Kartika Sari Dewi Shukarnor : Enam Sebatan Adakah Hudud?

“Hukuman enam sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor telah diganti kepada khidmat masyarakat selama tiga minggu atas titah Sultan Pahang.”

Demikian berita panas mengenai hukum sebatan yang diampun atau diringankan oleh Sultan Pahang. Berita tersebut mengundang polimik perundangan :

The Malaysian Insider melapurkan : Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM)  kecewa dengan keputusan Sultan Pahang yang membolehkan hukuman sebat ke atas bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarno digantikan dengan kerja-kerja khidmat sosial.

Malaysiakini melapurkan  pula Tan Sri Harussani Zakaria  berkata, hukuman sebatan yang dijatuhkan terhadap Kartika sebelum ini bukanlah hukum hudud, sebaliknya hanya takzir yang tertakluk kepada pindaan oleh pemerintah.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin  pula mempunyai pandangan yang berbeza apabila khuatir peringanan hukuman terhadap Kartika mengambarkan “seolah-olah kuasa raja mengatasi undang-undang”.

“Mungkin dalam kes Kartika ini (peringanan hukumannya) nampak positif. Tetapi esok-esok dikhuatiri boleh berlaku perkara lain pula.

“Kita bimbang nanti kerabat dan orang kenamaan yang melakukan kesalahn juga diampunkan,”

Untuk memahami masalah ini ikuti  petikan :

Kitab Qanun Jinayah Syar`iyah, karangan Hj Sa`id Hj Ibrahim (bekas Mufti Negeri Sabah) – Penerbit Darul Marifah Kuala Lumpur . Cetakan Tahun 1996 . Muka Surat 1 – 3  dan 75 – 78 Atau boleh juga dicapai di  http://alkhatab.tripod.com/id1.html

Hj Sa`id Hj Ibrahim

Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam al-Quran/hadith dan yang dikuat-kuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyah atau undang-undang qanun jinayah syariah bahawa penjinayah-penjinayah yang didakwa di bawah kes jinayah syariah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir. Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan oleh penjinayah-penjinayah itu.

Hukuman Hudud – Hukuman Hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran/hadith. Hukuman Hudud ini adalah hak Allah, yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah-suai dan dipinda. Hukuman Hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah/rasulNya yang disebutkan di dalam Quran/hadith adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Sepertimana firman Allah swt

وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

yang bermaksud,

“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Suratul Baqarah:229)

Kesalahan yang dikenakan hukuman Hudud.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman Hudud ialah :

a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengkut hukum syara`.

b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan 4 orang saksi.

c) Minum arak atau minuman yang memabukkan, samada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.

d) Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya..

e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, samada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan iktikad kepercayaan.

f) Merompak (hirabah); iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

g) Pendurhakaan (bughat); iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau mendurhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Allah.

Kita fokoskan kepada Kesalahan Minum Arak.

Perkara 58: Minum Arak.

1) Arak, ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan Khamar” berasal dari kata “Khamara” ertinya menutupi.

2) Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya, tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah swt.

Perkara 59: Hukum minum arak (Khamar).

Minum arak, hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah swt

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis/keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma`idah: 90)

Perkara 60: Hukuman orang yang minum arak.

Dalam qanun jinayah Syar`iyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80x sebat dan tidak kurang dari 40x sebat, hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib ra yang bermaksud :

“Rasulullah saw telah melaksanakan hukuman sebat bagi peminum arak sebanyak 40x sebat, manakala Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40x sebat juga, dan pada zaman pemerintah khalifah Umar peminum arak disebat sebanyak 80x sebat. Kesemuanya adalah sunnah Rasulullah saw. Tetapi yang dibuat oleh Saidina Umar tadi lebih aku sukai.” (HR Muslim)

Perkara 61: Kesabitan kesalahan minum arak.

1) Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak adalah tertakluk di bawah 3 sebab :

i) Minuman yang diminum itu adalah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan menghilangkan akal fikiran manusia.

ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminumnya tadi memabukkan dan menutup akal fikirannya.

iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

2) Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had ke atas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab minum minuman tadi ia menjadi mabuk.

3) Seseorang yang meminum minuman yang memabukkan, dan dia menyangka bahawa minuman yang diminumnya itu bukan minuman yang memabukkan tidak boleh juga dikenakan hukuman had ke atas orang yang meminum minuman itu.

4) Dalam qanun jinayah syar`iyah, kes yang disebutkan dalam perkara 61(2) dan (3) dalam penghakiman samalah hukumnya dengan kes “wati syubhah” (persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang disangkanya perempuan itu isterinya sendiri). Kes ini termasuk dalam kes yang syubhat yang tidak boleh dikenakan hukuman had ke atas pelakunya. Penghakiman ini adalah merujuk hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas`ud ra yang bermaksud :

“Tolaklah hukum hudud itu dengan sebab sesuatu perkara yang menimbulkan keraguan.”

5) Seseorang yang tidak tahu bahawa arak itu haram, seperti seseorang yang baru menganut agama Islam, atau orang yang tempat tinggalnya jauh dari orang Islam tidak boleh dikenakan hukuman had, sekalipun ia mengetahui minuman yang diminumnya itu minuman yang memabukkan, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap suatu perbuatan yang sengaja.

6) Jika seseorang mendakwa bahawa ia tidak tahu tentang haram arak itu, sedangkan ia seorang Islam dan tinggal di tengah-tengah masyarakat Islam, wajib dikenakan hukuman had sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 60, kerana alasannya itu tidak boleh diterima dan perbuatan mereka minum arak tadi adalah dianggap suatu perbuatan yang disengajakan.

One thought on “Kartika Sari Dewi Shukarnor : Enam Sebatan Adakah Hudud?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s