HADITS 12 KHALIFAH

Sahabat Syiah saya , Abu Hasan , dalam e-mail kepada saya menulis :

Saya kira sdr. sudah mengimani terdapatnya 12 orang Imam atau khalifah yang mengganti Rasullah untuk membimbing umat Islam sepeninggalan Rasullalah., sebagaimana disebut di dalam hadist al Bukhari , Muslim, Tarmizi dan  lain-lain. Atau sdr. mungkin memahami secara berbeza dengan apa yang difahami oleh AB bersabit hadist –hadist tersebut..  Silalah maklumkan kepada saya sekiranya pemahaman sdr. berbeza.

Berikut tulisan berkaitan,  mengenainya :

MENARAKECILSalah satu hadis yang menjadi hujah Syiah yang telah di sanggah oleh Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah dalam bukunya Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah ialah hadis 12 Khalifah.  Jika saudara pembaca tidak memiliki buku tersebut sila lawati laman beliau di http://hafizfirdaus.com/content/view/175/76/

Hadits-Hadits Rasulullah Yang Dijadikan Hujjah Oleh Syi’ah: HADITS 12 KHALIFAH

Ketika membahas Hadis al-Tsaqalain, Muhammad Mar’i al-Amin telah menyebut tentang ‘Ali dan kesemua sebelas anak keturunannya sebagai para imam yang maksum. Apa yang beliau maksudkan merujuk kepada hadis berikut daripada Jabir bin Samurah radhiallahu ‘anh:

Aku bersama ayahku masuk menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka aku mendengar baginda bersabda: “Sesungguhnya urusan ini tidak akan selesai sehingga berlaku kepada mereka dua belas orang khalifah.”

(Jabir meneruskan): Kemudian baginda berbicara dengan suara yang perlahan kepada aku (sehingga aku tidak dapat mendengarnya). Aku bertanya kepada ayahku: “Apa yang (Rasulullah) perkatakan?” Ayahku menjawab: “Semua mereka daripada bangsa Quraisy.”

Di sisi Syi‘ah, dua belas orang khalifah yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah ‘Ali dan sebelas anak keturunannya. Hadis ini bukan sahaja menjadi hujah di sisi Muhammad Mar’i al-Amin tetapi kepada semua tokoh Syi‘ah. Penghujahan mereka adalah seperti berikut:

HUJAH SYI‘AH                                              

Muhammad Mar’i al-Amin menulis:[1]

Pengkaji-pengkaji menegaskan bahawa hadith-hadith tersebut menunjukkan bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAWAW ialah dua belas orang (……).[2] Dan maksud hadith Nabi SAWAW ialah dua belas orang daripada Ahlu l-Baitnya. Kerana tidak mungkin dikaitkan hadith ini kepada khalifah-khalifah yang terdiri daripada (para sahabat baginda kerana)[3] bilangan mereka kurang daripada dua belas orang. Dan tidak mungkin dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah kerana bilangan mereka melebihi dua belas orang dan kezaliman mereka yang ketara selain daripada ‘Umar bin Abdu l-Aziz. Tambahan pula mereka bukan daripada Bani Hasyim (kerana Nabi SAWAW telah bersabda: Semua mereka daripada Bani Hasyim).[4] ((Di dalam riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di kalangan Quraisy dan memilih Ahlu l-Baitnya di kalangan Bani Hasyim.)) [5]

……Sesungguhnya riwayat-riwayat yang berbilang-bilang yang datang kepada kita menurut metod Ahlu s-Sunnah adalah sekuat dalil, dan hujjah yang paling terang bahawa sesungguhnya khalifah selepas Rasulullah SAWAW secara langsung ialah Imam Amiru l-Mukminin ‘Ali bin Abi Talib AS. Dan selepasnya ialah anak-anaknya sebelas imam yang maksum, pengganti Rasul dan para imam Muslimin satu selepas satu sehingga manusia ‘berhadapan’ dengan Tuhan mereka. Tiada seorangpun yang dapat mengingkari hadith-hadith yang sabit yang diriwayatkan menurut riwayat para ulama besar Ahlu s-Sunnah dan pakar-pakar hadith mereka, lebih-lebih lagi menurut riwayat Syi’ah. Kecuali cahaya pemikirannya telah dipadamkan dan dijadikan di hatinya penutup. Justeru itu ia adalah termasuk di dalam firmanNya di dalam (Surah al-Baqarah (2): 171): 

Mereka itu bisu dan buta, maka (oleh sebab itu mereka tidak mengerti

Dan firmanNya (Surah al-Zukhruf(43):36):

 Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya

 Dan firman-Nya (Surah al-Kahf(18):57):

Kami jadikan di hati mereka tutupan (sehingga mereka tidak) memahaminya dan (Kami letakkan) sumbatan di telinga mereka, sekalipun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.

Demikianlah kedudukan Hadis 12 Khalifah yang begitu jelas membuktikan kekhalifahan ‘Ali dan sebelas anak keturunannya radhiallahu ‘anhum di sisi Syi‘ah. Sehinggakan sesiapa yang menolak hadis ini, ternyata dia telah ditutupi indera-inderanya, memiliki syaitan sebagai kawan karibnya dan tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.

Marilah kita membahas darjat dan kedudukan Hadis 12 Khalifah. Di akhir perbahasan, penulis yakin para pembaca dapat menilai sendiri siapakah yang sebenarnya telah ditutupi indera-inderanya, memiliki syaitan sebagai kawan karibnya dan tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.

 JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            

 DARJAT HADIS 12 KHALIFAH.

