Mustapa, Hasan: Untuk Pas, cukuplah … tutuplah mulut…

Mustapa, Hasan Sudah Lenguh Mulut

Oleh Mohd Sayuti Omar

ALHAMDULILAH pertelagahan dan tembak menembak menerusi media massa di antara Setiausaha Agung Pas Mustapa Ali dengan ExcoSelangor Hasan Ali sudah agak mengendur. Sudah ada tanda-tanda keduanya sedar bahawa ‘keterlanjuran’ mereka sehari dua ini yang memberi makanan lemak kepada media penjilat buntut merugikan parti.

Nampaknya awan hitam yang menebal yang menyelimuti bulan sudah pun berarak dan bulan akan kembali cerah bersinar esok lusa.

Inilah yang kita harapkan dari mereka berstatus pemimpin dapat menyelesaikan dengan baik apa juga perselisihan faham dan salah tafsir. Apa yang berlaku sehari dua ini anggaplah sebagai exercise mental untuk menghadapi pilihan raya umum. Secara peribadi saya bangga dengan kenyataan kedua pihak hari ini. Mustapa berkata game is over, manakala Hasan Ali pula kata, stop-short. Tetapi saya percaya kalau ada salah seorang ‘tercepelak’ mulut tidak mustahil mereka akan ‘berembah’ kembali.

Makanya lebih baik lagi kalau mereka cepat-cepat berjumpa di mana-mana restoran Korea atau Jepun, bersalaman dan berpelukan ala-ala Arab, cium pipi jamah janggut. Malangnya kedua tidak ada janggut!

Paling merujakan bila mana Hasan menarik balik kritikan beliau terhadap Negara Berkebajikan. Kita kena faham mengapa Hasan terlajak begitu. Bila duduk dalam studio atau di hadapan kamera kalau lemah minda kita akan terkata apa-apa yang tidak terfikir oleh kita.

Saya kira begitu apa yang berlaku terhadap Hasan. Dia memberi komen itu bukan dia sengaja mahu mengkritik dasar Negara Berkebajikan tetapi dia meluahkan pandangannya. Mungkin Hasan jujur kerana terlalu lebih menyayangi Pas. Salahnya dia terluah kepada media, kalau dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas masih kira okey lagi.

Selepas ini hendaknya tidak ada usik mengusik membawa porak peranda lagi. Baik Mustapa, Hasan Ali dan mana-mana pemimpin Pas hendaklah berhati-hati. Anggaplah khutbah nasihat Presiden panjang lebar itu dan juga teguran Nik Aziz agar tidak menggunakan media musuh itu sebagai sempadan dan dipatuhi oleh semua.

Kalau semua mendengar kata, prihatin dan sayang kepada perjuangan dan mengeratkan ukhwah Pas tidak ada masalah. Saya tenguk barisan kepimpinan yang ada dalam Pas kini baik yang memegang jawatan atau tidak memang layak, berkualiti dan mempunyai keterampilan tersendiri dan padan untuk berdepan dengan Umno.

Mengenang pergaduhan ini saya teringat kepada permohonoan seorang bekas eksekutif yang kini menjadi perunding kepada institusi kerajaan. Katanya; tuan tolonglah bagi tahu kepada pemimpin Pas jangan kuat sangat bergaduh. Saat ini rakyat termasuk saya yang menyokong Umno selama 35 tahun sudah meletak perhatian kepada Pas.

“Saya yakin Pas lebih baik daripada Umno terutamanya dalam menjaga khazanah negara. Saya bimbang kalau Pas dalam keadaan bergaduh sesama sendiri menyebabkan harapan ramai itu akan terjejas. Tolonglah!” begitulah rayu bekas eksekutif berumur 60 tahun itu bersungguh dan penuh mengharap.

Jangan risau kebimbangan eksekutif itu tidak akan berpanjangan. Perkembangan – kenyataan Mustapa dan Hasan Ali yang dilihat menjadi anchor kepada pergaduhan dan mengegerkan Pas kini sudah pun reda.

Sehubungan itu cadangan agar ketiga mereka ini dipanggil secara rasmi seperti mana disebut Tuan Ibrahim Tuan Man, tidak perlu diteruskan. Kalau dipanggil nampak sangat ia serius. Dan pertemuan itu nanti akan menjadi kerumuni media massa. Masalahnya bila sesuatu itu diulas berbagai oleh media massa yang memang suka kepada perpecahan Pas.

Tunggulah mesyuarat jawatankuasa agung mereka boleh berjumpalah di situ. Bila berjumpa nanti jernihkan keadaan pulihkan semangat dan penuhkan keyakinan untuk bertempur dengan Umno.

Ingatlah harapan rakyat diluar bukan saja seorang seperti eksekutif tadi tetapi ramai. Rasanya sejak mereka bergaduh dan bergasak, ramai ahli dan penyokong Pas bermunajat dan bersolat hajat agar Tuhan satukan semula hati-hati mereka yang retak dan terguris itu. Dan saya rasa doa dan harapan yang kudus dan suci itu didengari telah dimakbulkan Allah kerana itu Mustapa dan Hasan Ali sudah sejuk.

