Melayu Proto nenek moyang populasi Manusia

INIKAH BENUA SUNDA YANG HILANG?

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kajian dalam bidang Arkeologi dan Genetik hari ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu-Proto yang mendiami Benua Sunda merupakan nenek moyang kepada populasi manusia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Persidangan Asal Usul Melayu : Induknya Di Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang menjelaskan di dalam tayangan video bagaimana penduduk di Benua Sunda terselamat daripada letusan gunung berapi Toba, kira-kira 75,000 tahun lalu.

Menurut Zaharah, sekumpulan 10,000 yang terselamat daripada letusan terbabit berpindah dari Afrika ke Benua Sunda (Asia Tenggara)

“Mereka terselamat kerana berlindung di kawasan yang Benua Sunda yang tidak dicemari debu radioktif gunung berapi.

“Mereka merupakan asal-usul kepada perjalanan manusia moden hari ini,” menurut video tersebut.

Kumpulan itu bagaimanapun, terpaksa berpindah daripada India, China, Jepun, dan Amerika Syarikat ekoran daripada pemanasan global pada 25,000 tahun lalu yang menyebabkan banjir besar yang merubah Benua Sunda menjadi kepulauan-kepualau, kecil.

Kenyataan tersebut menolak teori sebelum ini yang menyatakan Melayu berasal daripada Yunan atau “express train” yang menyatakan mereka berasal dari Taiwan yang melakukan penghijrahan.

Menyokong teori tersebut adalah Pakar Genetik daripada Oxford Genetic Anthropology, Stephen Oppenheimer yang menyatakan bukti genetik yang menunjukkan orang Melayu dan Orang Asli merupakan penduduk asal Asia Tenggara.

Ia sama ada daripada Kepulauan Indonesia mahupun Filipina, atau tanah besar Asia seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, dan wilayah IndoChina.

Menurut kajiannya, termasuk ujian DNA terhadap masyarakat Semang, Senoi, dan kumpulan  Orang Asli lain termasuk Melayu, ia menunjukkan 44 peratus mempunyai moyang yang hidup di kawasan ini sejak sebelum 25,000 tahun lagi.

Sementara 36 peratus lagi menunjukkan moyang mereka menetap di kawasan tersebut sejak 5,000 ke 25,000 tahun, manakala hanya sejumlah 6 peratus mempunyai susur galur Taiwan yang berpindah ke sini sejak  5,000 tahun lalu.

Tambahnya, terdapat juga bukti arkeologi yang menyaksikan industry peleburan besi antara 6,500 ke 8,000 tahun lalu yang disebarkan dari Indonesia ke seluruh dunia.

Kenyataan berkenaan turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Saintis Universiti Sains Malaysia, Zafarina Zainuddin.

Menurut Zafarina, kajiannya menunjukkan DNA yang diambil daripada kumpulan yang hidup di kawasan yang sama mempunyai keturunan Melayu asli sekurang-kurangnya untuk tiga generasi.

“Sekiranya dia seorang lelaki daripada Machang, Kelantan dia boleh mengesan keturunannya untuk tiga generasi, dan sekiranya dia berasa was-was, kita asingkan,” katanya.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengeluarkan geran sebanyak RM1.4 juta untuk tujuan kajian tersebut, yang membuktikan masyarakat Melayu merupakan kominiti tertua di rantau ini.

Menurutnya, pencarian “Melayu berasal daripada Tanah Melayu” akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan seterusnya orang Melayu akan berasa bangga menjadi Melayu.

Persidangan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

CATITAN: GAMBAR HIASAN BUKAN DARI ARTIKAL ASAL

Kedatangan Islam Ke Terengganu .