Terdapat tiga darjat hadis yang perlu diterangkan dalam perbahasan ini:

Hadis Pertama:

Pertama adalah hadis yang membentuk asas penghujahan, iaitu:

Aku bersama ayahku masuk menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka aku mendengar baginda bersabda: “Sesungguhnya urusan ini tidak akan selesai sehingga berlaku kepada mereka dua belas orang khalifah.”

(Jabir meneruskan): Kemudian baginda berbicara dengan suara yang perlahan kepada aku (sehingga aku tidak dapat mendengarnya). Aku bertanya kepada ayahku: “Apa yang (Rasulullah) perkatakan?” Ayahku menjawab: “Semua mereka daripada bangsa Quraisy.”

Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1821 (Kitab kepimpinan, Bab manusia berbai‘ah kepada Quraisy……) Para pengkaji Syi‘ah menyatakan hadis ini telah diriwayatkan oleh lebih 12 orang sahabat selain Jabir bin Samurah radhiallahu ‘anhum.

Perhatian para pembaca ditarik kepada penggunaan istilah “khalifah” dalam hadis di atas. Inilah yang penulis maksudkan ketika membahas Hadis al-Ghadir bahawa jika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ingin melantik ‘Ali radhiallahu ‘anh sebagai khalifah pengganti baginda, pasti baginda akan menggunakan istilah “khalifah” dan tidak istilah Mawla atau Wali. Ini kerana istilah “khalifah” adalah sesuatu yang lazim baginda gunakan, sepertimana Hadis 12 Khalifah di atas. Jika Rasulullah memilih untuk tidak mengguna istilah “khalifah” terhadap ‘Ali di dalam Hadis al-Ghadir, bererti baginda sememangnya tidak bermaksud untuk melantik ‘Ali sebagai khalifah penggantinya.

Hadis Kedua:

Kedua adalah dakwaan Hadis 12 Khalifah yang diakhiri dengan lafaz Semua mereka daripada Bani Hasyim”. Setakat ini penulis tidak menemuinya dalam mana-mana rujukan hadis Ahl al-Sunnah bahawa Hadis 12 Khalifah diakhiri dengan lafaz Bani Hasyim. Yang benar ia diakhiri dengan lafaz “Semua mereka daripada bangsa Quraisy.” Ketika mengemukakan Hadis 12 Khalifah dengan lafaz pengakhirnya: “Semua mereka daripada Bani Hasyim”, Muhammad Mar’i al-Amin sendiri tidak memberikan catitan notakaki kepada sumbernya, apatah lagi darjat kekuatannya.

Adapun penyataan: “Di dalam riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di kalangan Quraisy dan memilih Ahl al-Baitnya di kalangan Bani Hasyim”, ia tidak terdapat dalam edisi Arab yang asal. Riwayat yang dimaksudkan dalam bentuknya yang lengkap adalah seperti berikut:

Sesungguhnya Allah telah memilih (suku) Kinanah daripada anak keturunan Ismail dan telah memilih (bangsa) Quraisy daripada (suku) Kinanah, dan telah memilih daripada (bangsa) Quraisy Bani Hasyim dan telah memilih aku daripada Bani Hasyim.

Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2276 (Kitab keutamaan, Bab keutamaan nasab Nabi). Terdapat dua perkara yang perlu diluruskan berdasarkan hadis di atas:

1.      Dalam hadis di atas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menyatakan Allah telah memilih Ahl al-Bait daripada Bani Hasyim, sebaliknya telah memilih dirinya daripada Bani Hasyim.

2.      Hadis di atas tidak berperanan mengkhususkan 12 Khalifah daripada bangsa Quraisy kepada Bani Hasyim sahaja. Ia hanya menerangkan keutamaan Bani Hasyim dan bukan kelayakan mereka secara automatis menjadi khalifah.

 Hadis Ketiga:

Dalam sumber-sumber Syi‘ah, mereka mengemukakan beberapa hadis yang kononnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut satu persatu nama-nama para khalifah yang dua belas tersebut, terdiri daripada ‘Ali dan sebelas anak keturunannya. Malang sekali hadis-hadis tersebut dikemukakan tanpa sanad, jauh sekali daripada dinilai darjat kekuatannya. Oleh itu dalam perbahasan ini kita tidak akan memberi perhatian kepada hadis-hadis tersebut kerana tanpa sanad, ia tidak memiliki apa-apa nilai.

 MAKSUD HADIS 12 KHALIFAH

Sekali lagi, izinkan penulis memberi sebuah contoh perumpamaan bagi memudahkan para pembaca yang budiman sekalian memahami maksud Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di sebalik Hadis 12 Khalifah.

Umpamakan sebuah syarikat yang melancarkan kempen motivasi bagi para pekerjanya demi menaikkan produktiviti kerja. Untuk mencapai hasrat ini, pihak pengurusan syarikat merancang akan memilih bagi setiap bulan seorang pekerja yang terbaik (staff of the month). Pemilihan adalah berdasarkan ciri-ciri yang ada pada seseorang pekerja seperti disiplin yang baik, penampilan diri yang kemas, budaya kerja yang sihat, kepimpinan yang memberi teladan kepada yang lain, komunikasi yang ramah mesra antara pekerja dan pelbagai lagi sifat-sifat yang positif. Dengan adanya pemilihan pekerja yang terbaik oleh pihak pengurusan, ia memberi motivasi kepada semua pekerja untuk memberikan prestasi yang terbaik agar mereka terpilih. Lebih dari itu, dengan adanya pemilihan yang dilakukan pada setiap bulan, para pekerja akan berusaha memberi prestasi yang terbaik secara berterusan supaya jika dia tidak terpilih pada bulan tertentu, dia akan dipilih pada bulan-bulan yang akan datang.

