Memahami Tuntutan Bersih 2.0

Tuntutan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

 

– dipetik dari tulisan Zulkifli Sulung, Harakahdaily.net

Menilai Bersih 2.0

THE MALAYSIAN INSIDER: BANGI, 11 Julai – Sementara isu-isu dibawa Bersih adalah “munasabah”, pentadbiran Najib tidak lagi boleh menggunakan taktik era Perang Dingin dalam berhadapan dengan bangkangan dan menguruskan aspek sekuriti negara, kata Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Sehubungan itu jelas profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat.

“Saya mengatakan poin bahawa perikatan yang memerintah masih berurusan menggunakan cara traditional, yang menggunakan konsep Perang Dingin, kita bukan berurusan dengan komunis,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Najib perlu beralih daripada pendekatan tradisional kepada bukan traditional, yang menurutnya mempunyai lima komponen iaitu tenaga atau kuasa, air, makanan, kesihatan dn pendidikan.

“Kesemua lima komponen bersepadu antara satu sama lain… ini yang diabaikan, bukan lagi soal sekuriti tradisional,” kata Shamsul Amri ketika ditemui selepas majlis pelancaran kajian bertemakan “Nilai, Impian dan Ideal: Belia Muslim di Asia Tenggara” dikendalikan bersama oleh Merdeka Center, Universiti Kebangsaan Malaysia, Goethe Institut Malaysia dan Friedrich Naumann Foundation for Freedom di sini hari ini…….

Dalam pandangannya, Shamsul Amri, ahli akademi jurusan sosiologi dan pengasas Institut Kajian Etnik berkata, isu-isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 adalah sesuatu yang munasabah.

“Isu-isu yang diketengahkan oleh Bersih 2.0 adalah isu-isu yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ini isu-isu yang berterusan, dari segi kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Ia satu perkara yang berterusan dan ia tidak akan berakhir di sini,” kata beliau lagi.

Malangnya kata beliau, kerajaan yang memerintah ketinggalan zaman dan sangat perlahan dalam memberikan respons kepada isu-isu yang wujud.

“Mereka sudah begitu biasa dengan respons ketika zaman Perang Dingin,” kata beliau.

Katanya, jika anda meneliti manual latihan sama ada polis ataupun tentera, ia sama seperti yang digunakan ketika era darurat.

Dalam komennya beliau juga mempersoalkan pendirian pasukan keselamatan menangani perhimpunan aman.

“Apabila publik mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Amerika Syarikat sebelum ini, mengenai isu Palestin, adakah polis datang? Tidak. Jadi, mengapa mereka datang sekarang (Sabtu lalu)?” kata beliau.

HARAKAHDAILY: 11 Julai :Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed), Matthias Chang dalam tulisannya memberikan masa sekurang-kurangnya 10 bulan kepada BN untuk boleh membetulkan balik kesilapan cara BN mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 ini.

Sebelum Matthias, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah turut mempertikaikan strategi BN dalam menghadapi Bersih 2.0.

Bagi Mathias, perhimpunan 9 Julai 2011 menimbulkan tujuh persoalan untuk dijawab oleh Najib:

1) Mengapa para pakar “Strategi lautan biru” gagal menjangkakan dengan tepat apa akan berlaku dalam Bersih 2.0 dan membuat langkah awal?

2) Kenapa pasukan keselamatan kebangsaan gagal menjangka apa berlaku dalam Bersih 2.0 dan bila PM dan menteri kabinet ditaklimatkan tentang demonstrasi itu?

3) Kenapa kerajaan BN membenarkan agen provokasi Perkasa mengambilalih tugasnya dalam mengendalikan Bersih dan diikuti oleh Pemuda Umno yang tidak matang?

4) Mengapa Najib flip-flop dalam keputusannya membenarkan perhimpunan di stadium dan memberikan kebenaran kepada polis untuk bertindak sepenuhnya?

5) Apa yang menyebabkan agen propaganda BN merasa dengan menyekat seluruh ibu negara akan menyebabkan rakyat marah kepada pembangkang bukannya kerajaan BN?

6) Adakah penilaian dibuat terhadap kesan dari tindakan keras terhadap demonstrasi Bersih 2.0. Adakah ia berjaya mengekalkan penyokongnya atau menghalau keseluruhan 40 peratus pengundi atas pagar dari BN?

7) Adakah dikenalpasti objektif yang hendak dicapai dengan pendekatan kasar menghadapi Bersih dan bagaimana ia boleh menambahkan lagi sokongan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang?

HARAKAHDAILY: 11 Julai :Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) 3 PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusuf berkata, sebaliknya, ratusan ribu rakyat yang berhimpun secara aman bagi menyampaikan suara hati mereka agar kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil di negara kita dilayan dengan amat kasar.

“Sedangkan hendak menangani perhimpunan aman yang diadakan oleh ratusan ribu rakyat pun gagal, jadi bagaimana para pemimpin BN hendak menjadikan negara kita sebagai negara maju?”

 

THE MALAYSIAN INSIDER: BANGI, KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah “mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.”

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.

Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013.

Frank La Rue, Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan pandangan dan pendapat berkata, tindakan Malaysia mengisytiharkan perhimpunan sebagai haram, menutup sebahagian besar ibu negara dan menangani peserta dengan cara sedemikian memperlekehkan kemajuan demokrasi.

 

 

Puisi: A. Samad Said
Muzik: Az Samad

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

1. 7. 11. A. SAMAD SAID  http://bm.bersih.org/

A Samad Said: Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

http://samadsaid.wordpress.com/

__________________________________

Selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, A Samad Said berkata:

“Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa,” 

__________________________________

Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011 :

“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?
Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.
Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.

Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”

(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).

Sumber: http://samadsaid.wordpress.com/