Tengku Faris dimasyhur Sultan Kelantan

KOTA BHARU, 13 Sept: Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan telah selamat disempurnakan pada pagi ini di Istana Balai Besar di sini.

Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua.

“Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.

“Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.,” katanya.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/

Pas : Keperluan Muktamar Khas

Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT,  maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.
Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.
i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.
Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan  sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.  Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari  Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)
Dari sini,  jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada  di rumah salah seorang isterinya.  Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu.  Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya.  Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa).  Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya.  Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya  boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16.  Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan.  Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS.  Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan.  Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu.  Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan.  Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”
Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan  terus berfikir.  Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah,  kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah .  Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang  Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil  mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah.  Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.  Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini.  Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah.  Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan  nak  bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG.  Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan.  Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah.  Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini.  Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah;  senang cerita.  Biar tentu sah, nak ikut yang mana.  Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana.  Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan.  Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi.  Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas.  Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat.  Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah.  Dan memang betul begitulah.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

http://www.blogtokguru.com/pages/posting/29/pas-keperluan-muktamar-khas-luarbiasa

xxxxxxxxxxxx

Ya Allah  ……..

apa sudah jadi ……

apa nak jadi ………………………………………………………………..?

Apa kata Nik Abduh Nik Aziz :

…… Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

…… Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero……

http://nikabduh.wordpress.com/2009/10/26/egm/#comment-5009

BERITA GEMBIRA : Kenyataan media Nik Aziz terhadap Nasharuddin

 

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) – Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Image

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang semalam di pejabat agung PAS di ibu negara.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

“Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno. Image

“Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

“Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

“Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.”

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Dr Haron Din; Naib Presiden – Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato’ Mahfuz Omar, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda PAS , Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nuridah Salleh. – azm _

Sumber :

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21384&Itemid=1

Presiden PAS umum saf kepimpinan baru

ImagePengumuman dibuat Presiden pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sejurus selesai Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang bermula jam 10 pagi tadi.

Ahli jawatankuasa baru yang dilantik:

Datuk Husam Musa, bekas naib presiden
Mohamad Sabu, bekas naib presiden
Mohd Anuar Tahir, bekas setiausaha agung PKR
Mohd Taufik Abdul Ghani, ADUN Paroi
Dr Mariah Mahamud, ahli parlimen Kota Raja
Wan Ubaidah Wan Omar, exco kerajaan Kelantan
Asmuni Awi, timbalan pesuruhajaya PAS Perak
Ahmad Dollah, timbalan pesuruhajaya PAS Sabah

Senarai pesuruhjaya PAS negeri:

Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Saleh Man (Pulau Pinang)
Abu Bakar Husin (Perak) – dulu Ahmad Awang
Datuk Nik Aziz Nik Mat(Kelantan)
Datuk Harun Taib (Terengganu) – dulu Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)

Sariqah : Apa sudah jadi HARUMANIS dikebas orang

Seorang sahabat mengeluh, harumanis di kebunnya di kebas orang. Bukan dia seorang yang terlibat. Banyak lagi yang terima nasib macam dia. Malah harumanis Jabatan Pertanian Juga dicuri. Itu Jabatan Kerajaan yang ada jaga. Berita ini ada dalam akhbar sebelum ini. Seorang sahabat yang lain pula terpaksa meronda di kebunya beberapa kali bagi setiap malam bagi memastikan harumaninya tidak dicuri orang. Malah penulis sendiri yang  ada beberapa pokok untuk makan keluarga telah dua musim dikebas orang. Mengapa ini terjadi ? Kerana harumanis mahal ! Sebiji harumanis boleh bernilai RM3.00 atau lebih !

Apa sudah jadi masyarakat kita ?

Dulu getah mahal – getah sekerap dicuri. Besi mahal – habis besi buruk dicuri. Lambat lepa, besi penutup longkang masjid pun dicuri, malah segala-galanya bahan besi terpakai dan sedang dipakai juga dicuri. Apa sudah jadi ?

Mengapa begitu rosak masyarakat kita?  Saya kira jawapannya ada di bawah ini.

Allah berfirman , maksudnya :

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. ( Al Maidah  38 )

(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam surga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar. Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan.