Percaya atau tidak, usaha memberi motivasi sebagaimana contoh di atas yang banyak dilaksanakan di syarikat-syarikat masa kini, sebenarnya telah diusahakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lebih 1400 tahun yang lalu. Baginda sendiri telah banyak memberi “hadis-hadis motivasi” kepada umatnya agar mereka berusaha keras demi kebaikan agama dan umat.  Berikut adalah tiga “hadis motivasi” yang dapat penulis kemukakan sekadar contoh:[6]

Contoh hadis motivasi # 1:

Sesungguhnya Allah mengutus untuk umat ini pada permulaan setiap seratus tahun seorang yang memperbaharui baginya agamanya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam kitab Sunannya dan para imam selainnya, dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4291 (Kitab al-Malahin, Bab apa yang disebut tentang kurun 100 tahun).

Contoh hadis motivasi # 2:

Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak diketahui apakah yang baik itu pada awalnya atau akhirnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik, ‘Amr, ‘Ali bin Abi Thalib dan ‘Abd Allah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhum, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Abu Ya’la dan lain-lain. Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5854.

Contoh hadis motivasi # 3:

Masa kenabian akan berlangsung di kalangan kalian sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.

Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) khalifah yang berada di atas manhaj Nubuwwah sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.

Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang menggigit (menghimpit) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.

Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang mengganas (zalim) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.

Kemudian akan berlangsung (semula sistem pemerintahan) khalifah yang berada di atas manhaj Nubuwwah.

Kemudian baginda diam.

Hadis ini diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas kitab Musnad Ahmad – hadis no: 18406 (Awal Musnad al-Kufayyan, Hadith Nu’man bin al-Basyir).

Ketiga-tiga hadis di atas bersifat memberi motivasi kepada umat Islam dengan caranya yang tersendiri:

1.      Hadis pertama memberi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha memperbaharui agama mereka, yakni dengan cara mengembalikannya kepada bentuk yang tulen sepertimana baru, bersih daripada bid‘ah dan penyelewengan.[7]

2.        Hadis kedua memberi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha ke arah kebaikan tanpa berputus asa kerana hasil kebaikan itu tetap akan diperoleh satu hari nanti.

3.      Hadis ketiga menerangkan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa sistem pemerintahan khalifah akan kembali mengurus umat Islam. Umat Islam akan kembali berbai‘ah, memberi janji taat setia kepada khalifah Islam dan meninggalkan amalan masa kini yang berbai‘ah kepada “Bangsa-Bangsa Bersatu” atau sistem pemerintahan ala Barat. Ia memberi motivasi kepada kita semua untuk sentiasa berusaha ke arahnya tanpa berputus asa atau berselesa dengan apa yang ada masa kini.

Ciri penting untuk mengenal hadis-hadis motivasi adalah ia menerangkan tentang perkara yang akan berlaku tanpa memperincikan sesuatu nama, tempat atau masa.

Kini kita sampai kepada menjelaskan maksud Hadis 12 Khalifah. Ia termasuk dalam kategori “hadis motivasi”, bertujuan memberi motivasi kepada para khalifah umat Islam agar mereka memimpin umat dengan benar, adil dan berjaya. Hendaklah dia memimpin sehingga berjaya memberi kemenangan kepada Islam dan umatnya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang lain yang dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1821-3 di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Islam akan terus menang selagi ia dipimpin oleh 12 khalifah.

Jika dikaji semua hadis yang menerangkan tentang kepimpinan 12 khalifah berdasarkan sanad yang sahih, tidak satu jua yang menerangkan nama para khalifah tersebut mahupun masa dan pusat pemerintahan mereka. Baginda hanya menerangkan bahawa mereka terdiri daripada bangsa Quraisy. Ini memang merupakan ciri-ciri hadis motivasi sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.

Memandangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membiarkan hadis tersebut dalam bentuk yang terbuka, tidaklah perlu untuk kita menutupnya dengan menetapkan nama-nama khalifah tertentu. Apa yang boleh dilakukan ialah sekadar meramalkan siapakah khalifah yang menepati ciri-ciri hadis, seperti Abu Bakar, ‘Umar bin al-Khaththab, ‘Utsman ibn ‘Affan, ‘Ali bin Abi Thalib, Hasan bin ‘Ali, Muawiyah bin Abi Sufyan, Harun al-Rasyid, ‘Umar bin “Abd al-‘Aziz dan sebagainya, radhiallahu ‘anhum.

Merujuk kepada hujah Syi‘ah yang menganggap 12 khalifah yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ialah ‘Ali dan kesemua 11 anak keturunannya radhiallahu ‘anhum, ia adalah hujah yang salah lagi jauh tersasar. Sebabnya, di kalangan ‘Ali dan kesemua 11 anak keturunannya, hanya ‘Ali dan anaknya Hasan bin ‘Ali yang pernah menjadi khalifah umat Islam. Baki sembilan daripada keturunan ‘Ali yang dinobatkan sebagai khalifah oleh Syi‘ah tidak pernah menjadi khalifah, justeru tidak pernah memimpin sehingga membawa kemenangan kepada agama dan umat. Oleh itu mereka tidak masuk ke dalam Hadis 12 Khalifah ini.[8]

Kesimpulan mudah kepada para pembaca:

Hadis 12 Khalifah bertujuan memberi motivasi kepada para khalifah umat Islam untuk memimpin secara benar, adil dan terbaik demi membawa kemenangan kepada agama dan umat.

Dakwaan Syi‘ah bahawa Hadis 12 Khalifah diwakili oleh ‘Ali dan sebelas keturunannya adalah tidak benar kerana mereka tidak pernah menjadi khalifah umat Islam. Yang benar hanya ‘Ali dan anaknya Hasan bin ‘Ali yang menepati ciri-ciri Hadis 12 Khalifah.


[1]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith-hadith yang menghadkan pengganti Rasulullah SAWAW kepada duabelas orang). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 171 & 180.

