Mengapa Hari Raya Korban Di Malaysia Tidak Sama Dengan Arab Saudi

Akhbar-akhbar melaporkan Mahkamah Agung di Riyadh, Arab Saudi mengumumkan bahawa hari wukuf ialah pada 15 November bersamaan 9 Zulhijjah dan Hari Raya Aidiladha bagi negara itu adalah pada keesokan harinya.

Sebaliknya Kerajaan Malaysia mengumumkan tarikh hari raya korban ialah pada Rabu 17 November 2010 dan kerana itu puasa Sunat Wukuf ialah pada Selasa 16 November 2010.

Untuk memahami persoalan ini, sebelum di jelaskan selanjutnya sila baca dua artikal berikut:

1. https://aburedza.wordpress.com/2010/11/15/mengenali-taqwin-hijrah/

2. https://aburedza.wordpress.com/2010/11/15/konsep-ijtimak-bulan-matahari-bagi-penentuan-hilal/

Selepas memahami kedua artikal tersebut sila ikuti laporan berikut yang di keluarkan oleh JAKIM :

Laporan Penetapan Tarikh Awal Zulhijjah 1431 Hijriah/2010 Miladiah

Pendahuluan

Laporan penetapan tarikh awal bulan Syawal dikemukakan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam pada 13 April 2010 Miladiah untuk diterimapakai oleh ahli mesyuarat segala keputusan penetapan tersebut yang telah dianalisa mengikut kriteria Imkanur Rukyah seperti berikut:

  • Di ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk (horizon) tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang dari 3°.

Atau

  • Di ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam

( selepas ijtimak berlaku)

Data-data Kajian Rukyah dan Hisab Awal Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah

i. Koordinat Tanjung Atiam, Sabah (stesen paling timur)

U 16 55”
T 119° 15’ 15”

ii. Koordinat Tg. Chincin di Pulau Langkawi, Kedah (stesen paling barat)

U 26′ 10”
T 99° 38’ 30”

Penentuan Awal Zulhijjah 1431 Hijriah adalah seperti berikut :

1.    Pada petang hari merukyah hilal Zulhijjah pada 29 Zulkaedah 1431 Hijriah bersamaan 6 November 2010 Miladiah (Sabtu). Ijtimak(conjunction) berlaku pada jam 12.52 tengahari (12:52).

2. Data-data kedudukan hilal pada 6 November 2010 Miladiah (Sabtu) seperti berikut :

i. Tanjung Atiam, Sabah (stesen paling timur)

J M
Matahari Terbenam : 17 44
Bulan Terbenam : 17 44
Tinggi Bulan : -00° 09’
Jarak Lengkong : 04° 24’
J M
Umur Bulan : 04 53
J M
Bulan Di ufuk Barat : 00 00

ii. Tg. Chincin di Pulau Langkawi, Kedah (stesen paling barat)

J M
Matahari Terbenam : 19 01
Bulan Terbenam : 19 04
Tinggi Bulan : -00° 20’
Jarak Lengkong : 04° 40’
J M
Umur Bulan : 06 12
J M
Bulan Di ufuk Barat : 00 03

Berdasarkan data rukyah pada 29 Zulkaedah 1431H bersamaan  6 November 2010 tidak memenuhi ketetapan Kriteria Imkanur Rukyah ( Hilal Visibility Criteria) maka keesokan harinya digenapkan 30 Zulkaedah 1431H. Dengan itu 1 Zulhijjah 1431H bersamaan pada hari Isnin (8hb November 2010) dan 10 Zulhijjah 1431H iaitu Hari Raya Qurban dijangka pada hari Rabu (17hb November 2010).

CATITAN HUJUNG:

Oleh itu kita perlu berpuasa Sunat Wukuf pada Selasa 16 November dan berhariraya pada Rabu 17 November 2010. Mengapa pula Arab Saudi berwukuf lebih awal? Perbedzaan tempat dan kedudukan akan memberi data yang berbedza. Sila perhatikan dan bandingkan  umur bulan di Tanjung Atiam, Sabah (stesen paling timur) dengan di Tg. Chincin di Pulau Langkawi, Kedah (stesen paling barat). Makah pula jauh kebarat kedudukannya. Bagaimanapun saya tidak pasti Arab Saudi mengunakan sistem yang bagaimana.

