Kisah Wasiat Tsabit Bin Qais r.a.

Ibnul Qayyim al-Jauziyyah ( Wafat 656H) telah mengisahkan tentang kebenaran wasiat seorang sahabat Rasullah s.a.w. melalui mimpi di dalam kitabnya  ar-Ruh :

Diriwayatkan Malik Bin Anas r.a berkata Tsabit bin Qais mati terbunuh syahid di pertempuran Yamamah. Diriwayatkan pula bahawa puteri Tsabit bin Qais , apabila turun firman Allah :

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengangkat suara kamu ke atas suara Nabi” (Al-Hujurat: 3)

Maka ayahku telah kembali ke rumahnya, dan menutup pintunya. Lalu Rasulullah s.a.w. mencarinya, serta mengirim orang untuk ber­tanyakan beritanya, mengapa dia tiada kelihatan lagi. Ayahku datang seraya berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah! Saya seorang yang memang keras suaranya, dan saya bimbang kerana itu nanti saya akan berdosa.

Berkata Rasulullah: Engkau tidak termasuk golongan orang­orang itu, bahkan engkau akan hidup panjang umur, dan engkau mati dalam kebaikan.

Kemudian Allah Ta’ala turunkan firmanNya:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tiada menyukai orang yang sombong lagi mengangkat diri.” (Luqman: 18)

Sekali lagi ayahku kembali ke rumahnya, lalu mengunci pintu  tidak keluar-keluar lagi, sambil menangis terus-menerus. Maka  Rasulullah mencarinya lalu mengutus orang ke rumahnya untuk memberitahukan pertanyaan baginda itu. Ayahku datang kepada baginda seraya berkata:

Wahai Rasulullah! Saya seorang yang memang suka bergaya, dan saya suka mengetuai kamuku!

Maka sekali lagi Rasulullah berkata kepada­nya: Engkau bukan dari golongan orang-orang yang dimaksudkan, bahkan engkau akan terus hidup terpuji, engkau akan mati syahid, dan akan memasuki syurga!

Maka puteri Tsabit, periwayat kisah ini telah meneruskan ceritanya, katanya:

Apabila tiba pertempuran di Yamamah, ayahku telah keluar ke medan perang bersama-sama dengan Khalid bin Al-Walid untuk memerangi Musalimah Al-Kazzab (yang mengaku dirinya Nabi). Ketika peperangan sedang hebat,  Tsabit gugur syahid. Pada ketika itu Tsabit mem­punyai perisai yang berharga, telah diambil oleh seseorang yang menghadiri peperangan itu.

Pada malam itu ada seorang Muslim lain telah bermimpikan Tsabit datang kepadanya seraya berkata: Aku hendak berpesan kepadamu, tetapi ingat, jangan pula kau katakan ini hanya sebuah mimpi, sehingga kau melupakan pesananku ini! Aku telah mati dalam pertempuran semalam, dan si fulan telah mengambil perisaiku, dan rumah orang itu di hujung perkampungan. Di tempat persembunyiannya ada seekor kuda yang terus bergelora minta dilepaskan, kemudian perisai itu diletakkan di bawah sebuah periuk, orang itu duduk di atasnya. Cuba anda pergi kepada panglima Khalid dan minta bantuannya supaya dia dapat mengambil balik perisaiku itu. Kemudian apabila anda tiba di Madinah, temui Khalifah Rasulullah s.a. w. yakni Abu Bakar As-Shiddiq, dan beritahu dia, bahwa saya masih terhutang sekian dan sekian, dan hambaku si fulan dan si fulan kumerdekakan.

Orang yang bermimpi itu kemudian datang kepada Khalid serta memberitahunya tentang pesanan Tsabit bin Qais itu, lalu dia menyuruh orang pergi mengambil perisai itu, dan ternyata segala yang diberitahu oleh Tsabit itu memang benar. Kemudian orang itu pergi menemui Khalifah Abu Bakar seraya memberitahukannya dari hal mimpinya itu. Maka Khalifah Abu Bakar mengsahkan wasiat Tsabit dalam mimpi orang itu dan melaksankan segala pesanannya.

Jelaslah Khalid, Abu Bakar dan setengah sahabat Nabi telah bersetuju untuk melaksanakan wasiat dalam mimpi itu, perisainya telah didapatkan dan segala permintaannya telah dipenuhi dengan cukup.