[2]           Terdapat teks yang tidak diterjemahkan, namun ia tidak mencemari hujah yang cuba disampaikan oleh Muhammad Mar’i al-Amin.

[3]           Teks ini tertinggal terjemahannya daripada edisi Arab yang asal.

[4]           Teks ini dalam edisi muat turun internet tertinggal terjemahannya. Akan tetapi dalam edisi bercetak ia tidak tertinggal.

[5]           Teks dalam kurungan berganda ini tidak terdapat dalam edisi Arab yang asal.

[6]           Inilah juga hadis-hadis yang lazim dikenali sebagai “Hadis-hadis Akhir Zaman”. Ia seringkali disalahfahami oleh kebanyakan orang bahawa kononnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah meramalkan sesuatu yang buruk lagi bersifat negatif tentang umatnya. Padahal yang benar adalah sebaliknya. Lebih lanjut rujuk buku penulis: Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil (Jahabersa, Johor Bahru 2003).

[7]           Apakah yang dimaksudkan sebagai “memperbaharui agama”? Rujuk penjelasan Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqih Tajdid Dan Shahwah Islamiyah (edisi terjemahan oleh Nabhani Idris daripada judul asal: Min Ajli Shahwatin Rasyidah Tujaddid al-Deen……wa Tanhadh  bi al-Dunya; Islamuna Press, Jakarta 1997).

[8]           Penulis menggunakan istilah “dinobatkan sebagai imam” kerana mengikut beberapa riwayat, para Ahl al-Bait daripada keturunan Husain bin ‘Ali radhiallahu ‘anhum telah menolak kedudukan khalifah yang disandarkan kepada mereka oleh orang-orang Syi‘ah. Akan tetapi orang-orang Syi‘ah tetap berkeras menyandarkan kedudukan tersebut kepada mereka kerana darah Parsi yang mengalir dalam tubuh mereka, hasil perkahwinan Husain bin ‘Ali dengan puteri raja Parsi yang ditakluk pada zaman pemerintahan ‘Umar al-Khaththab.

Menarik untuk diperhatikan bahawa para tokoh Syi‘ah hanya memilih 12 khalifah tersebut daripada keturunan Husain bin ‘Ali dengan mengecualikan Hasan bin ‘Ali radhiallahu ‘anh sekalipun beliau (Hasan) pada asalnya pernah menjadi khalifah umat Islam sebelum menyerahkannya kepada Muawiyah radhiallahu ‘anh.

 

Sumber :Buku Hafiz Firdaus Abdullah :  “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah”

Juga boleh di baca di :  http://abuhaekal.multiply.com/journal/item/65

About these ads

5 thoughts on “HADITS 12 KHALIFAH

  1. Artikal tambahan boleh di baca:

    Penjelasan Hadist Dua Belas Khalifah Nabi Shallallahu alaihi wa sallam

    Oleh : Abu Hannan Sabil Arrasyad di alamat : http://abu-hanan.blogspot.com/

    Sesungguhnya segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya, meminta pertolongan dan ampunan kepada-Nya. Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan jiwa-jiwa kami dan kejelekan amalan-amalan kami. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak akan ada yang menyesatkannya. Dan barangsiapa disesatkan oleh Allah, maka tidak akan ada yang memberi petunjuk kepadanya.

    Saya bersaksi bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan yang berhak untuk disembah kecuali hanya Allah saja, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah seorang hamba dan utusan-Nya.

    Taktik Syiah Rafidhoh

    Sebelum menjelaskan tentang kedudukan hadist dua belas khalifah, maka saya jelaskan dahulu salah satu siasat kebiasaan syiah rafidhoh dalam mempengaruhi kaum muslimin. Yang ini dilakukan mereka di dalam banyak hal. Siasat dan kebiasaan itu adalah.

    “ Mengkhususkan suatu dalil (nash) yang berbentuk umum”

    Penjelasannya : Merupakan satu kebiasaan bagi Syi‘ah untuk memaksa dalil- dalil umum dari Al Qur’an dan hadist agar ia khusus ditujukan kepada Ahlul Bait, radhiallahu ‘anhum.

    Contohnya jika kita mengkaji seluruh Al Qur’an, tidak ada satupun ayat yang secara khusus membicarakan hak kekhalifahan Ahlul Bait ke pada umat Islam ini. Demikian juga, tidak ada satupun hadis sahih yang menerangkan hak kepimpinan Ahlul Bait ke atas umat Islam.

    Namun kita dapati Syi‘ah Rafidhoh mengemukakan berbagai ayat dan hadis untuk mengangkat diri mereka sebagai golongan yang benar dan hanya Ahlul Bait sebagai khalifah yang hak. Padahal ayat dan hadis yang mereka kemukakan semuanya berbentuk umum dan tidak khusus menunjuk kepada Ahlul Bait sebagai subjek khalifah.

    Jawaban kita sebagai kaum muslimin kepada mereka syiah rafidhoh dalam hal ini adalah

    “ setiap dalil hendaknya diambil berdasarkan bentuknya yang asal tidak disimpangkan, kecuali ada petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut”

    dalam hal ini dalil yang umum tidaklah dikhususkan, karena jelas dalil-dalil Al Qur’an dan hadist yang shahih ada yang berbentuk umum dan khususada yang berbentuk mutlak, ada yang berbentuk membatas, ada yang berbentuk menetapkan, ada yang berbentuk menafikan, ada yang berbentuk doa, ada yang berbentuk anjuran, ada yang berbentuk peringatan, ada yang berbentuk isyarat dan lainnya. Semua bentuk-bentuk ini dapat dikenali daripada dzohir susunan lafadz dan perkataan yang digunakan di dalam lafadz.

    Adakalanya wujud dua dalil yang membahas subjek yang sama, yang pertama berbentuk umum manakala yang kedua berbentuk khusus, maka dalil yang kedua berperanan mengkhususkan keumuman dalil yang pertama. Adakala wujud juga dua dalil yang membahas subjek yang sama, yang pertama berbentuk mutlak manakala yang kedua berbentuk membatas, maka dalil yang kedua berperanan membatasi kemutlakan dalil yang pertama. Di dalam kedua-dua keterangan di atas, peranan dalil yang kedua disebut sebagai “petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut” di mana yang asal itu adalah dalil yang pertama.

    Dalil-dalil AlQur’an dan hadist yang shahih dengan segala bentuknya berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bentuk-bentuk yang dimiliki oleh setiap dalil AlQur’an dan sunnah memiliki peranan, tujuan dan hikmah yang tersendiri di dalam membentuk kesempurnaan syari‘at Islam. Allah tidak sekali-kali menciri-cirikan dalil tersebut dengan bentuk yang tertentu tanpa apa-apa peranan, tujuan dan hikmah didalamnya. Apabila Allah berfirman dengan ayat yang bersifat umum, bererti Allah memang mengkehendaki ia bersifat umum. Apabila Allah mengilhamkan RasulNya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam untuk bersabda dengan sesuatu yang bersifat memberi peringatan, berarti Allah memangn mengkehendaki itu bersifat memberi peringatan. Demikianlah seterusnya bagi lain-lain bentuk dalil seperti mutlak, membatas, menetapkan, menafikan, doa, anjuran, isyarat dan berbagai lainnya lagi.

    Justru seandainya Allah mengkehendaki hak kekhalifahan berada di tangan Ahlul Bait, khususnya ‘Ali bin Abi Thalib,dan keturunannya hanya dari pihak Husein saja seperti yang diyakini Syiah Rafidhoh Allah akan menurunkan dalil yang berbentuk khusus lagi tepat bagi menetapkan kekhalifahan mereka sehingga tidak timbul apa-apa kesamaran atau salah faham. Ini sebagaimana tindakan Allah mengkhususkan kepimpinan kepada Nabi Daud ‘alaihi salam dan menetapkan kerajaannya:

    Wahai Daud ! Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu). (QS Shad 38:26)

    Kemudian Allah secara khusus menetapkan Nabi Sulaiman ‘alaihi salam sebagai pewaris Nabi Daud ‘alaihi salam:

    Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud. (QS An Naml 27:16)

    Demikian juga, apabila Allah hendak menerangkan bahawa Muhammad adalah RasulNya, Allah menerangkannya dengan jelas lagi tepat sebagaimana firman-Nya:

    Muhammad ialah Rasul Allah (QS Al Fath 48:29)

    Hakikatnya kita tidak mendapati di dalam Al Qur’an ayat yang berbunyi umpama: “Wahai ‘Ali dan keturunanmu dari husein ! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kalian khalifah di bumi ini…” atau: “ ‘Ali dan keluarganya mewarisi kepimpinan Rasulullah” atau: “ ‘Ali bin Abi Thalib ialah Khalifah Allah sesudah Muhammad.” atau apa-apa yang lain semisal dengan itu. Ini tidak lain menunjukkan bahwa Allah memangnya tidak berkehendak menetapkan kewajiban bahwa ‘Ali dan keturunannya harus sebagai khalifah umat Islam sesudah Rasulullah.
    Di dalam Sunnah yang shahih, yang ada hanyalah beberapa hadist yang berbentuk doa, harapan, peringatan, anjuran dan pesanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap Ahlul Bait beliau. Semua ini tiada yang berbentuk mengkhususkan dan menetapkan khalifah ke pada Ahlul Bait beliau. Maka di atas ketiadaan ini, Ahlussunnah tidak mengkhususkan dan menetapkan jabatan khalifah kepada Ahlul Bait karana setiap dalil hendaklah diambil berdasarkan bentuknya yang asal tidak disimpangkan, kecuali jika ada petunjuk lain yang mengubah bentuk tersebut.

    Penjelasan tentang Hadist Dua Belas Khalifah

    Selanjutnya marilah kita bahas penjelasan tentang hadist dua belas khalifah tersebut.

    Saya kemukakan saja lafadz hadist yang biasanya dinukil oleh orang-orang syiah rafidhoh. Untuk membela pemikiran dua belas imamnya.

    Lafadz hadits:

    “Akan ada 12 khalifah” Berkata Jabir bin samurah (perawi hadis): “Dan kemudian beliau bersabda dengan kalimat yang tidak aku fahami. Ayahku berkata: “Semuanya dari orang Quraisy.” (HR Bukhari 329 dan Muslim 4477)

    Derajat hadist dan penjelasannya :

    Hadist ini shahih keduanya dikeluarkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari dalam kitab shahihnya. Adapun tentang posisi hadist ini ia masuk dalam kategori hadist yang berbentuk ramalan atau perkiraan nabi tentang masa yang akan datang yang memberikan motivasi dan harapan kepada kaum muslimin setelah beliau wafat. Salah satu motivasinya adalah bahwa Islam ini akan tetap tegak, dan orang yang menegakkan Islam itu diantaranya adalah dua belas khalifah tadi.

    Yang dalam hal ini beliau sengaja tidak menyebut nama khalifah tersebut kerana ini akan menghilangkan nilai motivasi hadis. Sengaja beliau hanya menyebut angka dua belas supaya umat senantiasa dimotivasi untuk memenuhi keseluruhan jumlah tersebut dari saat beliau wafat hingga saat Hari Kiamat.
    Terdapat juga beberapa hadis yang lain yang semisal di mana beliau tidak menyebut nama atau waktu tempat. Diantaranya adalah

    Hadist pertama:
    “Sesungguhnya Allah akan mengutus bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun seorang yang memperbaharui agamanya.” (HR Abu Dawud dan dishahihkan oleh Imam Al Albani)

    Perhatikan dengan jelas tidak disebut siapakah nama mujaddid pembaharu tersebut.

