Haji: Bukan hanya ibadah ritual tapi Islam masuk Yathrib

Oleh Nik Nasri Malek – http://www.harakahdaily.net/ 

 

Musim haji bukan sahaja disibukkan dengan urusan menunaikan ibadat haji, tetapi dalam sejarah Islam telah digunakan oleh Nabi SAW untuk menyebarkan Islam ke Yathrib. Dalam kitab al-Madinah al-Munawwarah: Fajr al-Islam wa al-Asr ar-Rashidi jilid 1 ms 100-102 disebut Islam masuk ke Yathrib melalui 5 peringkat dan ia mula berlaku di musim haji. Peringkat-peringkat itu ialah: 

1. Musim haji tahun ke 11 kenabian: Nabi melintasi beberapa orang pemuda Yathrib dari kalangan Khazraj di Mina menawarkan kepada mereka Islam, membacakan al-Quran. Pemuda-pemuda ini teringat kata-kata Yahudi di Yathrib bahawa Yahudi mengambil ‘berkat’ nama Muhammad sehingga mereka menang perang mengalahkan kabilah Arab. Lalu pemuda-pemuda ini sedar bahawa Muhammad yang sedang menawarkan Islam di Mina inilah orang yang disebut-sebut oleh Yahudi itu. Mereka menerimanya. Semenjak itu nama Nabi Muhammad SAW tersebar di Yathrib.

2. Musim haji tahun ke 12 kenabian: 12 lelaki Yathrib menemui Nabi di Aqabah, mengambil janji setia beriman kepada Allah dan tidak melakukan akhlak keji seperti bunuh, zina, curi, bohong dan lain-lain sifat keji. Baiah Aqabah pertama ini dipanggil Baiah Nisa’ kerana tiada jihad di dalamnya. Nabi SAW menghantar Mus’ab bin Umair ke Yathrib untuk mengajar dan menyampaikan Islam di sana.

3. Musim haji tahun ke 13: Lebih 70 orang Yathrib menemui Nabi SAW di Aqabah. Mengambil janji setia dengan Baginda dalam Baiah Aqabah ke 2 untuk taat dan dengar ketika rajin dan malas, suka atau tidak, tidak takut celaan orang yang mencela dan bersedia mempertahankan Nabi sebagaimana mereka mempertahankan anak isteri mereka. Nabi SAW memilih 12 naqib/ketua iaitu 9 orang dari Khazraj dan 3 orang dari Aus untuk memastikan Baiah itu dilaksanakan.

4. Para Sahabat Nabi SAW mula berhijrah seorang demi seorang, satu kumpulan demi satu kumpulan setelah diizinkan oleh Nabi berhijrah ke Yathrib.

5. Nabi SAW tiba di Yathrib bersama Abu Bakar Isnin 12 RabiulAwwal tahun pertama Hijrah.

Jelas kepada kita bahawa musim haji bukan sahaja musim untuk menunaikan ibadah haji secara ritual atau melengkapkan rukun Islam ke 5 tetapi punya nilai taqwa tinggi apabila di musim haji inilah Islam mula memasuki hati manusia di Yathrib yang datang ke Mekah menunaikan haji sehingga akhirnya tegak negara Islam di Madinah yang menjalankan dan melaksanakan bukan sahaja ibadah haji tetapi juga keseluruhan Islam itu.

Nik Nasri Malek,

Kemaman, Terengganu.

Persedian Hijrah: Siapa Mus’ab ibn Umair ‎r.a?

Mus’ab ibn Umair ‎r.a

Selepas Iqrar Aqabah pertama Rasul  s.a.w melantik Mus’ab ibn Umair r.a sebagai wakil baginda s.a.w kepada penduduk Yathrib untuk mengajar al Quran dan Islam.

Mus’ab ibn Umair r.a merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah dan terhormat. Berwajah kacak dan segak, Mus’ab r.a menjadi tumpuan kaum wanita ketika itu. Ibunya bernama Khunnas binti Malik.

