Bubur Asyura: Antara adat dan agama.

Semasa kecil, bila tiba bulan Muharam, cukup seronok. Orang kampung akan pakat masak bubur asyura pada 10 muharam.  Ada orang bawa jagung. Ada orang bawa pelbagai jenis kacang. Ada bawa ubi, ada bawa pisang, ada bawa tepong, ada bawa kelapa. Bila masak dalam kawah, pakat berganti kucai hingga masak. Kami yang budak budak ni dah sedia daun pisang. Bila masak bubur asyura kami bawa tadah daun pisang di tapak tangan minta di letakkan setumpuk asyura. Dengan becamcakan jari, kami makan dengan enaknya…. yang sepatutnya umat Islam berpuasa!

Bubur Asyura ini  upaca adat atau agama?

Dengar, tonton dan baca petikan berikut:

Baca pula tulisan  Muhammad Hanief Awang Yahaya:

Sejauh Mana Bid’ahnya Membuat Bubur Asyura`

www.darulkautsar.net

Apabila masuknya bulan Muharram maka ada segelintir dari masyarakat yang tidak sabar-sabar untuk mengadakan acara membuat bubur Asyura sebagaimana tiba bulan Rabi` Awwal mereka bersiap sedia untuk mengadakan jamuan Maulid.

Hukum asal membuat apa-apa pun makanan adalah harus selagi mana bahan kandungannya dibenarkan oleh syara’. Tetapi mengaitkannya dengan unsur keagamaan adalah satu perkara yang lain yang perlu diberikan perhatian yang serius kerana ia akan menjadikannya sebagai bid’ah.

Bagi mereka yang mendakwa adalah sunat memasak bubur Asyura, mereka beralasan dengan dalil-dalil berikut:

1. Kisah Bahtera Nuh

حدثنا عباد بن يعقوب الأسدي قال ، حدثنا المحاربي، عن عثمان بن مطر، عن عبد العزيز بن عبد الغفور ، عن أبيه، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: في أول يوم من رجب ركب نوح السفينة ، فصام هو وجميع من معه، وجرت بهم السفينة ستةَ أشهر، فانتهى ذلك إلى المحرم، فأرست السفينة على الجوديّ يوم عاشوراء، فصام نوح ، وأمر جميع من معه من الوحش والدوابّ فصامُوا شكرًا لله .

Diriwayatkan bahawa pada hari pertama bulan Rejab, Nabi Nuh menaiki bahteranya lalu baginda bersama dengan pengikutnya di atas bahtera itu berpuasa. Kapal itu belayar selama enam bulan sehinggalah pada bulan Muharram lalu ia terdampar di atas bukit Judiy pada hari Asyura` lalu Nabi Nuh berpuasa dan mengarahkan orang yang bersamanya berpuasa termasuklah haiwan-haiwan. Mereka pun berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah. (Tafsir al-Tabari, jil. 15, hal. 335)

Riwayat ini dari segi sanadnya tidak kuat. Pertama: ‘Uthman bin Matar, adalah seorang yang dha’if, munkar al-hadith dan matruk.

Kedua, Abdul ‘Aziz bin Abdul Ghafur itu nama yang diterbalikkan. Sepatutnya ‘Abdul Ghafur bin ‘Abdul ‘Aziz, seorang pendusta besar.

Jika ada sanad yang sahih sekalipun tentang riwayat ini, sebenarnya apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh ialah berpuasa pada hari Asyura` dan bukannya memasak makanan tertentu.

2. Hadis Abu Hurairah:

عن أبي هريرة قال دعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بالبركة في ثلاثة السحور والثريد والكيل


Rasulullah s.a.w. mendoakan keberkatan pada tiga perkara, bubur, sahur, dan sukatan. (al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat, no: 6866)

Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mewajarkan amalan membuat bubur Asyura kerana hadis ini adalah umum dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil kerana bubur Asyura itu dikhususkan hanya pada bulan Muharram dan dikaitkan pula dengan Nabi Nuh a.s.

Soal membuat makanan yang istimewa dan berbelanja lebih pada hari Asyura maka itu tidak ada dalil yang sahih yang menganjurkannya. Sesetengah pihak berhujah dengan riwayat ;

من وسع على عياله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته


Sesiapa membelanjakan untuk ahli keluarganya dengan bermurah hati pada hari ‘Asyura` maka Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun.

