
GAMBAR HIASAN
LARANGAN MENGAIBKAN SESAMA MUSLIM
Khutbah Jumaat Masjid As Syakirin, Oran, Perlis
Disampaikan oleh : Ustaz Ya Ali Dahaman
Tarikh: 6 Mei 2011 Bersaman 2 Jamadil Akhir 1432
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 19, yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat, dan ingatlah! Allah mengetahui segala perkara, sedangkan kamu tidak mengetahui yang demikian”.
Ayat tersebut menyatakan kemurkaan Allah kepada golongan yang suka memfitnah dan membuat tuduhan kepada orang lain. Islam melarang sama sekali perbuatan tersebut, kerana boleh mencemarkan maruah. Islam menganjurkan kita menegur dan menasihati kesalahan dan kesilapan saudara kita tanpa mendedahkan aibnya. Ini adalah lebih baik daripada menyebarkan kesalahan orang, khasnya penyebaran fitnah yang tidak jelas kebenarannya. Namun dalam masyarakat kita pada hari ini, terdapat segelintir daripada kalangan kita yang gemar berjanji untuk menyimpan rahsia keburukan saudaranya. Tetapi kemudiannya menceritakan kepada orang lain. Jika setiap orang melakukan perkara yang sama, sudah pasti berita tersebut akan tersebar dan diketahui oleh orang ramai.
Ulama Tafsir menyatakan, ayat tersebut diturunkan untuk menempelak golongan yang cuba memfitnah Saidatina Aisyah Radhiallahu ‘Anha. Kisah tersebut berlaku ketika Nabi dan rombongannya dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah selesai daripada peperangan[1]. Rombongan Nabi telah singgah di suatu tempat untuk berehat, sebelum meneruskan perjalanan.
Ketika rehat, Aisyah keluar untuk mencari tempat qada’ hajat dengan tanpa disedari oleh Rasulullah atau sahabat-sahabat yang lain. Akhirnya beliau tertinggal dan dibawa pulang oleh seorang sahabat. Kepulangan Saidatina Aisyah dengan diiringi oleh Safwan bin Al-Mu’atthal telah menggembirakan golongan munafiqin. Mereka merasakan ini adalah peluang terbaik untuk mencemarkan kemuliaan Nabi SAW dan maruah baginda. Mereka terus menanam jarum-jarum fitnah dengan menyebarkan tohmahan bahawa Safwan r.a telah melakukan sesuatu yang tidak baik dengan isteri Rasulullah SAW. Racun-racun fitnah tersebut telah meresap dalam masyarakat sehingga keadaan menjadi kecoh dengan setiap orang menceritakan berita atau isu yang sama.
Allah menempelak perbuatan menyebarkan fitnah ini dalam surah An-Nur ayat 14-15 yang bermaksud:
Sekiranya tidak ada kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar kerana perbicaraan kamu tentang berita bohong itu. Ingatlah pada waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu ара yang tidak kamu ketahui dan kamu menganggap ianya suatu yang ringan sahaja, padahal di sisi Allah adalah besar. Mengapa kamu tidak berkata pada waktu mendengar berita bohong itu? Sekali-kali tidak harus bagi kita memperkatakan hal ini. Maha suci Engkau (Ya Tuhan kami) ini adalah pendustaan yang besar”.
Hadis-hadis Rasulullah SAW banyak menceritakan mengenai perintah atau galakan menyembunyikan keaiban saudara selslam yang lain. Antaranya, hadis riwayat Imam Muslim, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Seorang muslim yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibanya pada hari Kiamat”
Perhatikan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan yakni Al-Mujaharah. Dan sesungguhnya termasuk Al-Mujaharah ini ialah orang yang berbangga melakukan kejahatan pada malam hari, kemudian pada waktu paginya Allahmenyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata:
“Ya fulan! Aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam”,
padahal ketika dia tidur pada waktu malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan ара yang telah ditutup oleh Allah SWT”. ]
Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama Islam ini, adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah. Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara selslamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafik. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan pergeseran. Mengaibkan saudara selslam yang lain, tanpa bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada segala-galanya.
Pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah kita pada hari ini ialah:
Pertama: Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berlandaskan nlai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun.
Kedua: Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.
Ketiga: Nama baik seseorang muslim serta kehormatannya perlu dilindungi sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
Keempat: Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan lawan seperti menculik, mengugut, melakukan rasuah, memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam Surah Al-Buruj ayat 10:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah dan bahaya kepada orang-orang yang mukmin sama ada lelaki atau perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab neraka yang kuat membakar”.
TEKS DISEDIAKAN OLEH JABATAN MUFTI NEGERI PERLIS
[1] Berita bohong ini mengenai istri Rasulullah s.a.w. ‘Aisyah r.a. Ummul Mu’minin, sehabis perang dengan Bani Mushtaliq bulan Sya’ban 5 H. Perperangan ini diikuti oleh kaum munafik, dan turut pula ‘Aisyah dengan Nabi berdasarkan undian yang diadakan antara istri-istri beliau. Dalam perjalanan mereka kembali dari peperangan, mereka berhenti pada suatu tempat. ‘Aisyah keluar dari sekedupnya untuk suatu keperluan, kemudian kembali. Tiba-tiba dia merasa kalungnya hilang, lalu dia pergi lagi mencarinya. Sementara itu, rombongan berangkat dengan persangkaan bahwa ‘Aisyah masih ada dalam sekedup. Setelah ‘Aisyah mengetahui, sekedupnya sudah berangkat dia duduk di tempatnya dan mengaharapkan sekedup itu akan kembali menjemputnya. Kebetulan, lewat ditempat itu seorang sahabat Nabi, Shafwan ibnu Mu’aththal, diketemukannya seseorang sedang tidur sendirian dan dia terkejut seraya mengucapkan: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, isteri Rasul!” ‘Aisyah terbangun. Lalu dia dipersilahkan oleh Shafwan mengendarai untanya. Syafwan berjalan menuntun unta sampai mereka tiba di Madinah. Orang-orang yang melihat mereka membicarakannya menurut pendapat masing-masing. Mulailah timbul desas-desus. Kemudian kaum munafik membesar- besarkannya, maka fitnahan atas ‘Aisyah r.a. itupun bertambah luas, sehingga menimbulkan kegoncangan di kalangan kaum muslimin – baca selanjutnya di : https://aburedza.wordpress.com/2011/05/08/perang-bani-mustaliq-peristiwa-fitnah-ke-atas-ummul-mukminin-aisyah-r-anha/ – Tambahan aburedza