    Hadist kedua:

    “Masa kenabian akan berlangsung pada kalian dalam beberapa tahun. Kemudian Allah mengangkatnya. Selepas itu datang masa kekhalifahan atas manhaj kenabian selama beberapa masa sehingga Allah mengangkatnya. Kemudian datang masa kerajaan (mulk) yang buruk selama beberapa masa, selanjutnya datang masa kerajaan menggigit selama beberapa masa, hingga waktu yang ditentukan Allah.Selepas itu akan berulang kekhalifahan atas manhaj kenabian. Kemudian Rasulullah diam.” (HR Ahmad dan At Thabrani, berkata Imam al Haitsmani, para perawi At Thabrani (tsiqah) terpercaya)

    Perhatikan siapa nama dan tempat yang akan memerintah sebagai khalifah bermanhaj kenabian tidak disebut oleh Nabi shallallahu alaihi wa sallam

    Hadist Ketiga :

    “Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak diketahui apakah yang baik itu pada awalnya atau akhirnya.” (HR Bukhari)

    Perhatikanlah tidak disebut dengan jelas kapan waktu masa kebaikan dan keburukan tersebut. Dalam hadist-hadist di atas, sengaja beliau Nabi Shallallahu alaihi wa sallam. membiarkan ia “terbuka” supaya umat berusaha memenuhinya. Ia berperanan sebagai pemberi motivasi kepada sesiapa yang mau mencarinya.
    Dari penjelasan diatas jelaskan bahwa Nabi tidak menjelaskan siapa nama dua belas khalifah tersebut hanya dijelaskan bahwa mereka berasal dari Quraisy adapun namanya tidak dijelaskan oleh Nabi shallallahu alaihi wa sallam. Maka kembali ke kaidah yang disepakati ahlussunnah di awal

    “ setiap dalil hendaknya diambil berdasarkan bentuknya yang asal tidak disimpangkan, kecuali ada petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut”

    Memang ada tafsiran dari para Ulama Ahlussunnah bahwa dua belas khalifah tersebut yang jelas diantaranya memang berasal dari Quraisy dan memang menduduki posisi khalifah adalah Al Khulafaurrasyidin yaitu Abu Bakar, Umar, Ustman dan Ali radiyallahu anhuma. Namun keempat khalifah tersebut bukannya mutlak karena Nabi memang tidak pernah menyebut nama kedua belas khalifah tersebut. Kembali kepada kaidah

    “ setiap dalil hendaknya diambil berdasarkan bentuknya yang asal tidak disimpangkan, kecuali ada petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut”

    Adapun Syiah Rafidhoh seperti kebiasaan di awal mereka memperalat dalil tersebut yang bersifat umum dan tidak menyebut nama para khalifah tersebut untuk mengkhususkannya kepada para Imam keturunan ahlul bait khususnya dari Husein saja. Yang Hal ini jelaslah kebathilannya.

    Yang pertama mereka hanya dua orang saja yang memang pernah menjadi khalifah yaitu Ali dan Hasan radiyallahu anhuma. Sedangkan Husein radiyallahu anhu dan keturunannya tidak pernah menjadi khalifah dan memang Quraisy seperti yang disebutkan hadist tersebut.

    Kemudian yang kedua, jelas dalam hadist tersebut tidak disebutkan nama-nama khalifah tersebut, tidak disebutkan pula bahwa mereka haruslah keturunan ahlul bait. Apalagi haruslah keturunan Husein bin Ali radiyallahu anhu, petunjuk dalam hadist itu hanyalah jumlahnya yang dua belas khalifah dan keturunan Quraisy.
    Jadi dalam hal ini Ahlussunnah wal jama’ah tetap memegang kaidah :

    “ setiap dalil hendaknya diambil berdasarkan bentuknya yang asal tidak disimpangkan, kecuali ada petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut”

    tidak seperti syiah rafidhoh yang memperalat hadist dan ayat Al Qur’an untuk memenuhi hawa nafsunya. Benarlah sabda Nabi Shallallahu alaihi wa sallam

    “Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka ada-adakan sepeninggalmu, maka saya berkata“Jauhlah.Jauhlah orang-orang yang telah merubah-rubah sepeninggalku“ (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Al Fitan bab 1/6643) Imam Muslim dalam Al Fadlail bab 9/2291)

    Maka setiap dalil Al Qur’an dan Sunnah yang shahih adalah sempurna dalam bentuknya yang asal sebagai kesempurnaan yang berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Seandainya Allah mengkehendaki Ali radiyallahu anhu langsung setelah nabi yang menjadi khalifah ataupun keturunan Husein radiyallahu anhu menjadi khalifah yang dua belas tersebut, Allah akan menetapkannya dengan dalil yang berbentuk khusus, jelas lagi tepat baik itu dari Al Qur’an dan Hadist yang shahih. Jelas Islam ini telah sempurna tidaklah mungkin Allah dan Rasulnya meninggalkan umat ini dalam kebingungan. Padahal Allah sendiri telah berfirman:

    “Pada hari ini telah Kusempurnakan untukmu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu ni’matKu, dan telah Kuridhai Islam itu sebagai agama bagimu” ( QS. Al Maidah, 3)

    Dan amat tidaklah mungkin pula jika Ali Bin Abi Tholib radiyallahu anhu jika beliau memang ditunjuk langsung menjadi khalifah setelah Nabi beliau menyembunyikan dalil penunjukkan tersebut, ini secara tidak langsung berarti menuduh beliau (Ali) menyembunyikan ilmu, menuduh beliau (Ali) sebagai pengecut yang tidak mau menegakkan kebenaran jika dalil itu memang hak adanya.begitu juga Hasan,Husein dan lainnya jika mereka mengetahui hal itu sebagaimana keyakinan kaum Syiah Rafidhoh.

