Siapa Pembunuh Saidina Hussain r.a
Saudara pembaca budiman semuga rahmat Allah dilimpahi keatas kita semua.
Seorang pembaca blog saya menulis:
|
Artikal Syiah –
Adakah semua artikel ini milik asal sdara ? apa pendapat saudara ttng Faisal Tharani…..yg dalam artikel nya mengataka yg membunuh Hussain ialah anak saad abi waqash.
Ana dr terengganu.Boleh ke ana dapatkan no tel Sdara Abu Redza…….
Respon balas saya :
1.Adakah artikal ini milik saudara?
Sebelum saya mejawab soalan tersebut pada pengenalan diri saya https://aburedza.wordpress.com/about/
Saya menyebut :
4. Blog ku ini sekadar catatan , merakam sisa sisa perjalanan hidup ini, menitipkan apa yang dibaca , menyimpan pesan-pesan yang terjumpa dan berkongsi apa yang ada. Namun ada juga artikal yang faktanya aku tidak menyukainya tapi aku titipkan juga disini, sebagai rujukan kemudian , jika ianya adalah menepati isu yang aku minati, seperti isu wahabi , pemurnian sejarah, kepartian dan Syiah. Anda juga mendapati terdapat artikal mengenai pertanian, ketahuilah itulah kisah cinta hidupku.
5. Aku adalah antara sasaran dakwah agama Syiah – yang kebetulan sungguh hebat perkembangannya dengan bertambahnya hauzah /tempat pengajian mereka – kerana itu agak banyak titipan artikal mengenai Syiah di sini sebagai hujah balas kepada apa yang disogokkan kepada aku.
Seingat saya semua tulisan yang saya post mempunyai sembernya. Kalau saya menulis sendiri tentulah tidak dicatit sumbernya, bagaimanapun saya akan mencatit rujukannya atau meletak nota kaki pada akhirnya. Jika tulisan asal mencatit penulisnya saya akan terus mencatit namanya, malahan nama nya akan saya jadikan tag untuk mudahkan carian di injin carian. Sebolenya saya akan menjaga amanah ilmu.
2. apa pendapat saudara ttng Faisal Tharani…..yg dalam artikel nya mengataka yg membunuh Hussain ialah anak saad abi waqash
Saya bukanlah ahli sejarah.Saya juga tidak terdidik dalam displin tersebut, bagaimanapun saya ada sedikit kecenderongan menekuni hal tersebut. Ya Faisal Tharani .. saya menjangka ia seorang Syiah, atau sekurang-kurangnya ia seorang yang bersimpati dengan Syiah kerana ia sering mempromosikan Syiahnya.
Mengenai fakta sejarah pembunuh Saidina Hussain r.a cucunda Baginda Rasullah s.a.w, Allah dan Rasulnya lebih mengetahuinya. Saya selalu keliru apabila menyentuh peristiwa sejarah membabitkan para sahabat (Peristiwa Karbala melibatkan anak sahabat bukan sahabat – Yazid bin Muawiyah (645-683)) kerana di sana terdapat banyak fitnah di antara 2 golongan yang bermusuhan : Suni dan Syiah. Baca tulisan Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di https://aburedza.wordpress.com/2010/03/18/menjaga-ketulenan-sejarah-islam/ adalah berkaitan. Baca juga artikal berkaitan di sini : http://soaljawab.wordpress.com/2007/06/10/pembunuh-sayyidina-husain-1/ .Walaupun begitu ada catitan sejarah mencatitkan Umar bin Saad abi Waqas ada terlibat.
