Penubuhan Petronas mungkin tak sah, kata profesor undang-undang

Thomas berucap di forum hari ini. Sebelah kanan ialah Shad. — Gambar oleh Jack Ooi

Oleh Adib Zalkapli

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/56901-penubuhan-petronas-mungkin-tak-sah-kata-profesor-undang-undang

KUALA LUMPUR, 20 Mac — Kewujudan firma minyak negara Petronas kemungkinan tidak sah kerana undang-undang penubuhannya telah diluluskan sebelum ia menandatangani perjanjian dengan semua negeri, kata profesor undang-undang Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

“Saya merasakan beberapa aspek dalam akta Petronas adalah tidak sah,” kata Shad pada forum berkaitan dengan hak minyak di sini hari ini.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani pertengahan 1970-an semua negeri telah dijanjikan bayaran tunai lima peratus ke atas minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai atau di luar pesisir pantai sebagai balasan kepada penyerahan hak kawalan ke atas sumber-sumber petroleum kepada Petronas.

Shad berkata, akta itu diluluskan sebelum kesemua negeri menandatangani perjanjian dimaksudkan.

“Perlembagaan mengatakan bahawa apabila seseorang mengambil harta seseorang anda perlu membayar pampasan yang sewajarnya,” kata beliau.

Peguam Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Terengganu dalam tuntutan royalti minyak bagaimanapun berkata jika Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 diisytiharkan tidak berperlembagaan akan mengakibatkan malapetaka besar buat Petronas.

Terengganu membawa kesnya ke mahkamah selepas kerajaan pusat berhenti daripada membawa wang royalti pada 2000.

“Masalah pertama dengan hujah itu ialah Petronas akan menjadi tidak sahih,” kata Thomas sambil menambah belum ada pihak yang membawa persoalan ini ke mahkamah.

“Jika mahkamah memutuskan akta ini tidak berperlembagaan, saya merasakan ia akan menjadi satu tragedi,” katanya.

Thomas juga memberitahu kesemua 13 negeri telah menandatangani perjanjian itu.

“Bagi saya PDA satu contoh persekutuan yang hebat,” katanya.

Thomas kini menasihati Kelantan yang turut mengemukakan tuntutan royalti minyak daripada Petronas.

Tuntutan RM2 bilion Kelantan itu bermula tahun lalu.

Forum hari ini bertajuk “Royalti Minyak: Satu Hak Perlembagaan?” dianjurkan oleh Majlis Peguam untuk membincangkan aspek perlembagaan bayaran wang royalti kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengasas dan bekas pengerusi Petronas dan peguam Datuk Cecil Abraham juga berucap pada forum itu.

Kelantan kini menuntut wang royalti lima peratus terhadap hasil minyak yang diperoleh di luar pesisir pantai.

Bagaimanapun Putrajaya menegaskan ia tidak berhak untuk mendapatkan wang royalti ke atas minyak dan gas yang diperoleh di luar kawasan tiga batu nautika dari pantai.

Sebaliknya kerajaan pusat hanya bersedia memberi wang ihsan RM20 juta, yang diagihkan mulai bulan ini.

Doa TG Nik Aziz mengenai Royalti Minyak Kelantan

Doa TG Nik Aziz mengenai Royalti Minyak Kelantan :

Lanjutan dari doa tersebut Malaysiakini memetik BERNAMA melapurkan :

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah dari segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

“Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu…,” katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat itu sebagai tidak masuk akal.

Katanya, perbuatan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dalam pemerintahan Nik Aziz sekaligus menunjukkan perpecahan kritikal di dalam PAS.

“Kita di dalam Umno bukan mahu mendoakan PAS berpecah tetapi kita bersyukurbkerana apa yang PAS tuduh, akhirnya perkara itu terkena tempias kepada mereka (PAS) sendiri.

“Mereka (PAS) tuduh Umno menimbulkan perkara yang boleh pecah belahkan PAS, kita (Umno) yang lagakan pemimpin mereka, tetapi bila kita sabar dalam cara kita bawa diri kita, akhirnya tuhan tunjukkan mereka yang terkena tempias mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis korban Umno Bahagian Sembrong dan pembasmian kemiskinan Giat Mara, di Kampung Contoh, dekat Kahang, di Kluang hari ini.- Bernama

http://www.malaysiakini.com/