    Semoga shalawat dan salam senantiasa Allah limpahkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wa sallam beserta keluarga dan para sahabatnya radiyallahu anhum ajmain dan orang-orang yang mengikuti beliau hingga akhir zaman

    Maha Suci Engkau Ya Allah, dan dengan memuji-Mu, saya bersaksi bahwa tiada
    Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, saya memohon ampun dan
    bertaubat kepada-Mu.

    Wallahu a’lam

  2. Salam.
    Selepas membacanya, saya dapati hujah anda tidak kukuh. Hujah-hujah anda hanya berdasarkan andaian bukannya fakta.

    Apa hujah anda yang mengatakan mereka tidak pernah menjadi khalifah umat manusia? Dengan hanya mengandaikan majoriti manusia pada zaman itu tidak menerima kepemimpinan mereka? Apakah mereka memerlukan sokongan umat manusia untuk menjadi khalifah umat manusia setelah Allah melantik mereka sebagai khalifah-Nya. Nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu juga tidak pernah mendapat sokongan manusia, apakah itu telah menafikan mereka sebagai khalifah Allah? Tidak, bukan? Tambahan, urusan khalifah adalah urusan Allah swt bukannya urusan manusia kerana Islam adalah dari Allah swt.

    Hadis 12 khalifah ini telah diriwayatkan dengan banyak sekali dalam kitab-kitab dari sumber ASWJ. Sebagai rujukan sila rujuk di sini http://en.wikipedia.org/wiki/Hadith_of_the_Twelve_Successors.

    Sekadar memetik satu hadis dari sahih Muslim:
    Narrated Jabir bin Samura: I heard Muhammad saying, “The (Islamic) religion will continue until the Hour (day of resurrection), having twelve Caliphs for you, all of them will be from Quraysh.”

    Saya kira saudara memahami hadis ini dengan baik iaitu bahawa agama Islam sehingga Hari Kebangkitan akan mempunyai 12 khalifah dan mereka semua dari Quraish. Jadi, ketika Rasulullah saw menyampaikan berita ini kepada sahabat-sahabatnya, apakah beliau tidak memberitahu siapakah mereka?

    Saudara mengatakan hadis 12 khalifah bersifat terbuka dan tidak perlu bagi kita untuk menetapkan siapakah mereka. Ya, jika benar begitu, di sisi ASWJ sehingga kini setelah lebih 1400 tahun, bilangan khalifah di sisi ASWJ sudah melebihi 12 orang khalifah manakala di sisi mazhab Syiah masih 12 khalifah dengan khalifah yang terakhir adalah imam Mahdi aj yang sedang dalam kegaiban. Jika begitu, seperti hadis yang diriwayatkan Muslim yang mengatakan 12 khalifah di sisi ASWJ sudah tidak tepat kerana bilangan khalifah di sisi ASWJ sudah melebihi 12 orang khalifah. Benar bukan?

    Saya bersetuju dengan saudara bahawa kita tidak perlu menetapkan siapakah 12 orang khalifah itu kerana sememangnya urusan khalifah adalah urusan Allah swt bukannya urusan manusia. Allah swt yang berkuasa terhadap agama-NYa dan memperjalankan agamaNya seperti yang dikehendaki-NYa.

    Wassalam.

  3. Pingback: CATITAN SEMBANG fb ABUREDZA DG KHALID MOHD ISMATH : mari bersatu demi ummah ( suni – syiah) « Aburedza

  4. Di antara hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab ASWJ yang sering dijadikan hujah oleh golongan Syi’ah untuk menguatkan pegangan mereka adalah hadis 12 khalifah yang terdapat di dalam kitab seperti Sahih Muslim, Jami’ Termizi, Sunan Abi Daud. Sebelum membincangkan berkenaan kebenaran dakwaan mereka kita lihat hadis-hadis tersebut.

    حدثنا ابن أبي عمر. حدثنا سفيان عن عبدالملك بن عمير، عن جابر بن سمرة. قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول (لا يزال أمر الناس ماضيا ما وليهم اثنا عشر رجلا. ثم تكلم النبي صلى الله عليه وسلم بكلمة خفيت علي. فسألت أبي: ماذا قال رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ فقال كلهم من قريش

    حدثنا نصر بن علي الجهضمي. حدثنا يزيد بن زريع. حدثنا ابن عون. ح وحدثنا أحمد بن عثمان النوفلي (واللفظ له). حدثنا أزهر. حدثنا ابن عون عن الشعبي، عن جابر بن سمرة. قال: انطلقت إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم ومعي أبي. فسمعته يقول (لا يزال هذا الدين عزيزا منيعا إلى اثني عشر خليفة) فقال كلمة صمنيها الناس. فقلت لأبي: ما قال؟ قال (كلهم من قريش).

    Daripada Jabir bin Samurah r.a. katanya, “Aku pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan ayahku bersamaku, lalu aku mendengar Baginda bersabda, “Agama ini akan terus mulia dan teguh sehingga ke dua belas orang khalifah, lalu Baginda berkata dengan kalimah yang orang ramai tidak mendengarnya, maka aku berkata kepada ayahku, “Apakah yang Baginda katakan? Ayahku menjawab, “Semua mereka dari Quraisy”.(Riwayat Muslim)

    حدثني محمد بن المثنَّى: حدثناغندر: حدثنا شعبة، عن عبد الملك: سمعت جابر بن سمرة قال: سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: (يكون اثنا عشر أميراً فقال كلمة لم أسمعها، فقال أبي: إنه قال: (كلهم من قريش.