Batu Bersurat Terangganu adalah bukti kuat berkaitan dengan kedatangan Islam ke Terangganu. Ustaz Siful Bahari, ADUN Paka 1999-2004 ,  dalam blognya menulis mengenai kedatangan Islam ke Terangganu:

Pada 22 Februari 2003 lalu, Kerajaan pimpinan Pas Terengganu telah mengadakan sambutan besar-besaran sempena genapnya usia kedatangan Islam di Terengganu selama 700 tahun berdasarkan tarikh/tanggal yang tercatat di Batu Bersurat yang ditemui di Hulu Terengganu. Penemuan Batu Bersurat itu merakamkan betapa Islam telah ada di Terengganu sebelum 22 Februari 1303 telah mengubah sejarah awal yang menyebut bahawa Islam mula tiba di Malaysia melalui Melaka dalam tahun 1409 Masihi. Hampir semua buku sejarah mengatakan bahawa Islam di negara ini bermula di Melaka tetapi penemuan Batu Bersurat itu menyebut bahawa Islam tiba melalui Terengganu 100 tahun lebih awal iaitu 22 Februari 1303.

Batu bersurat ini merupakan batu yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika yang telah memerintah dan melaksanakan syariat Islam.Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Peri pentingnya Batu bersurat ini akhirnya ia mengambil tapak dibulatan penyu sebagai tanda sejarah kedatangan Islam di Terengganu. Ianya juga cadangan penulis sendiri dalam sidang dewan undangan supaya mengalihkan patung penyu yang bersifat dan digantikan dengan tanda kedatangan Islam ke Terengganu itu. Ia pernah menjadi isu politik UMNO-BN dengan patung penyu ini yang amat dipertahankan oleh puak-puak UMNO-BN.

 Wikipidia pula mencatatkan:

Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.

 Batu ini dikatakan telah disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari iaitu seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya diatas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah di persembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan diatas Bukit Puteri.

Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya dan ditulis didalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah.

Pada tahun 1923, batu ini dipinjamkan ke Muzium Singapura sehingga Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu bersurat tersebut telah dipulangkan ke Kuala Lumpur dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu

Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Catatan ini dipercayai sebagai bukti kedatangan agama Islam di Terengganu pada tahun 1303. Batu bersurat ini disimpan di Istana Sultan Terengganu sebelum di pindahkan ke Arkib Negara pada tahun 60-an.

Muka pertama

  1. RasululLah dengan yang arwah santabi mereka
  2. Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam
  3. Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya
  4. Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallallahi wassalama raja.
  5. Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
  6. Bumi penentu itu fardhu pada sekalian Raja Manda.
  7. Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
  8. Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.
  9. Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.
  10. Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
  11. Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus dua.

Muka kedua

  1. Keluarga di Benua jauh kan
  2. Datang berikan.keempat orang berpiutang.
  3. Jangan mengambil….(a)mbilhilangkanemas.
  4. Kelima derma barang orang….(mar)dika.
  5. Jangan mengmbil tugas buat temasnya.
  6. Jika ia ambil hilangkan emas.Keenam derma barang.
  7. Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah.
  8. Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu.
  9. Seratus ratun jika merdeka beristeri.
  10. Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan.
  11. Pinggang dihambalang dengan batu matikan.
  12. Jika inkar (bala cara) hambalang jika anak mandalika…..

Muka ketiga

  1. Bujang dandanya sepuluh tengan tiga jika ia………
  2. Menteri Bujang dandanya tujuh tahil se (paha)….
  3. Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima (tahil….
  4. Tujuh tahil sepaha masuk bandara, jika O (rang)…..
  5. Merdeka. Ketujuh derma barang perempuaan hendaak……….
  6. Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara…………..

Muka keempat

  1. ……….tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma.
  2. ……….Seri Paduka Tuhan (Tuan) siapa tiada harta dendanya.
  3. ……….Ke sepuluh derma jika anakku, atawa pemaainku atawa cucuku atawa keluarga ku atawa anak.
  4. ……….tamra ini segala isi tamra barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia raya.
  5. ………..di jadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

Tarikh tepat bagi penulisan batu bersurat ini tidak dapat ditentukan dengan tepat. Teks pada batu bersurat ini ada menyatakan mengenai tarikh ia ditulis, iaitu “Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan di sasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua”. Namun begitu, mesej teks ini agak kabur dan menimbulkan keraguan dalam kalangan sejarawan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tarikh bagi batu bersurat ini ialah Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan 22 Februari 1303 M.

Jika disorot Garis Masa sejarah Islam pada tahun 702 Hijrah, adalah zaman pemerintahan Al-Mustakfi I (1302 – 1340 M) iaitu dari Kekhalifahan Bani Abbasiyah di Kairo.

Raja Mandalika yang tercatit pada batu bersurat tersebut yang penulis boldkannya  pada pandangan penulis ialah seorang Raja dari kerajaan Ayuthia di Thailand, sebuah pemerintahan Islam yang menguasai Thailand pada abad ke empat belas masihi hingga abad 18 masihi. Ya, sebenarnya pada hemat saya Islam pernah menguasai seluruh Thailand pada abad 14-abad ke 18.

Di Semenanjung Tanah Melayu pula jika di sorot kembali Garis Masa Sejarahnya, kita dapati Negeri Kedah pada masa tersebut telah Islam  dan pemerintahnya ialah Sultan Mahmud Shah I (679H – 721H bersamaan 1280M – 1321M ). Adalah di percayai Kedah telah menerima Islam sebelum tahun 877M lagi, itu pada zaman pemerintahan Al-Mu’tamid ( 870 – 892 M), seorang Khalifah Bani Abbasiyah di Baghdad

Osman Teh: semasa darurat bergerak dalam PKM diiktiraf PEJUANG

Kerajaan Umno/BN pun iktiraf bekas ahli PKM sebagai pejuang kemerdekaan



PADANG BESAR – Di sebalik pelbagai kecaman oleh pelbagai pihak ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berikutan isu kononnya beliau menyokong perjuangan komunis, kerajaan Umno/BN Perlis memberikan pengiktirafan kepada bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) selaku pejuang kemerdekaan.

Osman Teh, 82, anak jati Kedah, yang pada mulanya aktif dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) kemudiaanya semasa darurat bergerak dalam PKM bersama platun Melayu rejimen ke 8 dan sebelum berhijrah ke Rejimen ke-10.

Osman, ketika berumur belasan tahun, pernah berjuang di dalam Rejimen Ke-8 PKM pimpinan Allahyarham Rashid Maidin yang bergerak di kawasan hutan utara semenanjung.

Matlamat perjuangan mereka ketika itu adalah untuk menentang penjajahan Jepun dan British bagi menuntut kemerdekaan.

Osman yang kini menetap di Kampung Tersusun dekat sini pernah dianugerahkan dengan Anugerah Pejuang Kemerdekaan pada tahun 2007 sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara oleh kerajaan Umno/BN pimpinan Dato’ Seri Shahidan Kassim pada masa itu.

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0918&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Pahlawan Datuk Bahaman pernah meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.

 
DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

Usman Awang: Penderhaka atau Pahlawan?

PAHLAWAN
jika hilangmu tanpa pusara
jika pusaramu tanpa nama
jika namamu tanpa bunga
penjajah mengatakan engkau derhaka
maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya

Gema seabad silam
Inggeris datang meredah Pahang
bersama peluru bersama senapang
membunuh menangkap setiap pejuang

Sungai Semantan berubah merah
bukan sarap hilir ke kuala
bukan rakit mudik ke hulu
arus merahnya menjulang mayat
pahlawan bangsa pahlawan rakyat
tujuh liang dadanya tersayat

Pahlawan!
Untukmu derita untukmu penjara
bukan bintang tersemat di dada
semangatmu api negara berdaulat
namamu terukir di jantung rakyat.

~ Usman Awang
(Dalam Puisi-puisi Pilihan, DBP)

MB Johor Iktiraf Mat Indera Melalui Buku Pengukir Nama Johor

Bernama pada 13 Ogos 2009 melaporkan :

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semasa melancarkan buku (BUKU ‘FATIMAH-GADIS DESA SRIKANDI BANGSA’ ) itu berkata usaha perlu digerakkan bagi menerbitkan lebih banyak buku bersifat memoir dan biografi mengenai tokoh-tokoh terdahulu di negeri ini.

