Jakim: Semua ajaran Syiah di M’sia menyeleweng

  • Nurrul Huda Ahmad Lutfi, Bernama

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan semua ajaran mahupun fahaman Syiah di Malaysia adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata sehubungan itu beliau menafikan sekeras-kerasnya sekiranya ada dakwaan mengatakan terdapat fahaman Syiah yang mempunyai persamaan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan kajian Jakim, dakyah Syiah sebagai sebuah Mazhab berasaskan aliran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah atau Imam Dua Belas mula aktif di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada 1979.

“Jadi ajaran Syiah yang diamalkan oleh pengikut di Malaysia sehingga kini adalah aliran Imam Dua Belas ini yang bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Othman berkata antara penyelewengan aliran Syiah Imam Dua Belas itu adalah:

  • Meyakini imam adalah maksum iaitu terpelihara daripada sebarang dosa.
  • Mengkafirkan para sahabat Rasulullah S.A.W.
  • Tidak ada Solat Jumaat.
  • Mengharuskan jamak solat fardu dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab.
  • Menghalalkan nikah muta’ah.
  • Menolak Ijmak Ulama.
  • Penyanjungan yang keterlaluan kepada Saidina Ali sehingga disama tarafkan dengan Rasulullah SAW.
  • Menambah nama Saidina Ali dalam kalimah syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW.

Dengan memberi contoh nikah Muta’ah, Othman berkata ia bukan satu pernikahan dalam Islam malah merupakan amalan jahiliah yang amat jelas bertentangan dengan Al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan Ijmak Ulama.

Katanya nikah Muta’ah telah diharamkan Nabi Muhammad SAW buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadis-hadis sahih sebelum baginda wafat dan salah seorang perawi hadis itu ialah Saidina Ali sendiri.

“Ini menunjukkan dengan jelas bahawa ajaran mahupun fahaman Syiah ini bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak sebagaimana yang digariskan dalam undang-undang Islam,” katanya.

Beliau berkata merujuk kembali kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2 dan 3 Mei 1996 bersetuju bahawa memperakukan ajaran Islam yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

“Pada 24 Julai lepas, KDN (Kementerian Dalam Negeri) telah pun mengisytihar Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.

“Bukan sebagai ajaran sesat sahaja daripada aspek agama iaitu sekiranya melanggar fatwa akan dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Jenayah Syariah Negeri, malah aspek keselamatan negara pun turut diambil kira pihak oleh KDN yang mana pertubuhan Syiah ini tidak boleh bergerak aktif dalam negara ini kerana salah daripada sudut undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Othman berkata pengaruh ajaran mahupun fahaman kumpulan Imam Dua Belas itu menular ke negara ini menerusi bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pensyarah universiti tempatan memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman itu secara serius kepada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, daripada segi ideologi juga, umat Islam negara ini mungkin nak jalan yang mudah dalam agama dan tertarik dengan tawaran serta ganjaran yang ditawarkan Syiah.

“Faktor-faktor menarik masyarakat Islam ialah dengan tawaran beberapa kemudahan seperti Solat Jumaat tidak ada, boleh solat tiga waktu sahaja dan nikah muta’ah…boleh kahwin dengan isteri orang, mahar terlalu remeh, dengan selipar pun ada kita dapat maklumat, benda-benda macam itu, mereka hendak ambil mudah dalam soal beragama,” katanya.

Apabila ditanya mengenai jumlah pengikut Syiah di Malaysia yang dikatakan menjangkau ratusan ribu, Othman berkata hasil dapatan Jakim menerusi sumber risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati setakat ini bilangan sebenar pengikut Syiah yang terdiri daripada rakyat Malaysia ialah kira-kira 2,000 orang.

“Ini angka kita (Jakim) dengan berasaskan laporan polis, kalau kata 10 orang, maka lengkap dengan namanya, alamatnya…saya cuba pertikai dengan pembentangan angka ini yang dibuat pegawai saya kerana dalam majlis pembentangan yang besar, majlis tidak setuju dengan angka yang Jakim bagi ini.

“Kemudian saya suruh pegawai itu semak semula dengan pihak polis, adakah kita boleh ubah angka ini, tetapi pihak polis kata ‘tidak boleh’ ubah angka ini, kekal…jadi masih kuat angka kira-kira 2,000 orang ini. Bukan seperti yang digembar-gemburkan sehingga 250,000 pengikut Syiah,” katanya.

Othman menegaskan jumlah besar yang sengaja digembar-gemburkan itu adalah permainan pengikut Syiah yang mahu menunjukkan mereka ramai dan kuat serta kukuh bertapak di Malaysia.

Beliau berkata hakikatnya bilangan yang pernah dimaklumkan sebelum ini mencecah ratusan ribu itu adalah mengambil kira pelancong Iran dan pelajar luar negara yang belajar di Malaysia.

