HafizFirdaus.com memberi 2 tip bagi memilih-milih antara ajaran mazhab, seperti berikut:
Memilih-milih antara ajaran mazhab (talfiq) tidak boleh dilakukan semata-mata atas alasan mencari yang mudah kerana ini bererti meremehkan agama yang akhirnya akan menyebabkan dia terkeluar daripada syari‘at Islam. Ini kerana orang yang mencari kemudahan hukum adalah mereka yang ingin memuaskan kehendak nafsunya padahal nafsu adalah sesuatu yang tidak pernah berpuas hati apabila kehendaknya dituruti. Oleh itu orang yang melakukan talfiq kerana mencari kemudahan hukum tidak akan berpuas hati dengan kemudahan yang ditemuinya lalu dia terus mencari-cari sehingga akhirnya dia menemui pendapat termudah yang sebenarnya terletak di luar syari‘at Islam.
Contohnya ialah orang yang mencari-cari mazhab yang paling mudah dalam konteks hukum dan syarat pembayaran zakat tahunan. Dia akan terus mencari yang termudah sehingga akhirnya menemui pendapat aliran modernis yang mengatakan zakat tidak lain adalah cukai yang biasa dikenakan oleh pihak pemerintah. Maka dia mengikut pendapat aliran modernis ini yang sebenarnya sudah jelas terkeluar daripada syari ‘at Islam.
Orang yang hendak melakukan talfiq dengan mengikuti satu atau lebih pendapat yang berada di luar mazhabnya hendaklah memerhatikan beberapa syarat berikut:
1. Hendaklah dipastikan bahawa pendapat yang bakal diikutnya itu benar-benar berasal daripada salah seorang imam mujtahid atau tokoh yang muktabar.
2. Berdasarkan kemampuan masing-masing, pendapat yang bakal diikuti itu adalah berdasarkan kajian dan analisa ilmiah agar ia menjadi pegangannya yang yakin lagi mententeramkan hati.
3. Jika pendapat yang bakal diikuti itu pada zahirnya bersifat lebih mudah, dibolehkan mengikutinya dengan tujuan menambah imannya, meneguhkan taqwanya dan meningkatkan amalnya dalam rangka mentaati dan menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Kedua:
Tidak boleh melakukan talfiq dengan memilih-milih ajaran yang berasal daripada Mazhab Syi‘ah. Ini kerana Mazhab Syi‘ah memiliki rujukan dan kaedah pengambilan hukum yang berlainan dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
Dibolehkan mengikut Mazhab Ja’fari (Ja’far al-Siddiq[18]) kerana beliau adalah salah seorang tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan beliau bukan tergolongan di dalam Mazhab Syi‘ah sekalipun pihak Syi‘ah mendakwa yang sebaliknya. Namun perlu disemak bahawa rujukan kepada Mazhab Ja’fari benar-benar berasal daripada Ja’far al-Siddiq kerana banyak ajaran beliau yang telah diubah oleh pihak Syi‘ah.
_____________________
[18] Beliau ialah al-Imam al-Mujtahid Ja’far bin Muhammad bin ‘Ali bin Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhum. Beliau dilahirkan di Madinah pada 17 Rabi’ al-Awwal tahun 83H dan merupakan seorang ahli hadis, ahli tafsir, ahli fiqh dan pelbagai lagi ilmu-ilmu Islam. Pendapat-pendapat beliau dihimpun dan dikenali sebagai Fiqh Mazhab Ja’fari. Meninggal dunia pada 25 Syawal tahun 148H di Madinah juga.
Baca selengkapnya isu TALFIQ di: