Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

SUMBER:  http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-mengucapkan-tahniah-dan-ucapan-selamat-bersempena-perayaan-agama-

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menjolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

SUMBER: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/garis-panduan-orang-islam-turut-merayakan-hari-kebesaran-agama-orang-bukan-islam

 

Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

Oleh: Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail . Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Syariah Univer. Mu`tah, Karak, Jordan dan Sarjana Pengajian al-Quran dan as-Sunnah (Pengkhususan Hadis) UIAM KL.

Stoma
Stoma

Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.

Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan solat kerana dua sebab, iaitu ;-

1. Adakah wudhuk mereka terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam beg kolostomi?

stoma

stoma

2. Adakah mereka dianggap menganggung najis? Dan adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi setiap kali mengambil wudhuk atau menunaikan solat?.

Dan di bawah ini ialah dua fatwa yang saya kumpul berkaitan hukum memakai beg kolostomi.

Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

1- Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatan Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam

Kategori : Perubatan

Tajuk : Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

i. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu’ atau menunaikan solat.

ii. Wudhu’ yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu’ tersebut terbatal.

Oleh : Muzakarah Kali Ke-79, Tarikh Keputusan: 6 September 2007

Tarikh Muzakarah : 6 September 2007 hingga 8 September 2007

klostomi

klostomi

2- Keputusan Fatwa Negeri Kelantan Darul Naim

Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju memfatwakan seperti berikut :

1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar’ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu’ untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.

2. Oleh itu, wudu’ mereka tidak terbatal walaupun najis keluar ke dalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh. Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha’ bahawa tidak terbatal wudu’ mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu’ untuk menunaikan solat.

3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu’ tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.

4. Ketika hendak mengambil wudu’, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu’ apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu’. Rujuk: e-fatwa.gov.my

Inilah dua fatwa yang telah difatwakan di Malaysia yang saya tau berhubung pemakaian beg kolostomi. Dan di sini, saya ingin berkongsi sebaghagian dalil dan hujah-hujah mereka pada pandangan saya.

Hujah-hujah

1- Yang membatalkan wudhuk ialah keluar sesuatu (apa sahaja) daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur. Namun dalam masalah ini najis yang keluar bukanlah daripada dua jalan tersebut. Kerana itu wudhuk mereka tidaklah terbatal.

قال الشافعي رضي الله عنه: وما كان سوى ذلك من قيء أو رعاف أو دم خرج من غير مخرج الحدث فلا وضوء في ذلك كما أنه لا وضوء في الجشأ المتغير ولا البصاق لخروجهما من غير مخرج الحدث. – الحاوي الكبير للماوردي، ج 1، ص 199، ط 1، 1994م، دار الكتب العلمية، بيروت.

Berkata Imam Syafie: “…muntah, pendarahan hidung, darah yang keluar bukan daripada jalan hadas, maka tidak perlu berwudhuk…sebagaimana tidak batal wudhuk pada sendawa yang berubah dan juga pada air liur, kerana ia keluar bukan dari tempat keluar hadas (qubul dan dubur)”. Rujuk al-Hawil Kabir, karangan Imam Mawardi.

قال الماوردي: وهذا كما قال ما خرج من البدن من غير السبيلين لا ينقض الوضوء سواء كان طاهرا كالدموع والبصاق أو كان نجسا كالقيء ودم الحجامة والفصاد والرعاف، وإنما عليه غسل ما ظهر من النجاسة على بدنه، وبه قال من الصحابة عبد الله بن عمر وابن عباس، ومن التابعين ابن المسيب والقاسم بن محمد، ومن الفقهاء مالك وربيعة وأبو ثور.
الحاوي الكبير للماوردي، ج 1، ص 200، ط 1، 1994م، دار الكتب العلمية، بيروت.

Berkata Imam Mawardi: “…apa sahaja yang keluar bukan daripada dua jalan tidaklah membatalkan wudhuk, samada yang keluar itu suci seperti air mata dan air liur, atau najis seperti muntah, darah berbekam dan pendarahan hidung…Dan ini adalah pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, (sahabah), Ibn al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad (tabien), Imam Malik, Rabiah dan Abu Thaur.”

Dalam masalah adakah mereka menanggung najis, maka antara hujah yang membenarkan ialah:-

عَنْ عَائِشَةَ جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلَا أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلَاةَ قَالَ لَا اجْتَنِبِي الصَّلَاةَ أَيَّامَ مَحِيضِكِ ثُمَّ اغْتَسِلِي وَتَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ ثُمَّ صَلِّي وَإِنْ قَطَرَ الدَّمُ عَلَى الْحَصِيرِ

Aisyah r.a. menyatakan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy datang bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya seorang perempuan yang istihadhah (sentiasa keluar darah), kerana itu saya tidak suci, adakah saya boleh meninggalkan solat?” Jawab baginda: “Jangan…solatlah sekalipun darah itu menitis ke atas tikar”. Hadis riwayat Ahmad.

وَيُذْكَرُ عَنْ جَابِرٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاعِ فَرُمِيَ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَنَزَفَهُ الدَّمُ فَرَكَعَ وَسَجَدَ وَمَضَى فِي صَلَاتِهِ
وَقَالَ الْحَسَنُ مَا زَالَ الْمُسْلِمُونَ يُصَلُّونَ فِي جِرَاحَاتِهِمْ

Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. Hadis riwayat Bukhari “muallaq”.

Al-Hasan (Basri) menyatakan bahawa kaum muslimin sentiasa bersolat sekalipun dengan luka-luka mereka.

Dan sebagai peringatan, saya menyatakan janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan para pesakit lebih patut untuk tidak meninggalkan solat. Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Tetapi mengapakah ketika datang kepada mereka seksaan kami, mereka tidak merendah diri (berdoa dan bertaubat memohon keampunan), bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan (memperdayakan mereka dengan) menampakkan indah (baik) apa yang mereka lakukan”. Surah al-An’am: 43

Dan semoga kita semua terselamat daripada penyakit yang membahayakan. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa ini supaya kita terselamat daripada bahaya penyakit tersebut.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي وَمَا ابْتَلانِي وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِهِ تَفْضِيلا

“Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.

Dipetik dari : http://tasekpauh.blogspot.com/2010/03/hukum-wudhuk-dan-solat-bagi-pesakit.html