( An Nissa 13-14)

Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. memotong tangan pencuri dalam (pencurian) sebanyak seperempat dinar ke atas. (Shahih Muslim No.3189)

 

Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata:
Pada zaman Rasulullah saw. tangan seorang pencuri tidak dipotong pada (pencurian) yang kurang dari harga sebuah perisai kulit atau besi (seperempat dinar) yang keduanya berharga. (Shahih Muslim No.3193)

 

Hadis riwayat Ibnu Umar ra.:
Bahwa Rasulullah saw. pernah memotong tangan seorang yang mencuri sebuah perisai yang berharga tiga dirham. (Shahih Muslim No.3194)

 

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Allah melaknat seorang pencuri yang mencuri sebuah topi baja lalu dipotong tangannya dan yang mencuri seutas tali lalu dipotong tangannya. (Shahih Muslim No.3195)

 

Allah berfirman , maksudnya :

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai Muhammad )menjalankan satu  syariat (peraturan)yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama) , maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui . ( al Jasiyah 18 )

Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim. ( Al Baqarah 229 )

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong  ( agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. ( Muhammad 7 )

Penulis yakin kita telah tidak di tolong oleh Allah swt kerana hukum Allah telah diabaikan…

Ya Allah kepadamu kami memohon ampun.

* Sariqah = mencuri

Anda boleh lawati laman ini  http://alkhatab.tripod.com/bah1bab2hududfasal4sariqahper6568/  untuk  mengetahui hukum mengenai sariqah. Atau anda boleh merujuk  Kitab Qanun Jinayah Syariah Dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran Dan Hadis

MATAN SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009

MATAN SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009

Tarikh:13 Mei 2009
Tempat:Bilik Gerakan Negeri,Kota Darul Naim
Masa: Jam 11.30 pagi

BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHIIM

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain).  Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Surah Al-Hujurat:  Ayat 13).
Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, khabar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah.    Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi.  Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.

 
Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung di mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh.  Ini kerana ia kehilangan kejujuran.  Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru atas hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan.  Dalam banyak kes dan contoh, apa yang rakyat lihat cumalah drama dan silap mata untuk songlap kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi untuk tujuan-tujuan persendirian.

 
Diatas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melalui projek-projek pembangunan.  Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah   mengkhianati amanah.  Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang.  Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan.   Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.

 
Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu.  Untuk mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu. Dari itu,  kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira.  Untuk bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama.  Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah S.W.T; itu premis kebahagiaan yang pertama.  Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat.  Oleh kerana kita telah  memilih sistem demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintahan dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak-hak sivil, kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan  “rule of law and natural justice” serta segala amalan  hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.  Ini bertindak sebagai asas dan pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia.  Rakyat perlu diberi atau dikembalikan semula hak-hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini.   Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom dan bakar yang semakin menjadi-jadi.  Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan  kehidupan  beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian; terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badan dan harta benda dari difitnah dan dimusnah; maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh terasa selamat.  

Ini soal hak yang sangat asas.  Ia menjadi hak asasi milik setiap rakyat yang wajib dipelihara, sentiasa diberi dan selamanya dihormati.  Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana-mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage  politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.  Kepada semua orang Islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assala mu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam.  Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala bentuk amalan kezaliman, rasuah dan  ketidak adilan.

 

Terima kasih dan Wassalam.

 
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

 

Bertarikh: 18 Jamaidil Awal 1430, 13 Mei 2009.

Sumber:

http://www.blogtokguru.com/pages/posting/12/matan-sidang-akhbar-deklarasi-perpaduan-nasional-dan-keamanan-sejagat

Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera

Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat  kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.   Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian.  Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.  Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul  menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama.  Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun  batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana.  Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan.  Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR  dan pemimpin-pemimpin  NGO, pensyarah serta pendakwah bebas.   Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam  mengharungi ujian-ujian ini.  Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana.  Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *

(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

Sumber : http://www.blogtokguru.com/pages/posting/11/surat-kepada-yb-nga-kor-ming-adun-pantai-remis-perak