Menjaga Ketulenan Sejarah Islam

Menjaga Ketulenan Sejarah Islam

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

http://ekonomipas.net/forum/printer_friendly_posts.asp?FID=21&TID=430

Ramai pihak mempunyai kecenderungan untuk menerima secara bulat-bulat tentang kisah-kisah yang terkandung di dalam buku-buku sejarah Islam memandangkan subjek sejarah merupakan satu bidang yang dianggap ilmiah kerana ianya termasuk dalam sukatan pelajaran di sekolah dan institut pengajian tinggi. Namun masyarakat Islam harus sentiasa diperingatkan bahawa buku-buku sejarah sebenarnya tidak bebas dari riwayat-riwayat lemah dan palsu sama ada secara tidak sengaja atau disengajakan oleh musuh-musuh Islam. Ini adalah kerana para penulis sejarah Islam adakalanya terlalu mementingkan jalan cerita dan kesinambungannya.

Syaikh Hammam Sa’id telah berkata di dalam Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah yang ditulis oleh Ibrahim al-`Ali:

“Para ahli sejarah dan penulis sirah telah tasahul (memudah-mudahkan) di dalam periwayatan. Mereka menyebut di dalam kitab-kitab mereka khabar-khabar yang terputus sanadnya (munqati`) kerana ingin menjaga di sudut kesinambungan gambaran sejarah yang berkait dengan peristiwa-peristiwa tersebut. Sementara para ulama hadis (al-Muhaddithin) berpandukan metodologi kritis (manhaj al-Naqd) yang membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang selainnya, sekalipun membawa kepada terputusnya gambaran sejarah atau penerimaan episod-episod secara tidak lengkap” – Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, ms. 7.

Terdapat juga kitab-kitab sejarah sekadar mengumpulkan sahaja apa-apa sahaja riwayat berkaitan sejarah Islam di dalam bukunya dengan menyertakan sanad (rantaian perawi yang meriwayatkan kisah tersebut) tanpa memisahkan cerita yang benar dan palsu. Di antara kitab yang menggunakan metode ini adalah Tarikh al-Umam wa al-Muluk yang juga dikenali sebagai Tarikh al-Tabari karya Imam al-Tabari. Imam al-Tabari pada mukadimah kitab tersebut telah berkata :

“Apa yang ada di dalam kitabku ini mengenai berita yang aku sebut tentang sebahagian kisah orang-orang yang lalu, ada di antara berita tersebut yang menyebabkan pembacanya merasa benci atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat, maka hendaklah dia tahu bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang-orang yang menyampaikannya kepadaku. Adapun aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”

Syaikh Salah `Abd al-Fattah al-Khalidi ketika membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari, beliau menjelaskan:

“Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampurkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan antara yang sahih dari yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat-riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawi-perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka menyebut rawi-rawi bagi setiap sanad. Sepertimana mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain. Ini bukan bererti kehendak mereka ingin berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar atau dusta, betul atau salah” – Salah `Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, m.s.7, teks asal menuskrip. Dinukil daripada kertas kerja bertajuk Manhaj Ahl al-Sunnah Dalam Menilai Maklumat dan Menghukum Individu dikarang oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu bagi mereka yang memiliki kepakaran untuk mengkaji perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad sesuatu riwayat hendaklah dia memperjelaskan darjat kekuatan kisah tersebut agar dapat kita pisahkan kisah yang benar dan palsu.

Di antara kelompok yang begitu rancak menyebarkan riwayat-riwayat dusta adalah golongan Syi’ah al-Rafidhah bertujuan untuk mengelirukan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ada juga di antara kisah-kisah palsu itu tersebar ditengah-tengah masyarakat kita bahkan ada juga yang dimasukkan ke dalam buku-buku teks yang dirujuk oleh pihak sekolah dan institute pengajian tinggi. Di antara kisah yang kita pelajari di sekolah adalah peristiwa tahkim yang sebenarnya diriwayatkan oleh Abu Mikhnaf seorang tokoh Syi’ah yang melampau (ghuluw). Kisah ini terdapat di dalam Tarikh al-Tabari (jilid 5, ms 51). Peristiwa tahkim ini terjadi setelah peperangan di antara tentera Ali dan Mu’awiyah r.h bertujuan untuk mencari jalan damai di antara kedua-dua pihak. Abu Musa al-Ash’ari r.a mewakili pihak Ali manakala Amr bin al-As r.a mewakili pihak Mu’awiyah. Di dalam perundingan tersebut kedua pihak Ali dan Mu’awiyah dipecat dari jawatan masing-masing dan perlantikan khalifah baru diserah kepada umat Islam. Setelah mencapai persetujuan keputusan tersebut perlu dimaklumkan kepada orang ramai. Abu Musa al-Ashari sebagai wakil kepada Ali  mengumumkan bahawa beliau setuju bahawa kedua-dua Ali dan Mu’wiyah dilucutkan jawatan mereka.

