ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU

Kebelakangan ini isu hudud timbul semula. Fokus isu ini ialah negeri Kelantan, kerana enakmen ini telah dilulus DUN Kelantan. Di Terangganu juga enakmen ini telah di luluskan.

Untuk Rujukan, berikut ini adalah enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ( Hudud Dan Qisas) Terangganu, negeri yang di perintah UMNO:

SUMBER: http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/0/cb36901c419ea86448257385002c3dc8?OpenDocument

TERENGGANU
ENAKMEN 4 TAHUN 2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

Tarikh Persetujuan DiRaja : 2 September 2002
Tarikh disiarkan dalam Warta : 25 September 2003
Tarikh mula berkuatkuasa : 27 Oktober 2003 [Tr. P.U. 10/2003]
_____________
SUSUNAN SEKSYEN
_____________

Mukadimah

BAHAGIAN I

Seksyen 1. Tajuk Ringkas dan Permulaan Kuat kuasa.
Seksyen 2.Tafsiran.
Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan.
Seksyen 4. Kesalahan-kesalahan Hudud.

BAHAGIAN II – SYURB

Seksyen 5. Syurb.
Seksyen 6. Bilakah Hukuman Hudud Kerana Kesalahan Syurb Tidak Boleh Dikenakan.

BAHAGIAN III – QAZAF

Seksyen 7. Qazaf.
Seksyen 8. Hukuman qazaf.
Seksyen 9. Kesalahan Yang Dikira Kesalahan Qazaf.
Seksyen 10. Al-li’an.
Seksyen 11. Akibat Al-li’an.

BAHAGIAN IV – ZINA

Seksyen 12. Zina.
Seksyen 13. Hukuman Zina.
Seksyen 14. Liwat.
Seksyen 15. Hukuman liwat.
Seksyen 16.Membuktikan liwat.
Seksyen 17. Bilakah Hukuman Hudud Zina tidak boleh dikenakan.
Seksyen 18. Zina Mahram.

BAHAGIAN V – SARIQAH

Seksyen 19. Sariqah.
Seksyen 20. Hukuman Kerana Melakukan Sariqah.
Seksyen 21. Bilakah Hukuman Hudud Sariqah Tidak Boleh Dikenakan.

BAHAGIAN VI – HIRABAH

Seksyen 22. Hirabah.
Seksyen 23. Hukuman hirabah.
Seksyen 24.Bilakan Hukuman Hudud Hirabah Boleh atau Tidak Boleh Dikenakan.

BAHAGIAN VII – IRTIDAD ATAU RIDDAH

Seksyen 25. Irtidad atau Riddah.
Seksyen 26. Hukuman Bagi Kesalahan Irtidad atau Riddah.

BAHAGIAN VIII – QISAS

Seksyen 27. Qisas.
Seksyen 28. Jenis Kesalahan Menyebabkan Kematian.
Seksyen 29. Qatlul-al-‘amd
Seksyen 30. Hukuman Bagi Kesalahan Qatlul-al-‘amd
Seksyen 31. Pengampunan.
Seksyen 32. Ganti Kepada Hukuman Qisas.
Seksyen 33. Qatlul-syibhu-al-‘amd.
Seksyen 34. Hukuman Qatlul-syibhu-al-‘amd.
Seksyen 35. Qatlul-al-khata’
Seksyen 36. Hukuman Qatlul-al-khata’
Seksyen 37. Menyebabkan Kecederaan Badan.
Seksyen 38. Hukuman Kerana Menyebabkan Kecederaan badan.
Seksyen 39. Jenis-Jenis Kecederaan Badan.
Seksyen 40. Bilakah Hukuman Qisas Tidak Boleh Dikenakan.
Seksyen 41.Akibat Apabila Hukuman Qisas Tidak Dikenakan.

BAHAGIAN IX – KETERANGAN

Seksyen 42. Bagaimana Membuktikan Kesalahan.
Seksyen 43. Bilangan Saksi.
Seksyen 44. Syarat-Syarat Kelayakan Menjadi Saksi.
Seksyen 45. Kualiti Keterangan.
Seksyen 46. Menarik Balik Keterangan.
Seksyen 47. Iqrar.
Seksyen 48. Menarik Balik Iqrar.
Seksyen 49. Keterangan Qarinah.
Seksyen 50. Takzir Sebagai Ganti Hukuman Hudud Apabila Keterangan Tidak Memenuhi Syarat-Syarat untuk Membuktikan Kesalahan Hudud.