Ketetapan syarat kenampakan Hilal sebenarnya telah di persetujui didalam persidangan Istambul. Pada 27-30 November 1978, kerajaan Malaysia menghantar  Tuan Haji Mohd. Khair Bin Hj. Mohd Taib , seorang ahli astronomi Malaysia,  ke persidangan falakiah di Istanbul, Turki. Turut serta ialah Datuk Syeikh Abdul Mohsin, Mufti Wilayah Persekutuan dan Profesor Abdul Hamid Tahir, Pensyarah Fakulti Ukur, Universiti Teknologi Malaysia.

9 thoughts on “Mengapa Hari Raya Korban Di Malaysia Tidak Sama Dengan Arab Saudi

  1. Pingback: Boleh melaksanakan ibadah korban sehingga hari ini « Aburedza

  2. Assalamualaikum WBT Tuan…

    Persoalannya, kenapa kita perlu Rukyah di Malaysia?Untuk Hilal Ramadhan dan Syawal betul la kita perlu Rukyah sebab ibadah Puasa dijalankan disemua tempat di dunia…tetapi Ibadah Wukuf hanya di Arafah yang terletak di dalam Arab Saudi…

    Kedua, benarkah kita berpegang 100% pada Rukyah, atau Hisab dan Rukyah?Setakat ini belum pernah tarikh Puasa, AidilFitri dan Aidil Adha dipinda dari tarikh yang tercatat di Kalendar Kuda tu? Pejabat-pejabat tertentu juga akan menerima surat rasmi dari ‘pihak’ atasan tertentu menyatakan tarikh Aidil Fitri ialah pada sekian tarikh, bertujuan menyelaraskan tarikh Rumah Terbuka…jadi benarkah segala Imkanur Rukyah tersebut digunapakai?Atau hanya satu prosedur rasmi untuk menjadikan ianya satu cover-up sahaja…

    Terima kasih.

    Assalamualaikum WBT

    • Salam
      1. Terimakasih atas pandangan.
      2. Penyelarasan kaedah penetapan perlu dibuat bagi dunia Islam oleh oic . Saya tidak pasti persidangan Istambul 1978 yang dipesetujui untuk Ketetapan syarat kenampakan Hilal diikuti oleh seluruh dunia islam atau pun tidak. Saya juga tidak tahu apa kaedah diambil oleh Arab Saudi.
      3. Saya berpendapat jika Arab Saudi juga ikut kaedah yang sama dengan Malaysia – ia mungkin boleh nampak anak bulan lebih awal dari Malaysia, kerana umur hilalnya mungkin lebih 8 jam selepas Istimaq bumi,bulan dan matahari , atau 2 syarat tambahan lagi mencukupi.
      4. Saya juga berpendapat wukuf adalah ibadat seperti juga sembahyang dan puasa. Waktu sembahyang dan berpuasa adalah berbedza mengikut tempat, begitujuga waktu wukuf. Kalau pun kita berpuasa sunat wukuf pada 15 November sama hari dengan hari wukuf di ArabSaudi , kita sebenarnya berpuasa 5 jam lebih awal- juga tidak akan sama.
      5. Satu hal lagi kita di malaysia juga mencerap hilal oleh Jabatan Ukur dengan kerjasam Jabatan Mufti negeri-negeri, tetapi tidak nampak – dan tidak akan nampak kerana sarat kenampakan tidak mencukupi:

      * Di ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk (horizon) tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang dari 3°.

      Atau

      * Di ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam.

      6. Tujuan saya membuat artikal ini bukan untuk menambah perbalahan , sebaliknya untuk memberi pandangan mengapa perbedzaan terjadi mengikut kaedah falak. Saya juga asalnya hairan dengan perbalahan ini mengapa terjadi. Selepas saya mencari …. dan memahaminya saya dapat menerima sebagai satu Ilmu dari Allah.
      7. Saya mengimpikan : Jika seluruh dunia Islam diperintah oleh seorang Khalifah, setelah hilal dilihat di Arab Saudi, Khalifah akan berfatwa seluruh dunia islam akan menentukan esonya 1 haribulan Zulhijah. Mungkinkah?
      8. Tulisan saya ini sekadar pandangan, jika silap kepada Allah saya mohon ampun.