“Ini penting kerana buku seperti ini boleh menjadi khazanah warisan sejarah yang tidak ternilai harganya kepada generasi muda untuk memantapkan lagi semangat cintakan negara.

“Penulisan buku biografi tokoh merupakan satu usaha yang murni dan pastinya dapat menjana kefahaman generasi muda mengenai erti sebuah kemerdekaan yang sebenarnya,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, Johor telah melahirkan ramai tokoh terbilang yang memberikan sumbangan dari peringkat negeri hinggalah ke peringkat antarabangsa seperti Datuk Abdul Rahman Andak, Datuk Onn Jaafar, Tun Dr Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Sardon Zubir, Ibu Zain Sulaiman dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.

Biografi mereka dan ramai tokoh lain telah ditulis dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor dalam lima jilid iaitu Pejuang Terbilang Johor; Tokoh Ternama Johor; Pengukir Nama Johor; Johor Mengabadikan Namamu; dan Johor Mengenang Sumbangsihmu. ………


Berikut adalah tek penuh Ucapan MB Johor, di petik dari : http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=769&Itemid=66

UCAPAN Y.A.B. DATO’ HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
MENTERI BESAR JOHOR
DI MAJLIS PELANCARAN BUKU ‘FATIMAH-GADIS DESA SRIKANDI BANGSA’
DI PERMATA BALLROOM, HOTEL PUTERI PACIFIC, JOHOR BAHRU
PADA HARI KHAMIS, 13 OGOS 2009 JAM 10.45 PAGI

1.    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T., di atas limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama pada pagi ini sempena satu majlis yang amat bermakna kepada negeri Johor.  Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan yang mendalam di atas penghormatan menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan buku ‘Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa’, iaitu satu lagi catatan bersejarah negeri ini.

2.    Negeri Johor seperti yang kita saksikan dalam catatan sejarah telah melahirkan tokoh-tokoh yang cukup istimewa baik daripada kalangan dirajanya, tokoh-tokoh politik, pentadbir, cendekiawan dalam lapangan ekonomi, pendidikan, sosial, bahasa, persuratan, kesenian, kebudayaan dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini telah berjuang dalam bidang masing-masing untuk meletakkan Johor dalam peta kemajuan agama, bangsa dan negara. Usaha merakamkan riwayat hidup dan perjuangan mereka sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara, wajar dilakukan lebih giat lagi.

3.    Sesungguhnya kewibawaan dan ketokohan para pejuang terbilang dari bumi Johor ini banyak pengaruhnya dalam kebangkitan semangat nasiolisme yang kental sehingga tercapainya kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos 1957.

Para hadirin sekalian,

4.    Negeri Johor telah melahirkan ramai tokoh terbilang yang memberi sumbangan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya Dato’ Abdul Rahman Andak, Dato’ Onn Jaafar, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Sardon Jubir, Ibu Zain Sulaiman, Tan Sri Syed Jaffar Albar dan ramai lagi. Semua tokoh ini jumlahnya hampir 150 orang telah ditulis biografinya dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor dalam lima jilid iaitu; Pejuang Terbilang Johor, Tokoh Ternama Johor, Pengukir Nama Johor ( Lihat gambar kulit buku, didalamnya termasuk Mat Indra- Tambahan Aburedza) , Johor Mengabdikan Namamu, Johor Mengenang Sumbangsihmu dan sebuah buku lagi dalam proses penerbitan ialah Pengemudi Bahtera Merdeka Johor.

5.    Penulisan memoir dan biografi tokoh ini menjadi khazanah warisan sejarah yang tidak ternilai harganya kepada generasi muda untuk memantapkan lagi semangat cintakan negara. Generasi muda harus belajar daripada sejarah tentang asal-usul mereka mengenai kekuatan yang dimiliki dalam mencorakkan perjalanan hidup bangsa sehingga berada dalam keadaan seperti yang ada sekarang. Penulisan buku biografi tokoh merupakan satu usaha yang murni dan pastinya dapat menjana kefahaman generasi muda mengenai erti sebuah kemerdekaan yang sebenarnya.