BAHAGIAN X – BAGAIMANA HUKUMAN DIJALANKAN

Seksyen 51. Hukuman Hudud Tidak Boleh Diubah.
Seksyen 52. Pengesahan Hukuman Sebelum Pelaksanaan.
Seksyen 53. Pemeriksaan Pegawai Perubatan Sebelum Dilaksanakan Hukuman.
Seksyen 54. Cara Hendak Melaksanakan Hukuman Bagi Kesalahan Berbilang.
Seksyen 55. Cara Memotong Tangan Dan Kaki.
Seksyen 56. Cara Melaksanakan Hukuman Sebat.
Seksyen 57. Hukuman Rejam Ditangguhkan Bagi Perempuan Yang Hamil dan Yang Menyusukan Anak.
Seksyen 58. Hukuman Sebat ke atas Perempuan Hamil.

BAHAGIAN XI – PERUNTUKAN UMUM

Seksyen 59. Pemakaian Enakmen Ini.
Seksyen 60. Persubahatan Atau Komplot.
Seksyen 61. Niat Bersama.
Seksyen 62. Sariqah Berkumpulan.
Seksyen 63. Mencuba Melakukan Kesalahan.
Seksyen 64. Prosiding di Bawah Kanun Keseksaan Tidak Boleh Diambil.
Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.
Seksyen 65A. Kuasa Am Untuk Membuat Kaedah dan Peraturan.

BAHAGIAN XII – MAHKAMAH

Seksyen 66. Mahkamah Bicara Syariah Khas.
Seksyen 67. Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

JADUAL I
JADUAL II
JADUAL III
JADUAL IV
JADUAL V


HUDUD: FB TG Nik Aziz, “Alhamdulillah, saya menerima baik dan bersyukur sangat2…..”

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bismillah, saya dimaklumkan keputusan pimpinan Pakatan Rakyat semalam yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah. Alhamdulillah, saya menerima baik dan bersyukur sangat2 kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh non muslim. Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh UMNO yang masih menghalang hasrat kami.

Berikut keputusan Mesyuarat Pakatan Rakyat:

KENYATAAN PENUH PAKATAN RAKYAT

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Lim Kit Siang

Hudud: Umno Kuda Tungangan MCA-Gerakan?

Berita gembira. Berita baik kepada pendokong PAKATAN RAKYAT. Berita dari Pejabat Agong Pas menyebut DAP, PKR dan PAS semalam mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama sebelum ini dan  menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti termasuk  isu hudud. Maksudnya DAP menghormati kehendak PAS dan PAS memahami tidak sukanya DAP kepada Hudud.

Laporan Malaysia kini: SINI

Laporan Harakahdaily di SINI

Laporan The Malaysia Insider di SINI

Kepada PM Najib dan BN, ini berita buruk, apabila pakatan boleh berpakat, walaupun didalam perbedzaan pendapat.

Sebelum ini MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan. Lanjutan itu PM Najib menjawap Kerajaannya tidak akan membenarkannya, walaupun awalnya Timbalan PM kelihatan agak lunak berhubung isu hudud.

Sebelum ini juga PAS dituduh kuda tungangan DAP. Berita terbaharu ini jelas dapat mnenyangkal dakwaan ini, kerana TG Nik Aziz bertegas akan melaksanakan Hudud sekali pun tanpa DAP.

Jadi siapa sebenar menjadi KUDA?

Jika PM Najib terus tidak benarkan Hudud di laksanakan, jelas PM Najib takutkan MCA dan Gerakan keluar BN. Jika ini terjadi lingkup UMNO. Justru maka jadilah UMNO sebagai kuda, lebih baik dari lingkup.

Kepada PAS, jadikan isu HUDUD ini peluang dan ruang untuk berkempen berdakwah tentang hudud. Kalau Bukit Kepong boleh menimbul minat rakyat untuk kembali menyinkap sejarah kemerdekaan, mengapa tidak Hudud?

PAS perlu mencari sebab mengapa bukan Islam khasnya DAP begitu takut kepada Hudud, sekaligus berusaha menjawabnya. Mereka sebenarnya tidak mengetahui kebaikan Hudud. Betullah kata TG Nik Azizi, takut Hudud macam takut hantu.

Nampaknya Allah mempermudahkan kerja Tok Guru. Pakatan tetap teguh walaupun didalam perbedzaan pandangan. Atau pun kalau PM Najib terus menghalang, di akhirat, Tuan Guru sudah ada hujah dengan Allah, PM Najib menghalang kami di Kelantan melaksanakan Hudud.

Kita menati komen TG Nik Aziz mengenai perkembangan terbaru ini.

