Empayar Kerajaan Osmaniyah : Asal Kerajaan Osmaniyah – Siri 1

Oleh : Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah ( Dr. HAMKA )

( Dipetik dari Sejarah Umat Islam – ditulis oleh Allahyarham Dr HAMKA sejak 1939 -1961 selama 22 tahun – Semuga rahmat Allah keatasnya)

Asal Kerajaan Osmaniyah

Bendera Osmaniyah

Nama Kerajaan Osmaniyah itu diambil dari dan dibangsakan kepada nenek-moyang mereka yang pertama. Sultan Osmani ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Shah ibn Kia Alp, kepala kabilah Kabi di Asia Tengah.

Tatakala bangsa Tartar bangkit menyerbu ke Dunia Islam, menakluk, membakar membunuh dan merampas, maka Sulaiman Shah, datuk dari Sultan Osman, melihat bahaya itu bagi negerinya di Mahan. Bermuafakatlah dia dengan anggota persukuannya yang besar itu, supaya lekas pindah ke negeri lain yang lebih aman, iaitu tanah Anatolia* di Asia Kecil. Kehendaknya itu dituruiti oleh anak buahnya. Mereka pun berangkatlah menuju Anatolia, meninggalkan kampung halamannya yang kelak akan menjadi padang terkukur saja, bila tentera Tartar masuk dan tidak akan dapat mereka pertahankan. Ada pun banyak anak buahnya yang mengikuti dia itu ialah 1,000 orang berkuda. Kejadian ini ialah di dalam abad ketujuh hijrah.

Kawasan Merah Adalah Tanah Anatolia

Beberapa lamanya mereka berhenti di negeri Akhlat. Tetapi tidak lama kemudian. tentera Tartar pun telah dekat pula sampai ke negeri itu, sehingga dengan segera mereka pindah pula ke negeri Azerbijan. Kemudian terdengarlah berita, bahawa gelombang bangsa Tartar itu telah jauh dari negeri asli mereka Mahan, dan negeri yang telah kosong itu tidak jadi mereka masuki. Maka terniatlah di hati Sulaiman Shah hendak pulang dan membangunkannya kembali. Dalam perjalanan pulang itu seketika lamanya mereka ber­henti di benteng Ja’bar dalam wilayah Orga, Setelah itu mereka seberangilah sungai Ephrat. Tiba-tiba sedang menyeberang itu, air menjadi besar, sehingga Sulaiman Shah, kepala kabilah itu tenggelam dalam sungai yang besar itu dan tidak dapat ditolong. Jenazahnya dikebumikan di dekat benteng Ja’bar itu.

Beliau meninggalkan empat orang putera; Sankurtakin, Kun-Togdai, Artugrul dan Dandan. Dan anak yang pertama melanjutkan maksud ayahnya, pulang kembali ke kampung, dan anak yang berdua lagi, iaitu Artugrul dan Dandan meneruskan matlamat ayah­nya yang kedua, iaitu melanjutkan peijalanan ke daerah Anatolia, mencari daerah yang subur. Mereka memilih tanah Erzerum. Artugrul diangkatl oleh persukuannya men­jadi kepala kabilah.

Adapun yang pulang ke negerinya itu tidaklah terdengar khabar beritanya lagi dalam sejarah.

Setelah kedua saudara yang kecil sampai ke daerah Anatolia, maka Artugrul mengutus puteranya Sauji menghadap Sultan Alaed-Din Kaiqubaz Sultan Saljuk Rumi, memohon supaya baginda sudi memberi izin berdiam di dalam wilayah kekuasaannya, dan mohon diberi tanah untuk bercucuk tanam dan men gembalakan ternak mereka. Permohonan itu diperkenankan oleh Sultan ‘Ala ed-Din. Dan dalam perjalanan pulang hendak menyampaikan berita ini kepada ayahnya, meninggallah Sauji.

Setelah selesai mereka menguburkan jenazah Sauji dalam keadaan girang mendapat tanah dan sedih kerana kematian. mereka pun meneruskan peijalanan menuju tanah yang telah dihadiahkan itu. Tiba-tiba di tengah peijalanan mereka melihat dua angkatan tentera tengah bertempur hebat. Yang satu pihak besar jumlahnya sedang pihak lawannya bilangannya kecil.

Maka timbullah semangat keadilan pada pihak Artugrul, sehingga dengan segera dia menyerukan anak buahnya supaya segera menyerbu ke medan perang itu dan berdiri di pihak yang lemah. Dan semangat mereka bertambah bergelora, demi mereka ketahui, bahawa pihak yang lebih kuat itu ialah tentera Mongol, musuh besar mereka, dan pihak yang lemah itu ialah tentera Sultan ‘Ala ed-Din Saljuk yang mempertahankan negerinya dari serangan Mongol, dan yang telah memberikan hadiah tanah kepada mereka. Maka oleh kerana bantuan yang tiba-tiba itu, keadaan pun berbaliklah. Serangan Mongol dapat ditangkis, dan akhirnya kedudukan tentera Saljuk bertukar dari bertahan kepada menye- rang. Dengan segera tentera Mongol mengundurkan diri.

Sangat gembira Sultan ‘Ala ed-Din mendengar berita kemenangan itu. Diundangnyalah Artugrul ke istana dan diterimanya dengan serba kehormatan, diberinya pakaian persalinan dan diberinya pula tanah dan wilayah kekuasaan, lebih luas daripada ара yang telah dijanjikannya kepada puteranya Sauji. Dan apabila terjadi peperangan dengan pihak musuh, senantiasalah Artugrul membawa anak buahnya memberikan bantuan kepada Sultan ‘Ala ed-Din dengan penuh kesetiaan. Dan setiap mencapai kemenangan, Sultan memberinya juga hadiah wilayah tanah yang baru, ditambah dengan harta benda yang banyak. Kemudian itu tentera Artugrul diberi gelar oleh Sultan “Muqaddamah Sultan”, (Tentera pelopor baginda), kerana bila berperang, tentera Artugrul juga di barisan muka.

Pada tahun 687 H, 1288 M, mangkatlah Artugrul. Untuk gantinya Sultan ‘Ala ed-Din menunjuk cucunya yang sulung, Osman, putera Sauji.

_______________________

* Anatolia (bahasa Turki: Anadolu) atau juga dikenali Asia Kecil adalah kawasan barat daya Asia dan juga merujuk kepada sebahagian besar dari Turki. Anatolia dikelilingi Laut Hitam, Laut Aegean dan Laut Mediterranean. Anatolia dihuni penduduk berbagai budaya kerana ia terletak di antara Eropah dan Asia.

One thought on “Empayar Kerajaan Osmaniyah : Asal Kerajaan Osmaniyah – Siri 1

  1. Pingback: Empayar Kerajaan Osmaniyah : Sultan Osman 1 – Siri 2 « Aburedza

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s