RM10.5 juta bantu 26,300 keluarga mangsa banjir

BERNAMA :  5 Nov 2010

Sawah Padi Berhampiran Maktab Perguruan Perlis

Sawah Padi Berhampiran Maktab Perguruan Perlis

PUTRAJAYA:  Kerajaan hari ini meluluskan pembayaran wang ihsan berjumlah RM10,489,400 kepada 26,300 keluarga yang menjadi mangsa banjir di beberapa negeri bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 12,997 daripada keluarga yang terlibat itu mengandungi 58,155 orang di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir, akan menerima RM500 sekeluarga manakala 13,303 keluarga lagi meliputi 42,660 orang yang berpindah ke rumah saudara mara, akan menerima RM300 sekeluarga.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Pusat, Bahagian Keselamatan Negara yang dipengerusikannya di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Najib berkata, keluarga mangsa banjir yang berpindah ke rumah saudara mara perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pengesahan sebelum wang ihsan itu dibayar.

Katanya sebanyak RM2,000 akan disumbangkan kepada keluarga setiap 17 mangsa yang terkorban ketika banjir itu.

“Sumbangan yang dihulurkan ini bukan dalam bentuk pampasan tetapi lebih kepada pemberian wang ihsan,” kata Najib.

Sumbangan wang ihsan juga akan diberi kepada keluarga mangsa banjir yang harta benda mereka rosak atau hilang selain kepada petani dan peladang yang hasil ladang dan pertanian mereka rosak, katanya.

Bagi kategori pertama iaitu mangsa banjir yang rumah mereka dimasuki air, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Pusat telah memutuskan untuk menyediakan sumbangan sebanyak RM200 kepada setiap keluarga terbabit.

Namun, jumlah sumbangan belum ditetapkan bagi kategori kedua dan ketiga iaitu mangsa banjir yang rumah mereka musnah atau rosak teruk, dan petani serta peladang.

Keputusan mengenai kadar bayaran untuk petani dan peladang akan dibuat dalam mesyuarat kabinet minggu hadapan, kata Najib.

“Kerajaan sedar bagi petani yang mengalami kerugian yang besar ialah petani di bawah skim Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) kerana dua hari lagi hasil padi sedia untuk akan dituai segala tanaman telah musnah (akibat banjir).”

“Bukan sahaja (petani mengalami) kerugian yang besar tetapi menghadapi keadaan tiada punca pendapatan sehingga kehidupan mereka tenat dalam tempoh beberapa bulan ini atau sehingga tempoh satu tahun,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Jawatankuasa itu juga membuat keputusan untuk menyediakan sumbangan RM100 kepada murid sekolah rendah dan menengah yang buku, pakaian dan peralatan sekolah rosak atau hilang disebabkan banjir.

Bayaran itu akan disalurkan melalui sekolah masing-masing.
Semua mangsa diminta membuat pendaftaran di pejabat JKM peringkat daerah masing-masing atau dengan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana yang terletak di pejabat-pejabat daerah supaya status mereka sebagai mangsa banjir sebenar dapat disahkan untuk melayakkan mereka menerima bantuan.

Najib berkata jumlah kerugian dan kerosakan yang ditanggung kerajaan akibat banjir itu, dianggarkan RM240 juta. BERNAMA