Apa kata Ustaz Azhar Idrus tentang hudud dan orang yang menolak hudud:

Pejabat Agung PAS: Berita apa yang terjadi malam ini?

Malam ini dah hampir jam 1 malam, aku masih tercari apa-apa berita terkini yang keluar dari Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur. Tak berjumpa pula.

Dikatakan pada malam ini pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP akan bermesyuarat bagi membincangkan cadangan PAS ‘untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah untuk orang Islam di Kelantan sahaja.

Apakah mesyuarat belum habis, atau tidak ada kata putus, atau tengah berhujah.

Hanya ada dua kemungkinan:

1. Esok keluar berita besar,  DAP keluar pakatan. Maka UMNO gelak besar! DAP akan kehilangan sokongan Melayu, Bersedialah Pulau pinang, Selangor dan Perak untuk jatuh dalam PRU akan datang

2. Esok kelauar berita kecil, DAP bersetuju Kelantan laksanakan Hudud. UMNO akan kecewa gila-gila.  Semua negeri pakatan akan bertambah kuat dan lorong ke Putra Jaya menjadi cerah.

Ya , jika PAS, DAP dan PKR  dapat bersetuju Kelantan laksanakan Hudud, TG Nik Aziz adalah orang paling gembira, bersama seluruh rakyat kelantan. Ya aku percaya , ini akan terjadi.

Aku masih menanti berita terkini.

Perundangan Islam – Utamakan mencegah bukan menghukum

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ(13
وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ (14)- النساء: 13-14

Yang bermaksud : Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.Surah Al-Nisa’, ayat 13-14

Tema sambutan Hari Hududullah pada tahun 1432 Hijrah ini ialah “Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman”. Bermakna perundangan Islam termasuk hukum hudud amat mengutamakan prinsip mencegah dan mendidik umatnya ke arah keharmonian hidup bermasyarakat. Oleh itu, di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan. Satu ayat daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga daripadanya tentang hukum cerai dan iddah, dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka, seperti mana ayat tersebut di atas. Kemudian, satu ayat juga menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu lagi membicarakan tentang hukum zihar.

Penelitian terhadap ayat-ayat tersebut memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, maka digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah. Malah dilabelkan pula sebagai undang-undang primitif yang ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam kehidupan manusia adalah disebut “hududullah” (hudud Allah).

Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui bersekedudukan tanpa berkahwin yang menyebabkan hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah. Nyata sekali, setiap perkara yang haram, melanggar perintah Allah SWT, maka dianggap melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Yang bermaksud : Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb.­ – Hadis riwayat Bukhari.

Kekeliruan

Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan di dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah. Maka hudud telah diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah. Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan: “Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan “akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina.” Paling dukacitanya, kata-kata itu terbit daripada bibir orang Islam sendiri. Sekalipun kata-kata itu sudah lama diucapkan, tetapi kesannya telah memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang Allah SWT.

Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ouf of date dan sebagainya. Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlegar di kalangan non muslim bahkan masyarakat umat Islam sendiri masih keliru di dalam memahami keindahan syariat Islam yang sebenar.

Kekeliruan dan kejahilan ini bertambah parah apabila beberapa isu agama yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak ditangani sebagaimana yang diajar oleh Islam. Natijahnya, Islam semakin dipandang serong oleh masyarakat. Isu-isu seperti larangan non muslim memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentimen yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.

Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri. Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah. Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku Pentadbir alam ini. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa, orang ini bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim.

Saya yakin, sebahagian besar daripada masalah ini ialah kerana kejahilan terhadap keindahan undang-undang Islam itu sendiri. Justeru, Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Hududullah setiap tahun dan pada tahun ini pula diadakan seminar undang-undang syariah peringkat kebangsaan untuk memberikan pendedahan dari masa ke semasa kepada masyarakat agar apabila tiba saat dan masanya yang membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan dilaksanakan dengan penerimaan dan kefahaman daripada masyarakat yang sudah terdidik dengan maklumat-maklumat yang benar.

Optimis

Saya optimis, jika wajah sebenar undang-undang syariah didedahkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang menolak pelaksanaannya nanti. Kata cerdik pandai tidak kenal maka tidak cinta.

Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar seminar ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa dan hendaklah dibuka penyertaannya kepada penyertaan masyarakat non muslim untuk datang mendengar dan mengemukakan persoalan agar setiap kemusykilan dapat dijawab oleh para ilmuan bukannya diperdebatkan di dada-dada akhbar sehingga menjadi isu politik yang bias.

