Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0918&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Pahlawan Datuk Bahaman pernah meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.

 
DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

Haji Abdur Rahman Limbong ulama dan pahlawan Melayu-Pejuang Kemerdekaan Tanah Air

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SUMBER:   http://devali.multiply.com/journal/item/17

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya. Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006). Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu. Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu. Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei . Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong. Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal. Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu. Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris. Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.

Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam. Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah. Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang. Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.

Wasallam

LINK LAIN BERKAITAN : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm