10 Muharam : Asyura Berdarah Datang Lagi

Golongan Syiah sepatutnya tidak leka untuk mengkaji catatan para ulama mereka yang muktabar menerusi kitab-kitab utama mereka. Umpamanya di dalam Al-Ihtijaj ‘Ala Ahlil Lajaj, Ahmad bin Ali bin Abi Talib al-Thabarsi menulis bahawa Imam Ali Zainal Abidin anak Saiyidina Husin ra yang ikut serta dalam rombongan Husin ra ke Kufah telah berkata kepada penduduk Kufah,

 

Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasanya kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu lakukan untuk dirimu”.(Al- Ihtijaj juz 2 hal. 306)

 

Pada halaman sebelumnya al-Thabarsi mengemukakan kata-kata Fatimah al- Shughra anak perempuan Saiyidina Husin ra kepada penduduk Kufah,

Wahai Penduduk Kufah, wahai pembelot dan pengkhianat! Kami adalah Ahlul Bait yang Allah Ta’ala menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami”, seterusnya  selepas memuji-muji kedudukan Ahlul Bait beliau berkata lagi, “Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami Ali ra. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darahdarah kami Ahlul Bait”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal 302).

 

Mulla Baqir al-Majlisi yang diberikan gelaran Khatimatul Muhaddithin (penyudah kepada ahli-ahli hadith) di sisi Syiah menukilkan kata-kata Saiyidina Husin ra kepada Syiah Kufah yang telah bersiap untuk bertempur dengan beliau,

Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud-maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh dalam menentang kami”.(Jilaau al-‘Uyun,hal 391).

 

Di dalam kitab A’yanus Syi’ah pengarangnya Sayyid Muhsin al-Amin mengatakan bahawa,

 

Seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai’ah kepada Husin kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai’ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A’yanus Syi’ah jilid 1 hal 34).

 

Dan banyak lagi kitab-kitab Syi’ah menukilkan perkara yang sama seperti Al-Irsyad Syeikh Mufid hal. 234, I’lamul Wara hal. 242, Kasyful Ghummah jilid 2 hal 18 dan lain-lain lagi.

 

Berdasarkan kepada segala fakta yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa Syiah Kufah adalah pencetus peristiwa Karbala dan pembunuh Saiyidina Ali ra. Inilah yang menjadi punca ratapan dan penyesalan mereka yang tidak berkesudahan. Malah pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Saiyidina Husin ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan rujukan agama mereka seperti Baqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku masing-masing. Baqir  Majlisi menulis:

 

Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, ” Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh “Ketua Pemuda Ahli Syurga” kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apaapa”. (Jilaau al-‘Uyun, hal. 430)

 

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalis al-‘Mu’minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Saiyidina Husin terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata,

 

Kita telah memanggil Saiyidina Husin dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita “. Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, ” Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu”.(Al Baqarah :54) Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “al-Tawwabun”.

 

Sejarah juga tidak akan melupai peranan Syits bin Rab’ie dalam pembunuhan Saiyidina Husin di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab’ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Saiyidina Ali dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Saiyidina Husin. Dialah juga yang menjemput Saiyidina Husin ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Saiyidina Husin dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saiyidina Husin. (Jilaau al-‘Uyun dan Khulashat al-Mashaaib, hal. 37)

 

Inilah peristiwa sebenar di sebalik apa yang berlaku. Bagaimana mungkin Syiah menafikan keterlibatan mereka? Sedangkan sejarah Karbala ditulis oleh tangan tangan mereka sendiri. Namun sudah menjadi tabiat buruk mereka, pemalsuan dan pembohongan sentiasa disandarkan kepada golongan Sunni. Hanya kerana satu sebab. Dendam kesumat yang tidak pernah kan padam walau di telan arus zaman dan masa.

 

Petikan dari sebahagian :

JAWAPAN ARTIKEL ‘CINTA ASYURA DAN KARBALA’

Mohd Aizam bin Mas’od , Caw. Aqidah, Bah. Penyelidikan JAKIM

Peristiwa Karbala : Siapa Periwayatnya ?

Peristiwa Karbala : Siapa Periwayatnya ?

