KITAB-KITAB SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W
Oleh : Dr. Mustafa as-Syibaie
( Di petik dari bukunya SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W. PENGAJARAN & PEDOMAN – http://www.mykonsis.org )
Pada mulanya kisah dalam Sirah Nabi s.a.w. hanya merupakan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat r.a. kepada generasi selepas mereka. Sesetengah sahabat memberikan perhatian khusus terhadap setiap peristiwa yang berlaku dalam sirah Nabi s.a.w. dan pendetailannya. Kemudian, para tabien menukilkan riwayat-riwayat ini dan mencatatnya dalam lembaran simpanan mereka. Sesetengah mereka memberi perhatian khusus terhadap usaha ini, contohnya: Aban bin ‘Othman bin ‘Affan r.a (32-105H) dan ‘Urwah bin az-Zubair bin al-‘Awwam (23-93H). Contoh di kalangan tabien kecil pula iulah, Abdullah bin Abu Bakar al-Ansori (meninggal dunia pada 135H), Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri (50-124H) yang mengumpulkan sunnah pada zaman ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz hasil perintahnya, juga ‘Asim bin ‘Umar bin Qatadah al-Ansori (meninggal dunia 129H).
Kemudian keprihatinan terhadap Sirah telah berpindah kopada generasi selepas mereka, sehingga generasi ini menulis sirah dalam penulisan yang khusus (diasingkan daripada bidang yang lain).
Di antara pengarang awal Sirah yang paling terkenal ialah Muhammad bin Ishaq bin Yasar (Ibnu Ishaq) (meninggal dunia 152H). Jumhur ‘ulama dan para ahli hadis bersepakat mengatakan beliau thiqah, kecuali Malik dan Hisyam bin ‘ Urwah bin az-Zubair.
Diriwayatkan bahawa Malik dan Hisyam mempertikaikan beliau. Namun, kebanyakan ‘ulama muhaqqiqin menafsirkan tindakan kedua-dua orang ‘alim besar ini mempertikaikan kethiqahan Ibnu Ishaq adalah disebabkan persengketaan peribadi yang berlaku di antara mereka.
Ibnu Ishaq pula telah menulis kitab al-Maghazi. Kitab ini mengandungi hadis-hadis dan riwayat-riwayat, yang (didengarnya sendiri di Madinah dan Mesir. Dukacitanya, kitab ini tidak sampai kepada kita. la telah hilang bersama kitab-kitab lain yang hilang daripada warisan ilmu kita yang kaya. Akan tetapi, kandungan kitab itu masih kekal terpelihara. Kerana Ibnu Hisyam telah meriwayatkannya dalam kitab sirah beliau daripada jalan riwayat gurunya, al-Bakka-ie, salah seorang murid Ibnu Ishaq yang terkenal.
Sirah Ibnu Hisyam
Beliau ialah Abu Muhammad Abdul Malik bin Ayyub al-Himyari (dikenali dengan Ibnu Hisyam). Membesar di Basrah dan meninggal dunia pada tahun 213 atau 218H mengikut perbezaan riwayat. Ibnu Hisyam telah menulis kitab as-Sirah an-Nabawiyah. Kitab ini mengandungi peristiwa sirah yang diriwayatkan oleh gurunya, al-Bakka-ie daripada Ibnu Ishaq, di samping peristiwa sirah yang beliau riwayatkan sendiri daripada guru-gurunya. Iaitu riwayat yang tidak disebut oleh Ibnu Ishaq dalam kitab sirahnya. Beliau telah menyebut riwayat Ibnu Ishaq yang tidak menepati citarasa ilmunya dan yang dikritiknya. Kitab ini muncul sebagai sumber Sirah Nabi s.a.w. yang paling amanah, paling sahih. dan paling teliti. Ia diterima oleh orang ramai menyebabkan mereka terus menamakan kitab itu dengan nama beliau; Sirah Ibnu Hisyam. Kitabnya ini telah disyarahkan oleh dua orang ‘alim diri Andalus: as-Suhaili (508-581H) dan al-Khusyani (535-604H)
Tobaqot Ibnu Saad
Beliau ialah Muhammad bin Saad bin Mani’ az-Zuhri (dikenali dengan Ibnu Saad). Lahir di Basrah pada 168H dan meninggal dunia di Baghdad pada 230H. Beliau adalah seorang penulis kepada Muhammad bin ‘Umar al-Waqidi (130-207HJ, ahli sejarah yang terkenal dalam bidang kisah-kisah peperangan dan sirah. Ibnu Saad menyusun tulisannya dalam kitabnya, at-Tobaqot (selepas menulis tentang Sirah Rasul a.s. dengan menyebut nama-nama sahabat dan tabien mengikut lapisan generasi (tobaqot), kabilah dan kawasan mereka. Kitab beliau, at-Tobaqot dianggap antara sumber awal sirah yang paling dipercayai dan faktanya paling terpelihara dengan dinyatakan latar belakang sahabat dan tabien.
Tarikh at-Tobari
Abu Jaafar Muhammad bin Jarir at-Tobari (224-310H). Seorang imam, faqih, ahli hadis dan pengasas mazhab fiqh yang kurang tersebar. Penulisan beliau di bidang sejarah, tidak terbatas kepada Sirah Rasul a.s., bahkan sejarah umat-umat sebelumnya. Beliau menyediakan bahagian yang khusus untuk Sirah Baginda a.s., seterusnya menyambung perbicaraan tentang sejarah negara-negara Islam sehingga beliau hampir meninggal dunia. Apa yang diriwayatkan oleh at-Tobari boleh dijadikan hujah dan dipercayai.
Walau bagaimanapun, banyak riwayat dhaif atau batil yang beliau sebut, beliau berpada dengan menyandarkan riwayat tersebut kepada perawinya. Ini kerana pada zaman beliau, orang ramai mengenali perawi tersebut. Contohnya, apa yang diriwayatkan daripada Abu Mikhnaf. Abu Mikhnaf adalah seorang pengikut Syiah yang taksub. Namun begitu at-Tobari banyak memasukkan riwayat beliau ke dalam tulisannya dengan cara menyandarkan riwayat tersebut kepada Abu Mikhnaf. At-Tobari seolah-olah melepaskan tanggungjawab riwayat tersebut dan meletakkannya ke bahu Abu Mikhnaf.
Perkembangan penulisan Sirah
Kemudian, penulisan Sirah terus berkembang. Sesetengah aspek telah ditulis secara khusus dan berasingan seperti, Dala-il an-Nubuwwah (Tanda-tanda Kenabian) oleh al- Asbahani, Syama-il al-Muhammadiyyah (Perwatakan Muhammad) oleh at-Tirmizi, Zadul Ma’ad (Bekalan ke Tempat Kembali) oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, as-Syifa’ (Kesembuhan) oleh Qadhi ‘Iyadh dan al-Mawahib al-Ladunniyah (Bakat-bakat Kurniaan Tuhan) oleh al-Qastoluni. Ia disyarah dalam lapan jilid oleh az-Zarqani yang meninggal pada tahun 1122H.
Demikianlah, ‘ulama masih terus menulis berkenaan Sirah ar-Rasul a.s. dengan cara moden yang diterima oleh citarasa anak-anak masa kini. Di antara kitab paling terkenal pada zaman moden kita ialah kitab Nur al-Yaqin fi Sirah Sayyid al-Mursalin oleh Syeikh Muhammad al-Khudhori rahimahullah. Kitabnya telah mendapat sambutan yang baik dan diputuskan untuk dipelajari di sekolah-sekolah agama di kebanyakan ceruk rantau Alam Islami.