Hasarat Kerajaan Negeri ialah untuk mempertingkatkan syiar Islam di Kelantan ini. Oleh itu, saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan sama ada negeri atau pesekutuan agar sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat dengan berkerjasama menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan cara masing-masing. Mudah-mudahan kehidupan kita semua ini akan mendapat ihsan dan keberkatan dariNya.

Firman Allah SWT :

ولْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya”. –Surah Ali Imran, ayat 104.

Apa yang penting difahami bahawa hukum hudud ini bila dilaksanakan, bukannya pelaksananya adalah orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun setelah menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik.

Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat. Jika gejala penolakan ini tidak dibendung, saya bimbang menjadi satu trend yang sebenarnya membawa kesan yang tidak baik terhadap akidah umat Islam.  Jangan merasakan ini sebagai satu isu yang mudah kerana mempertikaikan hukum hudud sebenarnya mempertikaikan Allah SWT.

Penegasan Allah

Sebagai mengingatkan kembali, hayatilah penegasan Allah mengenai hudud yang bertaraf “tilka” memberi makna kehormatan, ketinggian dan peringkat atasan dari segi keutamaannya. Bermakna ia perkara penting. Maka orang yang tidak menerima hudud Allah, orang itu adalah orang durhaka!

Hukuman-hukuman hudud akan dilaksanakan oleh orang yang pakar mengenainya. Penghukuman hudud ada orangnya yang kita panggil hakim. Ia adalah tugas hakim bukannya orang politik. Maka rakyat atau mereka yang ragu, tidak perlu bimbang.

Kita juga kena ingat balik kisah “riddah” pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Keputusan beliau ialah mengisytihar perang terhadap golongan riddah. Lalu Saidina Abu Bakar menegaskan: “Usahkan orang tidak mengeluarkan zakat, orang yang tidak beri ‘tali hidung’ (‘iqal) unta, aku akan perangi mereka.” Ia bermakna perbuatan yang bersifat durhaka itu tidak bolleh dibiarkan, kerana bila dibiarkan akan rosaklah masyarakat (orang ramai).

Sama juga, dengan seseorang itu yang membiarkan bacaan fatihah secara tidak betul tajwid, akan berterusan dengan tidak betul. Sedangkan kerana bacaan tidak betul itu, mwenyebabkan ia berubah makna atau menjadi makna yang tidak betul.

Akhirnya, rakaman tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah istiqomah dan sentiasa mengambil tanggungjawab menjayakan misi hududullah ini.

*Olahan daripada ucapan pada Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, pada 22 Syawal 1432 bersamaan 20 September 2011, jam 10.40 pagi di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

SUMBER:http://www.blogtokguru.com/perundangan-islam-%E2%80%93-utamakan-mencegah-bukan-menghukum-2/

Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta’zir

 

Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke Atas Penjenayah

SUMBER: JABATAN MUFTI MELAKA

Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah kes jinayah syar`iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.

Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.

1. Hukuman Hudud

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, 2:229).

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:

a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.

b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

c) Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.

d) Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.

f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

g) Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari`at Islam dan hukum-hukum Islam.

2. Hukuman Qisas

Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.

Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:

a) Membunuh orang lain dengan sengaja.

b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.

c) Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh.” (Surah Al-Baqarah, 2:178)

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Ma’idah: 45)

3. Hukuman Diyat

Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:

a) Pembunuhan yang serupa sengaja.

b) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).

c) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Baqarah, 2:178)

4. Hukuman Ta`zir

Hukuman ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Hukuman ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.

 

BACA SELENGKAPNYA DI : http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/jinayat/home.htm

Kartika Sari Dewi Shukarnor : Enam Sebatan Adakah Hudud?

“Hukuman enam sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor telah diganti kepada khidmat masyarakat selama tiga minggu atas titah Sultan Pahang.”

Demikian berita panas mengenai hukum sebatan yang diampun atau diringankan oleh Sultan Pahang. Berita tersebut mengundang polimik perundangan :

The Malaysian Insider melapurkan : Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM)  kecewa dengan keputusan Sultan Pahang yang membolehkan hukuman sebat ke atas bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarno digantikan dengan kerja-kerja khidmat sosial.

Malaysiakini melapurkan  pula Tan Sri Harussani Zakaria  berkata, hukuman sebatan yang dijatuhkan terhadap Kartika sebelum ini bukanlah hukum hudud, sebaliknya hanya takzir yang tertakluk kepada pindaan oleh pemerintah.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin  pula mempunyai pandangan yang berbeza apabila khuatir peringanan hukuman terhadap Kartika mengambarkan “seolah-olah kuasa raja mengatasi undang-undang”.

