Surat Nabi s.a.w Kepada Kisra Parsi

Surat Nabi s.a.w Kepada Kisra Parsi

1. Pada zaman Nabi s.a.w  terdapat dua kerajaan besar dunia, iaitu Parsi dan Rom. Kedua kerajaan tersebut sering bertelagah dan terjadi kalah dan menang. Maksud Firman Allah :

Telah dikalahkan bangsa Rumawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang, dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. (QS.Ar Rum 2-4)

2. Selepas perjanjian Hudaibiyah rombongan Nabi s.a.w kembali ke Madinah. Rasullah s.a.w merasai Islam semakin kuat dan berkemampuan untuk menyebar luas dakwah Islam. Akhirnya baginda s.a.w berpendapat akan mengutus orang-orang kepada Heraklius Penguasa Rom, Kisra Parsi, Muqauqis1, Najasyi (Negus) di Abisinia, kepada Harith al-Ghassani dan kepada penguasa Kisra di Yaman.

3. Surat kepada Heraklius itu kemudian dibawa oleh Dihya b. Khalifa, surat kepada Kisra dibawa oleh Abdullah b. Hudhafa, surat kepada Najasyi oleh ‘Amr b. Umayya, surat kepada Muqauqis oleh Hatib b. Abi Balta’a, surat kepada penguasa Oman oleh ‘Amr bin’l-‘Ash, surat kepada penguasa Yamama oleh Salit b. ‘Amr, surat kepada raja Bahrain oleh al-‘Ala bin’l-Hadzrami, surat kepada Harith al-Ghassani, raja perbatasan Syam, oleh Syuja’ b. Wahb, surat kepada Harith al-Himyari, raja Yaman[1], oleh Muhajir b. Umayya.[2]

Surat Nabi s.a.w Kepada Kisra Parsi

Gambar di atas dipetik dari : Surat-Surat Rasullah s.a.w Oleh Sultan Ahmed Qureshi – Jahabersa m.s 77

4. Surat Rasullah s.a.w kepada Kisra Parsi Khusro Perwez seperti berikut :


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Dari Muhammad Rasul Allah kepada Kisra, Raja Farsi.

Semoga salam ke atas mereka yang mengikuti petunjuk, beriman kepada Allah dan NabiNya. Saya bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah, yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya dan Muhammad adalah hamba dan rasulNya. Allah telah menjadikan Saya nabi dan menghantar Saya ke seluruh alam, supaya saya dapat semaikan ketakutan kepada Allah kepada setiap orang. Terimalah Islam dan terselamat. Jika kamu enggan, segala dosa Zaorastrian akan menjadi tanggungjawab kamu. (Sirah Tabari, jilid 3, ms 90 dan Sahih Bukhari) [3]

5. Lanjutan surat tersebut Sultan Ahmed Qureshi dalam kitabnya Surat-surat Rasullah  telah menghuraikan[4]:

…. Khusrau Perwez telah memerintahkan ‘Bazan’ Gabenor Yaman untuk menangkap Nabi s.a.w. dan membawanya ke istananya. Bazan telah menugaskan Baboya dan Khar Khasra ke Madinah untuk menjalankan tugas itu. Keduanya muncul di hadapan Nabi s.a.w. dan dengan hormatnya menyatakan bahawa Maharaja Khusrau telah menghantar untuk membawa baginda ke sana. Beliau seterusnya menerangkan bahawa jika perintah Maharaja tidak ditunaikan, Kisra akan memusnahkan baginda dan negaranya. Kedua-dua utusan Bazan terkejut apabila mereka mendengar Nabi s.a.w. bersabda,

“Nasib telah bertukar bagi raja kamu. Khusro telah dibunuh olah anaknya sendiri, Sheroya. Kamu bawalah mesej kepada tuan kamu. Juga beritahunya bahawa ia akan mengetahui nanti bahawa kerajaan Islam akan berkembang hingga ke ibu negara Kerajaan Kisra”.

Benarlah apa yang diucapkan oleh Baginda s.a.w. bahawa Kaisar Rom ‘telah mengalahkan Khusro dan tumbukan tentera Bizantin telah sampai hampir ke ibu negara Iran. Pada masa itu masalah timbul pada keluarga Khusro yang telah dijadikan tawanan oleh anaknya Sheroya.

Dinyatakan dalam Sirah Tabari bahawa Sheroya telah membunuh bapanya pada malam 13hb. Jamadil Awal 7 Hijrah iaitu 628Masihi. Utusan-utusan Gabenor Yaman sangat terkesan dengan apa yang mereka lihat dari akhlak dan sifat baginda s.a.w. yang suci murni itu, cara hidup baginda yang sangat sederhana dan para saha­batnya. Apabila sampai di Yaman, mereka menyampaikan tanggapan mereka dan ramalan Nabi s.a.w .. Bazan juga amat terpengaruh dengan percakapan ini dan ia pun berkata:

“Dengan cakapnya, beliau kelihatannya bukanlah seorang raja dunia ini, tetapi pastilah seorang Nabi Allah. Kita harus tunggu dan memastikan kenabiannya”.

Apabila Baboya dan Khar Khasra kembali ke Yaman, Bazan telah menerima satu mesej dari Sheroya bahawa Khusro telah dibunuh disebabkan oleh perbuatannya yang sangat zalim. la juga mengarahkan bahawa Nabi Arab s.a.w. itu jangan dicampuri urusannya. Akhirnya, Bazan telah yakin dengan kebenaran Nabi s.a.w. dan beliau telah memeluk Islam, bersama-sama dengan ramai orangnya. (Sirah Tabari, Jilid 3, m.s 91)

Di sebalik hakikat bahawa surat suci itu yang ditujukan kepada Khusrau Perwez dikoyakkan, adalah satu mukjizat bahawa ia bertahan selama seribu tiga ratus tahun. Kelihatan apabila Khusro mengoyak dan mem­buangnya, seseorang telah memungutnya dan perlahan­lahan sampai kepada satu keluarga Kristian di Lebanon dan akhirnya ditemui oleh bekas Menteri Luar Lebanon, Henry Pharaoh. Para pengkaji yang memeriksa surat itu dengan terperinci mengesahkan bahawa ia merupakan surat asli yang ditulis oleh Rasulullah s.a.w. kepada Khusro Perwez.

6. Az-Zuhri berkata[5]: “Sewaktu berita kematian Kisra sampai ke pengetahuan Bazan, ia pun menghantar utusan kepada Rasulullah (s.a. w.) untuk menyatakan ke Islamannya dan dituruti dengan masuk Islamnya para pengikutnya dari kalangan orang Parsi. Para utusan Bazan dari kalangan orang Parsi tersebut berkata kepada Rasulullah (s.a.w.): “Kepada siapakah kami hendak digolongkan?” Baginda menjawab: “Kalian adalah tergolong dari kami (kaum Muslimin) dan kepada kami Ahli Bait (keluarga Rasulullah).”

_________________________

[1] Saya tidak pasti hubungan raja ini dengan Bazan Gabnor Kisra Parsi, atau mungkinkah ia orang yang sama?

[2] Sejarah Hidup Muhammad s.a.w – Haekal MS 457

[3] Surat-Surat Rasullah s.a.w Oleh Sultan Ahmed Qureshi – Jahabersa m.s 76

[4] Surat-Surat Rasullah s.a.w Oleh Sultan Ahmed Qureshi – Jahabersa m.s 32

[5] Sirah Nabawiyah  Ibnu Hisyam – Pustaka Dini Jld 1 ms. 94

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s