BERITA GEMBIRA : Kenyataan media Nik Aziz terhadap Nasharuddin

 

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) – Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Image

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang semalam di pejabat agung PAS di ibu negara.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

“Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno. Image

“Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

“Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

“Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.”

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Dr Haron Din; Naib Presiden – Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato’ Mahfuz Omar, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda PAS , Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nuridah Salleh. – azm _

Sumber :

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21384&Itemid=1

Presiden PAS umum saf kepimpinan baru

ImagePengumuman dibuat Presiden pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sejurus selesai Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang bermula jam 10 pagi tadi.

Ahli jawatankuasa baru yang dilantik:

Datuk Husam Musa, bekas naib presiden
Mohamad Sabu, bekas naib presiden
Mohd Anuar Tahir, bekas setiausaha agung PKR
Mohd Taufik Abdul Ghani, ADUN Paroi
Dr Mariah Mahamud, ahli parlimen Kota Raja
Wan Ubaidah Wan Omar, exco kerajaan Kelantan
Asmuni Awi, timbalan pesuruhajaya PAS Perak
Ahmad Dollah, timbalan pesuruhajaya PAS Sabah

Senarai pesuruhjaya PAS negeri:

Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Saleh Man (Pulau Pinang)
Abu Bakar Husin (Perak) – dulu Ahmad Awang
Datuk Nik Aziz Nik Mat(Kelantan)
Datuk Harun Taib (Terengganu) – dulu Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)

MATAN SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009

MATAN SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009

Tarikh:13 Mei 2009
Tempat:Bilik Gerakan Negeri,Kota Darul Naim
Masa: Jam 11.30 pagi

BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHIIM

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain).  Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Surah Al-Hujurat:  Ayat 13).
Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, khabar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah.    Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi.  Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.

 
Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung di mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh.  Ini kerana ia kehilangan kejujuran.  Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru atas hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan.  Dalam banyak kes dan contoh, apa yang rakyat lihat cumalah drama dan silap mata untuk songlap kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi untuk tujuan-tujuan persendirian.

 
Diatas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melalui projek-projek pembangunan.  Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah   mengkhianati amanah.  Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang.  Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan.   Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.

 
Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu.  Untuk mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu. Dari itu,  kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira.  Untuk bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama.  Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah S.W.T; itu premis kebahagiaan yang pertama.  Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat.  Oleh kerana kita telah  memilih sistem demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintahan dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak-hak sivil, kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan  “rule of law and natural justice” serta segala amalan  hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.  Ini bertindak sebagai asas dan pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia.  Rakyat perlu diberi atau dikembalikan semula hak-hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini.   Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom dan bakar yang semakin menjadi-jadi.  Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan  kehidupan  beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian; terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badan dan harta benda dari difitnah dan dimusnah; maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh terasa selamat.  

Ini soal hak yang sangat asas.  Ia menjadi hak asasi milik setiap rakyat yang wajib dipelihara, sentiasa diberi dan selamanya dihormati.  Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana-mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage  politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.  Kepada semua orang Islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assala mu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam.  Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala bentuk amalan kezaliman, rasuah dan  ketidak adilan.

 

Terima kasih dan Wassalam.

 
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

 

Bertarikh: 18 Jamaidil Awal 1430, 13 Mei 2009.

Sumber:

http://www.blogtokguru.com/pages/posting/12/matan-sidang-akhbar-deklarasi-perpaduan-nasional-dan-keamanan-sejagat

Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera

Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat  kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.   Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian.  Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.  Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul  menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama.  Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun  batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana.  Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan.  Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR  dan pemimpin-pemimpin  NGO, pensyarah serta pendakwah bebas.   Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam  mengharungi ujian-ujian ini.  Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana.  Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *

(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

Sumber : http://www.blogtokguru.com/pages/posting/11/surat-kepada-yb-nga-kor-ming-adun-pantai-remis-perak