Walaubagaimanapun Amr bin al-Ash ketika membuat pengumuman telah menyatakan bahawa Abu Musa telah bersetuju untuk memecat Ali dan beliau juga bersependapat dengannya namun beliau ingin mengekalkan Mu’awiyah kerana dia adalah wali Uthman r.a dan penuntut darahnya serta paling layak menggantikan tempatnya. Selanjutnya cerca-mencerca terjadi diantara Amr dan Abu Musa sehingga terjadi pergaduhan kecil yang kemudiannya dileraikankan oleh orang ramai. Diriwayatkan juga Ali ketika berqunut subuh telah melaknat Mu’awiyah dan Amr. Apabila Mu’awiyah mendengar tindakan itu maka dia pun melakukan tindakan yang sama terhadap Ali. Riwayat ini dijadikan senjata oleh pihak Syi’ah yang untuk menjatuhkan martabat para sahabat Nabi dengan menggambarkan betapa laknat-melaknat, menghukum fasik, melakukan kejahatan dan berdusta adalah sesuatu yang pernah berlaku di kalangan para sahabat, malah solat juga dipergunakan untuk saling laknat-melaknat di antara satu sama lain. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya para sahabat boleh melakukan perkara yang sama terhadap Ali dan Ahlul Bait.

Khalifah Yazid pula digambarkan dalam sesetengah buku sejarah sebagai peminum arak, seorang yang suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan menghabiskan waktu dengan penari-penari, begitu juga beliau adalah orang terlalu rendah jiwanya sehingga suka bermain dengan monyet dan kera, terlalu mudah diterima oleh umat Islam kemudian. Ibnu Taymiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa telah menkhabarkan terdapat dua golongan yang melampau dalam memuja dan mencela Khalifah Yazid. Menurut Ibnu Taymiyyah pandangan yang adil adalah:

Yazid bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah Usman ibn Affan r.a dan tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w.. Oleh itu berdasarkan kesepakatan para ilmuan, beliau bukanlah daripada kalangan generasi sahabat. Beliau juga bukanlah masyhur dari sudut keagamaannya dan kesolehannya. Beliau hanyalah seorang dari kalangan pemuda-pemudi Islam. Pada waktu yang sama, beliau tidak kafir dan tidak zindiq. Beliau memegang jawatan khalifah selepas ayahnya di atas kebencian sebahagian umat Islam dan keredhaan sebahagian yang lain. Beliau memiliki keberanian dan kemuliaan dan tidaklah beliau menampakkan perbuatan-perbuatan maksiat sebagaimana yang dihikayatkan oleh musuh-musuhnya.”

Peristiwa terbunuhnya Saidina Hussain di Karbala juga telah dicemari dengan banyak kisah-kisah palsu. Apa yang harus kita fahami bahawa riwayat-riwayat yang menyatakan Yazid sebagai pembunuh Saidina Hussain 90% daripadanya adalah daripada Abu Mikhnaf, al-Saaib al-Kalbi dan anaknya Hisyam yang merupakan penganut fahaman Syi’ah Rafidhah yang ekstrim dan telah dituduh sebagi pendusta oleh para ulama rijal (ilmu mengkaji biografi para perawi). Arahan sebenar Yazid kepada Ubaidullah bin Ziyad hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah. Yazid telah berkata:

“Saya mendapat tahu bahawa Hussain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku tentang apa yang berlaku.” – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165.

Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang pemikiran politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Namun Ubaidullah bin Ziyad telah bertindak melampaui dari arahan sebenar Yazid lantas menyerang rombongan Saidina Hussain di Karbala lalu membunuhnya. Dakwaan bahawa Yazid gembira di atas kematian Saidina Hussein dan beliau meletakkan kepala Saidina Hussein yang dipenggal di atas tombak serta diarak keliling kota Baghdad juga merupakan kisah palsu rekaan golongan Syi’ah bertujuan untuk mencemar imej Yazid dan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Yazid sebenarnya amat dukacita dengan tragedi pembunuhan Hussain. Yazid juga telah memuliakan ahli rombongan Hussain yang terselamat dalam peristiwa Karbala tersebut dan mengarahkan tenteranya untuk mengiringi mereka agar selamat kembali ke Madinah.

Penyelewengan sejarah juga dilakukan demi untuk memberi gambaran yang buruk terhadap sesetengah tokoh-tokoh gerakan dakwah hanya kerana pandangan tokoh-tokoh tersebut berlawanan dengan pegangan yang dipegang oleh mereka secara turun-temurun. Di antara tokoh dakwah yang hebat difitnah adalah Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Andul Wahhab r.h. ……   sila baca seterusnya di : http://ekonomipas.net/forum/printer_friendly_posts.asp?FID=21&TID=430

CATITAN HUJUNG:

Mengenai tajuk Menjaga Ketulenan Sejarah Islam terdapat beberapa buku yang saya kira menarik untuk ditekuni seperti:

1. Isu-isu Kontroversi dalam Sejarah Pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin oleh Profesor Madya Dr. Marzuki Haji Mahmood

2. Kesalahan-kesalahan Terhadap Fakta-fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula oleh Prof. Dr Ibrahim Ali Syawat

3. Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w Antara Ketulinan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

4. Sejarah Khalifah Rasullah oleh Prof Dr Amin Qudah

5. Al Bidayah Wan Nihayah Masa Khulafa’ur Rasyidin oleh Ibn Katsir

One thought on “Menjaga Ketulenan Sejarah Islam

  1. Pingback: Siapa Pembunuh Saidina Hussain r.a « Aburedza

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s