Kalimah Allah : Kajian bawa paderi kepada Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KALIMAH Allah bukanlah kalimah yang menjadi satu sebutan atau seruan mahupun satu panggilan bagi tuhan semata-mata. Ini kerana kita mesti sepakat bersetuju ia merupakan nama yang melambangkan akidah (iman kepercayaan) atau agama bagi orang yang menggunakannya.

Lantas apa layaknya kalimah itu menjadi satu bahan kontroversi sedangkan yang jelas jika mahukan Allah itu sebagai panggilan kepada tuhan yang disembah, maka jawabnya Islam, titik! Tidak perlu ada dakwa dakwi lagi terhadap itu.

Namun setiap yang berlaku, agenda ‘perkongsian’ nama Allah kebelakangan ini pasti ada hikmah yang tersendiri.

Ini kerana setiap kali apa juga mengenai Islam menjadi polemik kepada pelbagai pihak menyebabkan ramai yang ingin mengenali agama itu secara lebih dekat.

Akhirnya apabila mereka mendapati agama itu begitu rasional dan penuh dengan kebenaran yang tidak sekadar bersandarkan fakta-fakta dari hujah dan penyelidikan manusia tetapi sumber-sumber wahyu yang sangat sahih, iaitu al-Quran itu sendiri maka ramailah yang terbuka untuk menjadikan Islam itu sebagai agama untuk dianuti.

Sekalipun mereka yang sudah cukup alim dalam agama asal masing-masing, sama ada Nasrani, Yahudi, Buddha dan sebagainya sejak dahulu sehingga sekarang, akhirnya ramai yang tunduk kepada kebenaran Islam.

Sebagaimana yang terjadi pada Reverend David Benjamin Keldani yang lahir tahun 1867 di Urmia, Parsi (Barat Laut Iran). Setelah memeluk Islam, namanya ditukar kepada Abdul Ahad Dawud.

Beliau ialah mantan pendita (paderi) Roman Khatolik dan pernah menjadi tenaga pengajar paderi-paderi utama (Arbischop) Misi Canterbury untuk Kristian Syria (Nestorian) di Urmia.

Sebelum menemui cahaya Islam dan memeluk agama itu secara rasmi pada tahun 1903 pada usia 37 tahun, Keldani begitu membuktikan pencapaian yang tinggi sebagai paderi.

Pada tahun 1892 beliau satu-satunya paderi yang mampu menulis rangkaian makalah agama di The Tablet iaitu mengenai Pentateuch yang sahih.

Pentateuch adalah nama bagi lima buku (kitab) Pertama dalam Perjanjian Lama, iaitu Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan dan Ulangan.

Lalu beliau menikmati pelbagai anugerah, menjadi duta dan wakil gereja serta sentiasa dijadikan rujukan utama dan menulis pelbagai risalah, makalah termasuk di akhbar seperti The Levant Herald dan majalah berkala dalam bahasa Syria, Qala-la-Syara (Suara Kebenaran).

Sehinggalah beliau menyampaikan khutbah terakhirnya di Katedral Khorovabad St. George pada tahun 1900.

Ini kerana hakikat yang tidak boleh dinafikan, terlalu banyak keistimewaan Keldani terhadap perkembangan dan ajaran agama Kristian sepanjang bergelar paderi.

Pengetahuan dan kepakaran yang beliau miliki dalam mempertahankan ajaran-ajaran Kristian begitu disegani lawan dan kawan.

Namun ada kalanya meninggalkan rasa tidak senang hati kepada pihak-pihak tertentu. Ini apabila Keldani akhirnya dapat mencium banyak kepincangan dan penyelewengan ajaran-ajaran Kristian yang dilakukan oleh pihak gereja itu sendiri.

Beliau mula dihurung dengan pelbagai pertanyaan dan pertanyaan besar yang kian berkecamuk dalam benak pendeta ini semakin ke kemuncaknya apabila beliau tidak dapat menahan persoalan: “Apakah agama Kristian, dengan banyak sekali bentuk dan warnanya dan dengan naskhah-naskhah sucinya yang tidak autentik, palsu dan menyimpang, adalah agama Tuhan yang sejati?”