    Jabir bin Samurah r.a. berkata, Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Akan ada dua belas orang amir, lalu baginda berkata dengan kalimah yang aku tidak dengarinya, ayahku berkata, ”Semuanya mereka dari Quraisy”. (Riwayat Termizi).

    ـ حدثنا عمرو بن عثمان، ثنا مروان بن معاوية، عن إسماعيل يعني ابن أبي خالد عن أبيه، عن جابر بن سمرة قال: سمعت رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم يقول: “لايزال هذا الدِّين قائماً حتى يكون عليكم اثنا عشر خليفةً، كلهم تجتمع عليه الأمة” فسمعت كلاماً من النبيِّ صلى اللّه عليه وسلم لم أفهمه، قلت لأبي: ما يقول؟ قال: كلهم من قريش.

    Daripada Jabir bin Samurah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Agama ini akan terus teguh sehingga memerintah kamu seramai dua belas orang khalifah, semua mereka ini disepakati oleh ummat”. (Riwayat Abi Daud)

    Golongan Syi’ah mengatakan 12 khalifah atau amir yang terdapat di dalam hadis tersebut adalah 12 imam maksum di sisi mereka. Ulama-ulama ASWJ menolak pendapat mereka dengan beberapa hujah. Antaranya adalah:

    Pertama: Di dalam hadis tersebut Nabi s.a.w. menggunakan kalimah amir atau khalifah dan tidak ada satupun riwayat yang menyebutkan kalimah imam dengan mufrad atau aimmah dengan lafaz jama’.
    Kalau dipandang kepada kalimah sahajapun ianya sama sekali tidak menepati imam-imam Syi’ah kerana kalimah amir atau khalifah digunakan kepada pemerintah. Sedangkan di kalangan imam-imam Syi’ah hanya dua org sahaja yang menjadi pemerintah.

    Kedua: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Agama ini akan terus mulia dan teguh sehingga 12 orang khalifah atau amir”.
    Di sisi ASWJ sememangnya agama Islam begitu gemilang selama pemerintahan 12 orang khalifah bermula dari zaman khalifah pertama Abu Bakar as-Siddiq r.a. sehingga 12 orang khalifah.
    Bukankah di zaman-zaman tersebut musuh-musuh Islam begitu gerun dengan kekuatan kerajaan Islam sehingga mereka tidak mampu untuk memerangi umat Islam? Bukankah itu buktinya Islam begitu mulia dan teguh?
    Namun begitu musuh-musuh Islam tidak akan berdiam diri bilamana mereka tidak dapat memerangi umat Islam pada ketika itu tapi dendam yang bersarang di hati mereka mendorong mereka untuk merosakkan sejarah gemilang umat Islam tersebut. Lalu tersebarlah cerita-cerita dari mereka-mereka yang jahat dan bermaksud utk menggelapkan sejarah gemilang umat islam di zaman awal Islam seperti cerita-cerita antaranya yang memburukkan khalifah umat Islam Mu’wiyah r.a. serta anaknya Yazid.

    Dengan itu hadis ini memang tepat untuk dua belas khalifah di kalangan ASWJ dan sememangnya hadis ini merupakan salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w. selepas kewafatannya.

    Dan juga jikalau dilihat kepada hadis ini iaitu “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Agama ini akan terus mulia dan teguh sehingga 12 org khalifah atau amir”.
    Maka ianya langsung tidak tepat untuk imam-imam Syi’ah kerana:
    Mengikut Syi’ah, Imamah (iaitu zaman dua belas imam) berlangsung sehingga kini dengan mereka mengatakan zaman ini adalah zaman imam yang kedua belas mereka iaitu Muhammad bin Hasan al-‘Askari yang diberi gelaran al-Qaaim serta merupakan imam mahdi mereka (sekarang ini masih lagi ghaib entah akan keluar atau tidak,mungkin takut kena bunuh oleh Syi’ah sendiri kot).
    Kalau kita melihat kepada hadis tersebut yang berbunyi, “agama ini akan terus mulia dan teguh sehingga 12 orang khalifah atau amir” bermakna ianya langsung tidak bertepatan dengan pegangan Syi’ah kerana zaman imam ke 12 mereka (sekarang bahkan bermula seribu tahun dulu lagi) bukanlah merupakan zaman kegemilangan, kemulian, keteguhan Islam tapi zaman kini adalah merupakan zaman kelemahan, kehinaan umat islam.

    Ketiga: Sabda Rasulullah s.a.w, “Semua mereka dari Quraisy”.
    Andaikata ianya bertepatan dengan pegangan Syi’ah nescaya Nabi s.a.w. akan menjelaskan dengan sejelas-jelasnya dan akan berkata, “Ianya dari kalangan ahlul baitku”.
    Dan kalau diperhatikan kepada hadis ini ianya memang bertepatan dengan pegangan ASWJ di mana 12 khalifah tersebut sememangnya dari kalangan Quraisy dan berasal dari berbagai-bagai kabilah Quraisy. Kerana itu Nabi s.a.w. mengatakan, “Semuanya dari Quraisy yang menunjukkah kepelbagaian keluarga serta kabilah mereka bukannya dari satu keluarga atau satu kabilah.

    Kesimpulannya kalau diperhatikan kepada hadis tersebut langsung tidak terdapat isyarat apatah secara jelas perlantikan imam-imam ahlul bait sebagai imam maksum serta wajib ditaati sebagaimana mengikut fahaman Syi’ah.

    Wallahua’lam.

    Sumber: http://abunaaielah.blogspot.com/2008/04/menjawab-syiah-hadis-12-khalifah.html

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s