  3. Jamil: Tarikh Aidiladha Saudi tak semestinya dipakai negara lain
    November 23, 2010

    SEPANG,23 Nov – Penetapan dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi tidak semestinya diterima pakai oleh negara lain kerana terdapat perbezaan waktu, matlak (tempat terbit dan terbenam matahari) serta kriteria penetapan awal hijrah yang digunakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Sehubungan itu penentuan Hari Raya Aidiladha di Malaysia yang tidak sama tarikh dengan kerajaan Arab Saudi atau berbeza satu hari adalah disebabkan kerajaan Malaysia menetapkan tarikh itu mengikut rukyah dan hisab seperti penetapan awal puasa dan Hari Raya Aidilfitri, katanya.

    “Perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-67 pada 16 Jun 1994,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik VIP, KLIA di sini hari ini.

    Katanya umat Islam di Malaysia perlu menerima pakai pengisytiharan yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah iaitu 17 Nov lepas sebagai tarikh Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) manakala tarikh 18, 19 dan 20 Nov sebagai Hari Tasyrik.

    Katanya pengisytiharan Hari Raya Aidiladha ditentukan berdasarkan kriteria penetapan awal bulan hijrah di Malaysia dan di negara anggota MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) sejak 1 Jun 1992.

    Jamil Khir berkata kenyataan anggota Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub baru-baru ini yang mendakwa tarikh Aidiladha di Malaysia berbeza dua hari dengan tarikh di Arab Saudi adalah tidak benar kerana penentuan 9 Zulhijjah 1413 Hijrah ialah pada Selasa 16 Nov.

    “Ia juga bertepatan dengan kriteria yang dipersetujui antara anggota MABIMS,” katanya.

    Selain itu pada Isnin 15 Nov, umat Islam di Mekah masih mengerjakan wukuf dan tidak menyambut hari raya pada tarikh yang didakwa.

    Berhubung puasa sunat pada 9 Zulhijjah, umat Islam di negara ini boleh melakukannya mengikut pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja iaitu pada 16 Nov mengikut kalendar Kerajaan Malaysia.

    Katanya maklumat mengenai penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik boleh diperoleh di laman sesawang Jabatan Kemajuan Agama Islam iaitu http://www.Islam.gov.my untuk memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul di kalangan umat Islam di negara ini. – Bernama

  4. Maksud hadis:

    Kuraib menceritakan bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Syam. Kuraib berkata, “Aku tiba di Syam dan menunaikan hajatnya sedangkan pemberitahuan dan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah al-Munawwarah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan”. Katanya, “Bilakah kamu melihat anak bulan?”. Aku menjawab, “Kami melihat pada malam Jumaat!”. Ibnu Abbas bertanya lagi katanya, “Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?”. Aku menjawab, “Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa”. Ibnu Abbas berkata, “Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal”. Aku bertanya, “Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?”. Ibnu Abbas menjawab, “Tidak! Beginilah caranya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami”.(Riwayat Imam Muslim)

    Hadis ini menunjukkan bahawa Ibnu Abbas tidak mengambil kira rukyah penduduk Syam dan tidak menjadi wajib atas penduduk satu-satu negeri beramal dengan rukyah yang berlaku di negeri lain (berlainan matla’).

    Maksud hadis ;

    Daripada Ibni Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “Satu bulan mengandungi 29 hari, oleh itu jangan kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) hingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan jangan kamu berbuka (berhari raya) hingga kamu melihat anak bulan (Syawal). Jika terlindung hilal daripada pandangan kamu, sempurnakan bilangan anak bulan itu (30) hari”.(Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

    Hadis ini menunjukkan bahawa wajib puasa tertakluk kepada rukyah (melihat anak bulan), sungguhpun begitu tidaklah dikehendaki setiap orang melihat anak bulan. Jika mendung berlaku pada malam itu, sempurnakanlah bilangan bulan 30 hari (atau dengan perisytiharan dari pemerintah).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s