Ini menyebabkan selama sebulan beliau menghabiskan dengan melakukan sembahyang, meditasi, membaca berulang-ulang naskhah suci dan teks-teks aslinya.

Maka krisis dalaman beliau itu berakhir dengan surat pengunduran secara rasmi dikirimkan kepada Uskup Agung Urmia bagi melepaskan fungsi beliau sebagai paderi.

Pada tahun 1903 ketika mengunjungi Istanbul, Turki yang memberikannya peluang bertemu dan serius berbicara dengan seorang ulama Islam yang bernama Jamaluddin Effendi dan beberapa ulama yang lain, secara rasminya bekas paderi ini akhirnya memeluk Islam.

Menurut Abdul Ahad, perpindahan beliau kepada Islam tidak lain kerana hidayah Allah.

“Tanpa bimbingan-Nya, semua pengetahuan, penelitian untuk menemui kebenaran ini mungkin hanya akan membawa kepada kesesatan sahaja.” katanya.

Begitu juga beliau juga mengakui keesaan mutlak tuhan, maka Nabi Muhammad SAW pun menjadi pola dan contoh sikap dan perilakunya dalam hidup.

“Tindakan saya memeluk Islam ini sama sekali bukan bertujuan atau mempunyai niat menyakiti sahabat-sahabat kalangan beragama Kristian.

“Ini kerana saya turut mengasihi Jesus (Nabi Isa), Moses (Musa) dan Abraham (Ibrahim) sebagaimana saya mengasihi Nabi Muhammad dan kesemua nabi yang dilantik oleh Allah,” katanya.

Menurutnya, selagi umat Kristian tidak dapat mengakui keesaan Allah, Allah yang satu atau menafikan tuhan itu satu, malah sebenarnya dua dan tiga (Anak Tuhan dan Ruhul Kudus) maka selagi itulah penyatuan ummah antara Kristian dan Islam tidak akan berlaku sampai bila-bila.

Kata beliau, jika ke-Esaan Allah dapat diterima dalam hakikat yang sebenar dan diiktiraf maka segala perbezaan antara dua kepercayaan ini dapat ditemui jalan penyelesaiannya.

“Ini kerana, kita hanya akan membuang masa andai hendak menentukan atas nama Allah, tuhan siapa yang benar, milik Islam atau Kristian?

“Ini kerana jika mereka mengetahui melalui Scriptures dari Original Hebrew, mereka dengan jelas mendapati bahawa Allah di sini adalah yang sama, iaitu bahasa Semitik purba iaitu nama Tuhan Yang Maha Agung yang menyampaikan wahyu dan bercakap kepada Nabi Adam dan nabi-nabi yang lain juga.

“Ini bermakna kita menyembah tuhan yang sama, tetapi Allah hanya satu-satunya yang keberadaannya tunggal untuk disembah. Maha Mengetahui, Maha Berkuasa yang kekuasaannya meliputi segala penjuru alam. Allah adalah Maha Pencipta, Pengatur Alam dan Pemerintah seluruh alam semesta,” jelasnya.

Inilah kata Abdul Ahad yang dilakukan selama 17 abad lamanya bagi pihak Gereja Kristian untuk menubuhkan cawangan The Trinitarian (Tritunggal), memerah segala pemikiran dan tenaga bagi mendefinisikan pati dan tubuh ‘tuhan’.

“Tetapi apa yang mereka dapat?,” soal beliau.

“Saya hanya ingin mengingatkan kepada umat Kristian tiada maknanya mengakui bahawa Allah itu sebagai tuhan walaupun mereka mendakwa mempercayai sepenuhnya keesaan tuhan.

“Tetapi dalam masa yang sama mempunyai kepercayaan terhadap tiga tuhan. Mereka sebenarnya masih tidak mempunyai kepercayaan yang benar-benar suci terhadap Allah,” katanya.