Yunus Ali Al Muhdhor dalam bukunya Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w Dan Amirulmukminin Ali Bin Abi Thalib R.A menyebut:
Ketika Syamir ibnu Dziljausyan berkata: “Apa yang menghalangi kalian untuk membunuhnya ?”. Maka Zar’ah ibnu Syuraik Attamimi maju dan membacok lengan AI Husin. Kemudian diikuti pula oleh Sinan ibnu Anas bin Amru’ Annakha’i dengan tusukan tombak, sehingga AI Husin roboh dari kudanya, kemudian kepala AI Husin segera di pancung dan diberikan kepada Khauli. Kata Abu Mikhnaf dari Ja’far bin Muhammad katanya: “Kami dapatkan pada tubuh AI Hqsin tiga puluh tiga tusukan dan empat puluh tiga bacokan”[1]
Tarikuddin Bin Haji Hassan pula dalam bukunya Sejarah 2 Cucunda Rasullah s.a.w menyebut :
….. Setelah itu dengan pantas mara sekali lagi orang yang telah menikam dada Sayyidina Husein sebanyak dua kali dengan tombaknya bernama Sinan bin Anas an-Nakha’i kearah Sayyidina Husein dengan maksud untuk membunuh cucunda kesayangan Rasulullah s.a.w. itu. Setelah dia sampai di sisi Sayyidina Husein yang terbaring lemah itu, lantas dia terus meletakkan mata pedangnya ke leher Sayyidina Husein dan terus menyembelihnya seperti seorang tukang sembelih menyembelih seekor kambing atau biri-biri. Dengan itu jelaslah Sinan bin Anas anNakha’i adalah pembunuh sebenar Sayyidina Husein. Manakala yang lain-lain dikira mencedera dan cuma terlibat sahaja. Jadi Sinan bin Anas an-Nakha’i adalah penanggung dosa kerana membunuh Sayyidina Husein dan pastinya dia akan berhadapan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w. di Hari Qiamat nanti. ( Mukasurat 151)
Sayangnya Tarikuddin Bin Haji Hassan tidak meletakkan sumber rujukan atau nota kaki. Bukunya lebih merupakan novel! Bukunya baik , kisahnya agak lengkap bersambungan bagai novel, alangkah baik jika di catit sumber rujukan supaya pembaca dapat menilai tahap sahihnya.
Peristiwa Karbala itu berlaku pada 10 Muharam tahun 61 Hijrah, semasa Khalifah Yazid bin Abi Suffian. Karbala terletak dibawah Gabnor Kufah ia itu Ubaidullah bin Zyiad. Umar bin Saad Abi Waqas adalah panglima perangnya. Syamir ibnu Dziljausyan adalah penasihatnya. Syamir juga mempunyai hubungan keluarga dengan Khalifah Ali r.a[2]. Di peringkat awal Umar telah mencadangkan kepada Gabnor supaya di maafkan Hussain r.a dan di hantar pulang ke Mekah tetapi Syamir telah menasihat sebaliknya. Kemudian Syamir telah bergabung dengan Umar bin Saad mengempur Hussain r.a
Tentang Umar bin Saad sila baca penilaian ahli sejarah mengenainya di artikal di bawah….. Allah dan Rasulnya lebih mengetahui kebenarannya!
Baca pula tulisan Mohd Aizam bin Mas’od Caw. Aqidah Bah. Penyelidikan JAKIM:
Syiah pencetus peristiwa Karbala:
Golongan Syiah sepatutnya tidak leka untuk mengkaji catatan para ulama mereka yang muktabar menerusi kitab-kitab utama mereka. Umpamanya di dalam Al-Ihtijaj ‘Ala Ahlil Lajaj, Ahmad bin Ali bin Abi Talib al-Thabarsi menulis bahawa Imam Ali Zainal Abidin anak Saiyidina Husin ra yang ikut serta dalam rombongan Husin ra ke Kufah telah berkata kepada penduduk Kufah, “Wahai manusia (orang-orang Kufah)!
Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasanya kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu lakukan untuk dirimu”.(Al-
Ihtijaj juz 2 hal. 306)
Pada halaman sebelumnya al-Thabarsi mengemukakan kata-kata Fatimah al-Shughra anak perempuan Saiyidina Husin ra kepada penduduk Kufah, “Wahai Penduduk Kufah, wahai pembelot dan pengkhianat! Kami adalah Ahlul Bait yang Allah Ta’ala menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami”, seterusnya selepas memuji-muji kedudukan Ahlul Bait beliau berkata lagi, “Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami Ali ra. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darahdarah
kami Ahlul Bait”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal 302).
Mulla Baqir al-Majlisi yang diberikan gelaran Khatimatul Muhaddithin (penyudah kepada ahli-ahli hadith) di sisi Syiah menukilkan kata-kata Saiyidina Husin ra kepada Syiah Kufah yang telah bersiap untuk bertempur dengan beliau, “Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud-maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh dalam menentang kami”.(Jilaau al-‘Uyun,hal 391).
