Jais tahan 200 pengikut Syiah anggap mazhab lain halal dibunuh

Jais tahan 200 pengikut Syiah anggap mazhab lain halal dibunuh

December 17, 2010

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Pihak berkuasa Malaysia mengesan kegiatan satu ajaran Syiah tegar, yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan, bergerak aktif di negara ini berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya.

Dua ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat semalam dan dibebaskan dengan jaminan.

Para pengikut lain juga telah dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves dekat sini malam kelmarin, menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Kumpulan itu dilapor menyebar fahaman memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam.

Dipetik Berita Harian, ia dikatakan antara 23 penyelewengan agama diamalkan oleh kumpulan ajaran sesat itu yang dikenali sebagai Hauzah Ar Ridha Alaihissalam.

Kumpulan faitu dikesan sudah dua tahun menjalankan kegiatan mereka di tingkat empat rumah kedai berkenaan.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais pada pukul 10.15 malam kelmarin, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini.

Jais percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain.

Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya telah mengikuti pergerakan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu dan setelah memperoleh cukup bukti mengaitkan mereka sebagai pengikut ajaran Syiah yang tegar, barulah markas itu diserbu.

Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.

“Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunah Waljamaah boleh dibunuh.

“Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al-Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata berbeza fahaman.

“Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan semalam.

Mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Muhammed Khusrin, pihaknya percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.

Beliau berkata, kumpulan ajaran sesat terbabit mempunyai dana sendiri bagi membiayai aktiviti dan menyewa bangunan untuk dijadikan markas operasi, manakala penyebarannya pula dibuat secara tertutup melalui penganjuran majlis-majlis tertentu.

Kelmarin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, orang Islam di negara tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah kerana bimbang wujud konflik dalam perkahwinan terutamanya dalam aspek hak penjagaan anak sekiranya pasangan bercerai.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengambil keputusan supaya peringatan diberikan kepada orang Islam berkaitan Hukum Pernikahan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penganut Syiah.

Jawatankuasa itu telah membuat keputusan itu dalam satu persidangan pada November lalu.

“Jawatankuasa ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan orang Islam tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah.

“Keputusan jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 7 Disember lalu,” katanya.

Syiah Di Serbu: Tatu kalimah Allah

Syiah: Tatu kalimah Allah

Oleh Nor Azura Abdul Jalil, Shahrul Redzuan Zulkifli dan Muhaamad Hafis Nawawi
SERBU...pegawai Jais menyerbu pengikut Syiah ketika mengikuti ceramah  yang disampaikan seorang lelaki warga Iran, kelmarin.
SERBU…pegawai Jais menyerbu pengikut Syiah ketika mengikuti ceramah
yang disampaikan seorang lelaki warga Iran, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu taksub dengan fahaman diikutinya, seorang pengikut ajaran Syiah mengukir kalimah Allah di lengan tangannya sedangkan tindakannya menyimpang daripada ajaran Islam yang melarang sebarang bentuk ukiran berupa tatu.

Lelaki itu antara 128 yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan ke sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Sri Gombak, dekat sini, yang dipercayai menjadi kubu kuat pengikut ajaran Syiah di Selangor, malam kelmarin.

Serbuan pada jam 10.15 malam itu disertai sepasukan polis bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan berlaku sedikit ketegangan apabila pengikut terbabit enggan bekerjasama.

Ketika penguat kuasa Jais hendak menahan pengikut lelaki yang bertatu itu, dia langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, sebaliknya tegar mempertahankan fahaman dianutinya dengan menceritakan kegiatan dijalankan mereka. Suasana bertambah tegang apabila seorang pengikut lain bangun dan melaungkan selawat sambil disambut pengikut lain selama beberapa minit.

Apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri, seorang pengikut terbabit memarahi penguat kuasa Jais menyebabkan berlaku pertikaman lidah.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang menyertai operasi itu berkata, pihaknya percaya ketika serbuan ratusan pengikut Syiah terbabit mengikuti ceramah khas yang disampaikan seorang lelaki warga Iran.

Menurutnya, ceramah itu diadakan bersempena tarikh 10 Muharam dalam kalendar Islam yang dianggap mulia oleh pengikut Syiah sebagai memperingati kematian Saidina Husain.

“Keseluruhannya, kami menahan kira-kira 200 orang, namun 72 daripada mereka bayi dan kanak-kanak. Jadi hanya 128 individu dewasa yang ditahan untuk diambil keterangan dan sebahagian besar daripada mereka lelaki.

“Jais sudah melakukan intipan selama dua tahun bagi mengumpul bukti mencukupi sebelum melakukan serbuan ini dan penahanan lebih 100 orang terbabit menjadikan ia tangkapan ajaran sesat terbesar di Selangor pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Jais percaya daerah Gombak menjadi pusat utama penyebaran Syiah di Selangor sedangkan fahaman itu sudah diwartakan sebagai ajaran sesat di Selangor mengikut Seksyen 12 (C) 1995.

Menurutnya, fahaman Syiah lebih berbahaya daripada al-Arqam dan jika dibiarkan ia boleh mengancam keselamatan negara dan perlu dibendung.

“Bagi lelaki, tarikan seks dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah kerana fahaman ini menghalalkan nikah mutaah.

“Pengikut Syiah juga beranggapan membunuh Ahli Sunnah Wal Jamaah halal dan dibenarkan, malah menjadi satu jihad kepada mereka.

“Selain itu, mereka turut mendewa-dewakan Saidina Ali berbanding Nabi Muhammad s.a.w. Malah, ganjaran syurga menanti juga pengikut Syiah yang melawat makam Saidina Husain,” katanya.

Mohammed Khusrin berkata, lebih membimbangkan apabila pensyarah turut dikesan menjadi pengikut Syiah dan menyebarkannya kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.

Berikutan serbuan malam kelmarin, dua lelaki termasuk seorang warga Iran dihadapkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang, Selangor, bagi mendapatkan perintah jaminan.

Hakim Syarie Saiful Azli Jamaludin membenarkan kedua-duanya dijamin RM2,000 setiap seorang dan pasport antarabangsa warga Iran itu diarah diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pada prosiding semalam, tiada pertuduhan dibacakan terhadap mereka dan Saiful Azli menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan kes berkenaan.

Di luar mahkamah, lebih 20 lelaki dipercayai pengikut Syiah hadir untuk memberi sokongan kepada kedua-dua individu terbabit yang dipercayai pemimpin mereka.

Ciri kesalahan fahaman Syiah

  • Menghalalkan nikah mutaah
  • Menambah nama Saidina Ali dalam syahadah
  • Menolak ijmak ulamak
  • Menziarahi kubur Saidina Husain mendapat ganjaran syurga
  • Menyeksa tubuh badan dengan rantai sempena 10 Muharam
  • Mengharuskan jamak dalam semua keadaan tanpa sebab
  • Mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad s.a.w
  • Menyanjungi Saidina Ali secara keterlaluan
  • Menghina isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w
  • Menolak hadis yang diriwayatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sekali pun hadis mutawir