Tuan puan para hadirin sekalian,

6.    Di negara kita, penulisan memoir dan biografi tokoh merupakan rakaman baru yang perlu dipupuk perkembangannya. Memoir dan biografi tokoh adalah catatan sebuah kehidupan individu dan kelompok manusia bersamanya. Penulisan seperti ini menjadi sebahagian daripada warisan ilmu pengetahuan yang berharga dan mampu dijadikan kebanggaan untuk pembinaan sesuatu bangsa serta rujukan generasi mendatang.

7.    Memoir atau buku biografi tokoh “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” tentu mempunyai keistimewaannya. Sehingga kini tidak banyak buku yang seumpama ini diterbitkan, khususnya buku tentang tokoh wanita Johor yang bergiat aktif dalam politik dan kemasyarakatan. Dalam ingatan saya buku tokoh wanita yang telah diterbitkan ialah; Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesatria Bangsa dan Tan Sri Fatimah: Potret Seorang Pemimpin.

8.    Oleh itu, buku “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” merupakan buku ke-3 tokoh politik wanita Johor. Satu penyelidikan sedang dijalankan untuk menerbitkan buku biografi Ibu Zain Sulaiman .

9.    Fatimah Gadis Desa memang tepat sekali frasa ini. Dato’ Fatimah dilahirkan 90 tahun dahulu di Parit Bakar Muar, dibesarkan dalam suasana kampung sebelum negara mencapai kemerdekaan. Tinggal di rumah kayu usang, beratap zink dan nipah, menggunakan air perigi dan parit, pelita minyak tanah dan berjalan kaki di atas jalan tanah menuju ke sekolah melayu parit bakar darat. Semasa kecilnya Fatimah atau ‘Not” nama timangannya adalah seorang yang rajin dan dipercayai oleh ibunya. Kerja rutin hariannya yang diberikan adalah mengisi air ke dalam tempayan di dapur rumah daripada perigi yang jauhnya 300 ela, mengumpul ranting-ranting kayu untuk dijadikan kayu api dan memasang pelita minyak apabila hari mulai senja.

Para hadirin sekalian,

10.    Ungkapan “Srikandi Bangsa” amat tepat sekali gelaran ini diberikan kepada Dato’ Fatimah. Mengikut kamus dewan ‘srikandi’ bermaksud “wanita yang berani dan mempunyai semangat nasional sejati.” Semangat ini diterjemahkan dalam kegiatan politiknya. Dato’ Fatimah menyertai politik pada awal tahun 1946 dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan menjadi ahli UMNO apabila UMNO ditubuhkan di Istana Besar pada 11-12 Mei 1946.

11.    Mulai saat ini, tuah Dato’ Fatimah yang dirasakan oleh ibunya ketika masih dalam kandungan benar-benar berlaku dalam kehidupan Dato’ Fatimah. Kejayaannya dalam arena politik meningkat, daripada seorang ahli biasa UMNO pada tahun 1946, memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO mulai tahun 1948. Pada tahun 1959-1964 menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Plentong, kemudian pada tahun 1964 hingga 1978 sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat Dalam dan Semerah yang meletakkan Dato’ Fatimah menjadi wanita Johor pertama sebagai Ahli Dewan Rakyat.

12.    Gelaran srikandi bangsa dilonjakkan lagi apabila beliau memegang jawatan Naib Ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Johor dan Ketua Kaum Ibu UMNO Johor selama 23 tahun (1960-1983), Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia (1973-1979) dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia (1979-1983).

13.    Buku “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” banyak keistimewaannya. Dato’ Fatimah seperti mana yang saya kenali mempunyai perwatakan yang unik dan istimewa selain pemikiran beliau mengenai kemajuan dan hak wanita. Sepanjang saya mengenalinya, beliau banyak memberi sumbangan ke arah kebaikan wanita, sama ada menerusi bidang politik mahupun pergerakan sosial. Kesempatan untuk mengangkat martabat wanita sering disuarakan melalui Persidangan Dewan Negeri, Dewan Rakyat dan melalui akhbar-akhbar. Antaranya adalah isu poligami, isu harta sepencarian, menyeru wanita supaya berdaya saing untuk merebut peluang ekonomi dan penubuhan askar wataniah wanita pertama.

