Osman Teh: semasa darurat bergerak dalam PKM diiktiraf PEJUANG

Kerajaan Umno/BN pun iktiraf bekas ahli PKM sebagai pejuang kemerdekaan



PADANG BESAR – Di sebalik pelbagai kecaman oleh pelbagai pihak ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berikutan isu kononnya beliau menyokong perjuangan komunis, kerajaan Umno/BN Perlis memberikan pengiktirafan kepada bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) selaku pejuang kemerdekaan.

Osman Teh, 82, anak jati Kedah, yang pada mulanya aktif dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) kemudiaanya semasa darurat bergerak dalam PKM bersama platun Melayu rejimen ke 8 dan sebelum berhijrah ke Rejimen ke-10.

Osman, ketika berumur belasan tahun, pernah berjuang di dalam Rejimen Ke-8 PKM pimpinan Allahyarham Rashid Maidin yang bergerak di kawasan hutan utara semenanjung.

Matlamat perjuangan mereka ketika itu adalah untuk menentang penjajahan Jepun dan British bagi menuntut kemerdekaan.

Osman yang kini menetap di Kampung Tersusun dekat sini pernah dianugerahkan dengan Anugerah Pejuang Kemerdekaan pada tahun 2007 sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara oleh kerajaan Umno/BN pimpinan Dato’ Seri Shahidan Kassim pada masa itu.

Haji Abdur Rahman Limbong ulama dan pahlawan Melayu-Pejuang Kemerdekaan Tanah Air

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SUMBER:   http://devali.multiply.com/journal/item/17

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya. Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006). Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu. Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu. Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei . Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong. Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal. Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu. Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris. Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.

Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam. Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah. Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang. Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.

Wasallam

LINK LAIN BERKAITAN : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Perang Tok Janggut 1915 : Sarjan Che Wan Sulaiman, Talibarut British Dibunuh

Perang Tok Janggut adalah detik awal penentangan terhadap sistem pentadbiran British di Kelantan. Perang ini tercetus pada 29 Mei 1915 apabila berlaku perbalahan di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan Sulaiman seorang anggota polis British yang membawa kepada kematian Sarjan Che Wan Sulaiman.

Walaubagaimanapun,punca sebenar penentangan ini tidak jelas. Para pengkaji telah menyimpulkan punca penentangan ini seperti berikut:-

  1. Penentangan langsung terhadap pentadbiran British
  2. Penentangan tidak langsung terhadap Sultan Muhammad IV kerana menerima perlindungan British dan satu cubaan untuk mengulingkan Baginda
  3. Hasil sentimen sokongan terhadap tokoh tempatan iaitu Engku Besar dan sikap anti orang luar iaitu pegawai daerah Pasir Putih, Abdul Latif, yang dilihat merampas kuasa Engku Besar
  4. Penentangan golongan ksum tsni terhadap sistem cukai tanah baru dan cara kutipan dijalankan
  5. Perang jihad terhadap British berikutan bermulanya Perang Dunia Pertama (1914) dimana British adalah sebahagian negara Eropah yang menentang Turki yang bersekutu dengan Jerman dan Austria – (baca catitan pondok buku berikut: Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya perang dunia pertama pada Ogos 1914 yang mana British berperang dengan Turki Uthmaniyyah. Kerajaan Kelantan berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dan dipaksa menyatakan sokongan mereka kepada British dalam peperangan itu. Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam perang dunia pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.- Tambahan Abu Redza)

Latar belakang

Dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam 1909, Kelantan telah jatuh di bawah naungan kerajaan Inggeris. Kelantan pada masa itu dibawah pemerintahan Tuan Long Senik atau Sultan Muhammad IV. Pada 22 Oktober 1910, kerajaan Inggeris telah membuat perjanjian dengan kerajaan Kelantan. Semenjak itu mulalah campur tangan kerajaan Inggeris di Kelantan. Pihak kerajaan Inggeris juga memperkenalkan institusi pentadbiran baru seperti balai polis dan mahkamah di peringkat daerah termasuk juga di daerah Pasir Putih yang sebelumnya dikenali sebagai Pangkalan Limbungan. Sebelum kedatangan Inggeris, daerah tersebut ditadbir oleh seorang pembesar kerajaan Kelantan yang dikenali dengan gelaran Seri Maharaja Tua.

Pada masa itu, di Jeram yang terletak di dalam daerah Pasir Putih, tinggal seorang hulubalang Seri Maharaja Tua yang bernama Munas. Munas mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Tahir dan Hassan yang dikenali sebagai Tok Janggut.