“Justeru, saya ingin mengingatkan pihak media dan masyarakat Malaysia supaya jangan mudah melatah dengan angka berkenaan. Daripada segi jumlah pengikut Syiah ini, pihak Jakim masih lagi berterusan menjalankan kajian bersama-sama pihak berkuasa keselamatan.

“Mereka dilihat ramai dalam aktiviti mereka contohnya apabila berkumpul dari seluruh negara dalam menjayakan aktiviti pengajian mereka sehingga menjadikan jumlah mereka mencecah 500 orang,” katanya.

Bagaimanapun, Othman berkata penyebaran ajaran Syiah dalam kalangan umat Islam di Malaysia berada di tahap membimbangkan namun masih terkawal.

Beliau menegaskan penyebaran Syiah boleh diumpamakan sebagai ‘barah’ di negara ini dan perlu dibanteras sebaik mungkin sebelum merebak dengan lebih teruk sehingga menjadi ancaman kepada perpaduan ummah dan keutuhan agama sekaligus memecahkanbelahkan perpaduan umat Islam negara ini.

“Sebab itu kita minta agensi yang berkaitan mengambil berat daripada segi penyebaran ajaran Syiah ini. Pengikut Syiah di Malaysia tidak ramai, ada lebih kurang 2,000 sahaja tetapi mereka ini seolah-olah semakin berani…macam barah,” katanya.

Sehubungan itu, Othman berkata pelbagai pendekatan dan usaha yang telah dilakukan Jakim untuk menangani isu Syiah di negara ini supaya tidak terus berkembang meluas dalam kalangan umat Islam negara ini.

“Kita telah membuat jerayawara…bahagian fatwa telah mengadakan siri seminar, ceramah pendidikan fatwa kepada masyarakat di seluruh negara yang melibatkan penyertaan semua golongan.

“Selain itu, usaha terbaharu Jakim adalah mewujudkan program menangani Syiah seperti bengkel yang dilaksanakan secara bersepadu dan dianggotai oleh agensi penguatkuasa agama seluruh negara, PDRM, Imigresen, pihak universiti dan kementerian,” katanya.

Othman berkata bengkel menangani Syiah itu dilaksanakan untuk merancang modus operandi bagi menangani penyebaran fahaman itu di negara ini.

Selain usaha yang dilakukan Jakim untuk membanteras Syiah, Othman berkata peranan individu menolak fahaman itu juga penting iaitu umat Islam di negara ini perlu berhati-hati dengan pengaruh fahaman Syiah yang boleh menghancurkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya menyeru umat Islam di Malaysia agar menolak ajaran selain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah ini, termasuklah menolak Syiah, Bahai, Qadiani dan ajaran sesat lain khususnya yang telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Fatwa,” katanya.

Di samping itu, katanya, pada masa sama semua pihak juga perlu bijak memilih badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak terjebak dengan NGO yang berorientasikan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dan kebebasan beragama.

Othman juga meminta umat Islam negara ini menolak pemimpin dalam sesebuah organisasi yang berfahaman Syiah atau fahaman lain yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pihak kerajaan juga menyedari adanya pengaruh fahaman Syiah di kalangan masyarakat, pemimpin parti-parti politik, NGO sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai jenis-jenis ajaran Syiah yang ada di negara ini, beliau berkata di Malaysia hanya terdapat dua jenis Syiah iaitu Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra) dan Syiah Ismailiyah Agha Khan yang dibawa masuk oleh pendatang India pada satu masa dahulu.

Bagaimanapun, Othman berkata pengikut kedua-dua jenis Syiah yang merupakan kelompok asal Syiah di negara ini didapati tidak menjalankan dakyah kepada masyarakat Sunnah Wal Jamaah sebaliknya hanya berkembang dalam kalangan generasi baru mereka sendiri sahaja.

“Syiah Dawood Bohra dikenali sebagai golongan yang memiliki Kedai Bombay manakala Syiah Agha Khan dikenali dengan pemilik Kedai Peerbhai. Pengikut jenis Syiah ini bergerak di sekitar Lembah Klang sehingga kini.

“Pengikut dua jenis Syiah ini merupakan keturunan asal Syiah yang ada di negara ini. Mereka tidak ekstrem dan tidak berlawan dengan Sunnah Wal Jamaah. Mereka hanya menjalankan dakyah dan berkembang dalam kalangan anak-beranak mereka sahaja kerana mereka kahwin pun sesama sendiri, ada kubur dan masjid sendiri,” katanya.

Menceritakan mengenai sejarah perkembangan kedatangan ajaran Syiah di negara ini, Othman berkata terdapat pelbagai teori mengenai kedatangan Syiah ke Malaysia atau secara umumnya Nusantara.

Namun begitu, beliau berkata pandangan yang paling tepat adalah unsur aliran Syiah secara jelas mula dikesan sejak abad ke-12 menerusi Dakwah Syeikh Abdullah Arif berasaskan kitabnya Bahr al-Lahut.

