PETIKAN KRONOLOGI FATWA BERKENAAN KURSUS ESQ LEADERSHIP TRAINING ANJURAN ARY GINANJAR AGUSTIAN
OLEH JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
10 Februari 2009:
Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) berkenaan ESQ telah diadakan sekali lagi. Mesyuarat ini telah menyenaraikan penyelewengan-penyelewengan yang terdapat di dalam ESQ sebagaimana berikut:
a) Kursus ESQ akan mewujudkan golongan yang mengakui kewujudan nabi baru berdasarkan ideologi yang diterapkan;
b) Kursus ini mengajar bahawa akal adalah lebih besar daripada wahyu;
c) Kursus ini banyak menggunakan istilah-istilah agama yang ditafsirkan menggunakan tafsiran bebas tanpa disiplin;
d) Teori suara hati di dalam kursus ini boleh mengelirukan orang awam; dan
e) Kursus ini cuba mencampuradukkan perbincangan tentang hakikat kewujudan antara falsafah Islam dan Barat.
Mesyuarat telah mengambil keputusan bahawa Kursus ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian perlu disekat dan diharamkan dari
beroperasi di Malaysia dan kertas kerja berkenaannya diangkat ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia.
02 April 2009:
Pihak JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Ary Ginanjar Agustian, pengasas ESQ Leadership Centre bertempat di Dewan Syura JAKIM, Blok D7, Kompleks D, Putrajaya dan telah menyimpulkan bahawa:
a) Ary Ginanjar Agustian masih bertegas dengan pendiriannya menggunakan pendekatan sumber manusia (human resource) gaya Barat untuk
mengembangkan konsep pembinaan sumber manusia yang dikatakan berasaskan Islam;
b) Beliau sukar menerima hakikat bahawa ajaran Islam perlu dirujuk kepada sumber-sumber Islam yang berautoriti seperti kitab-kitab tafsir dan Hadis;
c) Beliau lebih banyak berhujah bahawa beliau adalah benar dengan menggunakan sentimen sokongan daripada badan-badan Islam di Indonesia, golongan korporat dan tokoh-tokoh kenamaan di dalam kerajaan dan swasta;
d) Beliau tidak akan berganjak dengan modul ESQ yang sedia ada dengan pernyataan beliau bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk
mengeluarkan ayat-ayat Al-Quran bagi modul di Malaysia tetapi tidak di negara lain; dan
e) Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang berunsur ugutan dan amaran seperti meletakkan beberapa pilihan kepada JAKIM termasuk menarik
diri dari Malaysia sekiranya ESQ diharamkan.
Sumber : http://www.muftiwp.gov.my/pmwp/profail_jabatan_files/KRONOLOGI_FATWA_ESQ.pdf