MENILAI UMNO DAN PAS MELALUI PERLEMBAGAAN PARTI

PRU 13 akan menjelang pada bila-bila masa sahaja. Saingan sengit tentunya antara Pas dan Umno. Salah satu cara menilai yang mana nak pilih masa pilihanraya ini  ialah dengan menilai perlembagaan masing-masing. Perlembagaan merupakan hala tuju, matlamat dan gambaran kesungguhan perjuangan parti.

Berikut adalah sedutan Perlembagaan UMNO dan PAS :

 

Sedutan Ceraian Perlembagaan UMNO

FASAL 1 – Nama

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malays National Organisation)

FASAL 2 – Cogankata UMNO

BERSATU – BERSETIA – BERKHIDMAT

FASAL 3 – Asas & Tujuan

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.
3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.
3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.
3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

http://umno-online.com/?page_id=2787

 

Sedutan Ceraian Perlembagaan PAS

Fasal 3: Dasar PAS ialah ISLAM

Fasal 5: Tujuan PAS ialah:-

1.Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah

2.Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara

Fasal 6. Usaha-Usaha:

(1) Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memehami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ianya mujstahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Qura’an.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

(10) Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjalinkan hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

(11) Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, degan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuaratAgung PAS.

 

Rujuk: https://aburedza.files.wordpress.com/2011/07/perlembagaan-pas.pdf

WACANA PERDANA – PILIHANRAYA BEBAS, REALITI ATAU ILUSI?

Wacana Antara : Husam-Nazri-Mantan Pengerusi SPR

Penilaian apabila menonton Video ini: Nazri yang mewakli UMNO dan BN gagal dalam meyakinkan penonton dengan hujah yang benar. Tan Sri Rashid, nampak berdolak dalik tetapi akhirnya kembali menghentam kerajaan. Hujah Husam meyakinkan, kemas, tidak merapu, membuat persediaan “kerja rumah” yang baik. Husam  mewakili Pas mengambarkan bakal menteri Putra Jaya yang hebat dan cermelang.

Bila pula PM Najib akan bertemu dengan Anwar? Pastinya, kalau  dengan Husam pun cukup akan mendemamkan  PM Najib!

Aspan Alias: UMNO Bagai Tubuh besar, duit banyak, pangkat tinggi tetapi tidak sihat.

Tubuh besar, duit banyak, pangkat tinggi tetapi tidak sihat.

Saya telah dihubungi oleh ramai kawan-kawan dalam UMNO yang saya kenali sejak puluhan tahun dahulu bertanyakan yang saya akan menyertai DAP seperti yang dihebuh kan oleh akhbar milik UMNO semalam. Saya sendiri tidak membaca akhbar itu tetapi rakan-rakan UMNO inilah yang memberi tahu saya. Saya pun belum membuat apa-apa keputusan walaupun sudah hampir untuk membuat keputusan muktamad.

Kecuali seorang yang lainnya memberikan galakan untuk saya menyertai parti yang sinonim dengan transparency, rule of law, multiracial, ketelusan dan tidak ada isu rasuah besar serta tidak terlibat dengan menggunakan duit rakyat hampir rm 2 billion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang gagal dalam perniagaan.

Ada yang berkata, “bro, saya mencemburui saudara kerana saudara bertegas dan berani berfikir di luar kotak. Saya belum lagi mampu untuk berbuat seperti you sebab maklumlah, saya masih berkhidmat dengan kerajaan. Tapi bro, ramai yang menyokong jika lebih ramai orang Melayu menyertai DAP sebab DAP telah berjaya membuktikan kemampuan untuk mengambil berat terhadap semua kaum macam dia tunjuk di P Pinang”

Seorang lagi pula berkata, “Kalau saudara menyertai DAP maka saudara dapatlah menghindarkan diri dari menjadi ahli parti yang terlibat dengan NFC, Air Asia dengan MAS, parti yang membawa imej Islam tetapi menggunakan wang zakat dan banyak lagi isu-isu yang tidak semenggah lain”

Seorang ahli yang betul-betul sedang bergiat memberi tahu, “Eloklah tu bang, Letih saya bang. Di kalangan kita sendiri bergaduh. Setengah membantai saya kerana kata mereka saya penyokong Khairy dan marah-marah kerana tak menyokong Mukhriz. Mereka mengatakan Khairy mesti di habiskan politiknya kerana kalau Khairy diberikan tempat, matilah politik Mukhriz. Bila saya dengar abang nak masuk DAP saya pun terasa kebenaran dengan apa yang abang beritahu saya berbulan yang lalu yang ahli-ahli UMNO menembak kaki mereka sendiri”

Sesungguhnya apa yang diperkatakan oleh mereka ini melambangkan keadaan sebenar yang berlaku dalam UMNO hari ini. UMNO begitu besar keahliannya, dan saiz keahlian benar-benar membunuh UMNO itu kerana ia membawa padah yang buruk terhadap parti itu.

Begitu besar jumlah keahlian UMNO tidak mampu memberikan hujjah dan penerangan yang baik kepada ahli-ahli mereka di cawangan-cawangannya. Akhirnya jutaan ahli-ahlinya telah menyeberang kepada parti lain di peti undi semasa pilihanraya umum yang lalu dan PRU yang akan datang ini.

Saya menyebut tentang keahlian ini kerana saya memang dari dulu menyatakan bahayanya parti yang mempunyai ahli yang besar. Dengan keahlian yang besar ia akan memberatkan parti diperingkat pentadbirannya dan akan berlaku pertembungan diperinkat cawangan yang banyak itu. Saya berpendapat yang dalam politik ini, ia merupakan ‘game of perception’ dan ia merupakan peperangan mental, bukannya peperangan bersenjata dua belah pihak.

Banyak parti-parti yang berjaya tidak mempunyai keahlian besar. Parti-parti ini menumpukan tenaga untuk membina dasar yang baik yang di hormati oleh rakyat yang mengundi. Parti-parti Republican, Democrat di AS dan parti-parti Buruh dan Conservative di England tidak mempunyai keahlian yang besar. Parti0parti ini telah memerintah dan mentadbir negara bergilir-gilir mengikut keadaan sewaktu pilihanraya. Parti-parti ini menawarkan dasar kepada rakyat dengan jelas. Kalau rakyat tidak bersetuju parti-parti ini bersedia untuk duduk dipihak pembangkang di dewan-dewan legislative.

Di negara kita DAP tidak mempunyai keahlian yang besar. Begitu juga PAS.Sebaliknya UMNO mempunyai keahlian seramai lebih dari 3 juta tetapi hasilnya tidak seberapa. Hasil yang besar yang UMNO perolehi hanyalah perpecahan dan perbalahan di antara ahli-ahli yang berebut jawatan.

Dengan keahlian yang besar maka cawangan bertambah. Apabila cawangan bertambah maka lokasi perbalahan di antara ahli pun bertambah dan lokasi-lokasi perpecahan itu adalah di cawang-cawangan di mana peti-peti undi itu berada. Oleh kerana keahlian terlalu besar maka mereka tidak mempunyai masa untuk membina pemikiran dan kepimpinan.

Oleh kerana UMNO berbangga dengan cawangan yang banyak maka UMNO hanya mampu menunjukan angka keahlian yang kebanyakannya hanya menjadi ‘parasite’ dalam UMNO. Penghujungnya yang akan timbul hanyalah sampah sarap dan yang baik-baik semuanya tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi. Sekarang sampah sarap inilah yang turun naik ke Kuala Lumpur mengaku di sana sini sebagai calon ‘winnable’ untuk UMNO.

Pimpinan UMNO telah gagal untuk meyakinkan rakyat dalam semua dasar yang digubalnya. Rakyat mahu melihat dasar yang digubal itu dilaksanakan dengan baik, tetapi dasar-dasar itu tidak terlaksana dengan baik kerana ada elemen-elemen kepentingan peribadi mereka yang menggubal dasar itu sendiri seperti rasuah dan salah guna kuasa. Kalau rakyat berkeyakinan masakan UMNO seperti hidup mati tak mahu. Badan saja yang besar tetapi dalam badan yang besar itu ada banyak penyakit yang sudah sampai ke tahap ‘terminal’.

Keahlian yang besar sama seperti tubuh yang besar. Semasa muda bolehlah berjalan dengan baik, tetapi apabila sudah tua tubuh yang besar itu terpaksa berjalan dengan memakai tongkat dan kadangala terpaksa memakai kerusi roda. Apabila sudah berkerusi roda kita mesti akui, tidak ada di antara kita yang akan menjadi tangkas dan sesihat masa muda jika kita sudah mula memakai kerusi roda.

Dalam tempoh yang tidak berapa lama kita yang memakai kerusi roda itu akan dipanggil tuhan. Tidak ada orang yang sudah memakai kerusi roda akan menjadi kacak seperti Sharukh Khan dan Tom Cruise. Kita semua kena ingat perkara ini kerana kita ini bak kata orang utara, ‘pelan lama pelan tua’.

Apabila kita sudah jatuh sakit tidak ramai lagi yang akan memberikan tumpuan kepada kita. Mungkin adalah seorang dua yang selalunya sama-sama sakit datang menziarah kita. Orang yang sama-sama sakit, apabila duduk berbincang mereka tidak ada masa untuk bercakap tentang pembangunan dan politik besar lagi.

Masing-masing hanya ‘compare notes’, bertanyakan keadaan buah pinggang dan jantung atau pun tentang paru-paru. Masing-masing akan bertanya apa ubat untuk memanjangkan nafas yang sudah pendek atau pun untuk menghilangkan bunyi di lutut semasa berjalan. Itulah yang berlaku dalam UMNO sekarang. Di mana-mana ahli-ahlinya sendiri bercakap tentang betapa sakitnya parti yang mereka anggotai.

Kalau sudah begitu bilalah masanya untuk meruangkan masa untuk membangunkan ummah seperti yang di retorikkan siang dan malam itu. Hendak menjaga kesihatan tubuh sendiri pun sudah hilang kemampuan.

Walaupun banyak wang ringgit ia tidak boleh memberikan kita kesihatan lagi.

Apakah abah telah dibeli UMNO dengan RM10.00 ?

Kelmarin anak-anak ku bertanya: Apakah abah telah dibeli UMNO dengan RM10.00 ? Tak  terfikir pula soalan spontan itu bagaimana nak di jawabnya. Bagaimanapun sejurus kemudian aku menjawabnya : Itulah nilai UMNO sebanyak RM10.00.

Sebenarnya sehari sebelum itu aku mendapat undangan dari Pengerusi JKKK untuk jemput mengucai bubur asyura. Biasanya hubungan kami jiran-jiran sekampung cukup baik walaupun berbedza fahaman politik. Kenduri kendara, sakit dan kematian serta pakatan-pakatan lain sentiasa baik. Masing-masing faham dan selalu menjaga  sensiviti  faham politik. Jika ada majlis parti  mereka tidak akan menjemput kami sekalipun kenduri atau jamuan parti – mungkin mereka tahu jika jemput pun kami tidak akan hadir.

Bagaimanapun kelmarin situasinya berbedza, aku hadir kerana aku jangka mengucai bubur asyura adalah aktiviti kampung yang bukan urusan UMNO.

Rupanya apabila bubur asyura sebanyak 4 kawah masak, datanglah  YB ADUN kawasan kami. Beliau berpenampilan bagus dengan berjubah putih tanpa kupiah. Kalau berkupiah putih tentu macam ADUN Pas. Beliau bercakap sedikit tentang bubur asyura dituka rnama menjadi Bubur Perlis kerana kalau bubur Asyura menjadi Bidah bagi Kerajaan Perlis. Kepada hadirin beliau mengajar tiga doa, iaitu doa nabi Yunus a.s , doa nabi Musa a.s  dan doa nabi Ibrahim a.s(?):

لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”. QS al Anbiya’ 87


رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

“Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”.  QS al Qasas 24

(Catitan tambahan: Aku bila mendengar doa ini lantas terbayang betapa letih dan fakirnya nabi Musa a.s setelah berjalan begitu jauh dari Mesir hingga ke Madyan atau mungkin Jordan sekarang ini. Selepas baginda menolong kedua gadis tersebut baginda kembali berteduh di bawah pohon dan terus berdoa kepada Allah. Doanya makbul , Allah berfirman  ayat berikutnya 25 maksudnya :  Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan malu-maluan, ia berkata: “Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan) mu memberi minum (ternak) kami”. Maka tatkala Musa mendatangi bapaknya (Syuaib) dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya). Syuaib berkata: “Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu”. )

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. QS Al Baqarah 201


Sebelum beliau meninggalkan majlis beliau dan isterinya berjalan kearah hadirin dan menghulurkan wang tunai RM50.00 untuk warga emas dan ibu tunggal, RM 10.00 untuk semua hadirin kecuali RM5.00 untuk kanak-kanak. Wakil YB ADUN telah memasukkan RM10.00 ke poket aku. Ya itu kah nilai Aku atau nilai UMNO ?

Jumlah Hadirin yang  hadir ada kot sekitar  200 orang.

Selepas itu aku menoleh mencari seorang sahabat aku bergelar Profesor seorang pensyarah sebuah IPT, ternyata beliau telah terhidu pekara ini dan telah meninggalkan majlis. Tentunya beliau tidak mahu dibeli hanya dengan RM10.00! Atau adakah beliau mengelak dari menilai UMNO dengan nilai serendah itu?

Satu soalan tambahan dari anak-anak aku : Apakah  Abah, selepas pencen tidak cukup wang pencen hingga perlu bantuan dari UMNO?  Soalan itu tidak aku jawab dan dengan senyap-senyap aku masukan RM10.00 itu ke tabung masjid berdekatan. Ya, aku malu sendiri ! Hadir majlis UMNO sungguh memalukan!

Kepada PAS, apakah mampu kita memenangi hati pengundi tanpa wang?

Siapa Tokoh UMNO Nak Masuk Pas : UMNO busuk hingga ke ususnya

Oleh : Dr. Mahathir Mohamad
1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata “UMNO is rotten to the core” (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Sumber : http://chedet.co.cc/