Jelas Abdul Ahad, Allah tetap tuhan yang satu, Nabi Isa hanyalah nabi suruhan Allah dan pihak ketiga merupakan salah satu dari roh suci yang melaksanakan perintah dan suruhan dari Allah.

(Dalam satu dialog lain bersama paderi Kristian, Abdul Ahad menyifatkan Ruhul Kudus sebagai atribut yang suci tetapi tidak pernah sebagai seorang peribadi yang suci)

Mungkin anda perlu mendapatkan karya Abdul Ahad yang paling popular, yang diterbitkan pada tahun 1928; Menguak Misteri Muhammad (Muhammad in the Bible) bagi mendapatkan lebih banyak pengetahuan dari bekas paderi ini.

Mungkin penghijrahan seperti inilah. ada pihak tidak mahu lagi disifatkan mereka sebagai memeluk Islam (convert).

Mereka bukannya memeluk agama yang baru, mereka mahu dikenali sebagai revert (kembali) iaitu kembali kepada ajaran yang benar.

Mereka yang dahulunya Kristian dan kini menerima Islam kerana kepatuhan kepada ajaran nabi Isa a.s itu apabila di dalam kitab Injil itu sendiri disebutkan mengenali kehadiran Ahmad atau Muhammad (nabi) yang meneruskan ajaran dari tuhan yang sama, iaitu Allah!

Sumber : http://epondok.wordpress.com/2010/01/21/kajian-bawa-paderi-kepada-islam/

Baca 3 artikal Rujukan kepada  Muhammad in the Bible  di :

https://aburedza.wordpress.com/category/david-benjamin-keldani/


Advertisements

Kalimah Allah : Huraian Maksud Allah

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA
Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah Allah
seakan dipermainkan. Kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an
dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar
sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah
SWT yang Maha Agung.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh.
Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’ al-
Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raf ayat 180:
“Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.
Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah Allah
sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru
dan mengejutkan di dalam agama Islam. Malah al-Qur’an sendiri pernah
merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan
Islam.
Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik
tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu.
Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan
dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang
perihal turunnya ayat ini.
Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak
Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi
pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula
mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas
Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad
bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu
tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”
.
Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa
itu Allah? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui
dan dimengerti, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah
Allah.
Bagi membincangkan lebih lanjut isu ini, penulis bentangkan di sini hujjah-hujjah
yang menjelaskan apakah sebenarnya hakikat kalimah Allah SWT menurut
pemikiran dan aqidah Islam. Apakah signifikannya Allah SWT menjadikan kalimah
tersebut sebagai merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Agung?
1. Kalimah Allah menurut satu pendapat yang lemah ialah kata nama yang kaku
(jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar
tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang
tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula
ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua
kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidak mempunyai
sebarang maksud di sebalik penamaannya.

2. Bagaimanapun pendapat yang benar, kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang
mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal
kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimah alahaya’lahu-
uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan .  Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan  iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah yang bermaksud ma’luh  iaitu “yang
disembah” (ma‘bud).
Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki (sifat)
ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk-
Nya”.

Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al-
Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah.
Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf
lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua. Kemudian terbentuk satu lam
yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang
mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli
bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang
berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh
makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi.
Orang yang mengatakan bahawa ia adalah kata terbitan, mereka mahu
menunjukkan kalimah Allah itu mengandungi makna sifat bagi Allah SWT. Iaitu alilahiyyah
(ketuhanan) sebagaimana al-Asma’ al-Husna yang lainnya seperti al-Basir
(Maha Melihat), al-Sami‘ (Maha Mendengar), al-Qadir (Maha Berkuasa), al-‘Alim
(Maha Mengetahui) dan sebagainya.
Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada kata
dasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama
tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan
kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya
cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu
dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir
daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya
mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.
Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kata al-ilah.
Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmu saraf
bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan kata ilah
adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan ‘ain
al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing
digabungkan kepada yang lain.
Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran)
kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a.
bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu
syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

3. Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa
diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis.
Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata:
Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam menerangkan keistimewaan nama Allah menyebut:
“Nama yang mulia ini memiliki sepuluh karakteristik lafaz…tentang karateristik
maknawinya, makhluk Allah yang paling berilmu, iaitu Rasulullah SAW bersabda:
Aku tidak dapat memuji Engkau sepenuh dan sesempurna yang semestinya. Engkau
sebagaimana Engkau memuji diri-Mu
(selesai sabda).
Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu
menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan
disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan,
pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan
musibah yang menimpa.
Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah
yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata.
Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang
yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara
oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang
Maha Agung itu.
Oleh itu keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah
dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam
mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat
bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah
Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat
Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh
5 Disember 1986.
Sumber,
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM

Kalimah Allah : Surah Al Mu’minuun 84 – 89

Kalimah Allah

Tanyakanlah wahai Muhammad:

Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya,

kalau kamu mengetahui?


Mereka akan menjawab:

Kepunyaan Allah.

Katakanlah:

Mengapa kamu tidak mahu beringat?


Tanyakanlah lagi:

Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh,

dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?


Mereka akan menjawab:

Semuanya kepunyaan Allah.

Katakanlah:

Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?


Tanyakanlah lagi:

Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu,

serta ia dapat melindungi segala-galanya

dan tidak ada sesuatu pun yang dapat diperlindungi daripada kekuasaan-Nya

jika kamu mengetahui!


Mereka akan menjawab:

Segala-galanya dikuasai Allah.

Katakanlah:

Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?

_______________

– Al Quran  Surah Al Muminun  84 – 89

Juga baca yang berkaitan dengan  kalimah Allah di SINI


Kalimah Allah : Al Ankabut Ayat 61 dan 63

Firman Allah:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya :

[Ayat : 61]
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya).
dan FirmanNya lagi :
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الأرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْقِلُونَ
Maksudnya:
[Ayat : 63]

Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidup dengannya tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah: Alhamdulillah, bahkan kebanyakan mereka tidak memahami.


Catitan hujung:
Surah al Ankabut adalah surah Makiyah diturunkan di persekitaran Arab Jahiliah. Mereka mengakui tuhan sekelian alam ialah Allah , namun mereka kafir dan menyekutukan Allah. Saya kira kita patut mengambil kesempatan  isu Kalimah Allah ini untuk dakwah Kalimah Tauhid, seperti firman Allah ” Ucapkanlah: Alhamdulillah”
Adakanlah majlis-majlis diskusi, dailog pemahaman Islam dan perbincangan ilmiah , nescaya ia menjadi peluang keemasan bagi dakwah Islam. Ambil peluang seperti tawaran YAB TG Nika Abdul Aziz Nik Mat yang bersedia untuk terlibat sama atau undanglah Ustaz Zakir Naik atau seumpamanya. Semarakkanlah peluang ini. Saya kira isu ini sedikit sebanyak mempermosikan Agama Allah kepada penganut agama bukan Samawi.
Maksud Firman Allah :

Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang lalim di antara mereka, dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri”. – Al An Kabut 46


Melalui isu ini masyarakat Malaysia dah tahu tuhan orang Islam ialah Allah. Tuhan orang Kristian, Yahudi, Sikh dan Bahai adalah Allah. Tuhan sekelian Alam adalah Allah.
Maha Suci Tuhanku , Allah , Tuhan sekelian Alam.
Mengenai perundangan  terserah kepada pihak yang arif, mengenai kerajaan pula, ia mempunyai tangung jawab kepentingan awam bagaimanapun saya menyukai pendapat  PAS yang mengambil pendirian “terbuka” dalam isu kontroversi terbaru ini  dengan menegaskan penggunaan perkataan “Allah” dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi .Bagaimanapun penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Saya juga menenkuni tulisan Dr. Dr. Khalif Muammar  yang boleh di baca di SINI.
Saya akhiri dengan Maksud firman Allah :

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.–  ( Ali Imran 64 )