ini ialah berlakunya ijtima’. Ijtima’ berlaku ketika bumi, bulan dan matahari berada segarisan. Lihat rajah :

( tiada rajah dari sumber asal )

Mengikut taqwim ini ijtima’ menandakan bulan baru samada anak bulan kelihatan di ufuk atau tidak. Oleh kerana ini Taqwim Konjungsi ini tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadatan. Taqwim ini hanya digunakan untuk tujuan astronomi.

Perkiraan taqwim ini lebih payah dari perkiraan Taqwim Istilahi kerana memerlukan penetuan waktu ijtima’.

2.3 Taqwim Hakiki

Taqwim ini bergantung kepada waktu ijtima’. Sekiranya ijtima’ berlaku sebelum ghurub matahari maka keesokan harinya dikira bulan baru. Sebaliknya jika ijtima’ berlaku selepas ghurub matahari maka keesokan harinya dikira penggenap bulan tersebut.

Dengan ini maka jumlah hari bagi setiap bulan tidak lagi berselang-seli seperti Taqwim Istilahi. Akan tetapi ia begantung kepada waktu ijtima’. Ia mungkin boleh berlaku tiga bulan berturut-turut yang mempunyai 30 hari atau 29 hari.

Perkiraan bagi taqwim ini lebih payah dari Taqwim Konjungsi kerana mesti terlebih dahulu menentukan waktu berlakunya ijtima’ pada tempat mencerap dan juga waktu tenggelam matahari.

Akan tetapi taqwim ini tidak dapat digunakan untuk tujuan peribadatan seperti berpuasa Ramadhan kerana ia tidak bergantung kepada kenampakan anak bulan di ufuk. Mengikut taqwim jenis ini maka 1 Muharram 0001 jatuh pada hari Khamis 15 Julai 622 Masehi kerana ijtimak telah berlaku selepas ghurub matahari pada 14 Julai 622.

2.4 Taqwim Hisab

Asas taqwim ini ialah kewujudan anak bulan di ufuk selepas ghurub matahari. Jika hisab menunjukkan anak bulan berada di atas ufuk selepas tenggelam matahari walaupun sebentar dan mustahil untuk di rukyah, maka keesokan harinya dikira awal bulan baru.

Sebaliknya jika anak bulan sudah ghurub lebih dahulu dari matahari (tidak wujud di ufuk) maka keesokan harinya dikira pengenap bulan tersebut.

Taqwim jenis ini digunakan oleh sebahagian negeri-negeri di Timur Tengah bagi menentukan awal bulan samada untuk peribadatan seperti Ramadhan dan Zulhijjah ataupun untuk bulan biasa.

2.5 Taqwim Rukyah Istanbul

Asas taqwim ini ialah kenampakan anak bulan di ufuk selepas ghurub matahari dengan tiga syarat :

  1. Ketinggian anak bulan pada saat matahari terbenam tidak kurang dari 5.5 darjah di atas ufuk.
  2. Jarak sendeng antara anak bulan dan matahari tidak kurang dari 7.5 darjah.
  3. Umur anak bulan dari ijtima’ ke ghurub matahari tidak kurang dari 8 jam.

Dasar ini memberi rumusan di bawah :

  1. Jika syarat-syarat tersebut dipenuhi walaupun anak bulan tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah bulan baru.
  2. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi tetapi anak bulan dapat dilihat di ufuk maka keesokan harinya adalah bulan baru.
  3. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi dan anak bulan tidak dapat dilihat di ufuk maka keesokan harinya adalah penggenap bulan tersebut.

Syarat-syarat tersebut telah dipersetujui oleh 21 buah negara Islam di satu persidangan mengenai hisab dan rukyah di Istanbul pada 26 hingga 30 November 1978.

2.6 Taqwim Imkanur Rukyah

Asas taqwim ini ialah kenampakan anak bulan di ufuk selepas ghurub matahari dengan tiga syarat :

  1. Ketinggian anak bulan pada saat matahari terbenam tidak kurang dari 2 darjah di atas ufuk.
  2. Jarak sendeng antara anak bulan dan matahari tidak kurang dari 3 darjah.
  3. Umur anak bulan dari ijtima’ ke ghurub matahari tidak kurang dari 8 jam.

Dasar ini memberi rumusan di bawah :

  1. Jika syarat-syarat tersebut dipenuhi walaupun anak bulan tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah bulan baru.
  2. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi tetapi anak bulan dapat dilihat di ufuk maka keesokan harinya adalah bulan baru.
  3. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi dan anak bulan tidak dapat dilihat di ufuk maka keesokan harinya adalah penggenap bulan tersebut.
  4. Jika umur anak bulan ke matahari terbenam lapan jam atau lebih tetapi ketinggian dan jarak sendeng tidak mencukupi syarat, keesokan harinya tetap dikira awal bulan.

Syarat-syarat tersebut telah dipersetujui oleh 4 negeri Asian di satu persidangan Mesyuarat Jawantankuasa Penyelarasan Rukyah dan Taqwim Islam Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) pada 4 November 1991.

2.7 Taqwin International Lunar Date Line (ILDL)

Taqwin jenis ini disyorkan oleh Prof Mohamed Ilyas pada tahun 1984 sebagai alternatif bagi menyeragamkan taqwim islam di seluruh dunia. Kriteria-kriteria yang diketengahkan adalah seperti berikut :

1. Perbezaan Altitud dan Azimut Bulan

Perbezaan Azimut Altitud Bulan (± 0.5)
0 darjah 10.5 darjah
10 darjah 9.2 darjah
20 darjah 6.4 darjah
30 darjah 4.5 darjah
40 darjah 4.2 darjah
50 darjah 4.0 darjah

2. Perbezaan masa di antara terbenam bulan dan matahari

Latitud Beza Masa (minit)
0 darjah 41 ± 2
30 darjah 46 ± 4
40 darjah 49 ± 9
50 darjah 50 ± 15

Sebuah garisan melengkung akan dilukis di atas peta dunia. Di sebelah barat garisan tersebut akan berlaku bulan baru pada keesokan harinya dan sebelah timur pula menggenapkan bulan yang lama.

Tempat-tempat yang berada betul-betul pada garisan tersebut haruslah dicerap anak bulan. Jika dapat dilihat maka keesokan harinya adalah bulan baru. Jika tidak dapat dilihat maka keesokan harinya adalah penggenap bulan lama.

Taqwim ini belum boleh dipraktikkan kerana perkiraannya yang amat payah dan garisan bulan tersebut selalunya melintas sesebuah negeri membahagikannya kepada bahagian yang nampak anak bulan dan bahagian yang tidak nampak anak bulan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s