“Ini menjelaskan aliran Syiah yang pertama sampai ke alam Melayu ialah fahaman Batiniah, bukannya aliran Imamiyyah.

“Ia adalah pemikiran Syiah Batiniah yang meresap ke dalam pemikiran tasawuf teosofi seperti doktrin wujudiyyah, hulul waittihad, Nur Muhammad, Insan Kamil, Rijal al-Ghayb (Imam Mahdi) dan beberapa aspek lain yang dibawa oleh ulama tasawuf seperti Sunan Kalijaga, Syeikh Siti Jenar, Hamzah Fansuri, dan Syamsuddin al-Sumaterani,” katanya.

-Bernama

sumber: http://www.malaysiakini.com

 

Advertisements

JAKIM: Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban

Kategori : AKIDAH Akhlak  
Tajuk :
Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tinggal separuh bulan Syaaban janganlah kamu semua berpuasa sunat.”
  
(at-Tirmidzi)

 

Huraian
Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya Oleh itu ia tidak menggalakkan umatnya melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat pada diri atau menimbulkan rasa berat atau malas untuk menjalankan kewajipan yang diperintah. Contohnya, kita tidak digalakkan untuk berpuasa sunat, sama ada sunat hari Isnin atau Khamis dan lainnya selepas 15 Syaaban, kecuali puasa qadha’ dan orang yang sentiasa melakukan amalan puasa sunat yang bertepatan dengan hari berkenaan. Hikmah larangan tersebut adalah untuk mengelak orang-orang yang tidak biasa melakukan puasa sunat daripada merasa terlalu letih apabila mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan yang muncul selepas bulan Syaaban itu.

SUMBER: http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=681

Kalimah Allah : Huraian Maksud Allah

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA
Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah Allah
seakan dipermainkan. Kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an
dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar
sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah
SWT yang Maha Agung.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh.
Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’ al-
Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raf ayat 180:
“Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.
Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah Allah
sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru
dan mengejutkan di dalam agama Islam. Malah al-Qur’an sendiri pernah
merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan
Islam.
Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik
tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu.
Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan
dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang
perihal turunnya ayat ini.
Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak
Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi
pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula
mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas
Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad
bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu
tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”
.
Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa
itu Allah? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui
dan dimengerti, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah
Allah.
Bagi membincangkan lebih lanjut isu ini, penulis bentangkan di sini hujjah-hujjah
yang menjelaskan apakah sebenarnya hakikat kalimah Allah SWT menurut
pemikiran dan aqidah Islam. Apakah signifikannya Allah SWT menjadikan kalimah
tersebut sebagai merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Agung?
1. Kalimah Allah menurut satu pendapat yang lemah ialah kata nama yang kaku
(jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar
tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang
tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula
ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua
kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidak mempunyai
sebarang maksud di sebalik penamaannya.

2. Bagaimanapun pendapat yang benar, kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang
mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal
kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimah alahaya’lahu-
uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan .  Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan  iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah yang bermaksud ma’luh  iaitu “yang
disembah” (ma‘bud).
Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki (sifat)
ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk-
Nya”.

Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al-
Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah.
Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf
lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua. Kemudian terbentuk satu lam
yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang
mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli
bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang
berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh
makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi.
Orang yang mengatakan bahawa ia adalah kata terbitan, mereka mahu
menunjukkan kalimah Allah itu mengandungi makna sifat bagi Allah SWT. Iaitu alilahiyyah
(ketuhanan) sebagaimana al-Asma’ al-Husna yang lainnya seperti al-Basir
(Maha Melihat), al-Sami‘ (Maha Mendengar), al-Qadir (Maha Berkuasa), al-‘Alim
(Maha Mengetahui) dan sebagainya.
Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada kata
dasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama
tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan
kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya
cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu
dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir
daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya
mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.
Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kata al-ilah.
Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmu saraf
bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan kata ilah
adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan ‘ain
al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing
digabungkan kepada yang lain.
Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran)
kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a.
bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu
syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

3. Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa
diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis.
Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata:
Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam menerangkan keistimewaan nama Allah menyebut:
“Nama yang mulia ini memiliki sepuluh karakteristik lafaz…tentang karateristik
maknawinya, makhluk Allah yang paling berilmu, iaitu Rasulullah SAW bersabda:
Aku tidak dapat memuji Engkau sepenuh dan sesempurna yang semestinya. Engkau
sebagaimana Engkau memuji diri-Mu
(selesai sabda).
Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu
menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan
disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan,
pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan
musibah yang menimpa.
Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah
yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata.
Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang
yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara
oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang
Maha Agung itu.
Oleh itu keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah
dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam
mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat
bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah
Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat
Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh
5 Disember 1986.
Sumber,
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM