PAS tetap teguh dengan Ahli Al-Sunnah Wal Jama’ah, kenapa masalah sunni dan syiah ditimbulkan sekarang?

Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

( sumber:   harakahdaily.net )

PAS tetap teguh dengan Ahli Al-Sunnah Wal Jama’ah, kenapa masalah sunni dan syiah ditimbulkan sekarang?

Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Qiyas yang nyata. Inilah sumber hukum para Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli PAS wajib menganut mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam PAS.

Perkara ini tidak ada dalam perlembagaan parti lain, termasuk UMNO sendiri yang berdegar Ahli al Sunnah wal Jama’ah. Oleh kerana berprinsipkan Ahli al Sunnah wal Jama’ah inilah maka Jawatankuasa Disiplin PAS boleh bertindak terhadap aliran mazhab yang lain dalam PAS, bukan sahaja dalam kes disiplin salah laku terhadap pentadbiran PAS.

Namun PAS yang teguh berpegang dengan Islam dan mazhab Ahli al Sunnah wal Jama’ah ini mengadakan hubungan dengan semua pihak lain, termasuklah di kalangan bukan Islam. PAS lebih ke depan dalam mengadakan hubungan dengan semua kumpulan Islam NGO yang berbeza pendekatan dan berbagai mazhab.

PAS dapat membezakan dengan ilmu Islam, berdasarkan batas-batas yang diizinkan oleh syara’. Begitulah PAS menyokong kerajaan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Iran, Oman, termasuklah negara barat dan komunis.

Saya telah menulis satu kajian terperinci khusus kepada ahli-ahli PAS dan semua pihak yang ingin tahu. Kajian itu bertajuk: “Mazhab-Mazhab dan Firqah dalam Islam” (edisi tulisan jawi ) dan “Ensaiklopedia Mazhab dan Ideologi” (edisi rumi), dengan merujuk kepada sumber-sember ulama terdahulu dan terkini.

Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya.

Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam.

Para ulama zaman dahulu dan kini meletakkan mazhab-mazhab ini dalam kajian feqah muqaran (perbandingan) dan disebut juga dalam kitab-kitab tafsir dan hadis.

Sehingga kini penganut mazhab ini diizinkan menunaikan ibadat haji di Makkah bersama seluruh umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia, walaupun mengikut cara mazhabnya, seperti mencabut bumbung bas dan kereta ketika berihram.

Kejatuhan kerajaan Uthmaniyah

Persidangan Kemuncak Negara-negara Umat Islam (OIC) dua tahun yang lalu mengambil kira perkara ini dan menjadikan resolusinya.

Perkara ini sebenarnya sudah difahami oleh umat Islam sejak lebih seribu tahun yang lalu, sehingga tidak menghalang kemaraan perkembangan Islam di seluruh pelosok dunia dan kerajaan Islam Ahli Sunnah menjadi kuasa besar tunggal yang paling hebat.

Mazhab Ahli Sunnah terus berkembang tanpa takut kepada mazhab Syiah, Khawarij, Mu’tazilah dan lain-lain yang ada dalam masyarakat Islam sendiri, sehingga mampu juga menghadapi perang salib yang bertalu-talu sehingga beberapa abad.

Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di abad yang lalu berlaku, setelah umat Islam meninggalkan ilmu Islam, dan ilmu Islam juga dilemahkan.

Umat Islam dipecahkan dengan fahaman sekularisme yang memisahkan politik dan urusan duniawi daripada agama Islam, menyebabkan mereka menganut berbagai-bagai ideologi yang asing daripada Islam, khususnya nasionalisme (semangat kebangsaan dijadikan akidah) yang boleh menganut apa sahaja ideologi yang berikutnya.

Akidah nasionalisme menyebabkan umat Islam dipecahkan dengan semangat kebangsaan masing-masing, sehingga bangsa Arab menganggap kerajaan Uthmaniyah Turki adalah penjajah asing.

Iran yang dikuasai oleh majoriti Syiah Imamiyyah dan Yaman yang dikuasai oleh raja syiah Zaidiyyah dan mazhab ‘Ibadhiyyah yang menjadi mazhab majoriti penduduk Oman dipisahkan daripada umat Islam.

Dalam masa yang sama perkara berbeza mazhab di dalam Sunni dan di dalam sama-sama Syi’ah dijadikan bahan untuk melagakan umat, sehingga boleh dilagakan oleh penjajah dan mendapat khidmat dan bantuan penjajah untuk menentang di antara satu sama lain.

Berakhir dengan jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah dan seluruh tanah air umat Islam dibahagikan di kalangan negara penjajah Timur (komunis) di Asia Tengah dan penjajah Barat (kapitalis) di Asia dan Afrika.

Dahulunya para ulama yang mendalami ilmu Islam dapat menangani secara budaya ilmu yang tinggi yang disalin dalam kitab-kitab yang dikarang, walaupun pendapat yang paling lemah dan dikira salah dimasukkan juga di dalam kitab dan dihujah secara ilmu, bahkan ada pendapat mazhab lain yang diambil kira sekiranya ada hujah yang kuat.

Era kebangkitan Islam

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat mengembirakan pendukung Islam dan menakutkan musuhnya yang dengki. Umat Islam wajib kembali semula kepada budaya ilmu yang tinggi dengan menggunakan teknologi maklumat terkini bagi menolak mazhab yang lemah secara hujah, dalam masa yang sama menyedari adanya agenda penjajah baru yang mengulang tayang senario lama dengan solekan baru yang disesuaikan dengan situasi terkini.

Perlu difahami betapa kuasa besar timur dan barat mewujudkan negara haram Israel secara sepakat, sebagai strategi pengacau dalam dunia Islam, khususnya rantau Asia Barat. Semua negara kuasa besar juga berlumba menanam pengaruh di rantau yang mempunyai sumber tenaga minyak, gas dan uranium, paling besarnya ialah rantau Asia Barat dan Asia Tengah.

Mereka memejam mata terhadap Israel yang telah mempunyai teknologi persenjataan yang diharamkan oleh masyarakat antara bangsa, seperti teknologi nuklear sejak tahun enam puluhan dengan bantuan negara barat dan zionis bekas Soviet, bahkan senjata haram itu telah digunakan secara kecilan dalam peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

Dalam masa yang sama tindakan diambil terhadap mana-mana negara Arab yang memajukan teknologi sumber nuklear, walaupun bertujuan keamanan seperti sumber tenaga elektrik. Loji di Iraq dan Libya pernah dimusnahkan dengan serangan udara di atas nama keamanan dunia dan keselamatan Israel.

Umat Islam sepatutnya melakukan muhasabah terhadap sikap ‘double standard’ kuasa besar barat dalam tindakan ke atas menjatuhkan regim Mu’ammar Gaddafi di Libya dengan lebih keras, dibandingkan kedinginan dan tidak konsisten tindakan ke atas regim Basyar Asad di Syria yang sama zalimnya. Tidakkah kerana kedudukan yang berbeza bagi keselamatan Israel dan kepentingan barat?

Sebelumnya barat membantu Taliban menjatuhkan Mujahidin di Afghanistan, kemudiannya menyapu Taliban habis-habisan, bagi menempatkan regim yang lebih baik kepada mereka. Adakah drama berdarah ini akan ditayangkan di Asia Barat? Menteri Pertahanan Israel membuat kenyataan terbaru, bahawa Basyar perlu dikekalkan kerana lebih baik daripada kumpulan pengganas yang menentangnya sekarang.

Mengapa perlunya kewujudan pengkalan tentera kuasa besar barat di rantau Teluk? Adakah kerana keselamatan negara yang diwujudkan pengkalan itu, atau kerana menjaga telaga minyak dan keselamatan Israel? Umat Islam pula perlu membaca dan memahami percaturan politik antara bangsa.

Mengapa sekarang dicetuskan peperangan terhadap mazhab Syiah yang telah wujud sejak lebih seribu tahun. Adakah kerana mazhab Syiahnya atau kemajuan teknologi Iran yang mencabar barat dan Israel? Maka negara serantau menjadi wakil kepada barat dan Israel untuk menyelamatkan mereka dengan mengulangi strategi pecah dan perintah.

Akhirnya ini menyebabkan peperangan secara proksi bagi menguji senjata Rusia dan China dan senjata Amerika dan Eropah dengan duit Arab dan Iran, di mana mangsanya ialah rakyat yang dibunuh dan menjadi pelarian di tanahair sendiri. Mengapa perlunya umat Islam mendengar fatwa Amerika dan sekutunya dalam masalah mazhab? Sedangkan para ulama boleh bermuzakarah dengan kitab-kitab yang telah sedia ada dan sumber ilmu Islam yang tidak mati bersama mukjizat Al-Quran.

Adakah masih tidak faham betapa Islam tidak diizinkan menang secara demokrasi yang adil di Mesir, sehingga kerajaan yang dipilih melalui pilihanraya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang disokong oleh kebanyakan Negara Arab.

Bekas jajahan komunis

Sedang diganggu di Sudan, Libya dan Tunisia? Fahamlah betapa negara umat Islam bekas jajahan komunis diizinkan berkiblat ke barat Amerika dan Eropah dan negara bekas tanah jajahan barat diizinkan berkiblat ke Timur Komunis.

Apabila majoriti negara Arab memilih negara Barat menjadi rakan sejawat yang dipercayai dan bersikap negatif terhadap Iran, tiba-tiba Iran pula memilih strategi mendekati Barat, bermula dengan pintu belakang dibuka sedikit di zaman Ahmadinejad dan membuka lebih luas selepas kemenangan Presiden Rouhani, berakhir dengan persefahaman negara Barat yang lebih berlunak dengan Iran demi kepentingan mereka.

Maka negara Arab akan tinggal tersengeh mengekorinya. Oman memulakan langkah meninggalkan sikap bersama dengan Kesatuan Negara-negara Teluk. Terkini persidangan negara teluk mengalu-ngalukan persefahaman Iran dan Barat. Apakah mazhabnya negara Arab itu? Di mana pergi sunninya lagi?

PAS pernah dituduh Syiah apabila menyokong Iran dalam perang teluk yang pertama, ketika Saddam Husain menyerang Iran dengan senjata barat, dan PAS pula menentang campur tangan Amerika menyerang Iraq, sikap yang berbeza dengan Iran. Bukan kerana menganut ideologi Parti Ba’ath, tetapi dapat membaca permainan politik serantau.

PAS sudah mengerti betapa jahilnya masyarakat rantau ini dengan ajaran Islam, sehingga pengaruh Syi’ah telah pun mempengaruhi masyarakat serantau alam Melayu secara bebal dengan menamakan herba tempatan yang dipercayai paling berkhasiat dengan panggilan ‘Tongkat Ali’ dan ‘Kacip Fatimah’.

PAS juga memahami betapa Revolusi Islam Syi’ah di Iran tidak sesuai bagi masyarakat Malaysia dan PAS dapat menangani ahlinya yang terpengaruh dengan perkembangan yang tidak setimpal dengan masyarakat setempat. PAS tetap mendukung demokrasi dan bersedia menghadapi penipuannya dan ahlinya yang didapati terkeluar daripada landasannya.

Sama ada terkeluar dengan sendirinya daripada PAS atau diambil tindakan setelah terbukti dengan adil tanpa menjejaskan dasar dan konsep perjuangan Islam Mazhab Ahli Sunnah yang didukung oleh PAS secara istiqamah dan muhasabah.

PAS menjadikan politik sebahagian amal soleh dan menolak kemungkarannya. PAS meletakkan langkah politik termasuk dalam amalan berpahala dan berdosa dan tidak menjadikan politik hanya permainan untuk mendapat kuasa tanpa mengira dosa dan pahala.

Saya ulangi supaya pembaca mengambil iktibar daripada sebab nuzulnya surah al-Rom, petunjuk Allah kepada Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya dalam menilai politik antarabangsa di zamannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s