14.    Dato’ Fatimah bukan sahaja dikenali sebagai ahli politik, malah beliau juga aktif dalam bidang sosial dan kebajikan. Antara penglibatan beliau dalam bidang ini adalah bergiat aktif dalam perkumpulan wanita (w.i) peringkat daerah, negeri dan sejak tahun 1983 hingga sekarang, menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Perkumpulan Wanita Semenanjung Malaysia.

Para hadirin sekalian,

15.    Berbalik kepada penerbitan buku yang bersifat memoir dan biografi, di negara  kita, ia masih kurang dibandingkan di negara-negara membangun yang lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan penerbitan buku di negara-negara maju. Satu usaha harus digerakkan, khususnya di negeri Johor untuk menerbitkan buku yang menjadi bahan bacaan, bahan rujukan dan kajian. Selama 20 tahun Yayasan Warisan Johor ditubuhkan, sebanyak 53 buah buku telah diterbitkan, terdiri daripada buku sejarah, budaya, politik, kesenian, biografi, novel dan puisi.

16.    Dalam masa dua tahun kebelakangan ini satu perkongsian bijak dan persefahaman telah diwujudkan antara Yayasan Warisan Johor dengan pihak penerbit MPH dalam menerbitkan buku-buku berkaitan dengan negeri Johor. Melalui persefahaman ini enam buah buku telah diterbitkan. Adalah menjadi satu cabaran kepada penulis-penulis Johor untuk menulis buku mengenai Johor yang meliputi pelbagai bidang.

17.    Kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor telah mengadakan Hadiah Sastera Darul Ta’zim setiap dua tahun sekali. Hadiah Sastera Darul Ta’zim yang diadakan pada 17 Julai 2009 yang lalu merupakan kali ketujuh. Hadiah Sastera Darul Ta’zim diwujudkan sebagai penghargaan kepada para penulis Johor kerana sumbangan yang telah diberikan dalam bidang pengembangan bahasa dan sastera serta untuk mendorong dan menjana iltizam serta kreativiti para penulis Johor untuk menghasilkan karya-karya besar dan bermutu.

18.    Sehubungan itu, saya menyarankan agar Yayasan Warisan Johor memperluaskan bidang penulisan yang boleh diberi penghargaan. Ini bertujuan untuk menggalakkan penulis Johor menulis mengenai ekonomi, politik, pendidikan, sosial, kebudayaan, kesenian, keagamaan negeri johor. kaedah seperti ini mungkin dapat menarik minat lebih ramai penulis untuk menulis buku. Mereka bukan sahaja akan mendapat royalti penjualan buku tetapi kerajaan Johor dapat memberi pengiktirafan kepada mereka kerana mengharumkan nama Johor melalui penerbitan buku.

19.    Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada penulis dan penyunting buku ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada penerbit MPH dan Yayasan Warisan Johor yang menerbitkan buku ini. Tahniah dan terima kasih kepada Dato’ Fatimah dan ahli keluarganya yang mengadakan majlis pelancaran buku ini. Semoga buku “Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa” dapat membuka minda dan contoh teladan kepada generasi muda khususnya kaum wanita.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

________________________________

Berikut penafian atau pertukaran pandangan oleh MB Johor melalui berita BERNAMA:

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=612066

Mat Indera Bukan Pejuang Merdeka Sebaliknya Pengganas: Mb Johor

NUSAJAYA, 7 Sept (Bernama) — Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

“Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor di sini Rabu.

Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku “Pengukir Nama Johor” pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.

Abdul Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Beliau berkata kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Feb 1950 dan fakta yang diperoleh dari pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.

Mengenai buku “Pengukir Nama Johor”, Abdul Ghani berkata dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.

Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

— BERNAMA

_____________________________

Baca pandangan dan ulasan oleh Edyes @ edyesdotocom di sini:

MB Johor Contoh Terbaik Talibarut British? (Wajib Baca!!)