Punca konflik

Lebih kurang pada tahun 1914, Abdul Latif seorang yang berasal dari Singapura telah dilantik menjadi Ketua Daerah di Daerah Pasir Putih. Abdul Latif telah menguatkuasakan semua undang-undang cukai kerajaan Kelantan termasuk tiap-tiap seorang dikenakan cukai kepala $1.00 setahun, pokok buah-buahan 12 1/2 sen sepokok, pokok kelapa 3 sen sepokok, sirih 5 sen sejunjung, kerbau dan lembu 20 sen seekor, anjing dan babi 50 sen seekor, pokok kayu keras seperti tembusu, medang dan lain-lain yang boleh dijadikan bahan binaan rumah $1.00 sepokok, hasil tanah 60 sen seekar. Penduduk yang enggan membayar cukai dikenakan hukuman denda atau penjara.

Pungutan cukai dijalankan di Pejabat Daerah Pasir Putih dan dilaksanakan oleh seorang pekerja. Disebabkan tenaga kerja yang terhad, ada pembayar cukai yang terpaksa menunggu selama tiga hari tetapi masih tidak dapat membayar cukai. Ketika Tok Janggut dan pengikutnya hendak menjelaskan cukai, mereka terpaksa menunggu lebih kurang seminggu dan menyebabkan mereka mengambil keputusan meninggalkan pejabat tersebut dan balik ke kampung masing-masing dan enggan membayar cukai yang ditetapkan.

Kengganan membayar cukai tersebut menyebabkan Tok Janggut dan pengikutnya disaman oleh pemerintah Pasir Putih dan dikehendaki hadir ke mahkamah di Pasir Putih. Tetapi Tok Janggut dan pengikutnya enggan hadir ke mahkamah.

Disamping itu, Tok Janggut bersama rakan-rakannya iaitu Engku Besar Tun Ahmad, Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam telah meminta penduduk di daerah Pasir Putih untuk turut tidak membayar cukai. Di dalam suatu perhimpunan penduduk Pasir Putih yang diadakan di Kampung Merbul, penduduk telah membuat ketetapan untuk tidak mahu membayar cukai kepada Ketua Daerah Pasir Putih walau apa pun terjadi. Berita ini akhirnya sampai kepada pengetahuan Ketua Daerah Abdul Latif yang telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap Tok Janggut.

Perang bermula

Pada 29 April 1915, Sarjan Che Wan Sulaiman yang diiringi oleh enam orang anggota polis telah menemui Tok Janggut di Kampung Merbul. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Sarjan Sulaiman telah menerangkan maksud kedatangannya dan telah menjemput Tok Janggut datang ke Pasir Putih untuk berjumpa Ketua Daerah. Tok Janggut telah bersetuju dengan permintaan tersebut, walau bagaimanapun telah berlaku pertengkaran semasa hendak meninggalkan tempat tersebut kerana Tok Janggut tidak mahu berjalan dihadapan dengan diiringi oleh polis dibelakangnya seperti orang salah. Semasa pertengkaran tersebut, Tok Janggut telah menikam Sarjan Che Wan Sulaiman dengan kerisnya menyebabkn beliau meninggal dunia. Melihat peristiwa tersebut, polis yang lain tidak berani melawan dan telah dibiarkan pergi oleh Tok Janggut setelah merampas senapang mereka.

Tok Janggut bersama rakan-rakanya dan pengikut-pengikut mereka seramai lebih kurang dua ribu orang telah menyerang dan menawan pekan Pasir Putih. Ketua Daerah telah lari menyelamatkan diri ke Kota Bahru menghadap Sultan Muhammad Shah IV.

Setelah menawan Pasir Putih, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menubuhkan kerajaan sendiri. Engku Besar Tun Ahmad diangkat menjadi Raja Pasir Putih, Tok Janggut menjadi Perdana Menteri, Haji Said menjadi Timbalan Perdana Menteri, Penghulu Adam menjadi Syahbandar dan Ishak menjadi Ketua Daerah.

Konflik berlarutan

Pihak Inggeris telah melaporkan kepada Sultan bahawa Tok Janggut dan rakan-rakannya telah memberontak dan sedang menuju ke istana bagi merampas takhta. Pihak Inggeris turut menghalang Tok Janggut daripada menghantar utusan bagi menerangkan perkara sebenar kepada Sultan. Sultan Muhammad IV sangat murka terhadap Tok Janggut dan rakan-rakannya. Baginda menggangap mereka sebagai penderhaka. Baginda telah mengeluarkan titah sesiapa yang dapat menangkap salah seorang daripada Engku Besar Tun Ahmad, Tok Janggut, Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam akan diberi wang hadiah sebanyak RM500. Harta benda Tok Janggut dan rakan-rakannya telah dirampas dan rumah mereka akan dibakar.

Setelah mendengar titah tersebut, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menetapkan tidak mahu menyerah diri dan telah bersiap sedia dengan membuat sebuah kubu di Kampung Saring yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut.

Peranan Inggeris

Apabila Sultan Muhammad IV mendengar persiapan perang Tok Janggut, Baginda telah bermesyuarat dengan pembesar negeri termasuk juga Penasihat British dan mesyuarat telah mengambil keputusan untuk meminta bantuan kerajaan Inggeris untuk menghadapi ancaman Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya.

Gabenor Sir Arthur Henderson Young di Singapura telah menghantar sebuah kapal perang dengan seramai 150 orang askar ke Kelantan untuk memenuhi permintaan kerajaan Kelantan. Pada 10 Mei 1915, askar tersebut telah sampai ke Kota Bahru dan sampai di Pasir Putih tiga hari kemudian. Walaubagaimanapun, mereka gagal untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakanya yang telah menyembunyikan diri dan tidak mahu melawan askar tersebut secara berhadapan. Pada 17 Jun 1915 askar tersebut kembali ke Kota Bahru dan menunggu seminggu di sana sebelum kembali ke Singapura.

Pada bulan yang sama, sepasukan askar Inggeris seramai 100 orang yang terdiri daripada askar Sikh dan sukarelawan Melayu telah dihantar ke Pasir Putih. Setelah gagal sekali lagi untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakannya, askar tersebut telah mengambil tindakan merampas harta benda, membinasakan sawah padi serta membakar rumah penduduk di Jeram, Pasir Putih termasuk rumah Tok Janggut, Haji Said dan Ishak.

Pertempuran Kampung Saring

Pada 25 Jun 1915, Tok Janggut bersama lebih kurang 2,500 orang pengikutnya telah menyerang askar Sikh yang berada di pekan Pasir Putih. Pasukan Tok Janggut kemudian telah berundur ke kubunya di Kampung Saring. Askar Inggeris telah menyerang kubu tersebut yang menyaksikan pasukan Tok Janggut berjuang bermati-matian menghadapi serangan tersebut. Antara pejuang yang bersama Tok Janggut pada hari itu ialah Abbas Berani, Hassan Harimau, Awang Ngah dan Abdul Rahman Anak Kerbau.

Walaubagaimanapun, akhirnaya askar Inggeris yang lebih terlatih dan berpengalaman serta lengkap dengan peralatan perang yang moden, berjaya menewaskan pasukan Tok Janggut. Tok Janggut sendiri telah gugur manakala Engku Besar Tun Ahmad, Haji Said dan Ishak telah melarikan diri ke Reman di Selatan Siam.

( Maklumat lain menyebut Tok  Janggut dibunuh dikampung Pupuh , lihat gambar – aburedza : Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan )

Sumber: wikipedia.org

PAS: Fakta sejarah perlu dikaji semula, tak timbul isu sokong komunis

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-54 dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula dikritik sesetengah pihak berhubung satu ceramah baru-baru ini, parti Islam itu menegaskan, negara perlu mentafsir semula fakta sejarah agar semua hero diberi penghormatan sewajarnya.

Sehubungan itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, soal menyokong komunis tidak timbul jika “kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.”

“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata Tuan Ibrahim (gambar).

Mohamad atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Mohamad dan menegaskan akan mengambil tindakan saman ke atas Utusan Malaysia atas alasan telah memutarbelitkan kandungan ceramahnya.

Polis pula berkata mahu menyiasat Mohamad kerana mengeluarkan kenyataan mengemparkan rakyat.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas iaitu “apakah British dan kuncunya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah ditafsirkan.”

Kata beliau, kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

“Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya.

“Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Hari ini, genap 54 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun sambutan akan diadakan pada 16 September ini sempena Hari Malaysia.

Tuan Ibrahim menambah, disebabkan pada zaman British menjajah negara, mereka telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka.

“Namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, maka kini timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang – ada yang menyertai PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), PKM (Parti Komunis Malaya) dan lain-lain – semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British,” katanya lagi.

Justeru kata Tuan Ibrahim, atas penilaian itu, “kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero.”

“Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tambah beliau.

Beliau seterusya menyoal, jika kedua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya?

“Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya,” kata Tuan Ibrahim.

Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

Bagaimanapun katanya, yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero.

Pada masa yang sama kata Tuan Ibrahim, kedudukan dan jasa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?

“Secara menafsir sejarah secara jujur, semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun,” katanya lagi.

Namun demikian, tambah beliau, “kita tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya menghalau penjajah.”

“Namun apa yang pasti, menghalau penjajah merupakan ‘common goal’ yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim seterusnya bertanya, “pada 1950 adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara?”

“Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu,” jelas beliau.

“Selepas merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan.

“Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

“Inilah tafsiran sejarah secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi satu-satu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era. Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri selepas menghalau penjajah,” katanya sambil menambah, sejarah yang paling kritikal juga berlaku di zaman peralihan antara Jepun dan British.

“Di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British,” kata beliau lagi.

“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

“Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Profesor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” kata beliau lagi.