Nama lengkap beliau ialah Mush’ab bin Umair bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Abduddaar.

Sebelum memeluk Islam, Mus’ab r.a merupakan golongan cendikiawan Makkah dan sering dijemput ke mesyuarat para pemimpin Makkah yang ketika itu dihadiri oleh Abu Jahal, Abu Sufyan ibn Harb dan para bangsawan yang lain. Selepas memeluk Islam di tangan Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a , Mus’ab r.a  kemudiannya bertukar watak menjadi zuhud dan warak.

Antara dugaan beliau adalah mendapat tentangan hebat daripada ibunya sendiri sehinggakan beliau dikurung di dalam rumah dan dijaga oleh pengawal. Bagi mengelakkan seksaan, Mus’ab berhijrah menuju ke Habsyah sebanyak dua kali.

Dr. Ali Muhamad As Salabi dalam kitabnyaBiografi Rasulullah s.a.w menyebut tentang mengapa Rasul s.a.w memilih Mus’ab:

… beliau r.a dari sudut hafalannya ketika turun al Quran memiliki kecerdasan dan ketenangan, kebaikan akhlak dan hikmah dengan kadar yang besar, ditambahkan kekuatan imannya dan semangatnya yang kuat terhadap agama.

Mus’ab r.a  semasa di Yathrib tinggal di rumah As’ad bin Zurah. Mereka giat menjalankan dakwah menyeru kepada Islam. Mus’ab r.a  berdakwah dengan berpegang kepada manhaj al Quran yang di ajar oleh Rasul s.a.w :

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. – an-Nahl 125

Hasil ushanya beliau berjaya mengislamkan  Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz. Keduanya adalah antara ketua puak di Yathrib, yang membawa pengikut-pengikutnya kepada Islam. Oleh itu dalam beberapa bulan dia mampu menyebarkan Islam di seluruh  Yathrib.

Pada musim haji ke 13 selepas kerasulan, Mus’ab r.a kembali ke Makah memaklumkan perkembangan Islam di Yathrib kepada Muhammad s.a.w.  bahawa Islam telah tersebar ke seluruh kawsan Aus dan Khazraj . Malah mereka juga bersedia untuk membuat Iqrar baru (Iqrar Aqabah ke 2) serta mampu memberi perlindungan kepada Rasul s.a.w.

Mus’ab r.a kemudiannya  terlibat dalam Perang Badar dan Perang Uhud. Dalam Perang Uhud, Mus’ab r.a dipertanggungjawabkan untuk memegang panji Islam. Dalam peperangan tersebut beliau gugur syahid.

Rhamdani Kurniawan Dalam Artikalnya : Strategi Pemasaran Mush’ab Bin Umair  Dalam Mengislamkan Penduduk Madinah  menulis:

Pada perang Uhud, Mush’ab bin Umair merupakan salah satu syuhada yang gugur dalam membela agama Allah SWT. Ketika Rasulullah SAW mendapati Mush’ab bin Umair sebagai salah satu syuhada, beliau membacakan sebuah ayat yang berbunyi:

Di antara orang-orang Mukmin terdapat pahlawan-pahlawan yang telah menepati
janjinya dengan Allah.(Q.S. 33 al-Ahzab: 23)

Kemudian ketika mengetahui bahwa kain kafan yang dipakai untuk menutupi jasad Mush’ab bin Umair tidak mencukupi, sehingga mengharuskan menggunakan kain burdah untuk menutupi bagian tubuh lainnya, beliau bersabda:

Ketika di Mekah dulu, tak seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripadamu. Tetapi sekarang ini, dengan rambutmu yang kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah.

Itulah salah satu bukti kasih sayang Rasululah SAW kepada sahabat yang dikasihinya. Seorang brilian muda yang mampu mencetak ‘laba’ yang sangat besar sehingga dakwah Islam dapat berkembang pesat di Madinah.

Rujukan:

1.Dr. Ali Muhamad As Salabi : Biografi Rasulullah s.a.w

2.Wikipidia

3. http://www.scribd.com/doc/16622658/Sharia-Marketing-Mushab-Bin-Umair

Persediaan Hijrah: Fajar Islam di Yathrib

Sebelum  Hijrah, Madinah lebih dikenali sebagai Yathrib. Yathrib ketika itu dihuni oleh golongan Aus,Khazraj dan Yahudi. Aus dan Khazraj adalah dua puak Arab penyembah berhala yang selalu bermusuhan. Yahudi pula golongan ahli kitab yang menunggu peluang untuk menguasai Yathrib. Kepercayaan Yahudi mengatakan seorang nabi akan muncul pada masa yang terdekat, juga diketahui oleh kedua-dua puak Arab tersebut.

Pada musim ziarah ke Mekah beberapa orang puak Khazraj berziarah ke Mekah. Kesempatan ini diambil oleh Muhammad s.a.w untuk mengajak kepada Islam. Terus mereka terfikir, inikah Nabi yang di katakana oleh Yahudi Ahli Kitab?  Lalu dua orang daripadanya telah memeluk Islam dan kembali ke Yathrib. Kedua mereka adalah dari Banu Najjar. Keislaman mereka berdua menjadi buah mulut penduduk Yathrib.

Pada musim ziarah berikutnya, duabelas orang pendudk Yathrib bertemu nabi s.a.w. Mereka ini bertemu dengan Nabi di ‘Aqaba. Di tempat inilah mereka menyatakan ikrar atau berjanji kepada Nabi s.a.w  yang kemudian dikenal dengan nama Ikrar ‘Aqaba pertama. Mereka berikrar kepada baginda s.a.w  untuk tidak menyekutukan Tuhan, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak, tidak mengumpat dan memfitnah, baik di depannya atau di belakang. Jangan menolak berbuat kebaikan. Barangsiapa mematuhi semua itu ia mendapat pahala surga, dan kalau ada yang mengecoh, maka soalnya kembali kepada Tuhan. Tuhan berkuasa menyiksa, juga berkuasa mengampuni segala dosa. Mereka kemudian pulang membawa Islam kepada Yathrib.  Kepada mereka Nabi s.a.w mengutus Mushab bin Umair untuk mengajar Al Quran dan Islam. Sejak itu Islam mula berkembang di Yathrib.

Pada tahun 622M sekali lagi rombongan haji dari Yathrib menuju Makah. Rombongan ini terdiri dari tujuhpuluh lima orang, tujuhpuluh tiga lelaki dan dua wanita. Kesempatan ini juga diambil oleh Nabi s.a.w untuk mengajak kepada Islam. Pertemuan itu  diadakan di ‘Aqaba pada tengah malam pada hari-hari Tasyriq. Di sinilah berlakunya Iqrar Aqabah ke dua. Dalam ikrar kedua ini mereka berkata:
“Kami berikrar mendengar dan setia di waktu suka dan duka, di waktu bahagia dan sengsara, kami hanya akan berkata yang benar di mana saja kami berada, dan kami tidak takut kritik siapapun atas jalan Allah ini.”

Kedua-dua  Iqrar Aqabah tersebut telah terjadi secara rahsia daripada pengetahuan kaum musyrik Mekah. Lanjutan dari kedua-dua Iqrar tersebut Islam berkembang pesat di Yathrib. Ini menjadi tapak sokongan kuat kepada perjuangan dakwah Nabi s.a.w. Sementara itu di Makah sendiri tekanan terhadap Nabi s.a.w dan pengikutnya  semakin meningkat.

Lanjutan dari tekanan yang bertambah Nabi s.a.w mengarahkan para sahabat berhijrah ke Yathrib secara rahsia, sementara baginda s.a.w sendiri masih berada di Makah.

 

Rujukan:

Kisah Para Nabi – Ibn Katsir

Sejarah Hidup Muhammad – Haekal