Istana Kelantan: Thekelantaninsider.blogspot.com menjawab lapuran akhbar

Laporan-laporan akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bertarikh 4 September 2010 adalah dirujuk.

Bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadhan ini, kami di The Kelantan Insider seboleh-bolehnya mahu mengelakkan diri kami dari membuat sebarang kenyataan berhubung dengan kemelut yang berlaku di dalam Istana Kelantan.

Walaupun begitu, disebabkan pihak-pihak tertentu masih lagi galak mengeluarkan pelbagai kenyataan yang cukup mengelirukan rakyat, maka kami dengan berat hati terpaksalah juga memberi sedikit penjelasan ke atasnya.

Kenyataan Kolonel Dr. Amir Ramli kononnya tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, kini cukup baik, sepertimana kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini juga, amatlah dikesali kerana ia cukup mengelirukan sekali.

Kepada Kolonel Dr. Amir Ramli, sukalah diingatkan sekali lagi supaya anda berhenti dari mengeluarkan kenyataan-kenyataan bukan-bukan seperti ini kerana ia hanya menyebabkan diri anda diketawakan rakyat sahaja.

Jika benar tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra kini cukup baik seperti yang didakwa, maka silalah kemukakan bukti berupa laporan perubatan Baginda kepada rakyat, juga kepada kerajaan negeri dan majlis perajaan negeri.

Jika benar tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra kini cukup baik seperti yang didakwa, maka silalah juga izinkan rakyat, kerabat diraja, pembesar negeri/negara, pemimpin kerajaan serta pakar perubatan bertemu Baginda.

Kenyataan Kolonel Dr. Amir Ramli kononnya Tuanku Ismail Petra tidak pernah ketinggalan menunaikan solat sunat Terawih pada setiap malam sejak awal bulan Ramadhan di Istana Mahkota juga cukup menggelikan sekali.

Seperti yang kita semua maklumi, solat Terawih hanyalah satu solat sunat manakala solat Jumaat adalah satu solat fardhu, begitu juga dengan berpuasa pada bulan Ramadhan yang merupakan satu kewajipan yang difardhukan.

Apakah tujuan diwarwarkan mengenai Tuanku Ismail Petra menunaikan amalan sunat (solat Terawih) tatkala rakyat mengetahui bahawa Baginda tidak pun mampu menunaikan amalan fardhu (solat Jumaat dan berpuasa pada bulan Ramadhan)?

Kepada Kolonel Dr. Amir Ramli, sudah-sudahlah anda mengaibkan Tuanku Ismail Petra dan memperbodohkan rakyat kerana dengan berbuat begini anda sebenarnya hanyalah memperbodoh dan mengaibkan diri anda di mata rakyat sahaja.

Disertakan di sini laporan-laporan akhbar-akhbar yang berkaitan.

Sultan Kelantan semakin sihat, tunaikan solat terawih (Utusan Malaysia, 4 September 2010)

KOTA BHARU 3 September – Kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, semakin baik apabila Baginda tidak ketinggalan menunaikan solat sunat Terawih sejak awal Ramadhan walaupun masih menjalani rawatan susulan fisioterapi di Istana Mahkota di sini.
Doktor pakar peribadi baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli berkata, Tuanku Ismail berasa gembira dan ceria kerana berkesempatan menunaikan solat sunat Terawih bersama-sama ahli keluarga serta kakitangan istana.
“Tahap kesihatan Baginda cukup baik kerana semakin sihat dan sembuh selepas pulang daripada menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, Julai lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengurniaan zakat oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, di Istana Mahkota di sini hari ini.
Seramai 200 ibu tunggal dari 14 buah kawasan Parlimen menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.
Amir menambah, walaupun pergerakan Baginda masih terbatas namun Tuanku Ismail begitu bersemangat menunaikan solat sunat tersebut.
“Pada setiap malam, imam dari sekitar negeri dijemput untuk mengimamkan sembahyang Terawih di Istana Mahkota,” katanya.
Menurutnya lagi, Baginda sentiasa berdisiplin dalam menjalani rawatan mengikut jadual ditetapkan, walaupun pada bulan puasa.
Kesungguhan Tuanku Ismail itu, katanya, menyebabkan kakitangan yang merawat Baginda turut berasa terharu.
Baginda yang mengalami masalah jantung sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, selama hampir sembilan bulan sejak 24 Mei tahun lalu dan pulang ke tanah air pada 4 Mac lalu.
Sejak dihantar ke hospital berkenaan, anakanda sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra, telah dilantik sebagai Pemangku Raja untuk menerajui pemerintahan di negeri ini.
Kepulangan Tuanku Ismail bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak mengeluarkan beberapa kenyataan mengelirukan mengenai perkembangan kesihatan Baginda menyebabkan kerajaan negeri melantik panel perubatan terdiri daripada 10 pakar perubatan.

Sultan Kelantan tunaikan solat Terawih (Kosmo!, 4 September 2010)

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, tidak ketinggalan menunaikan solat sunat Terawih pada setiap malam sejak awal bulan Ramadhan di Istana Mahkota di sini.
Doktor pakar peribadi Baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli berkata, walaupun pergerakan masih terbatas tetapi Baginda begitu bersemangat mengerjakan solat tersebut bersama ahli keluarga dan kakitangan istana.
“Pada setiap malam, imam dari sekitar negeri ini dijemput untuk mengimamkan sembahyang Terawih di istana,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan zakat oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, di Istana Mahkota di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 200 ibu tunggal dari 14 buah kawasan Parlimen di negeri ini menerima zakat.
Tengku Anis juga menerima sumbangan RM150,000 daripada dua buah syarikat untuk mengisi Tabung Amal Istana, iaitu Cocohut Travel Tours Sdn. Bhd. Sebanyak RM100,000 dan TS Thirty Solutions sebanyak RM50,000.
Amir berkata, Baginda juga tidak ketinggalan menjalani fisioterapi dan terapi cara kerja mengikut jadual pada bulan Ramadhan.
Menurutnya, kakitangan yang merawat Baginda cukup terharu dengan kesungguhan Baginda untuk terus menjalani fisioterapi dan terapi cara kerja.
Jelasnya, tahap kesihatan Sultan Kelantan cukup membanggakan apabila Baginda semakin sembuh selepas pulang dari menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada Julai lalu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s