Cerita berkenaan peristiwa Karbala itu tidak lebih dari hikayat yang tidak mampu bertahan apabila diuji dengan batu menguji sistem riwayat. Ini ialah kerana tidak ada seorang pun pewarta kisah tersebut terdiri daripada orang – orang yang menjadi saksi mata kepala bagi peristiwa ini . Pewarta paling awal bagi peristiwa Karbala ini ialah Abu Mukhnaf Lut bin Yahya yang hidup di kurun ke 2H ! Boleh dikatakan 90% dari kisah-kisah daripada peristiwa Karbala adalah berpunca daripada Abu Mukhhaf Lut bin Yahya ini. Dia adalah seorang yang telah dihukum oleh tokoh-tokoh ilmu rijal sebagai seorang Syiah yang ” hangus” atau Syiah pekat , pembohong dan pereka banyak hadis – hadis palsu . Dia telah menulis beberapa buah buku yang memuatkan cerita – cerita perang saudara di permulaan Islam seperti peperangan Jamal, Siffin , perang di Naharwan juga pertempuran di medan Karbala yang terkenal dengan nama ” Maqtal Abi Mikhnaf

Buku – buku tersebut penuh dengan gambaran – gambaran yang berlebih-lebihan dan benar-benar mencerminkan method ahli cerita. Banyak pula cerita – cerita itu hasil rekaannya sendiri. Kumpulan tulisan Abi Mikhnaf inilah yang menjadi sumber rujukan utama at Thabari dalam tarikhnya yang terkenal dengan ” Tarikhu Al Uman Wa Al Muluk” atau ” Tarikh Thabari “. Di dalam kitabnya itu Thabari seringkali mengulangi kata – kata “Qaala Abu Mikhnaf ” yakni ” Berkata Abu Mikhnaf “.

Ahli – ahli sejarah yang datang kemudian pula bersandar terus kepada Thabari dan dengan itu cereka – cereka Abu Mikhnaf ini semakin mendapat tempat di dalam sejarah .

Ketika peristiwa Karbala ini berlaku Abu Mikhnaf belum lagi wujud di dunia ini . Imam Zahabi mengatakan , ” Dia ( Abu Mikhnaf ) mati pada tahun 170H”. Ada pula yang mengatakan dia mati pada tahun 157H. Ertinya lebih kurang 100 tahun selepas berlakunya peristiwa Karbala itu .

Sekarang marilah pula kita melihat kedudukan Abu Mikhnaf ini pada pandangan tokoh – tokoh Ilmu Rijal kerana dengan bercerminkan Ilmu Rijal kita dapat melihat rupa paras sebenar pewarta sesuatu cerita. Mukanya akan kelihatan kepada kita melalui cermin ini , sama ada cantik atau hodoh. Imam Zahabi dalam ” Mizan Al I’tidal ” menulis tentang Abu Mikhnaf ini katanya , ” Tidak boleh dipercayai “. Abu Halim dan lain – lain ulama jarh dan ta’dil telah meninggalkannya ( tidak menerima riwayatnya ). Daaraqutni berkata, “Dia seorang yang lemah” . Ibnu Ma’in berkata : “Dia seorang yang tidak boleh dipercayai”. Murrah berkata, “Dia seorang yang tidak bernilai “, dan Ibu Adiy berkata : “Dia adalah seorang Syiah yang hangus, ahli mereka cerita “.

Imam As Suyuti di dalam Al Laaliu Al Masnuu’ah menghukum Abu Mikhnaf dan seorang lagi ahli cerita sepertinya iaitu Al Kalbi dengan berkata : ” Lut ( Abu Mikhnaf ) dan Al Kalbi adalah dua orang pendusta besar”. Pengarang ” Taajul Arus ” pula memperkenalkan Abu Mikhnaf dengan mengatakan : ” Dia adalah seorang ahli cerita Syiah, rosak dan ditinggalkan riwayatnya “. Berkenaan dengan Muhammad As Saaib Al Kalbi pula Ibnu Hibban berkata : ” Kalbi adalah seorang Saba’i ( orang yang mengikut jejak langkah Abdullah bin Saba’ dan pengikutnya )”. Dia adalah dari kalangan orang – orang yang berfahaman bahawa Ali tidak mati bahkan dia akan datang ke dunia ini dan akan memenuhinya dengan keadilan sebagaimana telah dipenuhi dunia ini sebelum itu dengan kezaliman. Ibnu Ma’in berkata : ” Kalbi ini seorang yang tidak boleh dipercayai”. Jazajani dan lain – lain berkata : ” Dia adalah seorang pendusta besar”. Daaraqutni dan sekumpulan besar ulama menghukum dia sebagai “matruk” ( orang yang tidak diterima pewartaannya ). Imam A’masy pula berkata : ” Waspadalah daripada saba’i ini kerana saya mendapati ramai ulama menyenaraikannya dalam golongan pendusta “.

Begitu juga kedudukan anaknya Hisyam. Dia adalah seorang yang tidak diterima periwayatannya oleh ulama Rijal , bahkan mereka telah menghukumnya sebagai pendusta besar. Ringkasnya beginilah kedudukan dan latar belakang pewarta-pewarta kisah Karbala. Jadi bagaimanakah akan diterima cerita orang – orang yang seperti ini ?

al-ahkam.net

Juga boleh di baca di   http://soaljawab.wordpress.com/2007/06/10/pembunuh-sayyidina-husain-2/