Walaupun riwayat ini mempunyai banyak jalur sanad namun tiada satu pun darinya terselamat dari kritikan para ulama hadis. Antara ulama yang menolak riwayat ini, Ibn al-Qayyim, Mulla Ali al-Qari dan ramai lagi.

Penilaian dan Ulasan

Pada asasnya, tidak ada bid’ah dalam perkara adat bid’ah kerana bid’ah hanya berkait dengan perkara ibadat atau penghayatan agama (tadayyun). Namun ada ruang untuk wujudnya bid’ah dalam perkara adat jika ia dikaitkan dengan agama. Seseorang itu boleh mengadakan apa jua bentuk perkara berkaitan adat selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak mengandungi unsur yang haram. Apa jua jenis makanan boleh direka dan bagaimana cara untuk memasaknya juga adalah harus asalkan ianya halal.

Sebaliknya jika makanan itu dan cara memasaknya itu dikaitkan dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, menisbahkan kepada mana-mana nabi atau individu dan mempunyai fadhilat tertentu, pada hal tidak ada dalil yang sahih maka ianya menjadi bid’ah.

Dalam konteks bubur Asyura, semata-mata menyediakannya tanpa mengaitkannya dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, mana-mana nabi atau individu dan ada fadilat khusus maka ia masih diharuskan.

Perkara yang menjadikan bubur itu bid’ah adalah kerana ia hanya disediakan pada bulan Muharram dan dikaitkan dengan Nabi Nuh pada hal tidak ada dalil yang boleh dipertanggungjawabkan. Lebih menunjukkan kepada bid’ahnya bubur Asyura ini sehingga tidak akan ditemuinya sehingga masuknya bulan Muharram.

Walaupun alasan yang diberikan bahawa ia mempunyai kesan yang positif seperti dapat menyatukan masyarakat tetapi semata-mata matlamat yang baik sahaja tidak boleh dijadikan hujah untuk mewajarkannya. Ini kerana dalam syariah, dua perkara mesti diambil kira dalam dasar hukum, iaitu maqasid dan wasa`il, iaitu matlamat dan jalan mencapainya. Ini membawa maksud, hendaklah menggunakan cara yang betul untuk mencapai maksud yang baik lagi murni.

Apatah lagi kaedah membuat bubur ini hanyalah acara sekali setahun bukan sepanjang masa. Bukankah sepatutnya tumpuan diberikan kepada program asas dalam masyarakat yang jelas dianjurkan oleh agama sendiri iaitu sembahyang berjemaah lima kali sehari, sembahyang Jumaat dan lain-lain majlis ilmu yang diadakan di masjid dengan kekerapan yang tertentu.

Dan baca pula tulisan Dr Abu Anas Madani ( Dr Abdul Basit Abdul Rahman)

http://www.abuanasmadani.com

Dengan sedikit kajian ringkas tentang asal-usul bubur Asyura dalam masyarakat Melayu, mungkin boleh dikatakan kewujudan jamuan bubur Asyura dalam masyarakat Melayu bertitik tolak dari dua sandaran.

Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s.

Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Penilaian:

– Cerita seperti ini perlu kepada kajian. Dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini. Setakat ini saya tidak menemui sebarang petunjuk tentang kisah ini dalam sumber hadis dan atsar. Sesiapa yang menjumpainya, diharap dapat membantu.

– Jika kisah ini sahih sekalipun, dan kita menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’, persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. adalah satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang berkebetulan pada tarikh 10 Muharram?

– Jika benar kisah ini, dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam atau amalan para sahabat tentang perkara ini?
Kedua: Hadis Galakan Memberi Keluasan Kepada Keluarga

Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur Asyura ialah hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga.

Hadis yang dimaksudkan ialah:

“Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.

Mungkin kerana mempercayai kelebihan dalam hadis ini, sesetengah orang Islam mahu memberi keluasan kepada kaum keluarga pada hari 10 Muharram, dengan harapan Tuhan akan mempermudahkan rezekinya sepanjang tahun tersebut. Antara bentuk memberi keluasan ialah mengadakan jamuan makanan.

Cuma kedudukan hadis ini di sisi ulama hadis adalah paslu atau dhaif. Rujuk: Al-Maudhu’aat oleh Ibn Jauzi 2/572, Al-Manar al-Munif oleh Ibn Qayyim 1/111, Al-Fawaid al-Majmu’ah oleh Syaukani 1/98.

Sekali lagi kita terpaksa terima bahawa jika sandaran mengadakan jamuan bubur Asyura ialah hadis ini, sebenarnya ia adalah hadis yang tidak sahih. Jangan terlalu mengharap kepada fadhilat yang belum pasti kesahihannya.

Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan  kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.
Wallahu A’lam.

Madinah Munawwarah,
9 Muharram 1431H
26 Disember 2009M

10 Muharam : Asyura Berdarah Datang Lagi

Golongan Syiah sepatutnya tidak leka untuk mengkaji catatan para ulama mereka yang muktabar menerusi kitab-kitab utama mereka. Umpamanya di dalam Al-Ihtijaj ‘Ala Ahlil Lajaj, Ahmad bin Ali bin Abi Talib al-Thabarsi menulis bahawa Imam Ali Zainal Abidin anak Saiyidina Husin ra yang ikut serta dalam rombongan Husin ra ke Kufah telah berkata kepada penduduk Kufah,

 

Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasanya kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu lakukan untuk dirimu”.(Al- Ihtijaj juz 2 hal. 306)

 

Pada halaman sebelumnya al-Thabarsi mengemukakan kata-kata Fatimah al- Shughra anak perempuan Saiyidina Husin ra kepada penduduk Kufah,

Wahai Penduduk Kufah, wahai pembelot dan pengkhianat! Kami adalah Ahlul Bait yang Allah Ta’ala menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami”, seterusnya  selepas memuji-muji kedudukan Ahlul Bait beliau berkata lagi, “Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami Ali ra. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darahdarah kami Ahlul Bait”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal 302).

 

Mulla Baqir al-Majlisi yang diberikan gelaran Khatimatul Muhaddithin (penyudah kepada ahli-ahli hadith) di sisi Syiah menukilkan kata-kata Saiyidina Husin ra kepada Syiah Kufah yang telah bersiap untuk bertempur dengan beliau,

Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud-maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh dalam menentang kami”.(Jilaau al-‘Uyun,hal 391).

 

Di dalam kitab A’yanus Syi’ah pengarangnya Sayyid Muhsin al-Amin mengatakan bahawa,

 

Seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai’ah kepada Husin kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai’ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A’yanus Syi’ah jilid 1 hal 34).

 

Dan banyak lagi kitab-kitab Syi’ah menukilkan perkara yang sama seperti Al-Irsyad Syeikh Mufid hal. 234, I’lamul Wara hal. 242, Kasyful Ghummah jilid 2 hal 18 dan lain-lain lagi.

 

Berdasarkan kepada segala fakta yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa Syiah Kufah adalah pencetus peristiwa Karbala dan pembunuh Saiyidina Ali ra. Inilah yang menjadi punca ratapan dan penyesalan mereka yang tidak berkesudahan. Malah pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Saiyidina Husin ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan rujukan agama mereka seperti Baqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku masing-masing. Baqir  Majlisi menulis:

 

Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, ” Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh “Ketua Pemuda Ahli Syurga” kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apaapa”. (Jilaau al-‘Uyun, hal. 430)

 

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalis al-‘Mu’minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Saiyidina Husin terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata,

 

Kita telah memanggil Saiyidina Husin dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita “. Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, ” Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu”.(Al Baqarah :54) Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “al-Tawwabun”.

 

Sejarah juga tidak akan melupai peranan Syits bin Rab’ie dalam pembunuhan Saiyidina Husin di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab’ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Saiyidina Ali dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Saiyidina Husin. Dialah juga yang menjemput Saiyidina Husin ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Saiyidina Husin dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saiyidina Husin. (Jilaau al-‘Uyun dan Khulashat al-Mashaaib, hal. 37)

 

Inilah peristiwa sebenar di sebalik apa yang berlaku. Bagaimana mungkin Syiah menafikan keterlibatan mereka? Sedangkan sejarah Karbala ditulis oleh tangan tangan mereka sendiri. Namun sudah menjadi tabiat buruk mereka, pemalsuan dan pembohongan sentiasa disandarkan kepada golongan Sunni. Hanya kerana satu sebab. Dendam kesumat yang tidak pernah kan padam walau di telan arus zaman dan masa.

 

Petikan dari sebahagian :

JAWAPAN ARTIKEL ‘CINTA ASYURA DAN KARBALA’

Mohd Aizam bin Mas’od , Caw. Aqidah, Bah. Penyelidikan JAKIM