Di dalam kitab A’yanus Syi’ah pengarangnya Sayyid Muhsin al-Amin mengatakan bahawa, “Seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai’ah kepada Husin kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai’ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A’yanus Syi’ah jilid 1 hal 34).
Dan banyak lagi kitab-kitab Syi’ah menukilkan perkara yang sama seperti Al-Irsyad Syeikh Mufid hal. 234, I’lamul Wara hal. 242, Kasyful Ghummah jilid 2 hal 18 dan lain-lain lagi.
Berdasarkan kepada segala fakta yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa Syiah Kufah adalah pencetus peristiwa Karbala dan pembunuh Saiyidina Ali ra. Inilah yang menjadi punca ratapan dan penyesalan mereka yang tidak berkesudahan. Malah pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Saiyidina Husin ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan rujukan agama mereka seperti Baqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku masing-masing. Baqir Majlisi menulis: “Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara
ghaib. Maka berkatalah mereka, ” Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh “Ketua Pemuda Ahli Syurga” kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apaapa”. (Jilaau al-‘Uyun, hal. 430)
Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalis al-‘Mu’minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Saiyidina Husin terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata, “Kita telah memanggil Saiyidina Husin dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita “. Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, ” Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu”.(Al Baqarah :54) Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “al-Tawwabun”.
Sejarah juga tidak akan melupai peranan Syits bin Rab’ie dalam pembunuhan Saiyidina Husin di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab’ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Saiyidina Ali dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Saiyidina Husin. Dialah juga yang menjemput Saiyidina Husin ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?
Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Saiyidina Husin dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saiyidina Husin. (Jilaau al-‘Uyun dan Khulashat al-Mashaaib, hal. 37)
Inilah peristiwa sebenar di sebalik apa yang berlaku. Bagaimana mungkin Syiah menafikan keterlibatan mereka? Sedangkan sejarah Karbala ditulis oleh tangantangan mereka sendiri. Namun sudah menjadi tabiat buruk mereka, pemalsuan dan pembohongan sentiasa disandarkan kepada golongan Sunni. Hanya kerana satu sebab. Dendam kesumat yang tidak pernah kan padam walau di telan arus zaman dan masa. Kerana itu, HMF sempat menukilkan kata-kata, “Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Hussin, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh
tentera Umar bin Saad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada umat”.
Tuduhan
Alangkah celuparnya kata-kata ini apabila menyandarkan pembunuhan Saiyidina Husin kepada anak seorang sahabat besar Baginda SAW iaitu Umar bin Saad bin Abi Waqqas. Tidak mungkin sama sekali kita menerima Umar bin Saad telah melakukan keganasan dan penghinaan sebegitu rupa sebagaimana yang dinyatakan di dalam buku-buku sejarah kerana ia bertentangan dengan riwayat Abu Mikhnaq Lut bin Yahya sendiri bahawa perawi berkata, “Seolah-olah aku masih lagi nampak airmata Umar bin Saad yang mengalir membasahi pipi dan janggutnya”. (Tarikh al-Thabari jilid 4 m.s. 245)
Orang yang sekejam dan seganas seperti yang digambarkan oleh sejarah itu tidak mungkin akan menangisi kematian orang yang dibunuhnya sampai begitu sekali bahkan sebaliknya tangisannya itu menunjukkan kesedihannya yang amat sangat di atas kematian Saiyidina Husin yang telah dibunuh secara zalim itu. Selain dari itu Umar bin Saad ini telah disebut oleh Ibn Saad di dalam ‘Thabaqat’ nya dalam senarai peringkat yang pertama dari kalangan tabiin penduduk Madinah. Hafiz Ibn Hajar pula menyenaraikan nama-nama orang yang meriwayatkan hadith daripadanya. Kata Hafiz Ibn Hajar, “Umar bin Saad bin Abi Waqqas Az Zuhri Abu Hafas Al Madani” tinggal di Kufah. Beliau telah meriwayatkan hadith daripada ayahnya dan dari Abi Sa’id Al Khudri. Sementara orang-orang yang meriwayatkan hadith- hadith daripadanya ialah anaknya Ibrahim dan cucunya Abu Bakar bin Hafas, Abu Ishaq As-Sabi’i, Aizar bin Hiraits, Yazid bin Abi Maryam, Qatadah, Suhri, Yazid bin Abi Habib dan lain-lain lagi”. ‘Ijli pula berkata, “Beliau meriwayatkan beberapa hadith daripada ayahnya dan beliau adalah seorang tabii yang thiqah (yang dipercayai)”. (Tahzib al-Tahzib jilid7 hal. 396)
Kenyataan Hafiz Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa Umar bin Saad adalah seorang yang dipercayai oleh ulama mutaqaddimin yang digolongkan sebagai orang yang dipercayai dalam periwayatan mereka. Sekiranya keganasan dan kezaliman terhadap Saiyidina Husin dan rombongannya berlaku kerana angkara Umar bin Saad, bagaimana mungkin para ulama yang ulung dalam periwayatan hadismenerimanya sebagai seorang yang adil lagi thiqah? Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa kisah-kisah kezaliman yang dihubungkan kepada Umar bin Saad itu tidak dapat diterima oleh ahli ilmu dan cerdik pandai Islam. ( Tulisan ini adalah petikan dari JAWAPAN kepada ARTIKEL ‘CINTA ASYURA DAN KARBALA’ oleh wartawan Utusan Malaysia, Helmi Mohd. Foad (HMF))
Huraian Mohd Aizam bin Mas’od di atas kelihatan lebih teliti dan cermat.
Bagaimana pendapat saya mengenai Karbala? Semoga Allah melaknat sesiapa yang terlibat didalam pembunuhan tersebut. Saya percaya Syiah lah yang menipu Hussain r.a dengan menjemput Hussain r.a ke Kufah kemudian belot. Malahan Panglima Syamir adalah dari sukusakat Ali bin Abu Thalib sendiri. Puak Syiah Kufah bukan saja menipu Hussain r.a tetapi juga pernah menipu ayahnya Ali bin Abu Talib. Ini boleh dibaca didalam Najhul Balaghah. Jemputan ini telah mengundang musibah kepada Hussain r.a dan rombongannya. Hal ini boleh juga di baca di sini : http://hakekat.com/content/view/44/1/
3.Saudara mohon no tel ? Saya mungkin termasuk orang ulu… Selepas saya bersara tel saya jarang berada di pinggang, punca mulanya, satu ketika saya lupa tukar mod senyap dan sembahyang di masjid, tiba-tiba berbunyi dan menganggu jamaah lain. Sejak itu sangat jarang membawanya, lagipun orang pencen kurang urusan, Cuma ke kebun atau kesawah tak perlu bawa tel. Kawan-kawan pula selalu bising tak jawab tel, jadi tak perlu tambah orang bising kerana tak jawab tel. Hubungilah dengan e mail ……
Salam.
[1] Yunus Ali Al Muhdhor memetik daripada Al Bidayah Wan Nihaayah Jld 8 Halaman 188.
[2] Tarikuddin Bin Haji Hassan pula dalam bukunya Sejarah 2 Cucunda Rasullah s.a.w muka surat 118 . Tarikuddin menulis :
Sebenarnya penyusun tidak dapat memastikan apakah Syamir bin Zul Jausyan itu anak emas atau budak emas kepada gabenor kota Kufah Ubaidullah bin Ziad atau tidak, kerana kelemahan dan kekurangan penyusun didalam ilmu berkaitan dengan sejarah Sayyidina Husein ini. Namun apa yang nyata bahawa Syamir bin Zul Jausyan adalah termasuk keluarga Sayyidina Husein yang masih sangat dekat. Ini adalah kerana emak saudara Syamir bin Zul Jausyan dari pihak ayahnya ertinya saudara perempuan ayahnya adalah salah seorang isteri Sayyidina Ali bin Abu Talib. Tetapi kerana kelemahan, penyusun masih tidak dapat memastikan siapakah isteri Sayyidina Ali bin Abu Talib yang juga adalah emak saudara Syamir bin Zul Jausyan itu.
Untuk pengetahuan para pembaca semua yang budiman, bahawa dalam romb0!lgan Sayyidina Husein yang berjumlah 80 orang itu termasuk juga empat orang saudara sepupu Syamir bin Zul Jausyan sendiri, iaitu anak-anak kepada emak saudaranya itu.