Istiqbal istimewa Musytari 21 Sep 2010 ini

Istiqbal istimewa Musytari 21 Sep 2010 ini

Sumber :

http://www.falak-online.net/portalfalak/content/13/9/2010/istiqbal-istimewa-musytari-21-sep-2010-ini

Raja bagi segala planet, Musytari akan berada di posisi Istiqbal yang cukup istimewa pada tahun ini. Berdasarkan kiraan falak, Musytari kali ini akan berada pada kedudukan istiqbal pada 21 Sep 2010.

Apa dia Istiqbal?

Istiqbal merupakan satu istilah yang merujuk kepada satu kombinasi kedudukan matahari, bumi dan planet-planet di ‘belakang’ orbit Bumi (seperti Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune).

Apabila istiqbal berlaku, ketiga-tiga objek tersebut akan berada di dalam kedudukan garis lurus, dengan Bumi berada di tengah-tengah.

Di dalam kes kali ini, Musytari, Bumi dan Matahari akan berada di dalam satu garis lurus. Apabila Matahari terbenam ketika maghrib, Musytari akan terbit di ufuk timur.

Selain dari itu, jarak di antara Bumi dan Musytari ketika itu juga adalah yang paling hampir, maka planet tersebut akan dilihat lebih besar daripada biasa (tetapi tak lah sampai sebesar bulan!!!!)

Oleh itu, waktu istiqbal kali ini ialah waktu yang paling sesuai untuk mencerap planet Musytari.

Apa istimewanya istiqbal Musytari kali ini?

Musytari mengelilingi matahari setiap 12 tahun. Bumi pula setiap 365.25 hari. Oleh itu, Bumi bergerak lebih pantas di dalam orbitnya berbanding Musytari. Secara kiraannya, Bumi akan memintas Musytari setiap 398.9 hari. (Rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Jupiter)

Musytari pula mengorbit matahari di dalam satu pusingan berbentuk elips. Ini bermakna, ada ketikanya ia berada paling jauh dari matahari (digelar sebagai aphelion) dan ada ketika paling hampir ( digelar perihelion ).

Untuk kali ini, Musytari akan berada pada posisi perihelion pada Mac 2011. Maka tarikh ini amat hampir dengan tarikh istiqbalnya iaitu September 2010 ini. Maka, istiqbal kali ini, Musytari akan kelihatan agak besar berbanding fenomena istiqbal lain.

Saya perhatikan juga maklumat yang dikira oleh perisian Skymap Pro 8, jarak istiqbal kali ini ialah 3.9540 Unit Astronomi (AU). Skala Unit Astronomi bermaksud jarak purata Bumi ke Matahari, iaitu bersamaan 1 AU.

Oleh itu ini bermaksud, istiqbal ini, Musytari berada 3.9540 AU dari Bumi. Kali terakhir ia berada hampir dekat dengan jarak ini ialah pada tahun 1963! Dan untuk menunggu ia berada pada jarak yang lebih dekat berbanding sekarang, kita kena menunggu sehingga tahun 2022.  Fenomena istiqbal lain berlaku pada jarak lebih dari 4 AU dari Bumi.

Bolehkah Musytari dapat dilihat dengan mata kasar?

Boleh. Malah kebanyakkan daripada waktunya di langit, ia merupakan objek ke-4 paling cerah, selepas Matahari, Bulan dan Zuhrah. Cuma kadangkala, Marikh akan memancarkan terang ketika ia berada di posisi istiqbalnya, itu pun bukan selalu..

Ia akan kelihatan seperti sebutir bintang yang amat cerah, memancar di ufuk timur sekitar waktu Isya.

Bagaimana pula di dalam teleskop?

Menerusi teleskop, segala kehebatan “Raja Planet” ini akan terserlah. Disebabkan ia merupakan planet paling besar di dalam Sistem Suria, Musytari kelihatan amat besar di dalam teleskop.

Ia akan kelihatan seperti sebuah objek bulat yang direntasi dengan garisan-garisan. Garisan ini merupakan jalur awan yang merentangi seluruh kawasan sfera Musytari. Bergantung kepada saiz teleskop, kita akan dapat lihat jaluran ini bukan lurus, tetapi berliuk-liuk dan kadang-kadang berbentuk pusaran.

Selain daripada itu, 4 buah satelit utamanya, iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto akan kelihatan seperti butiran bintang cerah yang beratur sederet dan membentuk garisan lurus samada di kiri atau kanan daripada sfera bulatan Musytari itu. Pada waktu-waktu tertentu, kita berpeluang menyaksikan satelit-satelit ini merentasi di hadapan Musytari dan kadangkala menghasilkan bayang-bayang di atas lapisan awan planet tersebut!

Menarik tu, jadi maknanya kita boleh lihat Musytari pada 21 Sep ini sajalah ye? Jika terlepas tarikh tu, tak dapat nak tengok?

Eh, bukan!! Tarikh 21 Sep 2010 menandakan posisi istiqbal je, selepas daripada tarikh itu, Musytari tetap nampak di langit, cuma ia akan terbit makin awal setiap hari, dan bukan lagi dalam kedudukan segaris dengan matahari. Jika anda terlepas tarikh tu, jangan risau kerana untuk beberapa bulan yang akan datang, Musytari akan terus menerus mendominasi langit kita sebaik sahaja Maghrib berlabuh!

Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini. Jom Teropong!