“Mungkin dalam kes Kartika ini (peringanan hukumannya) nampak positif. Tetapi esok-esok dikhuatiri boleh berlaku perkara lain pula.

“Kita bimbang nanti kerabat dan orang kenamaan yang melakukan kesalahn juga diampunkan,”

Untuk memahami masalah ini ikuti  petikan :

Kitab Qanun Jinayah Syar`iyah, karangan Hj Sa`id Hj Ibrahim (bekas Mufti Negeri Sabah) – Penerbit Darul Marifah Kuala Lumpur . Cetakan Tahun 1996 . Muka Surat 1 – 3  dan 75 – 78 Atau boleh juga dicapai di  http://alkhatab.tripod.com/id1.html

Hj Sa`id Hj Ibrahim

Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam al-Quran/hadith dan yang dikuat-kuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyah atau undang-undang qanun jinayah syariah bahawa penjinayah-penjinayah yang didakwa di bawah kes jinayah syariah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir. Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan oleh penjinayah-penjinayah itu.

Hukuman Hudud – Hukuman Hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran/hadith. Hukuman Hudud ini adalah hak Allah, yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah-suai dan dipinda. Hukuman Hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah/rasulNya yang disebutkan di dalam Quran/hadith adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Sepertimana firman Allah swt

وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

yang bermaksud,

“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Suratul Baqarah:229)

Kesalahan yang dikenakan hukuman Hudud.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman Hudud ialah :

a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengkut hukum syara`.

b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan 4 orang saksi.

c) Minum arak atau minuman yang memabukkan, samada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.

d) Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya..

e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, samada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan iktikad kepercayaan.

f) Merompak (hirabah); iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

g) Pendurhakaan (bughat); iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau mendurhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Allah.

Kita fokoskan kepada Kesalahan Minum Arak.

Perkara 58: Minum Arak.

1) Arak, ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan Khamar” berasal dari kata “Khamara” ertinya menutupi.

2) Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya, tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah swt.

Perkara 59: Hukum minum arak (Khamar).

Minum arak, hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah swt

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis/keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma`idah: 90)

Perkara 60: Hukuman orang yang minum arak.

Dalam qanun jinayah Syar`iyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80x sebat dan tidak kurang dari 40x sebat, hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib ra yang bermaksud :

“Rasulullah saw telah melaksanakan hukuman sebat bagi peminum arak sebanyak 40x sebat, manakala Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40x sebat juga, dan pada zaman pemerintah khalifah Umar peminum arak disebat sebanyak 80x sebat. Kesemuanya adalah sunnah Rasulullah saw. Tetapi yang dibuat oleh Saidina Umar tadi lebih aku sukai.” (HR Muslim)

Perkara 61: Kesabitan kesalahan minum arak.

1) Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak adalah tertakluk di bawah 3 sebab :

i) Minuman yang diminum itu adalah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan menghilangkan akal fikiran manusia.

ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminumnya tadi memabukkan dan menutup akal fikirannya.

iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

2) Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had ke atas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab minum minuman tadi ia menjadi mabuk.

3) Seseorang yang meminum minuman yang memabukkan, dan dia menyangka bahawa minuman yang diminumnya itu bukan minuman yang memabukkan tidak boleh juga dikenakan hukuman had ke atas orang yang meminum minuman itu.

4) Dalam qanun jinayah syar`iyah, kes yang disebutkan dalam perkara 61(2) dan (3) dalam penghakiman samalah hukumnya dengan kes “wati syubhah” (persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang disangkanya perempuan itu isterinya sendiri). Kes ini termasuk dalam kes yang syubhat yang tidak boleh dikenakan hukuman had ke atas pelakunya. Penghakiman ini adalah merujuk hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas`ud ra yang bermaksud :

“Tolaklah hukum hudud itu dengan sebab sesuatu perkara yang menimbulkan keraguan.”

5) Seseorang yang tidak tahu bahawa arak itu haram, seperti seseorang yang baru menganut agama Islam, atau orang yang tempat tinggalnya jauh dari orang Islam tidak boleh dikenakan hukuman had, sekalipun ia mengetahui minuman yang diminumnya itu minuman yang memabukkan, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap suatu perbuatan yang sengaja.

6) Jika seseorang mendakwa bahawa ia tidak tahu tentang haram arak itu, sedangkan ia seorang Islam dan tinggal di tengah-tengah masyarakat Islam, wajib dikenakan hukuman had sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 60, kerana alasannya itu tidak boleh diterima dan perbuatan mereka minum arak tadi adalah dianggap suatu perbuatan yang disengajakan.