Apakah Mustapa dan Hasan Ali masing-masing bertanya kepada isteri mengenai telatah mereka sehari dua ini? Mungkin… kerana kalau mereka merujuk kepada isteri yang solehah… isteri akan memberi pandangan, “bang kenapa sampai begitu sekali, tak bolehkah abang berbaik di antara satu sama lain? Kata-kata dan harapan isteri itu pasti akan lebih terasa lagi kalau mereka berbicara atas ranjang dengan kesejukan aircon bawah 18 celcius. Lalau jiwa Mat Maslan pun kembali serabut kembali.

http://msomelayu.blogspot.com

Jika Melayu tidak bersama Umno, mereka akan bersama PAS, masih kekal di tangan orang Melayu

Melayu: BTN diminta olah semula kurikulumnya

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Feb: PAS mendesak Biro Tata Negara (BTN) agar mengolah semula kurikulum yang selalu mengasak para peserta kursusnya agar bimbang dan takut bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik di negara ini. 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika menyertai forum ‘Masa Depan Kepimpinan Melayu’ di Putra Word Trade Centre (PWTC) lewat petang semalam berkeyakinan penuh kuasa Melayu akan kekal sekurang-kurangnya 50 tahun lagi.

Saranan ini dikemukakan Mustafa di hadapan lebih 1,000 peserta Simposium Dilema Melayu yang dianjurkan oleh lepasan pelajar pro Aspirasi yang didokong sepenuhnya oleh Umno.

Turut menjadi penal adalah Tan Isa Samad (Pengerusi Felda) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah bekas Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Turut berada di dewan ketika itu adalah Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali serta Datuk Seri Shahidan Kasim, bekas Menteri Besar Perlis di samping lain-lain pemimpin Umno.

Media telah dilarang masuk ke program ini namun wakil Harakahdaily yang mengiringi Mustafa telah dibenarkan masuk.

Menurut Mustafa, cara BTN memberikan indoktrinasi kepada para pelajar kononnya jika Melayu tidak bersatu di bawah Umno, kuasa Melayu akan hilang adalah tidak benar.

“Jika Melayu tidak bersama Umno, mereka akan bersama PAS, iaitu masih kekal di tangan orang Melayu,” katanya di majlis itu yang disambut tepukan gemuruh dari para pelajar universiti yang menjadi peserta program itu.

Mustafa berkata, dengan kerusi Melayu sebanyak 112 dari 222 kerusi semuanya, tidak ada sebab untuk kuasa Melayu di negara ini hilang kecuali Umno sebagai pihak yang berkuasa sekarang terus mengecilkan kerusi orang Melayu sebagaimana yang dibuatnya pada tahun 2003.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003, kerajaan yang dikuasai Umno tidak menambah sebarang kerusi Parlimen untuk negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis iaitu negeri-negeri yang ramai orang Melayu.

Padahal negeri-negeri lain telah mendapat penambahan kerusi Parlimen yang sangat ketara.

“Apabila saya, ketika itu mewakili PAS yang memimpin kerajaan negeri Terengganu, berbincang dengan SPR, mereka kata akan menambahkan sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen untuk Terengganu.

“Tetapi apabila ia dibentangkan di Parlimen, tidak ada satu pun kerusi Parlimen ditambah di empat negeri orang Melayu tersebut.

“Alasannya Umno bimbang kalau-kalau kerusi-kerusi itu dimenangi oleh PAS, ia akan merugikan Umno. Ini semua berlaku kerana Umno berfikir dari segi kepentingan politiknya semata-mata (bukan Melayu sebagaimana yang dikatakannya),” kata Mustafa.

Dalam seminar itu juga, Mustafa mengajak semua peserta simposium itu yang semuanya orang Melayu agar kembali kepada Islam kerana Islam penuh dengan nilai yang akan menaikkan kualiti orang Melayu.

Tun Mahathir paling berani

Beliau bersetuju, antara pemimpin yang paling berani di negara ini adalah Tun Dr Mahathir, namun bagi beliau Mahathir berani tidak bertempat.

“Kalau orang tanya saya, siapa PM yang paling berani mengkritik Amerika, barat, Israel dan lain-lain pihak, saya akan katakan Tun Dr Mahathir,” kata Mustafa dengan diiringi tepukan gemuruh para hadhirin kerana pemberi ucap utama di konvensyen itu adalah Mahathir.

“Namun,” kata Mustafa, “Mahathir berani tidak bertempat. Pada tahun 1999, apabila PAS menang di Terengganu, dia bersama dengan Tun Daim selaku Menteri Kewangan telah merampas hak royalti rakyat Terengganu dari negeri itu.

“Dia berani langgar semua prinsip keadilan, perjanjian dengan Petronas bahkan prinsip demokrasi…ini perlu diperbetulkan semula (kalau mahu bercakap tentang Melayu),” kata Mustafa dengan diikuti bunyi bising di belakang membantah kenyataan Mustafa ini.

Pengerusi forum ini, Dr Nordin Kardi ketika memberikan kata-kata ketika menutup forum ini berkata, selepas mendengar hujjah-hujjah Mustafa, beliau bersedia untuk mengambil borang menjadi ahli PAS namun kerana ia datang dari orang politik, ia telah membantutkan hasrat itu.