Jabatan Mufti Perlis: Garis Panduan Acara Persembahan, Konsert, Hiburan, Tarian, Pengiklanan Produk Dan Permainan Dalam Islam

Dipetik daripada Irsyad Hukum Bil 2 Mei 2011

Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis.

1.Senikata/skrip

i    Hendaklah dipastikan senikata/skrip mempunyai perkataan yang tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam seperti memburuk-burukkan Rasulullah SAW, memperlekehkan para sahabat, meragui hari kiamat, pemujaan selain daripada Allah SWT dan sesuatu yang mendorong kepada perlakuan zina atau seumpamanya.

ii    Hendaklah senikata/skrip yang disampaikan berdasarkan fakta-fakta yang benar, tidak berunsur maksiat, tidak berunsur khurafat dan tahyul serta “lagho” (sia-sia).

2.    Muzik/ lagu

i    Hendaklah muzik/lagu diiringi atau dialunkan dengan irama atau bunyian yang tidak lagho (sia-sia) dan melampau seperti irama rock, heavy metal, dangdut dan Iain-Iain.

ii    Hendaklah muzik/lagu mempunyai unsur-unsur yang tidak melagukan al-Quran dan zikir-zikir yang bertentangan dengan syariat Islam.

3.    Persembahan

i    Hendaklah tiada elemen minuman arak dan dadah, pertaruhan judi, tiada drama dan lakonan-lakonan yang bertentangan dengan syarak seperti “tasyabbuh” (penyerupaan) dengan orang kafir, “tasyabbuh” lelaki/wanita, mengandungi unsur-unsur khurafat (kepercayaan karut) dan tahyul.

ii    Hendaklah tidak bercanggah dengan syarak, tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat dan tidak memudaratkan nyawa, akal, keturunan, tubuh badan serta harta benda individu atau awam.

iii    Hendaklah tidak melibatkan persembahan atau tarian yang wujud percampuran yang menyalahi syarak antara lelaki dan wanita di dalam persembahan atau tarian yang dilakukan.

iv    Hendaklah tidak mempunyai perkara yang membodohkan minda seperti jenaka melampau dan sebagainya.

v    Hendaklah tidak mempunyai elemen-elemen promosi barangan yang menyalahi syariat Islam

vi Hendaklah tidak menyerupai amalan ibadat agama selain Islam

4.    Masa dan tempat

i    Hendaklah menepati masa dan keadaan yang ditetapkan supaya hak-hak Allah seperti waktu solat dan kewajipan yang lain tidak terabai.

ii    – Hendaklah tidak berhampiran dengan:

■    Masjid/surau,

■    Sekolah/madrasah (bagi menghormati majlis ilmu),

• di tepi jalan yang akan mengganggu lalu lintas (dan kesesakan),

■    rumah kebajikan orang tua/hospital,

■    taman perumahan yang sesak dengan penduduk.

■    kawasan perkuburan,

■    rurnah/bangunan orang yang sedang sakit tenat.

5.    Artis dan penonton

i    Hendaklah menjemput artis yang berimej baik dan membawa mesej pendidikan kepada masyarakat.

ii    Hendaklah penyanyi sama ada lelaki atau wanita, pembuat persembahan dan penonton yang hadir menutup aurat mereka, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara dan senikata lucah yang menyebabkan rangsangan nafsu kotor dalam kalangan pendengar/penonton.

iii    Hendaklah penyanyi tersebut daripada kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita. Jika persembahan itu secara tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu daripada kalangan wanita.

iv    Hendaklah peribadi artis/penghibur itu tidak menyebabkan fitnah kepada Islam dan umatnya serta orang yang dihiburkan.

v    Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada persentuhan antara lelaki dan wanita “ajnabi” (asing).

Keputusan Jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 19 April 2011. Keputusan inijuga telah disembah maklum kepada DYMM Tuanku Raja Perlis.

Klik untuk salinan asal dalam format PDF di bawah:

IHukum ms2