Cuka wain haram, kata Mufti Selangor

SHAH ALAM, 12 Mei — Semua pihak terutamanya pengusaha dan pengeluar makanan perlu mempunyai kesedaran sendiri berhubung penggunaan cuka wain dalam industri makanan yang difatwakan haram pada 2006.

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata walaupun fatwa mengenai pengharamannya dibuat pada 2006, namun masih ramai yang kurang prihatin malah ada yang tidak faham langsung berhubung larangan penggunaan bahan itu dalam penyediaan makanan halal.

Beliau berkata, penguatkuasaan berhubung penggunaan bahan itu dalam makanan di kalangan pengusaha dan pengeluar makanan termasuk di hotel-hotel sukar dilakukan kerana ia merupakan bahan yang sukar dikesan.

“Biasanya cuka wain ini digunakan pada makanan seperti kek dan biskut termasuk di hotel-hotel, mungkin bertujuan supaya makanan yang dihasilkan tahan lebih lama atau mungkin juga bagi tujuan menyedapkanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penerangan Fatwa Hukum Cuka Wain di sini hari ini.

Katanya, sehubungan itu kesedaran adalah faktor penting di mana pengusaha dan pengeluar makanan perlu mengisytiharkan penggunaan cuka wain jika ia terdapat dalam produk yang mereka pasarkan, atau mereka boleh terus mengambil inisiatif tidak menggunakan bahan itu lagi dalam produk-produk mereka.

“Sebab itu saya kata kesedaran, kerana jika mereka rahsiakan maka sukar untuk diketahui kebenarannya, melainkan dengan melakukan kajian secara saintifik,” katanya.

Tamyes berkata memandangkan ada pengusaha makanan halal dalam negara yang turut dikeluarkan oleh orang bukan Muslim, maka pemahaman mengenai larangan cuka wain ini amat penting untuk disebarkan.

Beliau memberi contoh seminar hari ini yang turut menjemput orang bukan Muslim supaya mereka faham dan sedar mengenai larangan penggunaan cuka wain dalam makanan untuk pasaran halal.

Dalam pada itu, Tamyes berkata beliau percaya pakar sains di Malaysia pasti mampu mencari alternatif kepada penggunaan cuka wain dalam makanan bagi memastikan kesucian makanan halal itu dipelihara.

Beliau seterusnya menyeru supaya umat Islam megambil berat mengenai bahan dalam makanan yang  diambil kerana ia penting dalam memastikan amalan di dunia dan di akhirat akan diterima Allah. — Bernama

SISIPAN:

Hukum Wine Vinegar ( Cuka wain ) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke – 76


Tarikh : 4-6 April 2006


Keputusan Muzakarah :

” Haram menggunakan Cuka Wain ( Wine Vinegar ) yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar. Walaubagaimanapun, sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal.”