2 thoughts on “Istiqbal istimewa Musytari 21 Sep 2010 ini

  1. Musytari adalah planet kelima daripada matahari dan juga planet yang terbesar daripada sembilan planet dalam sistem suria. Senarai planet dan jarak purata planet dengan matahari dalam sistem suria adalah seperti berikut :-

    57.9 juta kilometer ke Utarid
    108.2 juta kilometer ke Zuhrah
    149.6 juta kilometer ke Bumi
    227.9 juta kilometer ke Marikh
    778.3 juta kilometer ke Musytari
    1,427.0 juta kilometer ke Zuhal
    2,871.0 juta kilometer ke Uranus
    4,497.0 juta kilometer ke Neptun
    5,913.5 juta kilometer ke Pluto.

    Terdapat juga lingkaran asteroid yang kebanyakannya mengelilingi matahari di antara orbit planet Marikh dan Musytari. Disebabkan oleh putaran, garis pusat pada garis khatulistiwa adalah terpanjang bagi setiap planet dan bintang.

    – Wikipidia

    __________________

    Musytari merupakan planet terbesar di dalam Sistem Suria. Ia merupakan planet kelima daripada Matahari. Musytari mengelilingi Matahari dengan tempoh putaran selama 11.86 tahun. Musytari dapat dikenali dengan jalur berwarna pada permukaannya dan Bintik Merah Gergasi berhampiran khatulistiwanya. Musytari juga dikenali sebagai Bintang Usia kerana ketika Tamadun China Purba, tahun dikira berdasarkan kedudukan Musytari di sfera samawi, dan menepati 12 Cabang Bumi.

    Istiqbal atau Oposisi Musytari pula akan berlaku setiap 399 hari. Bagi planet di luar orbit Bumi, bulan sekitar Istiqbal lazimnya adalah waktu yang bagus untuk melakukan cerapan. Istiqbal berlaku apabila planet berkedudukan setentang dengan Matahari relatif terhadap Bumi. Ketika Istiqbal, planet akan terbit apabila Matahari terbenam dan akan terbenam apabila Matahari terbit. Maka, kita mempunyai keseluruhan malam untuk melakukan cerapan. Ketika Istiqbal juga, planet berada paling hampir dengan Bumi orbit, maka ia akan kelihatan besar.

    http://astronomi-semesta.blogspot.com/2009/08/planet-gergasi-musytari.html
    ___________________

    APA YANG ANDA TAHU TENTANG MUSYTARI?

    = jupiter

    1. Musytari sangat besar :

    Jisim Musytari adalah 318 kali ganda jisim Bumi.

    2. Musytari tidak mungkin menjadi bintang :

    Musytari memerlukan lagi 70 kali ganda dari jisimnye kini untuk mencetuskan pelakuran nuklear. Jika anda mampu memampatkan sedozen Musytaris, anda mungkin berpeluang untuk membuat satu bintang baru.

    3. Musytari merupakan planet yang terpantas putarannya dalam sistem suria :

    Bagi semua saiz dan jisimnya, Musytari pastinya bergerak dengan cepat. Malah, planet ini hanya mengambil 10 jam untuk melengkapkan putaran pada paksinya.

    4. Awan di Musytari hanya setebal 50 km :

    Semua awan berpusar dan ribut yang cantik pada Musytari hanyalah 50 km tebal. Ia diperbuat daripada hablur ammonia yang dipecahkan kepada dua bahagian awan yang berbeza.

    5. Bintik Merah yang Besar telah lama wujud sekian :

    Bintak Merah Besar di Musytari merupakan salah satu ciri yang paling mudah dikenali. Bintik ini telahpun wujud sekitar 350 tahun. Percaya atau tidak, bintik ini boleh dilihat dengan mudah hanya menggunakan teleskop TELESKOP.

    6. Musytari mempunyai gelang :

    Gegelang sekitar Musytari merupakan set gelang ketiga yang dijumpai dalam Sistem Suria, tetapi ia mungkin muncul dari bahan-bahan yang dibuang oleh bulan-bulannya apabila ia berlanggar dengan meteorit.

    7. Medan magnet Musytari adalah 14 kali lebih kuat daripada medan magnet Bumi :

    Medan magnetnya dijana oleh pergerakan hidrogen berlogam jauh di dalam Musytari. Medan magnet ini memerangkap zarah berion daripada angin suria dan memecutnya kepada kelajuan menghampiri laju cahaya.

    8. Musytari mempunyai 63 buah bulan :

    Musytari mempunyai 63 satelit bernama. Hampir kesemua daripadanya mempunyai garis pusat kurang dari 10 km, dan dijumpai selepas 1975, apabila kapal angkasa tiba di Musytari. Yang menariknya, 4 daripada 63 buah bulan itu boleh dilihat dengan MATA ANDA!

    galilean satellites

    9. Musytari telah dilawat sebanyak 7 kali oleh kapal angkasa dari Bumi :

    10. Anda boleh melihat Musytari dengan MATA ANDA SENDIRI!

    http://astronomi-semesta.blogspot.com/2009/08/planet-gergasi-musytari.html

  2. Malam ini malam 24 September – langit mendung namun jelas bulan tetap bersinar mengambang dicelah awan mendung kelabu. Tiada langsung kelihatan walau sebutir bintang, sekecil manapun – namun sebiji itu cukup terang benderang dan kelihatan megah bersama bulan. Tentu itulah Musytari ……..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s